Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan stesen-stesen televisyen tempatan supaya tidak terlalu didorong oleh pertimbangan komersial dan pasaran semata-mata sehingga mengabaikan soal etika dan moral rakyat.
"Kita tidak perlu mengikut budaya Barat secara membuta tuli termasuk mencedok secara bulat-bulat rancangan seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia yang adegan-adegannya melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya orang Timur."
Ini merupakan pendirian rasmi pertama kerajaan berhubung rancangan hiburan realiti yang kini sudah menjadi trend di kalangan stesen-stesen televisyen swasta di negara ini. Kebanyakan rancangan realiti tempatan itu dicedok konsepnya dari luar negara.
Menurut Najib, penerbit rancangan televisyen di negara ini tidak perlu mengikuti budaya Barat membuta tuli termasuk mencedok secara bulat-bulat program mereka.
Beliau berkata, budaya penerbitan yang mendasari dan menguasai sesetengah media negara perlu dilatih dan diingatkan berkenaan lunas dan amalan baik masyarakat.
"Usaha untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan bermoral perlu bermula dengan program televisyen yang sihat serta luhur meskipun ia memerlukan penglibatan adunan mesej serta tarikan atau daya kreatif."
Menurut Najib, dalam kemelut meningkatkan jati diri masyarakat Malaysia yang bermoral, beretika serta progresif, mesej dan santapan rohani seperti filem, iklan, akhbar dan televisyen perlu diawasi dan dipantau secara serius dan teratur.
Begitu juga setiap penulis dalam agensi iklan, penerbit program TV dan sebarang bentuk genre program, penulis lakon layar, penulis siaran akhbar, wartawan termasuk penggemar media baru perlu dididik dengan segala macam budaya Malaysia yang bertunjangkan budaya Islam dan Melayu.
"Kita mesti berusaha mewujudkan komuniti media dan khalayak yang saling memahami keperluan dan aspirasi negara yang menuntut keyakinan diri untuk memajukan segala bidang dan berbangga dengan keupayaan anak-anak tempatan.
Bukankah juga Wawasan 2020 menuntut keterampilan dalam acuan kita dan bukannya berbangga dengan identiti luar, jiwa yang tidak bebas dan masih tidak tenteram kerana kiblat kita buka lokal tetapi kebaratan."
Najib berkata, industri media negara ini sudah berkembang pesat manakala akta atau dasar yang digubal bersifat kawalan sendiri atau menerusi perundangan yang memperlihatkan kematangan pengusahanya mengorak langkah dan bersaing di persada dunia.
Namun, pada masa sama agak malang kerana sejak arus globalisasi dan liberalisasi melanda dunia, pengusaha media seolah-olah terpaksa menyerahkan semangat juang kepada konglomerat besar.
"Banyak yang sudah diambil alih khususnya industri iklan dan perhubungan awam manakala perfileman kita masih berorientasikan luar.
"Akibatnya, industri tempatan dan sokongan semakin tenat dan usaha untuk menggalakkan industri media bersandarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak kesampaian."
ZULKIFLI JALIL
utusan
No comments:
Post a Comment