Thursday, October 19, 2006

salam lebaran

Assalamualaikum semua! Maaf untuk yang setia menunggu entri baru blog ni. Dah lama tak menulis. Bukan sibuk atau apa. Tapi sekarang fikirnya tak berapa kritikal :)

Dah di ambang Syawal. Di sini terasa meriah persediaan untuk menyambut. Hati ini apatah lagi. Sebab ada program menarik yang bakal berlangsung pada hari raya nanti. Terima kasih buat Pian, abang, dan adik-adik sebab sudi berkongsi gembira :p

Untuk pelajar universiti mungkin raya ini agak hambar. Sebab tak dapat bergembira sepenuhnya. Peperiksaan akhir selepas raya kan? Sekolah pun sama juga. Tahun ini dan tahun-tahun seterusnya. Mujur cuma tinggal sekali raya di UIA sana. Tahun depan. Rancangan lepas tu? Tak tahu lagi.

Saya dah melengkapkan syarat latihan industri sem ni. Dah habis pembentangan sistem, dah siap laporan akhir. Jadi sekarang buat apa lagi di pejabat? Habiskan, sampai 19 November ni, tarikh akhir latihan industri. Di samping siapkan laporan bulan terakhir.

Mungkin sehingga raya nanti, tak ada lagi yang akan dikemaskini di blog ni. Setakat ini, rasa semacam tak sabar nak raya dan nak mulakan semester baru, jumpa rakan-rakan UIA semua. Rindu kalian, tau! :)

Untuk semua pengunjung, salam lebaran saya ucapkan. Moga kalian semua bahagia dan ceria bersama mereka yang tersayang. Hati-hati di jalan raya dan tak payahlah main bahan-bahan letupan tu. Kalau pun dah mahir, takkan cedera, membazir duit saja. Bukankah membazir itu amalan syaitan? Banyak lagi cara untuk kita hiburkan diri.

Sini dulu. Salam sejahtera buat semua :)

Monday, October 09, 2006

pintu taubat

"Suami itu bukan saja bertanggungjawab memberi nafkah, tapi juga menjadi pembimbing kepada isteri dan keluarga untuk dapat rahmat Allah. Adakah dengan tahu solat saja sudah cukup untuk seorang suami jadi pembimbing yang baik?" soal Pak Haji.

Saya pun terdiam. Tertanya-tanya jawapan yang bakal dikeluarkan oleh Sarah. Setelah beberapa ketika,

"Yang penting, orang itu sanggup belajar."

Pak Haji pun terdiam, mengiyakan kata-kata anaknya Sarah. Mungkin juga malu dengan diri sendiri.

Jikalah setiap orang dinilai dengan masa lampaunya, maka Tuhan itu kejam. Dia tetapkan semuanya berdasarkan kisah silam, bukan usaha orang itu untuk mengubah nasibnya menjadi yang lebih baik. Tak adalah nanti pencuri yang ada hati nak jadi baik. Tak ada juga ustaz yang akan bertaubat selepas melakukan kesalahan. Sebab yang penting permulaannya.

Tidak, Tuhan bukan begitu. Dia sebut yang Dia takkan ubah nasib seseorang itu melainkan orang itu sendiri yang mengubahnya. Kita sendiri yang tentukan nasib kita. Nasib yang diukur dengan timbangan berat; kiri atau kanan bahu?

[Teringat kisah kanak-kanak yang sentiasa nak pastikan bahu kanannya lebih rendah daripada bahu kiri. Untuk memberatkan bahagian pahala katanya]

Kita yang terperangkap dengan kayu ukur manusia ini mungkin sukar nak terima orang yang pernah buat salah. Kita kata, mereka ni menjijikkan, penuh dengan dosa, dah tak ada harapan.

"Dah besar masih tak tahu solat? Habislah engkau!"

Siapa kita untuk menentukan nasib manusia yang lain? Sedangkan Tuhan itu masih menerima, kita pula pandai-pandai nak sisihkannya?

Jadi, mulalah ukur dengan kayu ukur Tuhan. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang bertakwa. Apa itu takwa? Takwa maksudnya buat setiap yang disuruh Tuhan dengan bersungguh-sungguh dan berhati-hati dengan setiap amalan supaya tak terbuat benda yang dilarang Tuhan.

Tak ada orang yang dah tak ada harapan untuk ke syurga Tuhan selagi dia belum mati. Pintu taubatNya sentiasa terbuka kepada semua. Syurga itu milik Tuhan, jadi, kepadaNyalah kita bergantung harap. Bukan kepada kata-kata manusia yang tak tahu apa-apa.

Bukan salah Fandi yang tak tahu solat. Juga bukan nak tuding jari pada ibu bapa Fandi yang leka dengan dunia hingga lupa pada agama yang utama. Jalannya masih ada. Sama-sama kita saling membimbing untuk bergerak ke jalan itu. Pasti kita akan selamat.