Tuesday, April 28, 2009

kad debit

Setakat hari ni, saya telah 2 kali berpeluang menggunakan kad ATM Maybank saya sebagai kad debit. Satu di Billion, Port Dickson dan satu di Jusco, Ayer Keroh.



Alhamdulillah, dah tak perlu kecoh-kecoh mahu keluarkan duit sebelum membeli-belah. Yang kadang tak cukup, kadang terlebih. Jadi sekarang, boleh keluarkan duit hanya untuk makan dan ke kedai runcit sahaja.

Bil elektrik pun dah boleh bayar menggunakan Maybank2u. Teknologi memang memudahkan!

(Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan, cepatlah gunakan perkhidmatan Maybank2u!)

Tapi, sebab sepanjang berbelanja, kita tak nampak baki duit yang ada dalam akaun tu, ada juga kebarangkalian untuk terlebih ambil barang. Harapnya ia tak berlaku, sebab tak macam kad kredit yang lebih berkemungkinan untuk kita bajet lebih, kita akan malu nanti!

Monday, April 27, 2009

ibu

Entah macam mana, dalam berbual-bual dengan abang Rahim jiran rumah bawah (bukan bawah rumah) saya, saya menitiskan air mata. Ingatkan, bercakap dengan seseorang bukan dari kalangan teman rapat ni boleh lagi tahan untuk segala jenis cerita.

Tak sangka, abang Rahim cerita pasal ibunya yang telah meninggal dunia pada tahun 2002.

Ayat permulaannya, “Susah kalau tak ada mak ni. Kalau tak ada ayah tak apa lagi. Tapi kalau tak ada mak.. memang susah. Sedih, pilu, sunyi..”

Waktu itu, ibu abang Rahim sakit lutut, tak boleh berjalan. Kata abang Rahim, jikalah boleh dia gantikan tempat ibunya, memang dia akan ganti. Bukan apa, dia cuma mahu lihat ibunya boleh berjalan bebas macam ibu orang lain.

Abang Rahim telah mula berhijrah ke serata pelusuk dunia sebagai askar sejak usia 18 tahun. Memang ralat rasanya meninggalkan ibu seawal usia itu.

Abang Rahim memang senang berbual dengan ibunya. Bila-bila ada masalah, abang Rahim memang akan telefon ibunya, untuk Cuma sepotong ayat..

“Tak apa, Im sabarlah..”

Dan dia akan kembali ke bilik dengan hati yang tenang dan penuh semangat.

Saya juga begitu. Jadi, saya menangis.



Pernah suatu ketika, ibu abang Rahim beritahu, “Im, mak kalau rindukan kau, mak tidur atas katil kau.”

Abang Rahim sebak. Katanya, bila seorang ibu yang jarang meluahkan isi hatinya, bercakap, memang luluh hati mendengarnya.

Saya cuma tunduk. Setuju.

Abang Rahim nasihat pada kami yang mendengar, “Sementara ada mak ni, telefonlah dia.”

Rujuk entri berkenaan.

update ujian 2009

Sejak saya mengutarakan kesedihan kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, ramai yang menghubungi, walaupun cuma menggunakan YM. Sekurang-kurangnya, cukup ramai untuk mengembalikan ketenangan, semangat dan moral.

Saya tak menguar-uarkan alamat blog ini di status YM. Ternyata, memang ada yang mengikuti dan mengingati untuk terus membaca. Terima kasih semua!

Sekarang saya sedang memberi peluang kepada diri sendiri. Untuk memberi masa belajar perkara baru. Harapnya orang lain yang terlibat juga dapat memberikan masa yang saya perlukan itu.

Saturday, April 18, 2009

ujian 2009

Sedihku sakitku ku terima
Ku rela ku pasrah jalanku
Ini suratan aku dicoba
Demi rahmat-Mu ku memohon

Ya Allah ridhoi ketulusan hati
Ya Allah beri aku ketabahan
Ya Allah aku sanggup berkorban
Demi rahmat-Mu ya Allah

Mungkin saya bukanlah setabah watak Madina lakonan Marshanda dalam Aqso dan Madina yang mengorbankan cinta mereka untuk kebahagiaan seorang kakak. Apa yang berlaku tak ada langsung kaitannya dengan kisah cinta.

Cuma, lagu berbentuk doa ini kena dengan semua situasi ujian. Ujian yang Tuhan beri untuk tunjukkan silap kita. Ujian yang Tuhan beri untuk tingkatkan iman kita. Dan ujian yang Tuhan beri untuk apa-apa yang hanya Dia yang tahu hikmahnya.

Hidup ini sebuah akademi. Setiap hari, kita akan belajar perkara yang baru. Sekurang-kurangnya melalui perkara-perkara yang berlaku. Kebanyakan kita hanya ingat Tuhan apabila ditimpa ujian.

Jadi, mungkinlah ujian juga satu bentuk mesej Tuhan yang rindu pada rintihan kita sebagai hamba. Mungkin kita dah lama tak meminta padanya.

Ujian yang kita terima itu adalah yang paling sesuai untuk kita. Yang kita memang mampu pikul. Tuhan tak zalim untuk mendera hamba-hambanya.

Sezalim manapun kita sebagai hamba dengan tidak menunaikan segala tanggungjawab, Dia tak akan balas yang setimpal. Dia cuma datangkan ujian, supaya kita ingat. Tak lupa. Supaya kita sempat berbuat sesuatu, seandainya hayat hanya sehingga esok...

Apabila kita anggap dugaan dan cabaran yang menyakitkan ini ialah ujian daripada Tuhan, maka semestinya kita ingin lulus. Cekal, tabah, redha akan menambah poin kita. Sebaliknya kesal, putus asa, lupa diri itu yang akan lebih menjarakkan kita daripadaNya.


Sebagai manusia, makhluk sosial biasa, saya tak lepas daripada rasa sunyi. Sedang dari mula-mula masuk ke sini dahulu pun saya tahu saya akan berhadapan dengan satu bentuk kehidupan berbeza yang tak pernah saya jalani sebelum ini.

Dan sebenarnya, saya ini memang sukar untuk mengubah sesutu yang telah menjadi kelaziman kepada sesuatu yang baru. Sangat sukar. Saya pernah menggugurkan pengambilan subjek Bahasa Arab PMR sebab ini. Saya hampir ingin keluar dari MRSM sebab ini. Tak biasa.

Emosi saya memang agak lemah. Saya memang cengeng. Orang tak akan tahu dengan sekali pandang. Sebab saya ini pendiam.

Saya gagal memasukkan diri dalam perubahan sebab tak cukup sokongan orang sekeliling. Sokongan atau motivasi diri saya tidak sekuat motivasi luaran. Saya juga berjaya teruskan perjuangan membiasakan diri dengan perkara-perkara baru juga dengan adanya sokongan persekitaran.

Sekarang saya sendiri. Dalam membiasakan diri ini, memang banyak peristiwa yang melemahkan semangat saya dan meminimakan tahap motivasi saya. Saya mudah depress. Saya mudah pitam. Saya muntah-muntah. Mungkin tekanan inilah penyebabnya.

Saya tak tahu sampai bila saya harus hidup begini, sehingga saat saya dapat sesuaikan diri. Dengan persekitaran sunyi dan fitrah jawatan yang tinggi, paling tinggi pernah saya pikul setakat ini.

Secara terus terang, saya katakan, saya tertekan. Dan saya tak dapat luahkan kepada sesiapa.

Di sini, ia hanya di permukaan. Tak mungkin saya akan memperjelaskan semuanya.

Saturday, April 11, 2009

error login pet society @ facebook

Ada tak sesiapa yang ada masalah ini masa nak masuk Pet Society?



Dah masuk 3 hari saya tak dapat main Pet Society. Tapi main permainan Facebook yang lain boleh pula (Kalau nak kata masalah network lambat la).

Dah cuba retrying banyak kali, masih tak jadi. Dah ikut pun apa yang FAQ cakap; clear all private data, restart PC dan masuk semula. Macam tu juga.

Kalau ada yang tahu macam mana nak selesaikan masalah ni, tolong beritahu segera ya?

Dah rindu pada Honey ni!

Thursday, April 09, 2009

petua lagi @ pet society

Dari sini, saya dapat petua lagi. Rasanya tak ramai yang tahu ni. Sebab saya tanya pada sifu. Gadis ni memang sifu Pet Society. Dah level 33. Tempat pertama dalam senarai saya. Saya baru nak mula aja :D

Saya: kina, tak faham la.. poo?
Sifu: haah poo. akk g kat toilet pika pika, room no 4 kot. ade poo kt situ hehe. gold poo pun ade tp sy xdpt2 lg huhu
Saya: boleh dapat duit jugak??
Saya: honey tak pernah membuang lagi. sebab slalu mandi?
Sifu: haah. lau klik kt poo tu bleh dpt duit jugak.
Sifu: lebih kurg la kot hehe
Saya: lah.. yeke....
Saya: gold pun ada?? ish ish
Saya: ni nak suh jaga pet ke idak ni?
Sifu: aah. gold poo hehe


Nak cuba teknik ni kenalah biar lalat hinggap pet kita berhari-hari. Selamat mencuba!

(Opps, nak kena buat bilik air ni. Takkan kat ruang tamu pulak!)

Peringatan!

Jangan aplikasikan teknik ini pada haiwan peliharaan yang sebenar. Sebab apa yang akan anda dapat hanyalah bau yang kurang enak.

pet society @ facebook II

Pet Society akan jadi lebih gempak jika:

1.

Taman perumahan untuk semua pemain yang ada dalam senarai adalah sama.
Baru boleh declare siapa berjiran dengan siapa, awak duduk di mana. Ini setiap pemain lain kedudukan dan bentuk rumahnya apabila dilihat dari taman orang lain.

Cuma ada masalah sebab senarai pemain untuk setiap orang tak sama, ikut siapa yang ada dalam senarai sahabat kita. Maka, jumlah pemain tak sama. Jadi, rumah dalam taman kena bagi pada yang dalam senarai sahabat kita saja. Takkan nak buat taman untuk satu dunia kan? Tak jumpa kawan pula nanti.

Yang bestnya, jika itu berlaku, maka persaingan menghias rumah akan jadi pertandingan peringkat antarabangsa!



2.

Persaingan dalam stadium adalah persaingan dengan karekter pemain yang sebenar, bukan dimainkan oleh komputer.


Saya nampak ia computer-generated apabila 2 lagi pelumba kalau nampak kulit pisang, asyik lompat atau terjatuh, tak pula dibuang. Sedangkan dalam arahan disuruh buang, maka saya rasa kebarangkalian untuk kulit pisang dibuang adalah lebih tinggi berbanding lompat.

Dan, selalunya apabila tertinggal sedikit, pemain di laluan tengah akan ternampak lari lebih laju daripada kita yang di laluan paling hadapan. Jelas apabila trek tak ada halangan, lurus saja. Jika ada beza sikit, memang kita akhirnya akan kalah. Kalau nak kata kelajuan ikut level pet, tak juga. Kasut? Kasut sukan tak jual pun.

Jika nak aktifkan pencapaian sebenar pemain, perlu pada sistem AI sikitlah. Kena kaji pencapaian seorang pemain tu dalam aktiviti-aktiviti lumba larinya, dipuratakan dan diterjemah ketika terpilih sebagai pesaing dalam stadium.



3.

Dapat berinteraksi antara pemain yang online secara terus!
Bukannya melalui penghantaran surat dan hadiah saja. Maknanya, jika seseorang itu sedang online, kita akan nampak dia dan apa yang sedang dilakukannya dalam permainan itu.

Jika bertemu, boleh berinterasi secara terus, boleh ajak berlumba, minum-minum di cafe dan membeli-belah bersama-sama.


Jadi... siapa yang nak bantu developer upgrade permainan ni? Ajen, sebagai bakal pakar pencipta permainan komputer bertauliah? Macam mana? ;)

(Ada Pet Society ni jadi permainan berbayar lepas ni)


Ada sedikit bug yang saya perasan perlu diperbaiki.

Status pet tak akan diupdate selagi pemainnya tak log masuk dan update sendiri. Biar sebanyak mana pun pemain lain dah beri makan, dah beruskan dan mandikan.

Pet siapalah ni ek? :p

Memang ia bertambah semasa kita masih dalam sesi permainan tersebut. Tapi apabila kita restart permainan ("Save and Quit" dan masuk semula), status mereka akan kembali macam sebelum kita beri makan semua tu.

Jika tahap kekenyangan pet itu kosong sebelum ini, ia akan jadi kosong semula apabila kita masuk semula. Padahal, tinggalnya taklah lama sangat sampai ia boleh jadi kosong.

Boleh cuba perhati jika saya silap.


Petua hari ini:

Jika anda telah kehabisan pet untuk dilawat (baca betul-betul) dan diberi makan, boleh cuba cari pet di Cafe. 9 ekor yang ada dalam Cafe itu dipilih secara rambang daripada pet seluruh dunia yang mendaftar dengan Cafe. Jika kita berdaftar, akan ada tanda tick di status bawah tu.



Jadi, bolehlah klik pada mereka untuk lawat mereka. Mana tau ada rezeki untuk beri makan dan dapat Paw Point? ;)

Untuk dapat lagi 9 set pet lain, boleh balik ke rumah dan keluar ke Cafe semula. Kalau tak jadi, boleh "Save and Quit" dan masuk semula Pet Society. (Cara ni agak leceh untuk mereka yang mempunyai talian internet yang kurang memberangsangkan dengan komputer sendiri berRAM rendah)

Uih, mencari orang untuk diberi makan dan diberi hadiah. Jikalah dalam dunia sebenar pun macam tu...

pemandu teksi 360

Semalam berkesempatan tonton 360 setelah sekian lama tak ikuti.

Wah, kupasan yang sangat menarik dan berani! Macam Mastika versi televisyen. Jika Mastika banyak sentuh isu sosial remaja, 360 semalam sentuh jenayah teksi di negara kita.



Kes teksi tak pakai meter sebenarnya dah lama sangat berlaku. Cuma sebab ia dah jadi perkara biasa, orang ramai bukan setakat dah tutup sebelah mata, memang tutup dua-dua mata sekali seolah-olah tak ada apa yang salah.

Siapa yang pernah tinggal berjauhan dari keluarga DAN tidak mempunyai kenderaan sendiri PASTI berpengalaman naik teksi yang tak menggunakan meter.

Saya pun, jika tak diberitahu bahawa membawa teksi tanpa menggunakan meter adalah satu kesalahan yang besar, takkan bising di sini. Sebab memang pengalaman menggunakan perkhidmatan teksi, separuh daripadanya tak pakai meter.

Teksi kawasan Gombak ok lah. Jarang yang tak pakai meter. Tapi di sebelah UPM dan UKM sana, jarang yang pakai meter (masa saya belajar dahulu). Sekali kenalah RM10 lebih. Agaknya sebab nampak muka tak biasa, saya dikenakan caj mahal.

Jika caj untuk satu-satu jarak perjalanan tetap tak apa lagi, tapi boleh pula berubah ikut penumpang; berpengalaman atau tidak (tahu atau tak kadar biasa teksi untuk satu-satu perjalanan).

Selain isu meter, 360 semalam juga sentuh kes teksi tak mahu bawa penumpang OKU.

Mazidul dan krew 360 sangat berani terjah dan buat pendedahan terbuka cara "Just for Laugh" atau "Just Kidding". Mereka menyamar sebagai penumpang kurang upaya berkerusi roda dan bertanya jika boleh membawa mereka ke destinasi yang ingin dituju. Bagi siapa yang tak mahu tu, 'pelakon' ini akan bangkit dari kerusi roda, capai mikrofon dan halakan kamera kepada pemandu teksi. Mulalah nak sorok-sorok muka.

Krew 360 juga menyamar sebagai penumpang teksi biasa dan dalam perjalanan, mereka bertanyakan hal pemandu yang enggan guna meter ni. Tanpa pengetahuan pemandu teksi, sekumpulan lagi krew bersama dengan JPJ mengekor dengan kereta di belakang. Bila diterjah, mulalah gabra dan pusing cerita. Siap beritahu encik JPJ yang penumpang tu saudaranya, jadi dia tak berkira sangat.

Encik JPJ layan, "Saudara belah mana ya?"

Mudah-mudahan, pendedahan ini adalah kesannya. Supaya tidaklah saya culas mahu beli tiket Kuantan-Seremban yang hanya ada jam 3.00 petang saja hanya kerana nak mengelak daripada terpaksa menaiki teksi yang telah ditanam persepsi "mahal" dari bandar ke tempat tinggal dan "mahal" pada waktu malam.

Sepatutnya kadar teksi semua sama jika mematuhi peraturan yang telah ditetapkan; menggunakan meter.

Di hujung rancangan, 360 menghiburkan penonton dengan lagu nostalgia Dr Bombay: Taxi Driver. Ingat lagi tak?

One day when I got hungry
I sold the wooden house
I had to visit Uncle Ghandi
Who lives in Calcutta town

Uncle Ghandi he is rich
He is a taxi driver man
And I know that he will help me
As much as he can

A taxi driver man is what
I want to be
But there are no customers
Who want to ride with me
I dont know why
Could be that I am almost blind
But every street in Calcutta I can find

Calcutta,
I am an taxi driver in
Calcutta,
I drive my little taxi in
Calcutta,
Taxi, taxi, taxi, in
Calcutta
I am an taxi driver man

I like to drive the taxi
I like it very much
Even though I have no licence
I always find the clutch
I can drive it off my head
I can drive it off my feet
And I have no problems
Getting taxi on the street

Wednesday, April 08, 2009

pet society @ facebook

Abang dah ajar saya main permainan Flash di Facebook yang sangat comel. Saya tak pernah sukakan game berbentuk Role-Playing Game (RPG) sebelum ni. Tapi permainan ni sempoi, tak perlu fikir banyak dan tujuan utamanya ialah menghias rumah dengan secantik-cantiknya dengan wang yang kita kumpul sepanjang permainan.

Itulah Pet Society (PS)!

My Honey

(Saya sangat suka shopping untuk hias rumah. Ehem, saya main bila saya tak ada kerja daa~)

Selain tujuan menghias rumah, dalam usaha untuk dapatkan duit tu, banyak perkara yang perlu kita buat dan boleh diambil iktibar. Antaranya dah abang nyatakan di sini.

Dalam tu ada sebut kita digalakkan bertukar-tukar hadiah. Bukan apa, untuk menggembirakan orang. Kata DMFK, apa yang kita beri pada orang akan datang balik pada kita. Kita pun akan rasa bahagia.

Selain itu, beri hadiah adalah sebagai tujuan berderma. Tuhan akan melipatgandakan derma yang telah kita beri untuk dipulangkan kembali pada kita.

Dalam PS, setiap kali kita beri orang lain makan, kita akan dapat 2 syiling, dan 17 Paw Point. Jika kita beri hadiah, ikut berapa banyak hadiah yang kita beri, kita akan dapat award sebagai orang yang pemurah :D

Kawan-kawan dalam senarai Facebook saya masih ramai yang dah ada pet, jadi jiran-jiran pet saya dalam taman masih kurang.

Saya perlukan jiran untuk saya lawat dan dapat Paw Point untuk naik level dan tambah bilangan bilik! (Perabot, barang elektrik dan perkakasan lain pun saya masih tak mampu nak beli, nak tambah bilik konon)

Jadi, marilah kita sama-sama main Pet Society :D

Monday, April 06, 2009

kehilangan dan penggantian

Ingat tak pada 2 ekor kucing yang kami jumpa dan mula pada hujung tahun lepas seperti yang pernah saya ceritakan dahulu?

Pulang ke rumah, saya menerima berita yang menyedihkan.

Si Kelabu (Bu) dah mati kena langgar kereta semasa saya dah di sini. Kata Amir dah lama. Tak sempat besar.

Saya sebak juga semasa mendengarnya. Terbayang saat Bu dan Si Hitam (Tam) bermain-main bersama dahulu. Saling kejar mengejar, bergurau senda. Makan bersama, tidur pun bersama.

Aliah kata Bu dilanggar kereta dan tercampak ke tepi pagar rumah kami. Pemandu kereta dah minta maaf.

"Habis tu berdarah-darah tak?"

"Tak. Mak kata luka dalam."

"Aliah nangis tak?"

"Nangis. Sikit-sikit."


Aliah sambung, "Pastu mak tanam Bu. Tam tengok je. Petang-petang, Tam duduk kat tempat Bu kena tanam."

"Bu dah tak ada. Rindu kat Bu..."


* * *


Masa mula-mula menjejakkan kaki ke rumah, Tam belum tidur. Saya terkejut. Tam dah besar! Dia macam tunggu kami pulang. Dia mengiau depan pintu. Abah suruh Amir bagi kucing makan. Saya temankan.

Di dapur, Tam sibuk mengiau-ngiau sambil gigit-gigit perlahan jari kaki saya. Tak pasti kenapa. Mungkin dia ingat saya orang asing. Atau mungkin dia rindui saya? Mungkin juga nak bercerita, atau mengadu kehilangan teman akrab.

Hari Sabtu, Tam dah tak gigit-gigit dah.

Tam dah nak jadi mak kucing. Dia bunting. 3 bulan lepas, dia masih anak kucing lagi.

Cepatnya kamu besar.

Tam dah tak seaktif dulu. Dah tak melompat-lompat, dah tak berlari-lari. Mungkin dah tak daya. Perut berat. Tapi mata dia masih melilau bila nampak cicak, burung atau rama-rama seolah nak tangkap.

Kalau daya rasanya memang kamu dah tangkap.

Tam pun dah tak tidur bertenggek atas kusyen kerusi lagi seperti yang dia suka buat 3 bulan sebelum ni. Dah tak muat agaknya. Sekarang Tam boleh tidur di mana-mana. Tam dah boleh tidur dalam rumah, sebab dia dah pandai ke bilik air untuk membuang.

Tak sabar nak lihat anak kamu nanti. Sekurang-kurangnya kurang sikit rasa rindu pada Bu...

pengalaman balik kampung: kuantan - seremban

Alhamdulillah, saya dah selamat sampai kembali ke Politeknik Port Dickson dari percutian pada hujung minggu di teratak kerinduan di Kuantan. Seperti biasa, pengalaman pertama memang mendebarkan. Yalah, tak jumpa rentak lagi. Tempat orang, masih teragak-agak.

Urusan pembelian tiket masih menjadi hal rumit. Tapi untuk yang pertama kali ini, terima kasih diucapkan kepada sahabat juruteknik saya, Ija yang sudi menapak ke Seremban mencarikan tiket untuk saya.

Malangnya (malang bagi orang Kuantan yang tinggal di Seremban), bas ekspres Seremban-Kuantan tak ada yang terus melalui Bahau (sekurang-kurangnya setakat yang saya diberitahu). Sebaliknya kami perlu melalui Kuala Lumpur dahulu untuk mengambil penumpang lain di stesen bas Kajang dan Hentian Putra.

Katanya penumpang di Seremban yang nak ke Kuantan tak ramai. Rugi jika terus ke Kuantan. Sebab itu mereka ambil juga penumpang dari Kuala Lumpur. Selain ke Kuantan, bas itu juga hantar penumpang ke Kuala Terengganu. Sebetulnya dari Melaka dan sampai ke Kota Bharu. Tapi perancangan dan aturan itu mungkin berubah ikut keadaan.

Dan harapnya, menjelang musim perayaan, akan ramailah orang Kuantan di Seremban yang akan menampakkan diri untuk menggunakan perkhidmatan kenderan awam ini. Supaya, tak perlulah saya sampai 6 jam di dalam bas! Rekod perjalanan terlama sehingga kini. Tolak ke Kota Bharu untuk mejlis perkahwinan Nizal sekali dahulu.

Sejak dapat tiket lagi telah timbul persoalan. Harga tiket pergi balik lain-lain! Bezanya bukan setakat 10 sen seperti perbezaan tiket antara syarikat bas ekspres Kuantan-Kuala Lumpur untuk pengalaman sebelum ini, tetapi 80sen. Untuk syarikat yang sama!

Seremban - Kuantan RM24.20
Kuantan - Seremban RM23.40


Apakah yang berbeza antara 2 perjalanan? Jarak? Penggunaan minyak (mungkin ya, tapi dah tahu sebelum digunakan?)? Tol?

Yang pasti saya beli kedua-dua tiket ini dari syarikat yang sama dan kedua-dua perjalanan melalui jalan yang sama.

Pulang Jumaat lepas pada jam 8.30 malam dan tiba di Terminal Makmur pada 2.30 pagi. Pulang kembali ke sini pada 1 pagi tadi dan tiba di Terminal One pada 5.45 pagi.

Tanpa pulang ke rumah kuarters, saya yang dah terus siap berbaju kurung terus ke pejabat pagi ni. Sekarang boleh bertahan tanpa rasa mengantuk walau ada sedikit lesu. Cuma, dah tak sabar nak pulang rehat di rumah!

Selepas ini? Saya masih belum serik untuk pulang. Walau jauh, perjalanan pada malam hari kurang terasa. Dan cuti yang singkat selama 2 hari tanpa sebarang cuti rehat itu masih menghiburkan dan mengasyikkan!

Tak sabar untuk pulang lagi bulan hadapan.

Friday, April 03, 2009

jadilah pemandu berhemah

video

kemahiran sosial

Saya baru lepas marah orang. Ya, saya yang kalian tak pernah nampak marah-marah ni.

Saya cukup geram dengan penghantar pos laju yang tiba-tiba telefon saya dan marah-marah.

Dahlah nombor yang telefon saya tu tak dikenali. Tiba-tiba saja tanya, "No rumah awak 23 Lorong 15 kan?"

Saya tanya siapa. Baru dia nak kenalkan diri, dia dari kurier (apatah nama syarikat dia).

Lepas tu, dia sambung, "Boleh tak saya tinggal je barang awak ni kat luar? Orang kat dalam rumah awak tu terjenguk-jenguk, tapi tak nak keluar. Saya dah tunggu 5 minit ni, banyak lagi barang saya kena hantar!"

Saya terkesima kejap. Yalah, saya yang tak tahu hujung pangkal cerita. Tahan marah. Dan terus keluar..

"Boleh tak kalau cakap dengan client tu biar berbudi bahasa sikit? Orang dalam rumah tu mungkin semua kecil-kecil, takut nak keluar. Saya bukan ada di rumah."

"Awak ada kat mana?"

"Port Dickson."
Macam mana agaknya respon dia. (Bagi yang tak tahu, rumah saya di Kuantan, tapi sekarang sedang bekerja di Port Dickson)

"Kalau macam tu saya letak jelah barang awak kat luar ni ye? Karang kalau kawan awak keluar, pepandailah dorang nak ambil barang ni."

"Kawan? Tu rumah keluarga saya, bukan rumah kawan-kawan. Nanti saya telefon rumah tanya."


Saya telefon rumah. Adik darjah 5, Ayuni, angkat. Saya tanya, tak ada orang ke di rumah? Dia jawab, ada, Amir (adik tingkatan 2). Amir walaupun tingkatan 2, tubuhnya kecil dan belum yakin diri untuk urus surat semua.

Dia telefon lagi.

"Macam mana?"

"Saya dah tanya. Memang rumah tu cuma ada adik-adik saya. Emak dan abah belum balik. Muat tak surat tu nak letak dalam postbox?"

"Tak muat."

"Tak apalah, letak saja bawah atap mana-mana."
Saya tak ada di rumah. Dah hampir 3 bulan pun tak pulang. Saya tak dapat agak jika ada tak van di perkarangan.

"Ok, saya letak ajalah bawah atap rumah awak ni." Terus letak.

Dalam hati.. saya rasa nak menyumpah (astaghfirullah, masuk neraka saya karang). Tapi lebih pada rasa kecewa dengan kemahiran sosial pekerja syarikat yang perlu berhubungan dengan orang ramai terutamanya pelanggan syarikat tersebut.

Bukankah dengan adanya pekerja seperti itu akan memudaratkan nama baik dan kredibiliti syarikat, walaupun syarikat tersebut syarikat antarabangsa?