Saya baru pulang dari Palong 2, menghadiri kenduri kahwin sahabat pensyarah saya di tempat kerja sekarang. Sahabat ni pernah duduk serumah dengan saya waktu mula-mula kami ditempatkan di tempat kerja ini. Jadi, saya agak rapat dengan beliau dan 2 orang lagi pensyarah dari jabatan itu.
Pertama kali ke Palong. Dan pertama kali berpeluang konvoi dengan 8 kereta yang lain dari Seremban. Tapi bukan sayalah yang pandu.
Yang menariknya, konvoi ini dirancang oleh pelajar-pelajar sahabat saya ini, tanpa pengetahuan pensyarah mereka itu. Kami berkumpul di Ampangan sebelum bertolak ke Gemas melalui Kuala Pilah dan Bahau.
Dan yang menariknya, pelajar-pelajar ini sangat sporting. Mereka bersorak apabila pengantin berarak ke arah mereka (yang mahu menuju ke pelamin) yang berbaris di tepi jalan.
"Cik! Cik!" Berhenti seketika. "Eh, silap. Puan! Puan! Woot! Woot!"
Bila pengantin di pelamin dan tiba masa menepung tawar, pelajar-pelajar ini pergi semua. Ada yang acah-acah nak bersilat. Saya pun salam dengan pengantin. Tapi kebanyakan kami tak tepung tawar pun. Tapi dapat juga bunga telur. Memang meriah.
Selepas pengantin bangun dari kerusi pelamin ke meja santapan beradab, pelajar-pelajar ini (termasuk sahabat-sahabat pensyarah lain juga) menguasai pelamin. Tak puas-puas mereka bergambar dan bergelak ketawa. Separuh lagi kuasai konti, layan karaoke. Boleh tahan juga suara yang seorang tu.
Saya hairan, keluarga dan sanak saudara pengantin seolah tak wujud dan tak menguasai majlis. Tenggelam dalam kemeriahan dan keriuhan pelajar-pelajar inikah?
Ini kenduri kahwin pertama yang saya rasa kemeriahan dan keriuhan pelajar-pelajar yang sporting. Dan saya dapat rasa, walau sahabat saya tu segan-segan dengan kehadiran pelajar-pelajar beliau yang ramai, namun terselit rasa bangga dan terharu dengan kehadiran mereka yang jauh dari Port Dickson, Seremban, dan ada dari Kuala Lumpur.
Kata pengacara majlis, dari PD ke PD. Dari Port Dickson ke Palong Dua.
Alangkah bagusnya jika majlis saya juga dapat jadi semeriah itu. Perlu jadi pendidik yang ada pelajar dulu agaknya.
(Majlis? Cari calon dulu Mira!)
No comments:
Post a Comment