Friday, February 09, 2007

revise

Saya terjumpa potongan ayat ini dalam Majalah i keluaran Februari. Ia kata-kata Nabi Muhammad. Hadis Muslim.

"Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya."

Hurai penulis, Hasrizal Abdul Jamil, "Kalau sesuatu yang mahu kita lakukan itu mendatangkan resah kepada diri dan kalau boleh jangan ada sesiapa pun tahu, Insya Allah, dosa jualah namanya perbuatan itu".

Ia benar. Tapi cuma boleh digunapakai oleh orang yang beriman, bukan saja orang Islam. Sebab Islam saja tak semestinya dia beriman, walau sepatutnya begitu. Inilah beza kita dengan orang Islam terdahulu, pada zaman nabi.

Islam itu cara hidup, bukan teori atau cuma fakta sejarah yang perlu diketahui dan dihafal untuk lulus periksa, untuk berkahwin atau untuk dikatakan sebagai orang Islam.

Islam itu syumul. Dalam Islam patutnya ada iman dan ihsan. Bukanlah Muslim itu jadi taraf yang terendah antara Muslim, Mukmin dan Muhsin. Tak patut jadi begitu. Ini fikiran orang yang tak fikir panjang dan ambil mudah semua perkara. Asalkan dah Islam, tak ada iman dan ihsan pun tak apa. Masih selamat dunia akhirat. Kau tertipu.

Orang yang tak beriman, dia takkan takut dengan setiap maksiat yang dilakukannya. Satu sebab memang jahil. Satu lagi kes yang dah tahu, tapi buat-buat tak tahu, pejam sebelah mata, sebab yakin masih ada masa nak bertaubat. Tuhan itukan Maha Pengampun? Katanya.

Hati dia dah hitam. Keras macam batu.

Bila maksiat tak dapat datangkan rasa resah padanya, apatah lagi tak juga malu jika kenalannya nampak atau tau apa yang dia buat, taklah dikatakan maksiat itu dah jadi tak berdosa. Ada masalah dengan heartware dia [kalian tak salah baca, bukan hardware, memang heartware].

Heartware ni paling susah nak dijaga, sebab pengaruh jahat ada di sekeliling. Tak lupa yang dalam diri. Tapi heartwarelah yang paling penting untuk hidup kita terus 'sihat'. Kata Nabi Muhammad, jika rosak hati, rosaklah seluruh tubuh.

Filem terbaru Encik Bade, Syaitan dah pun saya tonton. Walaupun secara keseluruhannya, dari 5 saya cuma boleh beri 2, mungkin sebab saya tak pandai nak nilai seni yang disisipkan bersama, tapi melaluinya saya tetap dapat sesuatu.

[KOSMO! pun cuma beri 3. paper hari ini. boleh rujuk jika tak percaya]

Persoalan utama yang dijadikan ingatan kepada kita. Syaitan itu musuh yang nyata. Syaitan dah pun bersumpah dengan Allah, bukan dengan orang lain, yang *mereka tak akan berhenti untuk menyesatkan manusia, sehinggalah mereka diberhentikan nanti, pada akhir dunia.

*[saya selalu ada masalah dengan penggunaan kata 'mereka', sebab dari apa yang saya faham melalui pembelajaran Bahasa Melayu saya kali akhir dulu, ia cuma untuk manusia. tapi tak tahu nak gantikannya dengan perkataan apa]

Jadi, berhati-hatilah dengan syaitan.

Yang dalam diri pula apa? Iya, nafsu. Nafsu itu makhluk Tuhan. Manusia pula Khalifatullah. Jadi, antara banyak-banyak makhluk ciptaan Tuhan, manusia ialah ketuanya.

Takkanlah khalifatullah nak jadi hamba kepada makhluk lain itu pula? Nafsu itu memang selayaknya jadi hamba manusia. Itulah tempat yang paling benar supaya tak berlaku apa-apa kezaliman.

Nafsu memang tak kuat. Tapi ingat semula pada kejahatan luaran itu. Jika nafsu itu kelemahan terbesar manusia, maka syaitan akan menggunakannya untuk menyesatkannya.

Islam itu cara hidup. Jangan sesekali kita lupakan Islam yang kita kenal sebab pengaruh-pengaruh jahat berupa nikmat haram di sekeliling. Hidup kita mungkin pendek, jadi berhati-hatilah. Hidup kita juga mungkin panjang. Dalam dunia hari ini, secebis iman yang kita ada pada hari ini mungkin tak bertahan selama-lamanya, berjaga-jagalah.

No comments: