Saturday, December 26, 2009

avatar

Rasanya macam baru pertama kali tonton filem yang wataknya bukan manusia. Selain kartun. Dan animasi 3D. Tak sangka boleh seronok tonton Avatar.

Rancangan nak tonton filem ni tak lama. Sebab ada kawan yang mengajak. Jadi, tak sempat pun nak siasat dan tau sinopsisnya. Hanya sempat lihat watak 'alien' filem tu.

Watak alien biru telinga panjang. Dengan tajuk cerita macam kartun Avatar: The Last Airbender (font face pun sama). Memang langsung tak menarik perhatian saya. Kalau diadaptasi dari kartun Avatar pun, saya memang tak layan kartun tu. Tapi sebab saya ni suka berjalan, saya ikutkan saja ajakan beliau.



Hasilnya, cerita ni sangat memuaskan dan berbaloi ditonton. Apatah lagi agaknya jika dicuba versi 3D (tak berpengalaman lagi).

Avatar sebenarnya bermaksud wakil diri. Macam avatar (gambar) yang kita letak di YM mewakili kita yang sebenar.

Dalam cerita ni, avatarnya ialah satu makhluk campuran DNA manusia dengan makhkluk planet Pandora. Manusia dah jadi alien di Pandora. Manusia datang ke Pandora sebab nak kaut hasil planet yang boleh bawa untung besar.

Manusia yang datang ke situ terdiri daripada kumpulan saintis dan tentera. Kumpulan saintis ni bertanggungjawab dengan teknologi baru penghasilan tubuh seakan makhluk Na'vi dan mesin yang membolehkan otak manusia mengawal Avatar itu dari jauh.

Kumpulan tentera pula bertanggungjawab melatih mereka yang bakal mengendalikan Avatar ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan di tempat asing. Mereka mempergunakan Avatar yang boleh bernafas dalam atmosfera Pandora ini untuk berhubung dan memperoleh kepercayaan puak Na'vi.

Hero cerita, Jake Sully yang lumpuh kaki seolah mendapat kehidupan baru di Pandora. Dia, dengan Avatarnya jadi wakil manusia masuk ke dalam masyarakat orang asli Na'vi. Terlanjur, dia bercinta pula dengan Neytiri, anak perempuan ketua suku Na'vi.

Sebahagian manusia tenggelam dalam nafsu tamak menguasai mineral Pandora. Lupa pada kemanusiaan, mereka guna cara paksa untuk mengusir puak Na'vi dari tapak mineral tersebut setelah rundingan diplomatik diwakili Jake tak berjaya.

Jake bangun mewakili puak Na'vi dan mempengaruhi puak-puak lain Pandora supaya bersatu menentang kaumnya sendiri.. manusia.

Persoalan utama di sini ialah.. pendirian untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan dan bukannya perkauman.

Bila kita tahu ada antara bangsa atau keluarga kita yang salah dan menganiayai orang lain, kita perlu bantu mereka yang dizalimi, walaupun orang itu tak ada pertalian darah atau sebarang kaitan pun dengan kita.

Dan.. persoalan dalam penyesuaikan diri dengan persekitaran asing. Kita akan rasa berat hati, sesak dan terasing berada dalam situasi yang tak pernah dialami sebelum ni, kecuali jika kita pandang sekeliling dari mata mereka yang berada di dalamnya.

Tentera manusia di Pandora menganggap makhluk planet Pandora sebagai musuh dan semua yang ada di dalamnya membahayakan. Sampaikan kapten tentera cakap, mereka akan nak cari neraka sebagai R&R semasa di Pandora.

Tapi Jake dengan mudah menyesuaikan diri, belajar cara hidup dan bahasa Na'vi sebab dia rasa seronok dan nak lepaskan diri daripada kata-kata doktor tentang apa yang dia tak boleh buat.

Tahniah James Cameron, yang selepas 15 tahun, akhirnya berjaya merealisasikan ide filem ini, menggunakan teknologi kesan khas terkini.

Dan terima kasih kawan. Ajak tonton cerita ni ;)

Friday, December 11, 2009

jaga kata dan laku

Saya baru berpeluang sembang online dengan seorang munsyeed ni. Kumpulan nasyid beliau ni popular juga.

Tujuan utama, nak cari sumber paling mudah tanyakan soalan agama. Sebab tak ada lagi dalam senarai sahabat dalam YM itu yang paling sesuai untuk diajukan soalan berkenaan.

Saya maklum, beliau sibuk. Tapi beliau maklum akan bantu mana termampu. Saya anggap pun begitulah. Sebagai seorang ikon masyarakat dalam bidang agama.

Saya tanya soalan, beliau jawab tanpa kepastian. Tapi lepas tu, beliau quote fakta yang diambil entah dari mana (beliau tak beritahu sumbernya).

Entah beliau silap faham agaknya dengan soalan saya, saya tanya kembali soalan itu.

Beliau cakap beliau ada rasa macam nak marah. Siap tulis huruf besar poin soalan saya sebelum itu, mahu membuktikan yang saya sudah tukar soalan. Katanya, tadi saya tanya pasal soalan lain, yang ini lain pula.

Terus persepsi saya pada insan ni berubah.

Saya tanya memang sebab perlukan jawapan. Saya tanya pun dalam ayat yang baik dan mengajak pada perbincangan.

Saya terus memohon ampun atas gangguan dan hentikan perbualan.

Saya tahu beliau sibuk. Tapi apa yang saya lupa ialah, munsyeed ini juga manusia biasa. Ada tahap kesabaran atas tekanannya. Juga saya pun belum tahu bagaimana cara biasa beliau berbual dengan orang kebanyakan.

Cuma, apabila telah jadi ikon masyarakat, setiap kata dan perbuatan jadi nilaian orang. Apatah lagi ikon ini membawa imej agama Islam.

Jika sedang sibuk, apalah salahnya tutup YM itu. Atau sekurang-kurangnya, jika hanya mahu berbicara dengan orang tertentu, invisiblekan saja.

funfair @ sinfair?

Funfair atau taman keriangan patut jadi tempat kita meluangkan masa bersama teman-teman atau keluarga. Atau boleh jadi tempat untuk manjakan diri dengan hiburan sekali sekala.

Tapi tempat berkumpulnya segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak ini seolah-olah menghalalkan permainan berunsur judi.

Bukan satu gerai yang mengoperasikan permainan sebegitu, tapi banyak. Dan kebanyakannya. Taman keriangan dah jadi macam mini casino.

Macam mana sesuatu mainan tu boleh jadi judi? Bila kita mempertaruhkan sejumlah wang (judi = taruhan) ke atas sesuatu dengan harapan akan mendapat habuan hanya berdasarkan nasib.

Kau beli token yang harganya RM1 setiap satu. Kau letak di atas satu bahagian bulatan (macam papan bulatan Roda Impian). Kau pusing tuil yang disediakan atas bulatan tu dan berharap hujungnya akan berhenti atas bahagian yang kau letak token tadi. Kalau dapat, maka dapatlah habuannya.

Judi namanya.


Kau beli token lagi. Kau letak atas kotak warna merah, salah satu warna antara banyak lagi warna lagi seperti biru, kuning, hijau, putih dan merah. Penjaga gerai tu masukkan bola-bola berwarna dalam satu bekas yang membolehkan kau nampak pergerakan bola tu ke bawah. Kalau bola warna macam kotak yang kau letak token tadi jatuh dulu melalui satu turus bawahnya, kau akan dapat habuan.

Judi namanya.

Ada beberapa permainan yang saya tak kategorikan sebagai judi. Termasuklah permainan yang menyediakan hadiah, walau nombor atau huruf apa pun yang kita dapat. Cuma mungkinlah hadiah tu ada besar, ada kecil. (Boleh diperbincangkan)

Atau mainan dart. Bidik kotak yang bertanda, dan kita akan dapat hadiah berdasarkan bilangan tanda yang kita dapat.


Atau main baling gelang. Sasarkan gelang ke penyangkut yang ada poin.

Atau main menembak. Bidik ke arah tanda untuk barang yang kau nak.

Atau boling mini. Sasarkan bola kecil dari satu lubang ke mana-mana lubang bernombor dihujung. 6 bola yang dibaling akan menjumlahkan satu angka. Angka tersebut mewakili hadiah apa yang kau akan dapat.

Atau bingo. Yang memerlukan kecekapan mata mencari nombor yang disebut pengacara.


Semua yang melibatkan kemahiran dan memerlukan usaha untuk kita mendapat jenis hadiah itu bukan judi. Cuma, disebabkan ada kos mengeluarkan hadiah itu, kita bayar dengan token sebagai bayaran penyertaan.

Taman keriangan ini tak patut jadi tapak menyemai perkenalan dengan permainan berunsur judi. Terutamanya tempat ini menarik perhatian kanak-kanak dengan kemeriahan warna-warni lampunya. Apatah lagi ia beroperasi pada musim cuti sekolah.

Jadi, pada pendapat saya, mereka yang bertanggungjawab meluluskan perniagaan sesuatu taman keriangan ini meneliti jenis permainan yang bakal beroperasi.

Sebab tulah saya tak galakkan adik-adik main permainan yang di bahagian belakang tu. Banyak permainan yang meragukan (syubhah). Jika nak sertai, cuma permainan yang boleh naik. Tak kisahlah nak naik kuda, jet, UFO, cawan, eye atau buaian.

Tujuan saya beri adik-adik peluang cuba pun sebenarnya nak uji keberanian mereka. Sekurang-kurangnya boleh latih mereka jadi kurang takut dengan kelajuan dan ketinggian. Boleh hadapi cabaran yang lebih hebat pada masa depan.

Itulah juga tujuan saya ke taman keriangan. Masa kanak-kanak tak berpeluang. Dah bekerja dan berwang, barulah berpeluang uji diri cara ni.

Apa-apapun, jangan terlalu ralit (kata orang Kelantan ghalik) dengan hiburan yang beri gembira sementara ni. Sehingga tak sedar dah berapa banyak duit yang keluar. Membazir amalan syaitan. Boleh jadi haram jika melalaikan dari tanggungjawab.

Wednesday, December 02, 2009

jadi 'ibu tunggal'

Baru tiga hari jadi 'working mama', dah rasa kepenatannya.

Itu baru jaga 3 orang budak sekolah rendah yang dah tahu nak urus diri. Belum lagi kalau ada budak kecil yang terpaksa diteliti makan minum dan pakainya.

Raya haji minggu lepas saya pulang ke Kampung Bukit Tunggal bersama Fahmi yang diambil di stesen komuter Seremban.

Kebetulan cuti sekolah dah bermula. Aliah nak ikut saya pulang ke Port Dickson. Habiskan cuti seminggu di sini. Aliah bila nakkan sesuatu, memang dia akan tuntut sampai dapat. Kalau tak pandai pujuk untuk tangguh, masam je muka.

Bila Aliah yang darjah satu nak ikut, kakaknya, Ayuni yang darjah lima mesti kena ikut juga. Jika tak, siapa yang akan jaga dia masa saya kerja? Adik-adik saya ni memang dah biasa di rumah sendirian masa ibu bapa saya pergi kerja.

Tapi sebab ini tempat yang mereka belum biasa, perlu juga ada seseorang yang boleh diharap kawal itu ini.

Ayuni sayangkan kelas tuisyennya sepanjang cuti sekolah, 3 hari seminggu. Hai, makin mencabar agaknya silibus pelajar sekarang. Sekolah rendah pun ada tuisyen. Seingatnya, sepanjang belajar, sekali pun saya tak pernah sertai mana-mana tuisyen. Kelas tambahan adalah.

Nak pujuk Ayuni, bawalah seorang lagi sepupu rapatnya, Ija. Maka, mereka bertigalah yang berada di rumah saya sepanjang minggu ni.

(Masa balik ke sini Ahad lepas, kereta penuh. Tambah lagi 2 orang adik lelaki bawah saya yang mahu dihantar ke komuter Seremban. Cadangnya nak hantar terus Fahmi ke kolej dia di Banting, tapi sebab jem tak ingat lepas Melaka, saya keluar di Seremban saja)

Dalam kepala penuh dengan perancangan melayan budak-budak ni. Dengan fikir nak makan apa lagi. Bukanlah saya masak setiap masa (tapi ada juga masak!), tapi nak beli lauk pun korban banyak masa. Tu baru duduk dalam tempat kerja~

Isnin malam lepas, saya bawa budak-budak ke funfair dekat roundabout. Hujan pun redah je. Diorang layan hampir semua mainan. Kalau bukan sebab harga sekali main yang agak mahal, saya biarkan aja diorang habiskan satu funfair.

Mula-mula kami berempat naik mainan 'cawan'. Lepas tu Eye on PD (ni saya reka sendiri). Aliah dah tak mau main, Ayuni dan Ija saja yang naik UFO pula. Kemudian diorang naik kapal.

Tak cukup dengan tu, diorang tangkap itik. Kemudian, 'boling'. Tak puas sekali, Ija siap tawarkan duitnya untuk beli token. Haih, bahaya budak-budak ni bawa ke funfair. Semua nak cuba.

Saya naik buaian saja. Itupun 2 kali saja. Sila jangan tafsirkan maksud buaian secara terus. Ia adalah sejenis permainan paling mencabar dalam funfair tu. Tak ramai yang sanggup naik.

Itupun sekali orang belanja. Cuba kali kedua (pada hari yang berlainan) pun sebab tak puas hati dengan yang pertama. Rasa nak jerit-jerit lagi. Tapi tak sangka kali kedua jadi lebih santai dan relaks. Memang tak rasa apa.

(Memang kena buat misi seterusnya ke Genting. Ada yang nak ajak saya flying fox?)

Kalau ikutkan, Ayuni dan Ija nak cuba buaian tu. Tapi saya tak benarkan. Agak bahaya. Tambah dengan hujan waktu tu. Bimbang licin.

"Ish, hujanlah. Demam karang?"

Ayuni, "Ada atap kan atas tu?"

"Ada atap, tapi bila dah terbang nanti, kena jugak."

Aliah, "Ayuni, nanti kalau demam jangan bagitau kakak."


Sarapan pagi, jika sempat nak sediakan sarapan, tak sempat pula nak makan sendiri. Banyak kerja kena siapkan malam sebelumnya jika tak mau kelam kabut. Atau, jangan haraplah sempat kalau bangun paling awal jam 6.30 pagi.

Jika tak sempat sediakan sarapan, kena belikan pula. Makan masa di pejabat.

Macam mana pula dengan ibu bapa yang perlu hantar anak ke sekolah atau nursery?

Tengahari pun tak sempat rasanya nak berkejar beli lauk, makan sekali dan solat. Memang rushing. Macam mana lah dengan ibu bapa yang kondisinya sama, tambah perlu hantar anak ke sekolah petang dan tempat kerja bukan setakat 5 minit perjalanan?

Petang selepas balik kerja, kalau tak terlepek kepenatan, kena juga layan budak-budak main. Kalau diorang main di luar rumah, takkan nak biarkan saja. Ni pun mujur duduk di kuarters, tak perlu risau sangat dengan bahaya luar.

Wah, memang penat jadi 'ibu tunggal' ni. Memang salute pada ibu-ibu tunggal yang bekerja dengan punch card. Kepada para suami, bantulah isteri anda uruskan hal rumah tangga dan anak-anak.

Kalau duduk sendiri, tak kisah makan atau tak. Ni dah ada orang lain, saya makan pun ikut masanya :p

Tiga hari lagi...

Tuesday, November 10, 2009

derma darah kedua @ poli

Alhamdulillah, selamat derma darah buat kesekian kalinya. Tulis pasal ni lagi bukan bertujuan nak riak, tapi nak beritahu orang ramai yang masih 'Saya takut jarum' untuk jadikan saya sebagai contoh. Nak takut apa? Semua tu mainan minda saja. Bukan sakit pun.

Abang ngah, ayat di atas ditujukan kepada anda :p Abang long, harap tak lepaskan peluang Khamis ni ;)

Sebab dah banyak kali tulis pengalaman derma darah (rasanya setiap kali mesti ada catatan pasal ni), kali ni macam tak banyak perkara baru yang boleh dikongsi tentang pendermaan itu sendiri.

Kalau yang membaca ni pernah baca catatan-catatan lepas, saya ada sebut yang urat tangan saya ni halus dan berada di sebelah tepi. Darah mengalir pelan. Jika tak diperhati betul-betul, darah boleh berhenti mengalir, membeku dan menyebabkan saluran getah ke beg darah tu tersumbat.

Bila tu berlaku, kemungkinan besar, darah yang dah ada dalam beg tu tak dapat digunakan untuk yang memerlukan. Rugilah.

Kali ni, perkara tu hampir berlaku lagi. Mujur ada pembantu perubatan, Rosni namanya, dari Pusat Perkhidmatan Darah, Jabatan Patologi, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban yang pakar mengendalikan kes sebegini.

Saya jadi penderma yang paling lama baring di katil, kata Suhairi dari Unit Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, UPPF. Dalam 45 minit juga saya mengepam, sampai kebas-kebas tangan. Kebanyakan daripada masa tu, Kak Rosni ada di sebelah, waspada jika aliran darah terberhenti. Bila berlaku, beliau pusing-pusingkan jarum yang tembusi kulit tu untuk cari balik urat bernadi.

Ngilunya tak usah nak cakap. Bukan sekejap saya terpaksa tahan. Tapi semangat tak pernah lemah.

"Bengkak tak ni nanti kak?" tanya saya berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas apabila diperlakukan begitu.

"Taklah."

Kak Afizah dari UPPF juga yang berbaring di sebelah pun siap pada masa yang sama dengan saya yang mula derma dahulu.

Katanya mungkin sebab pengaruh kerja seharian di unit itu yang memerlukan beliau mengerah kudrat fizikal berbanding kerja sebelum ini. Sebab pengalaman derma darah lalu di tempat kerja yang lama, tempohnya tak secepat ni.

"Saya kena tukar ke Senggara juga ni, Kak Fizah." Saya berseloroh.

Ada seorang pembantu perubatan lelaki siap tanya jika saya nak teruskan. Saya cakap, teruskan saja. Biar penuh.

"Dah berapa banyak kali dah?" Tanya Mokhlis. Beliau ni jurukamera tetap saya dari Unit Pembangunan Instruksional dan Multimedia, UPIM :p

Saya unjukkan buku rekod.

"Wah! Dah banyak ni! Kenapa nak derma lagi?"

"Hobi."


peace!
Peace! Terima kasih Mok.

Hobi sejak tahun 2002. Sama macam menulis.

Saya masih dalam kiraan semester walau dah tamat belajar. Sebab saya bekerja di institusi pendidikan. Perbezaan paling ketara pengalaman derma darah saya kali ni dengan pada semester lepas iaitu pada bulan 3 lalu ialah dari segi lingkungan kenalan dan persahabatan.

8 bulan yang lalu, saya menderma seorang diri. Tanpa kenalan terutama yang berkongsi minat yang sama.

Tapi tadi, walau saya ke bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP) seorang diri, tapi saya jumpa ramai kenalan sejabatan yang disenangi di sana. Jika dulu gambar saya tak termasuk dalam gambar aktiviti derma darah, kali ni saya ada jurukamera sendiri pun :p

Dan yang paling seronok apabila dapat mempengaruhi seorang yang takut jarum untuk turut serta bersama, menderma buat kali pertama. Tak perlulah saya sebut nama beliau di sini. Segan pula beliau nanti.

Meriah, memang meriah. Hidup saya sangat meriah sekarang. Saya gembira.

Alhamdulillah.

Wednesday, November 04, 2009

kpm pilih akrab dengan tuhan

Alhamdulillah, segala puji untuk Tuhan.

Buku-Buku PTS yang Dipilih untuk Pembelian 2009 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia



1. KepadaMu Aku Berserah

2. Aku Mahu Saiz S

3. Misi Piramid

4. Belajar Teknik Belajar

5. Seindah Dafodil

6. Magis Piramid Tujuh: Kota Sigaraya

7. Master Your Mind

8. Menuju Puncak Kecemerlangan

9. Kembara Hafiz : Rahsia Terbongkar

10. Pendekar Merah Budiman

11. Sang Pemimpi

12. Adam Kecil: Terlebih Makan

13. Akademi Gemilang: Jejak Kuasa Alam

14. Akrab Dengan Tuhan

15. 31 Kisah Teladan: Insaf Kerana Katak


Sumber: UNIKA PTS

Terima kasih Tuan YB untuk pemberitahuan!

Tuesday, October 27, 2009

peperiksaan undang-undang kerajaan

Alhamdulillah, syukur, saya dan sahabat² seangkatan yang bertiga; Khairul, Kak Fizah dan Liza, dah selamat menduduki Peperiksaan Undang-Undang Kerajaan di Klana Resort, Seremban pagi tadi.

Dah lama tak menjawab soalan esei. Ada setahun lebih juga jika dikira dari tarikh akhir saya meninggalkan Taman Ilmu dan Budi. Jadi kekok dan serasa tak percaya akan menduduki peperiksaan lagi.

Peperiksaan Undang-Undang Kerajaan ialah salah satu syarat bagi kami gred F ni (bukan fail) untuk disahkan jawatan. Saya tak pasti pula gred apa lagi yang perlu ambil peperiksaan ni, tapi tadi kami nampak Puan Maimunah, CC lama kami yang dah dinaikkan pangkat ambil peperiksaan ini juga.

Bila kena menjawab 10 daripada 14 soalan dalam masa 3 jam, dalam keadaan dah lama tak menulis, apatah lagi berterusan, tulisan memang tak dapat dikawal lagi kemachoannya. Dalam hati asyik terdetik, "Kenapalah mereka tak minta kami taip je jawapan ni~?"

Soalannya tak susah. Sebab open book. Peperiksaan ni lebih kepada menguji keprihatinan kami terhadap kandungan buku setebal 983 muka surat ni.

Settle!

Maknanya, jika pun tak baca semua, kami perlu fasih di mana kedudukan jawapan yang kami perlu cari. Teknik biasa untuk peperiksaan ini: Tagging.

Siapa yang merangkak-rangkak nak cari di mana jawapan bagi satu² soalan, di situlah dia telah membuang masa yang sepatutnya banyak perlu diperuntuk untuk menulis.

Ya, peperiksaan ni jadi ujian latihan tangan juga. Memang lenguh tak ingat.

Di samping yang sebenarnya adalah untuk kami ni buka juga buku Perintah Am dan ambil tahu jugalah, tak banyak, sikit tentang lumrah hidup sebagai kakitangan kerajaan ni.

Bila hilang debarnya? Kata Lan, 3 bulan lagi baru dapat keputusannya.

Bilalah saya boleh nak sah jawatan ni~

Monday, October 26, 2009

jalan dah tak terputus oleh bukit

Alhamdulillah, jalan yang saya perlu lalu untuk pulang ke Kuantan dah dinaiktaraf. Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah dah ada alternatif jalan baru yang lurus.

Saya belum berpeluang lalu lagi. Tapi Jalan Bukit Putus tu memang pernah lalu. Semasa pulang ke Kuantan sempena raya lepas. Seorang diri pula tu. Alhamdulillah, tak ada kejadian buruk berlaku.

Bila fikir semula, rasa macam tak percaya hanya selepas sebulan dapat kereta, dah berani (terpaksa memberanikan diri sebab sengaja tak cari tiket bas) pandu selama 5 jam tanpa henti.


View Larger Map
Horror!


Rujuk blog Hazwan untuk komentar selanjutnya dari beliau.

Sunday, October 25, 2009

kembara salasilah

Sabtu, 24 Oktober 2009. Saya berpeluang ikut keluarga Kak Ju hantar pengantin ke Bandar Baru Lukut. Pengantin tu ialah anak kakak Cik Emi, suami Kak Ju. Kira anak saudara Kak Ju lah.

Oh, ya. Kak Ju tu pembantu peribadi (PA) Pengarah tempat saya kerja. Boleh kira orang paling pentinglah :)

Ramai orang di rumah Kak Ju. Semua adik-beradik Cik Emi. Wak Baharom, abang Cik Emi, ketua kampung Bukit Tunggal pun ada. Bukit Tunggal tu sebuah kampung di daerah Segamat, kampung mak saya.

Maknanya, yang ada di rumah Kak Ju itu sekampung dengan mak. Cik Emi pun sebaya dengan mak. Malah sekelas lagi masa di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Jika nak cerita kaitan antara kami, berbelit juga. Saya pun tak fasih sangat. Tapi seingatnya, mak cakap:

- Embah Sukarman, adik kepada Embah Tatar
- Embah Tatar tu ayah Cik Emi
- Embah Piah, isteri Embah Sukarman ialah kakak arwah Embah Ipah, isteri Embah Ran
- Embah Ran tu pula adik arwah embah saya..


Saya dah cakap, memang berbelit. Tapi itulah hubungannya.

Tapi bila orang tanya, saya cuma cakap suami Kak Ju tu kawan sekelas mak di kampung dulu.

Kak Lin, biras Kak Ju, Kak Bakyah, adik ipar Kak Ju, dan Kak Ju :) (Ambil gambar curi)

Alhamdulillah, terisi juga hujung minggu saya. Terima kasih Kak Ju!

Sampai sana, tak sangka pula diberi peluang yang saya ambil sebagai penghormatan untuk mengangkat dulang hantaran. Bila dah angkat, saya jadi salah seorang dari keluarga pengantin perempuan. Walaupun hubungannya jauh sangat.

Seingatnya, inilah kali pertama. Seperti samar-samar pernah atau tak angkat dulang hantaran sebelum ni.

Pengantinnya pun saya tak berapa cam di kampung. Yalah, saya balik kampung pun jarang-jarang. Balik pun bukan jumpa semua orang.

Dan sebenarnya, masih ada masalah nak membahasakan diri mereka. Wak? Bibik? Acik? Kakak? Kata Kak Ju, panggil akak-akak je. Sebab jauh sangat hubungannya.

Bila dengar anak Kak Ju, Farah panggil bibik, bibik, terasa nak panggil juga. Dah di Lukut pun rasa macam di Bukit Tunggal. Makan dengan mereka yang cakap Jawa.

Pengantin dengan ibu bapa. Baru kenal Cik Jariah, kakak Cik Emi.

Tapi bila dah jumpa waris-waris begini, terasa nak berkenalan dengan semua. Manatahu, terjumpa lagi di mana-mana, tak kenal pula. Biasalah, dah generasi ke berapa kampung pun.

Paman Jit, Mira masih nak join AJK salasilah ya? :D

Wednesday, October 21, 2009

guna kad kredit

Semalam baru pertama kali gunakan kad kredit Maybank untuk beli benda mahal. Benda mahal tu tak boleh cakap dulu apa. Sebab nak buat kejutan pada salah seorang yang mungkin membaca ni :D

Yang membaca ni pun ada yang dah tahu. Syhhhhh!

(Tak adalah mahal sangat. Had kad tu pun RM4k je)

Kepada sesiapa yang pernah dengar kenyataan saya dulu yang seboleh-boleh tak mau guna kad kredit, saya mengaku, dah macam best pula. Tak perlu tunggu duit cukup untuk dapatkan barang-luar-kemampuan-tunai-dalam-tangan yang perlu.

Tambah lagi dapat poin. Poin tu termasuklah dari penggunaan kad debit Maybank juga. Saya memang dah lama guna kad debit. Barang yang boleh dituntut dengan poin tu pula best-best.

Dalam tak sedar, poin saya dah 800 lebih.

Walaupun pembelian guna kad kredit tu taklah susah mana (sebab semua diuruskan oleh tuan kedai), lama juga nak tunggu dia berurusan dengan pihak bank melalui telefon.

Tuan kedai siap fotostat kad pengenalan dan kad kredit tu.

"Orang bank pun bergayut", kata salah seorang pekerja kedai yang lagaknya macam Saiful Apek. Memang saya gelak habis tengok gelagat dia. Sebijik!

"Eh, saya dengan Apek tu satu kampung tu. Dulu kecik-kecik main guli sama-sama." Katanya bila saya beritahu tentang persamaan mereka.

Ada seorang budak perempuan, pekerja lain kedai tu tengok saya, dia pun nak tergelak sekali.

"Kenapa gelak kak? Saya tak buat apa-apa pun. Nak autograf ke?"

Bayangkan je Saiful Apek cakap. Macam tu la gaya budak ni cakap. Saya gelak memang tak boleh berhenti. Tengok Apek pun saya tak gelak macam tu.

"Kak nak simpan dalam beg atau biar dalam kotak?"

"Letak jelah dalam beg terus"

"Ok, siap"
Dia hulurkan kotak pada saya. Saya dah nak ambil.

"Beg ni saya simpan ye?" Bertuah betul. Dah disandangnya beg tu. Ingat nak beri dua-dua, beg dan kotak sekali.

Berbalik pada cerita kad kredit tadi. Lepas tuan kedai dengan pihak bank berurusan, tuan kedai serahkan pula telefon pada saya.

"Untuk pengesahan, boleh saya dapatkan no telefon cik?"
"No kad pengenalan?"
"Tarikh lahir?"
"Nama ibu?"


Kononnya sebagai langkah-langkah keselamatan, betul tak saya sebagai pemegang kad yang nak buat pembelian.

Kalau setakat soalan-soalan biasa macam tu, bukan susah orang lain nak tau.

Cuma nak kongsi pengalaman pertama guna kad kredit beli barang. Dan jumpa 'adik' Saiful Apek.

Monday, October 12, 2009

sungai congkak 9-11 oktober

Bila dah lepas daripada komitmen ikatan dengan siapa-siapa, memang lain rasa merdekanya. Terasa sangat bebas berkawan, sangat bebas nak ke mana-mana tanpa perlu berhadapan dengan banyak soalan.

Dan saya memang puas.

Cita-citanya, nak buat semua perkara (yang boleh diterima akal saja) yang belum pernah buat sebelum ni.

Setakat sekarang tak ada lagi. Tapi semalam baru pulang dari program perkhemahan di Sungai Congkak, Hulu Langat.

sungai?


Dejavu. Macam pernah datang, tapi langsung tak dapat recall. Tanya Dalela kot kami pernah pergi dengan geng Haleemah di UIA dulu, dia tak jawab pula.

Khemah saja, tak ada yang menghairankan. Tapi aktiviti ni adalah yang pertama kali lepas.. kalau tak silap.. eh, bila kali terakhir saya berkhemah ek? Boleh tak ingat pula.

Ramai tak percaya yang saya suka kembara alam. Apatah lagi dengan semangat nak buat aktiviti rempuh halangan. Ha, jangan pandang saya sebelah mata ;)

Saya fizikalnya memang lembut. Tapi stamina dan semangat bercabaran tinggi (Cop! Kecuali pertandingan uji masa atau kepantasan. Saya ni jenis tak suka bersaing dan berlumba). Apatah lagi bila dah jumpa geng di sini.

(Haiya, tambah lagi 1 sebab kenapa saya tak boleh berpindah dari sini. Selain sebab aerobik yang saya pernah cakap dulu)

Namun, oleh kerana untuk program ke Sungai Congkak minggu lepas adalah program wajib pelajar semester 1 seramai 80 orang dan saya cuma 'pegawai jemputan', maka aktiviti yang ada taklah mencabar sangat dan tak disediakan untuk kami.

Sekurang-kurangnya saya dah dapat keluar sebentar dari kopompong politeknik. Dan dapat lari dari kesibukan Bagan Pinang terima tetamu-tetamu besar.

Untuk kali pertama dalam beberapa lama, saya telah berjungle tracking selama lebih kurang 3 jam (satu jam setengah pergi, satu jam setengah balik). Dengan henti-hentilah. Tapi berhenti pun tak lama. Setakat lepas lelah dan rehatkan kaki dalam air.

rentas rimbun


Dahla tak bawa air. Pergi dengan sandle pula tu. Jalan jauh tanpa rancang.

(Janganlah kau putus wahai sandle. Karang terpaksa ke ofis pakai kasut tumit yang melecehkan. Oh, saya memang tak pandai feminin-feminin)

Setengah jam berjalan atas jalan tar, setengah jam denai hutan, setengah jam lagi dalam sungai. Buat refleksologi dengan batu-batu dalam tu. Huh!

Kononnya nak cari air terjun. Lepas dah sejam setengah jalan tak jumpa-jumpa, kami balik saja. Tapak kaki dah tak dapat terima lebih banyak refleksologi.

me!


Cuaca pun tak mengizinkan. Kejap-kejap mendung. Abang long risau hujan, air boleh tiba-tiba naik dan tambah deras.

Tak apalah. Pengalaman pertama ni jadi latihan. Baru nak mula. Lepas ni insyaallah, dah kenal pensyarah-pensyarah outdoor, akan sertai lagi. Terima kasih kepada Azizul, Kak Nora, Azi dan Hisham atas penerimaan yang best terhadap 'ahli' baru ni.

azi+me


Tak sabar untuk cabaran seterusnya. Tapi perlu bersiap dengan barang-barang keperluan dulu. Baru nak belajar hidup dalam hutan, sleeping beg pun tak ada. Kasut? Kesianlah kalau kasut aerobik jadi mangsa.

Gambar? Tunggu abang long download dari kamera Sony Ericcson 5 MP touch screennya. (Nada jeles)

Wednesday, September 30, 2009

angkat-angkat

Saya baru terbuka mata pada hubungan adik-abang angkat melalui satu sampel.

(Minta maaf, mata saya ni jarang terbuka luas. Sebab jarang nak bersangka-sangka pada orang)

Patutlah kawan-kawan saya ada yang tak setuju dengan konsep abang-adik angkat ni. Ada juga yang tak setuju jika saya ambil abang angkat yang telah ada teman wanita/tunang/isteri. Rupa-rupanya stigma angkat-angkat telah disalah erti dan disalah guna.

Minta maaf teman, jika saya ceritakan tentang perhubungan angkat kalian. Tapi saya rasa patut diceritakan di sini, sebab ia mungkin mewakili banyak lagi kesilapan dalam perhubungan yang sama.

Saya juga ada abang angkat.

Kenapa saya ambil abang angkat?

Saya ke tempat kerja ini tanpa kenal sesiapa. Saya datang ke tempat orang bersendiri. Bila ada mereka yang anggap saya sebagai keluarga, saya akan anggap pengawasan mereka pada saya lebih cermat daripada seorang kawan biasa. Lantas saya boleh rasa lebih selamat.

Saya perlu pada seseorang yang boleh dianggap sebagai keluarga, untuk saya rasa sense of belonging pada tempat asing ini. Sekurang-kurangnya, tak adalah saya asyik fikir untuk pulang ke Kuantan saja.

Saya perlukan seorang sahabat lelaki yang dapat tolong saya buat kerja-kerja yang perempuan tak dapat buat. Contohnya berkenaan kereta yang lelaki lebih ramai yang fasih. Jika umum telah mengetahui yang dia ialah abang angkat saya, maka tak adalah mereka berkata-kata jika dibandingkan jika kami hanya bersahabat.

Tentulah permintaan saya dilayan seperti permintaan seorang adik yang seorang abang akan kata, "Jika bukan aku, siapa lagi yang nak tolong dia".

Dan saya perlu pada keluarga angkat untuk jadi tempat saya bercerita. Kadang-kadang, orang yang menduduki tempat itu (institusi/jabatan yang sama) lebih faham apa yang kita ceritakan daripada yang tidak.

Saya bukan mahu ambil kesempatan terhadap 'kemudahan' yang ada. Malah ia semua berlaku secara tidak sengaja dan bukan dirancang sejak awal, cuma selepas.. 8 bulan?

Takkanlah saya bekerja di sini semata-mata nak cari abang angkat...

TAPI...

Batas hubungan adik-abang angkat SAMA DENGAN batas hubungan perempuan-lelaki bukan muhrim.

Jadi, tak semestinya dia dah jadi abang angkat kita, kita boleh buat dia macam abang sendiri.

Ajaran mana pula yang kata bila dah jadi abang angkat, kita kena salam cium tangan sebagai tanda hormat macam yang kita buat pada keluarga kita yang lebih berusia?

Apatah lagi jika bertepuk-tampar dan bersentuh-sentuhan walau kita dakwa tak ada perasaan lain pun pada abang angkat tu.

Saya sangat terkejut dan sedih apabila melihat itu yang terjadi antara kamu dengan adik angkat kamu yang bertudung labuh, bersarung lengan dan berstokin. Adakah dia pun tak mengerti? Saya jadi sangat keliru.

Ia belum lagi masuk bab perasaan. Ia cuma baru berhenti setakat hukum agama. Bab perasaan, kalian pandai-pandailah sendiri.

Jika memang anggap dia sebagai abang, maka tak sepatutnya muncul perasaan selain itu. Kes perempuan berkahwin dengan abang angkat sendiri dah banyak terjadi.

Saya tak minta semua orang ikut cara saya mendapatkan rasa sense of belonging di tempat asing. Semua orang ada cara sendiri.

Dan saya tak cakap cara saya ini ialah yang paling tepat. Maka, jangan pula dikeji dan dikata yang bukan-bukan seperti saya buat ajaran sesat.

Saya menulis ini hanya mahu memperbetulkan stigma perhubungan angkat-angkat antara yang bukan muhrim.

Walau apa saja panggilannya pada sesuatu perhubungan rapat antara yang bukan muhrim, asasnya tetap sama. Tak boleh bersentuh kulit, tak boleh buka aurat.

Wallahu'alam.

Tuesday, September 29, 2009

hari lahir ke 25

Banyak peristiwa besar yang berlaku sepanjang saya tak menulis. Mula dari bulan puasa, raya sehinggalah hari ulangtahun kelahiran saya. Saya dah kata, jika tak datang semangat tu, saya memang tak akan menulis. Biarlah sebesar mana peristiwa yang berlaku.

Tapi sekarang, sempena ulangtahun kelahiran saya yang ke 25, 28 September 2009 lalu, saya cuma nak senaraikan siapa yang masih ingat ucap selamat. Untuk hargai ingatan mereka terhadap saya.

Ini yang hantar mesej di telefon saja. Yang dalam Yahoo Messenger (YM) dan Facebook (FB) dah tak terkira. Di FB boleh rujuk wall.

(Baca: Kalau nak tersenarai, lain kali wish di SMS)


Terima kasih semua.

Tahun ni ulangtahun saya tak diraikan. Cuma saya tempah kek cawan daripada sahabat seunit, Shakinah untuk sahabat-sahabat Unit ICT. Dan terima hadiah daripada pasangan Kak Suzie + Fadhlan, juga sahabat Unit ICT.

Tahun lepas diraikan bersama keluarga di rumah. Juga bersama rakan sekerja juga sahabat-sahabat Montoque. Pizza kot. Di Megamall. Dalam pada bajet jaga habis. Mereka memang sangat best.

Tahun sebelum tu, saya masih di UIA. Juga diraikan, oleh abang dan teman-teman kami di Cafe Edu.

Tahun sebelumnya saya dah tak berapa nak ingat. Tapi seingatnya memang dirai setiap tahun.

Tahun ni.. Mungkin sebab saya berada dalam kelompok orang bekerja yang kebanyakannya telah berkeluarga, maka perhatian terhadap kami yang bujang ni tak berapa menggalakkan. Apatah lagi saya sebagai pendatang baru di sini.

(Manalah mereka ada masa nak sambut hari lahir orang lain. Dah berkeluarga, fikir keluarga sajalah)

Mungkin perlu tambah teman dan kuatkan pengaruh. Hmm..

Wednesday, September 09, 2009

pelihara amanah III

Kerja kerajaan ni sangat susah untuk lari dari makan harta bukan milik sendiri.

Kerja swasta pun boleh berlaku. Tapi kurang. Sebab sumber tak sebanyak kerja kerajaan. Dan jika nak dapatkan keizinan ambil harta syarikat pun tak susah. Sebab bos empunya harta tu ada depan mata.

Saya pernah sebut tentang penggunaan internet di pejabat untuk urusan peribadi. Secara peribadi, saya akui, memang susah untuk mengelak daripada melakukannya.

Perkara berfizikal pertama yang saya diuji ialah dengan bateri A3 pejabat. Pada waktu tu, saya memang memerlukan bateri A3 untuk remote pemain DVD di rumah.

Kebetulan, di pejabat, memang ada lebihan bateri A3. Berkotak-kotak. Seolah-olah dah tak terusik pun. Saya telan liur. Ambil satu memang tak luak. Tapi tu bukan milik saya. Yang dihitung bukan kuantiti, tapi hati.

Akhirnya saya beli sendiri bateri A3 di kedai.

Kemudian, ada pula keperluan CD-R/DVD-R untuk burn video-video aerobik yang kami bimbing sebelum ini. Dan memang ada banyak stok CD-R/DVD-R dalam almari tu.

Cuma, bolehkah? Atas urusan kerjakah?

Setelah berkira-kira sendiri, saya fikir, sesi senam itu melibatkan pelajar-pelajar poli juga. Jadi, adalah kaitannya dengan urusan kerja. Harapnya perkiraan saya tak salah.

Penggunaan mesin pencetak (printer) pun begitu juga. Saya tak ada printer sendiri. Tapi saya tahankan diri daripada menggunakan laser printer berwarna di pejabat tu untuk kegunaan peribadi.

Bimbang. Bimbang tak dapat bayar balik harta bukan milik sendiri yang telah digunakan. Jika mau minta penghalalan pun, daripada siapa?

Monday, August 24, 2009

paula abdul "get up and dance". akhirnya!

Akhirnya.. setelah lama menanti.. saya berjaya mendapatkan semula video aerobik Paula Abdul "Get Up and Dance (1995)" yang pernah Kelab Aerobik MRSM Kuantan 00/01 jadikan panduan setiap kali kelas.


Bila tonton video tu buat pertama kali selepas 8 tahun, saya kagum bagaimana kami semua boleh fasih dan hadam setiap step tarian yang cantik-cantik tu. Sebab bila newbie tonton buat kali pertama, memang pening juga. Agak mencabar.

Namun, saya yakin, sebab ilmu tu dah ada dalam kepala, bila dah mula gerak semula nanti, semuanya akan jadi mudah. Sekarang, saya cuma perlu panggil semula memori itu dan saya yakin, saya akan terus boleh sambung saja kemahiran yang ada, tanpa perlu ulang semula dari 1.

Terima kasih Zul. Sungguh, video ni sangat usang. Terpaksa guna torrent mencarinya, dan makan masa berminggu-minggu untuk download!

But it's worth it ;)

Saturday, August 22, 2009

perkembangan aerocppd

Aktiviti aerobik diberhentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan pada bulan Ramadan.

Buat sementara itu, kami masih aktif dalam proses merancang strategi pendekatan yang lebih baik untuk diaplikasi selepas bulan puasa ini.

Antaranya, penghasilan blog untuk Kelab Aerobik Politeknik Port Dickson @ AerocPPD.

http://aerocppd.blogspot.com/

Minta sebarang komentar membina untuk menjadikan blog ini lebih menarik.

Wednesday, August 19, 2009

mc @ program bersama angkasawan malaysia

Alhamdulillah, dah selesai tanggungjawab mencabar untuk Mathscomp kali ini. Jadi pengerusi majlis untuk program Bersama Angkasawan Malaysia tadi agak menyeronokkan walaupun sebelum mula majlis, debaran itu tetap kuat.

mc tak terlatih

MC tak terlatih. Saya suka gambar ni


Kenapa ia jadi menyeronokkan? Sebab program itu sendiri sudah menyeronokkan. Bertemu dengan idola masyarakat Malaysia, siapa yang tak teruja? Maka, sambutan majlis sangat hebat.

Hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar memang ramai. Tapi mereka tak kisah untuk berdiri di belakang dewan, asal dapat bersua dengan insan yang telah mengharumkan nama Malaysia ini di depan mata.

Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor ini memang mengagumkan. Penampilannya bersahaja, seperti tidak tergantung pada gelaran datuk. Senyum yang tak pernah lekang dari wajah membuatkan beliau tampak mesra sentiasa.

Dari segi wajah, ketinggian dan perwatakan, beliau memang sesuai jadi Prince Charming kisah dongengan puteri barat. Ini komentar sampingan, tak masuk dalam motif cerita kali ini.



Price charming Malaysia


Keterujaan hadirin menyambut hangat kedatangan angkasawan pertama Malaysia ini juga membuatkan kata-kata saya, "..program kemuncak Karnival Mathscomp 2009 anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer Politeknik Port Dickson." disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Saya tak percaya yang saya boleh membuatkan mereka beri tepukan :)

Tu belum bila saya panggil Datuk Dr Sheikh Muzaphar beri ceramah. Pelajar politeknik ni memang happening. Cikgunya pun sama naik.

Tambah menyeronokkan apabila Datuk Dr Sheikh Muzaphar beri ceramah yang sangat menarik. Dengan persembahan video kenangan harian semasa di ISS sehinggalah dalam setiap cerita yang penuh berinformasi.

Saya jadi 'kisah apa aku duduk di depan?'. Sama gelak dengan hadirin bila Datuk Dr Sheikh Muzaphar keluarkan cerita-cerita yang melucukan.

Sesi soal jawab dibuka sendiri oleh Datuk Dr Sheikh Muzaphar. Dah kurang tugas pengerusi majlis di situ. Beliau berjalan sendiri kepada yang nak tanya tu. Sangat sporting.

Pelajar yang gila-gila dan sangat teruja ni masing-masing dengan semangatnya angkat tangan. Soalan memang ok, tapi yang mencuit hati bila mereka sempat bergambar peluk bahu Datuk Dr Sheikh Muzaphar sambil tanya soalan. Jadi, mereka nak tanya soalan sebab nak panggil beliau datang dekat dan ambil kesempatan ambil gambar. Nak tunggu lain ketika memang tak adalah.

Alahai korang ni. Pandai ye? :D

Kami kakak dan abang MC ni jugalah yang tak dapat bergambar sama Datuk Dr Sheikh Muzaphar. Hailah nasib~

Datuk Dr Sheikh Muzaphar, terima kasih sebab sudi hadir di Politeknik Port Dickson dan beri sedikit pendedahan keadaan dan kehidupan di angkasa lepas sana. Pengalaman Datuk memang menarik.

Puan Zainaton, Ketua Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, terima kasih sebab beri saya peluang jadi pengerusi majlis. Bukan senang nak dapat peluang yang dapat buat kita lebih kenal diri ni.

Terima kasih juga untuk cenderahati buku ni:



Menggapai Bintang


Buku ni saya dah baca hampir habis. Memang best. Kisahnya sangat mengharukan. Rasa kesedihan keluarga Datuk Dr Sheikh Muzaphar apabila kehilangan seorang anggota keluarga yang sempat menyiapkan buku ini untuk Datuk Dr Sheikh Muzaphar sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Terima kasih kepada partner pengerusi majlis saya (masih tak mau sebut nama beliau. Tapi rasanya nanti bila saya publish gambar, semua boleh kenal). Saya ada juga tambah ilmu ke'MC'an bila bekerjasama dengan beliau.

nafi + mira @ program bersama angkasawan malaysia

Inilah dia


Dan terima kasih kepada Cikgu Suhairi, kak Juliah Aman dan Encik Azizul untuk ucapan semangat sebelum majlis dan ucapan tahniah selepas majlis. Saya sebagai 'budak baru belajar' dalam hal capub-mencapub ni memang sangat memerlukan sokongan seperti itu.

Saya sangat hargai ucapan cikgu sebagai orang yang lebih dulu berpengalaman jadi pengerusi majlis dalam perjumpaan ahli Kelab Pentadbiran sebelum ini. Terima kasih cikgu! Jika ada peluang, bolehlah realisasikan visi saya tu ya? ;)



Bergambar kenangan bersama kakitangan Unit ICT

Tuesday, August 18, 2009

mc + cikgu @ karnival mathscomp

Dalam masa sehari, saya telah melalui 2 tekanan cabaran. Kedua-duanya untuk Karnival Mathscomp anjuran Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) Politeknik Port Dickson.

Entah kenapa, saya jadi pilihan pula untuk menjadi salah seorang pengerusi majlis bagi majlis perasmian karnival tersebut, juga menjadi 'penceramah' untuk Bengkel Pembinaan Blog.

Seperti apa yang saya cakap pada Cikgu Suhairi, "Bukan senang orang nak 'nampak' kita. Jadi, kenalah buat yang terbaik dan tidak menghampakan harapan mereka yang percaya." Dan sekaligus, kita pun dapat menambahkan pengalaman untuk masa depan.

Menjadi pengerusi majlis merupakan pengalaman pertama di Politeknik ini, dan yang ketiga kali sepanjang hidup. 2 kali yang pertama ialah semasa program Taaruf Week di UIA semasa saya menjadi komiti Program Coordinator.

2 pengalaman pertama itu, walau dah berlaku 3 tahun lalu jadi pemangkin kekuatan saya untuk tugasan kali ini. Sekurang-kurangnya, debaran tadi tidaklah seperti sewaktu 2 kali yang pertama itu.

Lagipun, tanggungjawab kali ini dipikul berdua. Bebannya kurang berbanding apabila majlis itu sepenuhnya di bawah kendalian kita.

Walaupun saya 'sasterawati negara', teks pengacara majlis perasmian Karnival Mathscomp tadi diserahkan kepada pasangan pengacara majlis saya, seorang pensyarah lelaki dari JMSK (tak perlulah saya sebut nama beliau. Nanti saham beliau naik mendadak).

nafi + mira @ perasmian karnival mathscomp


Penguasaan Bahasa Melayu, protokol majlis, pengalaman dan kespontanan beliau agak baik. Jika dibanding dengan saya, saya kalah 4-1. Jadi, saya lepaskan sedikit tanggungjawab menguruskan teks kepada beliau.

Bagi saya sendiri, apabila teks tersedia dan yang tinggal cuma untuk dibacakan, saya lebih yakin. Apatah lagi tak perlu speaking macam dulu.

Itu cerita mengenai pengalaman mengacara majlis.

Pengalaman jadi cikgu ialah yang paling kelakar. Saya tak pernah mengajar satu kelas sebelum ini. Saya tak pernah beri ceramah. Tapi saya rasa penguasaan kelas saya tadi agak boleh tahan (rasa macam nak perasan).

mira @ bengkel pembinaan blog


Mula-mula masuk kelas (makmal komputer) memang sangat kekok. Macam buat presentation kelas di UIA dulu. Depan pensyarah. Rasa macam saya membaca saja. Dan tak faham pula tu apa yang saya baca. Bos pula ada di belakang memerhati. Dengan pakai topeng pelindung virus H1N1nya, saya tak tahu, beliau ni sedang senyum atau tidak.

Walau bagaimanapun, mula-mulanya agak lega, sebab saya dapat portable mic. Risau sebab saya dah lama tak bercakap kuat, apatah lagi untuk 2 jam setengah.

Malangnya, portable mic tu tak reliable. Baru cakap beberapa minit, suara dah jadi normal. Saya pelik, macam tak ada kesan pakai mic ni. Bos kat belakang dah buat signal 'tak dengar'. Saya apa lagi, guna kudrat yang ada untuk lontar suara sehabisnya.

Haha, masa tu dah hilang segala malu terlebih yang ada. Saya dah tak kisah siapa yang masuk kelas tu. Saya agak, technicians saya pun terkejut pada perwatakan saya petang tadi: Akan buat apa yang tak pernah dan segan untuk buat bila kedaan memaksa.

Ya, motivasi (tekanan) memang dapat mengeluarkan tenaga harimau dalaman kita.

Dan tiba-tiba, entah kekuatan dan semangat dari mana, saya dapat mengeluarkan ayat-ayat yang biasanya terkeluar waktu saya bermonolog. Dah tentu ayat-ayat tu lancar, tanpa tersekat-sekat, tak dirancang, tapi cantik.

Fuh, saya dah dapat keluarkan sikit potensi dalaman! Dari bercakap sendiri kepada bercakap depan khalayak secara spontan! Saya dah dapat keluarkan potensi diri. Saya agak, ia akan keluar bila saya dah selesa dengan satu-satu keadaan asing tu.

Maksudnya, semuanya memerlukan masa. Untuk menjadi yang lebih baik daripada semalam, kita hanya perlu beri peluang kepada diri kita, dan biarkan masa melakukan tugasnya.

Jika saya ikutkan rasa gementar dan tak boleh buat (sebab tak pernah buat), saya tak akan terima tanggungjawab untuk menjadi pengacara majlis dan penceramah.

Bila saya tak terima, mana tau yang saya boleh buat atau tidak? Dan macam mana pula nak tahu jika ada antara tugasan yang diberikan itu sebenarnya adalah kekuatan kita?

Esok ada lagu satu tanggungjawab menjadi pengacara majlis. Mengendalikan program Bersama Angkasawan Malaysia. Iya, akan ada Datuk Dr. Sheikh Muzaphar Shukor. Doakan yang terbaik.

Wednesday, July 22, 2009

pertandingan senamtari @ puo

Saya belum cerita pasal pengalaman pertandingan senamtari antara Puspanita-puspanita agensi Kementerian Pengajian Tinggi di Politeknik Ungku Omar, Ipoh yang lepas. Lepas saja pertandingan, saya terus bercuti panjang di syurga dunia. Rumah di Kuantan. Tak pernah ambil cuti. Sekali cuti terus seminggu. (Rindu zaman belajar yang banyak cuti)

Bila dah balik rumah, memang lupa semua. Kecuali kenangan perjalanan sebelum, semasa dan selepas pertandingan.

Puspanita Politeknik Port Dickson yang kami wakilkan tak menang. Tak termasuk dalam nombor 1, 2 atau 3. Saguhati cuma.

Apa-apapun, saya tetap teruja dan gembira dengan perjalanan ni.

Pasukan AerocPPD memang yang paling sporting dan ceria antara semua. Semasa perjalanan pergi dan balik dengan bas jabatan, dengar lagu, semua turut menyanyi dan menari juga. Semasa pasukan lain buat persembahan, kami ikut goyang badan dengan rentak lagu mereka.

Sehinggakan pengerusi Puspanita PUO cadangkan, sementara tunggu Pengerusi Puspanita Kebangsaan datang, kami panaskan badan dulu. Mereka pasang lagu poco-poco dan minta semua peserta menari di lantai dewan, muatkan mana yang kosong. Semua sebab lihat AerocPPD ikut bergoyang dengan lagu-lagu yang disaji.


Poco-poco


Kami tak pasti mana silapnya dalam kekalahan kami. Yang pasti, Cikgu Suhairi, jurulatih kami yang saya rasa satu-satunya jurulatih lelaki untuk pasukan-pasukan yang hadir pada hari itu beritahu yang kami dah buat yang terbaik. Beliau sendiri tak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Ya Allah, ni ke yang saya ajar selama ni? Cantik sangat. Sama semua. Selama latihan, saya tak pernah tengok korang buat secantik ni"


AerocPPD di pentas


Dan memanglah, sewaktu diumumkan kedudukan tempat, beliau sangat tak percaya dan hampir nak protes. Tapi, nak jaga nama baik PPD punya pasal, diamkan saja.

Jika ikut pada kriteria pemenang yang diumum wakil juri, kami miliki semuanya. Ada warming-up, kardiovaskular dan cooling-down. Lagu memang tak kurang 9 minit dan tak lebih 10 minit.

Kamu ada unsur kejutan yang beri tarikan pada juri. Gerakan kami seragam sebab kami semua yakin pada diri. Kecuali satu: "Terlalu aerobik". Rupanya mereka nak kami masukkan juga unsur tarian dalam persembahan.

Eh, tapi kami ada tarian latin juga. 3 kali 8 lagi. Faham?

Tak apalah. Kami tak sedih walau kecewa. Sebab kami rasa yang kami dah buat yang terbaik. Kalau teruja terlebih sebelum persembahan tapi persembahan tak jadi, itu lain cerita.

Apa-apapun, ini ialah cubaan dan pengalaman pertama AerocPPD menyertai pertandingan seumpamanya. Jika ada lagi pertandingan yang serupa lain kali, sekurang-kurangnya kami dah tahu apa yang perlu kami perbaiki.


Ceria


Kami dah lihat aksesori peserta-peserta lain. Diakui, kami tak mengenakan sebarang aksesori tambahan selain pakaian sukan lengkap. Pasukan lain ada yang kenakan skirt, reben di tangan, skarf ala-ala agogo dan ada juga yang bawa pom-pom.

Dan kami sedar, walaupun kekurangan tenaga pengajar mahir, tapi kami juga perlu kuasai bidang tarian. Sekurang-kurangnya poco-poco.

Hasilnya, kelas pertama selepas pertandingan yang saya sertai semalam diselitkan dengan tarian poco-poco. Mujur dah ada asas, hasil Kursus Induksi Khusus tempoh hari. Itupun cuma yang asas itu sajalah. Banyak lagi gaya poco-poco sebenarnya.

Dan kata Cikgu Suhairi, Khamis ni kami nak ke tarian tradisional pula. Entah siapa yang nak mengajar, kami semua belum tahu.

Pertandingan ni banyak mengubah Kelab Aerobik PPD. Daripada tak dikenali, kami dikenali. Dengan menjadi wakil PPD ke satu pertandingan. Dan dengan emel-emel yang disebar untuk mencari peserta.

Sebab dikenali, ahli kelab (atau lebih sesuai dipanggil kelas - sebab belum ada organisasi lagi) bertambah dari kelas ke kelas. Ada yang sebelum ni tak pernah tahu kewujudan kelas. Ada pula yang tahu, tapi tak tahu siapa yang boleh dijadikan kawan ke sana.

Macam saya masa mula-mula masuk dululah. Saya memang minat aerobik. Mula kenal aerobik semasa di MRSM Kuantan. Dari situ, saya dah jatuh cinta. Sebab dah ada Kak Sal yang saya dah kenal terlebih dahulu dalam satu kursus bersama, baru jadi berani nak ke kelas.

Tapi mula-mula nak gerak-gerakkan badan tu malulah juga. Dan lama tak bersenam. Dengan cikgu lelaki pula tu. Walau semua ahli kelas ialah perempuan. (Sampai sekarang pun malu-malu lagi nak berada di barisan paling hadapan - habis, semua orang pakat dok belakang. Tapi cikgu sangat sporting dan sentiasa beri galakan membina)

Dan, ukhuwah antara kami memang semakin erat. Akhirnya, inilah teman-teman saya di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Tempat yang 7 bulan lalu adalah sangat asing pada saya.

(Dan saya terharu)

Kelas aerobik adalah salah satu sumber semangat dan motivasi saya di sini. Jika saya sedang mandom, kelas aerobiklah yang boleh menceriakan. Setiap hari, saya akan tertunggu-tunggu untuk ke kelas. Seperti tak cukup pula kelas 2 kali saja seminggu. (Tapi kalau tambah, kena caj cikgu lebih pula)

Jikalah saya terpaksa berpindah ke tempat lain, kelas aerobik akan jadi sesuatu yang paling sayang untuk dilepaskan.


AerocPPD Go!

Monday, July 06, 2009

kembali

Sesungguhnya saya dah lama tak cuba mendekatkan diri dengan Tuhan.

Ternyata Dia masih sayangkan saya.

Habis kelas aerobik, saya menumpang kereta Kak Sal untuk pulang ke rumah. Kak Sal yang saya ceritakan punya fikrah yang sama dengan saya (sekurang-kurangnya dengan saya yang dulu). Kami berkenalan ketika sama-sama ke Kursus Pengurusan Islam bulan 1 lepas.

Kata Kak Sal, "Mira, bulan 8 ni kita start jemaah nak?"

Saya tertegun. "Hah?" Dan terpukul.

"Akak rasa nak mula puasa. Dah bulan Rejab nak masuk Sya'ban dah ni. Akak dah lama tak puasa. Sekarang duduk di rumah sorang-sorang berdebar je. Rasa banyak sangat dosa." Kak Sal cakap pelan, tapi saya dapat tangkap. Cuma tak tercapai emosinya. Sebab saya yang lebih tertimpa emosi.

Saya tak ambil kisah pun sekarang bulan berapa. Yang saya tahu, tak lama lagi akan masuk bulan puasa. Bila puasa, kelas aerobik pasti tak ada. Takat tu saja.

"Akak tak tau lah. Rasa nak mula puasa lepas habis pertandingan nanti. Tapi ada kelas aerobik lagi."

"Alah, sebelum ni pun Kak Sal puasa, ke kelas aerobik juga kan?" Saya sedapkan hatinya. Dan selindung debar sendiri.

Dia senyum.

"Nanti tengoklah macam mana. Habis aerobik, akak ke rumah Mira, kita jemaah di masjid."

Subhanallah. Mulianya hati Kak Sal. Sedang saya yang baru saja meninggalkan tarbiah UIA dah lupa segala. Bawa diri tanpa bawa sekali amalan-amalannya. Terasa diri sangat jahat dan lemah tanpa sahabat yang sudi mengingatkan.

Bual yang sebentar. Tapi cukuplah untuk memukul saya sekuat-kuatnya. Alhamdulillah, Tuhan masih sayangkan saya.

Saya yang terpilih.

"Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."

P/S: Saya sudah ada telefon yang ada radio (Ya, saya tahu, lewat). Tapi saya langsung dah tak ingat untuk tunggu Carta Nasyid IKIMFM yang dulunya setiap Jumaat jam 10 malam. Dalela, adakah kamu masih mengikutinya?)

Friday, July 03, 2009

puteri faheem-wan perlu bantuan

Faheem dan WanZ dah selamat melahirkan seorang puteri Selasa pagi yang lepas. Tapi anak sulung mereka itu terpaksa ditahan di ICU untuk pengawasan doktor, sebab paru-paru kirinya tak terbentuk sempurna.


Lagi gambar


Setakat maklumat yang diterima, kos sehari di ICU ialah RM3000. Hari ni dah hari keempat. Mereka perlukan wang sekurang-kurangnya sebanyak RM50k.

Jadi, untuk sahabat-sahabat yang pernah berjuang bersama di UIA dahulu, terutama yang pernah sekelas dengan Faheem atau Wan, bantulah ibu bapa muda ini. Buat sesiapa yang membaca walau tak mengenali, sekiranya mampu, kalian turut dialu-alukan untuk membantu.

Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank mereka seperti berikut:

Muhammad Faheem Mohd Ezani: 1622-6329-0179
Wan Zuriati Wan Sulaiman: 1622-6331-4248



Rujukan:
- Aizat
- Yusnida
- Ainen Salwa
- Ifah

Thursday, July 02, 2009

XL???!

Sama ada saya dahulunya memang besar atau saya perasan yang saya dah mengecil, saya tak pasti.

Tapi bila lihat semula baju dalam almari, kebanyakannya saiz XL. Saya ingat dulu memang saya suka beli baju saiz XL. Tak ukur pun dahulu. Saya suka pakai baju besar. Sebab terasa diri macam orang dewasa. Atau mungkin juga malu nak pakai yang ikut badan sendiri.

Tapi hari ni, bila dah ada sikit kesedaran cara pemakaian yang sesuai, kemas, dan cantik, baru saya sedar betapa kurang cerdiknya saya. Tadi untuk latihan aerobik, saya pakai tshirt lengan panjang dengan bahu baju jatuh sungguh dari tempatnya. Saya tak letakkan bahu baju itu di tempatnya. Zalim sungguh saya.

Bila depa (tangan, bukan mereka), aish, tersangatlah lebarnya baju tu. Yalah, saiz XL! Saya sepatutnya pakai saiz M atau L, atau untuk blaus, saiz 38!

Ada satu blaus warna merah jambu "Pretty Girl" yang saya beli di UIA dahulu hanya berani saya pakai selepas keluar UIA. 2 tahun selepas itu. Sehingga sekarang. Baju tu labuh, tapi agak kecil. Saya beli dulu sebab sukakan warnanya. Akhirnya peram di almari rumah saja. Bila pakai sekarang, nampak elok saja. Kemas dan tak menggelebeh.

Nampak gayanya, saya perlu mulakan operasi himpunan semula baju. Kalau tak mahu malu nampak kebudak-budakan.

"Ukurlah baju di badan sendiri"

Tuesday, June 30, 2009

bolehkah kita menari?

Saya dan geng aerobik kakitangan Politeknik Port Dickson sedang bersiaga menghadapi pertandingan Senam Tari anjuran Puspanita Kebangsaan di Politeknik Ungku Omar 11 Julai ini.

Kebetulan saya baru menonton filem "Shall We Dance" lakonan Richard Gere dan Jennifer Lopez Ahad pagi lepas di TV3.



Watak Gere iaitu seorang peguam bernama John Clark ingin mengubah kebiasaan hidup formalnya dengan menyertai kelas tari ballroom. Dia sedar yang aktiviti baru itu memang menceriakan hidupnya.

Kebetulan, selepas beberapa ketika menyertai kelas, beliau terpilih untuk menyertai pertandingan tari ballroom yang berprestij. Untuk terus ke depan dengan aktiviti baru yang disukainya dan setelah dipujuk oleh rakan-rakan sekelas.

Pada awal penglibatan dalam kelas tari tersebut, Clark sangat kaku dan kurang keyakinan diri. Tapi dia terpilih dan jadi ayam tambatan cikgu kelas tersebut apabila prestasinya setaraf seorang penari profesional.

Semuanya kerana Clark menari sebab dia rasa gembira melakukannya.

Saya cuba untuk mengekalkan rasa itu untuk pertandingan nanti. Rasa yang sama ketika mula-mula mendapat tahu adanya kelas aerobik untuk kakitangan di Politeknik ini. Rasa teruja dan ingin mengubah kebiasaan yang mungkin dapat melarikan tekanan kerja formal seharian.

Saya dan Clark sama-sama tidak ada sebarang jangkaan untuk menyertai sebarang pertandingan tarian. Kami menyertai kelas hanya kerana kami gembira dan tak rasa terpaksa. Harapnya, peluang yang datang bukan selalu ini tidak mengundang tekanan yang tidak saya harapkan semasa mula-mula menyertai kelas.

Saya ingin anggap ini sebagai cabaran, untuk menambahkan pengalaman dan kemahiran dalam hidup.

Jadi instruktur aerobik? Oh, saya masih perlukan latihan keyakinan berhadapan dengan orang ramai!

P/S: Saya paling suka tarian latin. Buat saya rasa feminin :)

"Step out of the ordinary"

Saturday, June 27, 2009

akui kelemahan

Sistem HRMIS akan diimplementasikan di Politeknik Port Dickson secara menyeluruh tak lama lagi. Dan saya ialah antara penggeraknya.

Saya baru pulang dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang untuk 4 hari 3 malam kursus sistem tersebut. Ia lebih kepada kursus pengurusan berbanding kemahiran.

Ia adalah pengalaman pertama saya ke Pulau Pinang dan pengalaman pertama juga menjejakkan kaki ke sebelah utara semenanjung (jika Kelantan tak dikira sebagai negeri utara).

Tempoh hari ada kursus yang serupa di Port Dickson yang disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang terletak berjauhan dari Port Dickson. Tapi kami dipanggil untuk berkursus di tempat yang lebih jauh. Kata mereka, jika dekat-dekat, tak boleh dapat pakej penginapan hotel. Maknanya perlu berulang ke kediaman seperti pergi balik kerja.

Haih, disebabkan surat panggilan berkursus dan bukannya mesyuarat, saya terlepas peluang untuk menaiki kapal terbang. Tak sabar nak rasmikan kali pertama yang ini juga.



Tak ada sistem yang 100 peratus sempurna. Sebab yang menciptanya pun tidak pernah sempurna. Sedangkan Microsoft sentiasa mengeluarkan sistem operasi komputer yang dikemaskini dan ditambahbaik dari masa ke masa.

Disebabkan tak ada sistem yang sempurna, maka yang berperanan menyampaikan penggunaannya perlulah mengakuinya apabila peserta telah menemukan ketidaksempurnaan itu.

Pertukaran sistem penjawatan seorang penjawat awam tidak semestinya tamat pada hari ini dan esok terus sambung yang baru. Contohnya, mereka yang tamat kerja kontrak pada hari ini tidak semestinya terus ditawarkan kerja tetap pada hari esoknya.

Tetapi, sistem tersebut tidak membenarkan 2 penjawatan bersela lebih daripada 1 hari. Yang boleh dimasukkan ialah, tamat hari ini mesti mula yang baru esok. Saya tahu yang ia ialah bug sistem. Ia tak selari dengan dunia sebenar.

Apabila disua, fasilitator sebaliknya kata, "Sekarang baru tahun 2009, kenapa nak masukkan penjawatan tahun 2013? Kan tak berlaku lagi?"

Dalam hati, "Agak complicated jika sistem perlu semak tarikh hari ini sebelum rekod boleh disimpan. Jika ikut logik, sepatutnya tak ada masalah sistem membenarkan pengisian rekod yang bukan pada tarikh tersebut. Lagipun, mesej yang keluar ialah rekod tak boleh dimasukkan kerana tarikh bertindan, bukannya rekod tak boleh dimasukkan sebab tarikhnya belum sampai."

"Oh, mungkinlah sistem ni tak benarkan kita rekodkan penjawatan yang belum berlaku lagi, ya?" Soal rakan sepoli di sebelah. Beliau ni bukan dari bidang IT, jadi tak banyak bantah. "Ok, kalau macam tu, kita cuba dengan tahun sebelum."

Fasilitator tu ke depan dan sampaikan sesuatu kepada fasilitator lain yang berada di komputer hadapan.

Setelah dicuba, ternyata telahan saya benar. Sistem tak terima juga 2 penjawatan yang bersela tarikh lebih daripada 1 hari, walau rekod tahunnya ialah pada 1983.

Haih, apalah salah jika akui saja kesilapan. Tidakkah si fasilitator itu sedar bahawa yang hadir bukan wakil dari bahagian sumber manusia (pentadbiran) saja, malahan pegawai teknologi maklumat juga. Logic error ini adalah perkara biasa dalam programming. Apatah lagi dalam sistem besar yang mempunyai banyak modul seperti HRMIS. Terlalu banyak yang perlu diteliti dan disemak.

Dengan menyembunyikan kebenaran, kita mungkin sebenarnya ingin menjaga kredibiliti dan penghormatan. Tapi tanpa disedari, sikap tidak akui kesilapan juga sebenarnya menonjolkan keegoan dan sifat kurang cerdik kita.

Kita tak kenal semua orang. Tanpa kita sedar, si cerdik pandai mungkin berada di kalangan kita.

Berkatalah benar, walau ia pahit. Mengakui kelemahan tidaklah mengurangkan kekuatan, sebaliknya menonjolkan kerendahan hati dan kekuatan peribadi. Sebab setiap manusia itu ada kelemahan masing-masing.


Harapnya saya dapat menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jayanya.




Lagi gambar

Monday, May 25, 2009

rasuah

Dalam Kursus Induksi Khusus yang lepas juga, kami telah didedahkan dengan konsep rasuah dalam sesi taklimat oleh Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai berkenaan berbangsa Cina, maka apa yang disampaikan tidak menyentuh konsep rasuah dalam agama.

"Saya boleh cakap tentang rasuah dalam agama. Dalam Islam, rasuah itu haram, kan? Tapi saya tak mau sentuh isu agama."

Jika semua orang ikut apa yang Islam kata, polis, tentera, dan SPRM tak perlu ada.

Kita nampak rasuah itu sebagai satu perkataan yang besar dan pelakunya memang patut dihukum. Rasuah itu terjadi apabila seseorang terima hadiah atau sogokan sebagai upah untuk buat sesuatu kerja yang melanggar tatasusila kerjanya.

Tapi dalam kerja urusan kerja seharian pun, tanpa disedari kita terdedah pada ancaman rasuah.

Isu punch card adalah salah satunya. Walaupun ia tak melibatkan sebarang upah, kakitangan yang membantu sahabatnya punch untuk dia berisiko untuk didakwa.

Sahabat minta kita punchkan dia masa balik. Dia keluar awal, ada urusan. Tengok-tengok, terlibat dalam kemalangan. Dia tak boleh tuntut insuran, sebab ada bukti yang dia dah keluar dari pejabat. Insuran hanya boleh dituntut jika kemalangan berlaku dalam masa pejabat.

Jika orang tu meninggal? Apa jadi dengan pencennya? Apa jadi dengan isteri dan anak-anak? Apa jadi dengan kita yang tolong punchkan tu? Kita nak mengaku dan diambil tindakan tatatertib, atau kita nak diamkan dan biar keluarganya tanggung sengsara?

Dalam isu tuntutan perjalanan pun begitu juga. Kadangkala, tuntutan yang diperuntukan tak dapat cover perbelanjaan kita yang sebenar. Maka, kita pun tokok tambah cerita yang kita dah menginap di hotel sehari sebelum. Padahal pagi itu baru bertolak dari kediaman. Nak tuntut lebih punya pasal.

Jika kebetulan kita diaudit, rekod perjalanan disemak oleh pegawai SPRM, tak ada bukti yang mengatakan kita menginap di hotel seperti yang kita tulis, kita juga boleh disabitkan kesalahan.

Jadi, jangan ingat tuntutan perjalanan ini hanya sekadar mengisi borang, hantar pada Unit Kewangan dan tunggu duit masuk. Kita perlu bertanggungjawab atas setiap tingkahlaku.

Bak kata pegawai SPRM itu, "Ambil apa yang jadi hak kita saja."

"You boleh ambil rasuah. Tapi jangan sampai kena tangkap saja. Bila dah kena tangkap, sedialah untuk tanggung malu."


Hidup ini hanya tempat ujian. Kita boleh berseronok dengan sesuatu yang bukan hak kita. Tapi kita perlu bersedia menjawab pada Tuhan nanti.

Sunday, May 24, 2009

ibu

Dalam Kursus Induksi Khusus lepas, dalam satu sesi pengucapan awam, ada seorang peserta wanita menyampaikan pengucapan mengenai ibu, sempena hari ibu pada Ahad minggu sebelumnya.

Usai pengucapan, penilai pada masa itu, En. Hanafi akui yang beliau cukup tersentuh. Hampir mengalir air matanya. Lalu cepat-cepat dilindungkan dengan pakai kaca mata.

Anak sulung penceramah ini sebaya saya.

"Itulah tuan-tuan dan puan-puan. Kadang-kadang anak-anak ni tak faham perasaan ibu bapa. Kalau ada teman lelaki, nak cepat-cepat saja kahwin.

Bukan ibu bapa tak setuju, tak suka anak-anak mereka kahwin. Tapi anak tu baru habis belajar. Tak sempat lagi nak berbudi pada orang tua..

Ibu bapa ni bukanlah minta dibalas semua jasa mereka. Tapi sekadar minta dikenang. Sekurang-kurangnya, bila nak ambil keputusan kahwin tu, bawa mereka bersama dalam setiap perbincangan dan keputusan.."


Seorang teman baru menceritakan pada saya. Kakak iparnya sekarang koma selepas melahirkan anak yang keempat.

Kakak ipar sahabat ini dah pun ada 3 orang anak. Kelahiran yang sebelum-sebelum ini elok-elok saja.

Tiba anak yang keempat, si ibu ada darah tinggi. Mulanya doktor minta ibu bertenang dahulu sebelum cuba melahirkan cara biasa. Sebelum melahirkan, tekanan darah si ibu pada tahap normal.

Tapi, bila masa si ibu meneran, tekanan darahnya dah sampai ke kepala. Beliau terus koma. Si anak yang masih dalam perut, tersekat oksigen daripada sampai ke otaknya. Otak bayi malang itu tidak berfungsi walau selamat dilahirkan.

Keluarga sahabat saya ini rujuk pada seorang doktor kenalan. Beliau terkejut. Katanya, bila ibu ada darah tinggi, tak patut lahirkan anak secara biasa. Ibu patut melahirkan secara pembedahan. Ini sudah silap!

Silap??

Ibu malang ini dalam koma. Apabila tersedar sebentar, beliau meronta-ronta. Saluran yang dimasukkan di mulut terpaksa dipindahkan ke leher. Leher si ibu ditebuk. Kata doktor, jika di mulut bimbang akan berlaku jangkitan kuman.

Anak kedua terakhir si ibu yang baru berusia tujuh tahun asyik menanyakan ibunya. "Kenapa ibu tak balik lagi ayah?"

Ayah pula yang dah banyak hari cuti tanpa gaji sebab perlu berkejar sana-sini diberhentikan kerja.

"Sedih saya, Mira. Dulu masa saya kahwin, dia sihat lagi. Elok je tolong sana-sini. Sebab nak melahirkan, dia dah jadi macam ni.."

Hargai dan sayangilah ibu kita. Pengorbanan beliau yang melahirkan dan membesarkan tak ternilai harga keperitannya.

ciptaan kreatif

video


Ada sesiapa yang nak mempergunakan ide ni?

Friday, May 22, 2009

pandangan jumaat



Alangkah indahnya jika masa selain solat Jumaat juga melimpah jemaahnya sehingga ke luar masjid begini.

Ini ialah pandangan masjid atau lebih dikenali sebagai Pusat Islam di Politeknik.

Saya bukan skodeng. Cuma tingkap rumah saya memang terus menghadap masjid.

kepentingan hobi dan minat

Sebenarnya, entri sebelum ini ialah pengenalan kepada tajuk pengucapan awam saya semasa Kursus Induksi Khusus yang lepas. Dua entri; sebelum ini dengan yang ini sebenarnya adalah teks lengkap yang saya mahu sampaikan. Hari tu tak sempat sebab setiap orang hanya diberi masa 5 minit saja.

Pengucapan awam tanpa teks ok? t a n p a t e k s . . .

* * *


Jadi, apa kepentingan untuk kita meneruskan aktiviti-aktiviti yang melibatkan hobi dan minat ini? Kenapa nak tambah kerja? Tak cukupkah dengan kerja dan tanggungjawab rasmi sedia ada?

1

Ramai daripada kita, terutama yang bekerja di sektor awam ni bukanlah bekerja dalam bidang yang disukai. Atau, ada lagi pengkhususan lain yang kita lebih suka.

Jika benarlah itu, maka 2/3 daripada hidup kita (tolak masa tidur) dihabiskan pada perkara yang tak penuhi kepuasan hati kita. Alhamdulillah bagi mereka yang mendapat kerja yang diidam-idamkan.

Apakah erti hidup menghabiskan hayat pada perkara yang tidak memuaskan hati kita?

Apa makna hobi? Dah tentu perkara yang kita suka lakukan. Apabila kita buat perkara yang kita suka, kita akan gembira dan bahagia. Meneruskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan hobi dan minat sekurang-kurangnya mengisi sebahagian lagi daripada hidup kita dengan keceriaan. Jika tak banyak, ia akan mempengaruhi hidup kita yang satu lagi; kerja pejabat.

Saya ulang semula ayat yang saya pernah sebut sebelum ini: "Bukankah setiap yang kita lakukan dengan rasa senang hati itu akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik?"

2


Memperkembangkan ruang lingkup hobi dan minat itu juga membolehkan kita menemui perkara baru mengenainya. Bila kita dah minat, kita akan buat apa saja untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Dengan mempunyai banyak ilmu dan maklumat tentang hobi dan minat kita, kita boleh dianggap master tentangnya. Biarpun kita bukanlah bos di pejabat, sekurang-kurangnya kita mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan. Kita juga akan jadi rujukan orang.

Jadi, hobi dan minat boleh jadi potensi dalam diri yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

"Orang yang paling baik ialah mereka yang bermanfaat kepada orang lain." (Hadis)

3

Hobi dan minat beri peluang kepada kita untuk kenal lebih ramai orang. Seperti tadi, jika kita minat akan sesuatu, kita akan sedaya upaya mencari lebih banyak ilmu dan maklumat tentangnya. Sumber itu termasuklah mereka yang lebih arif.

Ada masanya, kita akan usaha mencari kelab dan persatuan yang berkaitan di sekitar kediaman. Pada yang kaki internet, sudah tentu dalam forum-forum berkaitan. Selalunya forum-forum itu akan mengadakan perjumpaan untuk berkenal-kenalan dengan ahli-ahlinya.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal." (Al-Hujurat: 13)

4

Bila dah banyak maklumat, jangan lupa untuk buat perkongsian ilmu. Sebab itu boleh jadi saham untuk bantu kita di akhirat kelak.

Ada 3 perkara dari dunia yang masih bersama kita dan boleh membantu kita di dunia sana walaupun kita telah meninggal dunia; doa anak, amal jariah dan ilmu yang bermanfaat.

Nak dapat anak, lagi-lagi yang soleh, belum tentu lagi. Jauh lagi nak ambil risiko harap yang itu saja. Mana tahu, tak sempat pula? Jadi, disamping buat amal kebajikan seharian, selitkan juga dengan penyampaian ilmu-ilmu yang bermanfaat.

Selagi mana ilmu itu digunakan dan dimanfaatkan, kita akan dapat saham kebaikannya.

5

Kata Nabi Muhammad, 9/10 daripada sumber rezeki adalah dari perniagaan. Nak berniaga yang macam mana? Tipsnya daripada apa yang kita minatlah.

Saya ada seorang sahabat yang minat dalam bidang fotografi. Sebenarnya memang ramai daripada kalangan kenalan saya yang minat bidang ni. Tak pasti kenapa, tapi sangat ramai yang otai dalam ambil-ambil gambar ni.

Beliau mula kenal kamera DSLR dan belajar teknik-teknik ambil gambar sendiri daripada minat sahaja. Kemudian, beliau mula berkongsi dengan orang lain yang mempunyai minat yang sama dengan menyertai forum-forum. Kenalan-kenalan maya beliau ramai yang mempunyai perkhidmatan fotografi perkahwinan. Beliau pun cuba-cuba juga.

Adakalanya, kenalan-kenalan maya beliau menawarkan pelanggan kepada beliau. Bermula dari situlah, beliau ambil pengalaman dan mula dikenali.

Sekarang, dah ramai pun yang minta khidmat beliau ambil gambar untuk majlis-majlis perkhawinan di sekitar Kuantan, sampai tak menang tangan (sebab orang yang kahwin memanglah sangat ramai, lebih-lebih lagi musim cuti sekolah ni). Beliau pula yang terpaksa tawarkan pada jugambar lain untuk ganti beliau ambil gambar di majlis-majlis yang beliau tak berkesempatan hadiri.

Tahniah, Azwan! Walaupun dah lama tak ikuti perkembangan kesibukan yang satu ni, saya harapkan yang terbaik untuk anda ;)

Sangatlah best bila dah dapat jana wang daripada sesuatu yang memang kita minat.

6

Ini bukanlah salah satu kepentingan secara langsung. Tapi, ia juga penting untuk kita tahu apa hobi kawan kita.

Cara yang paling berkesan untuk membuatkan seseorang rasa dihargai ialah pertama, ingat namanya. Kedua, ingat tarikh lahirnya.

Ucapan selamat pada hari ulangtahun seseorang akan membuatkan dia rasa berkepentingan (yalah, sampai ada orang yang sanggup hafal tarikh lahirnya, tarikh yang paling penting dalam hidup seseorang).

Lebih bermakna jika hadiah yang diberi ialah yang memang diminatinya. Klu? Dari hobinyalah.

Jika dia suka memancing, jika tak mampu beli joran, boleh belikan buku panduan memancing.

Jika dia suka kumpul setem, jika tak berkesempatan cari setem ajaib, boleh beri buku panduan menjaga koleksi setem.

Jika dia suka makan, jika tak sanggup nak belanja makan yang mahal-mahal, boleh beri buku koleksi resipi.

(Buku ialah hadiah yang paling baik. Ingat pada amal jariah dan perkongsian ilmu?)


Takat itu saja poin yang saya sediakan untuk pengucapan awam temoh hari. Fikir sendiri, tak rujuk mana-mana. Jadi, mungkinlah banyak lagi poin yang boleh ditambah. Ada yang nak cuba?

Kesimpulannya, hargailah diri anda. Jangan cuba jadi orang lain. Sebab anda diciptakan unik. Tak ada orang lain yang seperti anda. Mempergunakan keunikan itulah yang akan membuatkan anda jadi seseorang di antara ramai.