Tuesday, August 24, 2004

tekno

Dah banyak hari aku 'puasa' internet. Hari ini, seperti satu hari sebelum ini [tak ingat bila], satu kampus offline. Akibatnya, kelas² kami yang menggunakan khidmat internet turut terbatal.

Sempena 3 hari graduasi, perkhidmatan perbankan pun sibuk. Wang tak boleh dikeluarkan. Nasib baik ada 'driver' yang sudi membawaku keluar kampus semata² untuk mengeluarkan wang [kalau tak, puasa dalam erti kata sebenar lagi aku].

Contoh² pengaruh teknologi dalam kehidupan.

Teknologi sememangnya mempermudah. Namun, tanpanya, boleh jadi amat rumit. Manusia jadi terlalu bergantung pada teknologi. Jadi kekok untuk mengusaha sendiri.

[Bila kredit telefon bimbit tiada, mulalah pelbagai andaian negatif dibuat -- merajuklah, marahlah, sombonglah, tak nak kawanlah... heh!]

Blog ini juga satu aplikasi teknologi. Yang aku tahu ada perkara yang tak boleh disampaikan berdepan dengan mudahnya dapat disampaikan di sini. Cuma, aku bukanlah bergantung pada blog semata. Bimbang maksud tak sampai ;p

Jadi, ujaran aku pada hari ini:

Lelaki, jagalah kualiti diri anda.

Bukan nak mulakan diskriminasi. Cuma nak menegur pada yang tak selera dijamah dek mata dan telinga.

Lelaki ni bakal ketua keluarga. Akan jadi contoh akhlak pada isteri dan anak². Walau tak tahu bila masanya lagi, penilaian seorang gadis pada bakal raja hidupnya bermula sekarang.

Anda nak mengiyakan saja penyataan lelaki lambat matang?

Cuba²lah berubah ya?

Saya tahu anda bijak² belaka. Sembilan akal kan? Pandai benar membezakan baik buruk perlakuan berbanding kami, rusuk yang bengkok ini [walau kami rusuk anda]. Tapi, kadang², anda terlalu mengabaikan kelemahan yang kecil.

Janganlah asyik nak merajuk, rampas sifat manja kami -- buruk benar.

Janganlah berlawak sehingga menjatuhkan keperibadian sendiri -- libatkan persepsi kami pada anda.

Janganlah terlalu mementingkan diri sendiri saja -- ada yang jauh hati nanti

Dan, janganlah buat² tak faham bila dah ditegur. Anda kan tak suka bila orang ingatkan banyak² kali?


Itu saja buat kali ini. Jika ada yang terasa tu, baguslah. 0-0 k?

Oh, ada sedikit ucap selamat.

Selamat hari ulangtahun kelahiran ke-20 buat dua sahabat lelaki saya, Amran (24 Ogos 1984) dan Faheem (25 Ogos 1984). Semoga kalian sentiasa diselimuti kebahagiaan dan kegembiraan bersama mereka yang tersayang; keluarga dan sahabat [dan ... (jika ada) ;p]. Selamat menempuh dekad baru hidup. Semoga kita sama² dapat mencari semula perjanjian dengan Allah yang hilang. Insya4JJ1!

Sunday, August 22, 2004

nasyid

Jumaat, 20 Ogos yang lepas, aku ke tapak pesta Convest [seperti hari² lain]. Bersama Dalela, rakan sehati sejiwa[ng], kami menjadi antara yang terawal yang hadir sebagai penonton konsert nasyid sempena Convest UIA ke-20 ini. Walau bermula hanya pada jam 9.45 malam, kami bersila di bawah kanopi Cultural Stage sejak jam 8.15 lagi [tak perlu hairan kan?]

Sebelum persembahan bermula lagi kami telah terhibur dengan lagu² nasyid yang diperdengar ke seluruh Convest Hill.

Terpana benar aku mendengar alunan nasyid daripada Mestica, UNIC, dan IN-TEAM [jika mendengar kaset sahaja pun boleh diulang beberapa kali...,]. Sesekali gelak tawa menjadi pengisi suasana apabila para artis membuat lelucon.

Hafiz menjadi tumpuan untuk persembahan UNIC kerana keramahannya [boleh baca: kerana Bazli 'budak KISDAR' sentiasa menjadi mangsa usikannya]. Yang tak tahan, tengah² menyanyi siap berpossing untuk para peminat mengambil gambar mereka :)

Status perkahwinan Fitri pula bukan lagi satu kesamaran apabila Hafiz memberitahu bahawa Fitri keseorangan hari itu kerana isterinya pulang ke Singapura. Perancangannya, ekonomikal, misscall 3 saat tanya khabar. Mengapa perlu? Oh, nak tambah ahli keluarga :) Malu Fitri diusik Hafiz dan Bazli.

Kenapa ada satu nama yang tak tersebut ya?

Oh, Wan Shah semenangnya pendiam. Penampilannya yang berjambang nipis malam itu menonjolkan imej lebih dewasa [atau Wan sedang bermasalah?]

Untuk IN-TEAM pula, Suhaimi menjadi tumpuan dengan lawak yang bersahaja, terutama sewaktu memberi komen mengenai persembahan dua brothers yang dijemput ke pentas menunjuk bakat menasyid mereka. Jika pengurusan Hijjaz Music Entertainment (HME) ada, pastinya mereka ada peluang menjadi artis rakaman seperti permulaan kepopularan Hafiz UNIC di matrik UIA dahulu [aku turut menyaksikan].

Dua daripada ahli IN-TEAM iaitu Rahim dan Hazamin akan turut menerima sijil graduasi pada tahun ini. Tinggal lagi Shah untuk menyudahkan semester terakhirnya di sini.

Kak Yanti, 'orang rumah' abang Amin (Hazamin) turut berada di situ bersama anak mereka, Anan [kalau tak silap]. Zaiti, adik Hazamin, salah seorang ahli Kelab Komputer di matrik dulu turut hadir.

Maaflah, tak sebut banyak pasal Mestica sebab aku tak tahu banyak pasal mereka. Tapi ada juga bergambar dengan 'cikgu' :)

Setiap kumpulan setia mempromosikan produk terbaru keluaran mereka. Mestica dengan 'Sendu Sendawa'nya, UNIC dengan telemovie 'See You Di IPT'nya [dah tonton -- hihihi], IN-TEAM dengan 'INTEAM '04'nya. HME semakin lama semakin mantap!

Ish, manalah si Hafiz ni? Habis persembahan saja terus lesap. Nak kata tak boleh masuk lewat ke matrik, weekdays memang tak boleh keluar. Lagipun Fitri masih di sana waktu itu. Atau Fitri tinggal di luar kampus?

Perbezaan terbesar sambutan nasyid [mungkin untuk IN-TEAM dan UNIC] antara di sini dengan di matrik dahulu, sangat sedikit pelajar yang bersama dengan artis² ini setelah habis persembahan. Seolah² mereka tidak hairan lagi dengan kehadiran penasyid² ini. Atau mungkin kerana ini konsert percuma yang tak perlu dimanfaatkan sepenuhnya?

Dengan Mira, silap oranglah. Kipas-susah-mati-nasyid nih :)

# Menunggu Dalela untuk cuci gambar² kami bersama artis² kesayangan kami.

jawapan

Ada yang bertanya.

Kenapa aku menulis sebegitu?

Jika ada yang tak mengenali diriku yang sebenar, pasti mereka menganggap ada sesuatu yang mengganggu fikiranku sekarang.

Adakah?

Mungkin.

Tapi aku menulisnya bukan saja², bukan sekadar suka².

Dia kata dia akan mengalami kejutan budaya jika belajar di universiti ini. Sangat Islami katanya. Perempuan dan lelaki bukan muhrim tidak terlalu bebas tangan²nya. Tenang jika belajar dalam suasana sebegini.

Kau tak tahu banyak, kawan.

Aku yang terlebih tahu ini yang tertekan. Tak selesa. Sentiasa risau jika kekurangan ini dipergunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Nama Islam dalam rangkai nama universiti ini tidak memberi apa² kesankah?

Memang, aku tahu, tahap sosial di sini masih dalam kawalan jika dibandingkan di tempat² lain.

Dan jika dibandingkan dengan sekolah lama aku, walaupun memang disiplin dan tatasusila di sini kurang, aku faham, masing² dah 'besar', dah ada pelepasan. Kononnya dah cukup matang untuk tahu membezakan yang mana baik yang mana buruk.

Aku tak maksudkan pada semua. Sesetengah saja. Sesetengah yang turut membawa nama sebagai orang Islam. Muslim. Lebih² lagi belajar pun di institusi Islam.

Sedih. Dan takut, jika aku akan turut hanyut. Hilang kesedaran.

Kerana itu aku perlu halaqah. Perlu teman untuk mengawasi dan sentiasa dapat mengingatkan aku mengenai hakikat kehambaan.

Cuma, memang payah... mencari teman sebegitu. Aku perlu menjadi penyokong terkuat untuk diri sendiri.

Untuk diri sendiri, aku iakan kata² Dr. Fadzillah Kamsah, bersahabat dengan yang bukan muhrim akan buat seseorang jadi pelupa, lalai, jadi kuat syahwat. Cukup sebagai saved by the bell aku.

Buka skop.

Di hospital², setiap hari pasti akan ada gadis Melayu yang melahirkan anak tanpa bapa.

Tidak terkesan lagi di hati² kalian?

Bila lagi Islam akan kembali dihormati dan disegani di mata dunia?

:-?

# Hati², no more miss nice gal. Aku akan hulur tangan untuk bantuan selagi hati ini bergerak selari dengannya. Insya4JJ1

Tuesday, August 17, 2004

ikim

IKIM.fm cari juara lagu nasyid

Kuala Lumpur 6 Ogos - Buat pertama kalinya, pencarian juara lagu nasyid diadakan pada Anugerah Carta Nasyid Ikim.fm 2004 yang akan diadakan pada 21 Ogos ini, di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, membabitkan sembilan kumpulan dan seorang artis nasyid popular bersaing sesama mereka. Persaingan menerusi 10 lagu yang masuk ke peringkat akhir itu diambil berdasarkan pencapaian konsisten dalam carta lagu nasyid yang diadakan setiap minggu di saluran IKIM.fm sejak ia dimulakan 11 Oktober 2002.

Kumpulan yang layak ke peringkat akhir ialah Raihan melalui lagu Untuk Mu Palestin, Rabbani (Handzalah), Hijjaz (Sumayyah), Saujana (Rahmat Kasihmu dan Lakaran Minda), Unic (Ke Makam Bonda), Firdaus (Ratu Hati), In-Team (Damba kasih), Nowseeheart (Hijrah) dan Amar (Cebisan Kenangan).

Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob, berkata Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm yang akan dijadikan acara tahunan bertemakan Membudayakan Warisan dalam usaha menyampaikan mesej Islam menerusi irama nasyid.

“Tema ini dipilih bagi menepati aspirasi kegemilangan tamadun dan budaya Islam yang selaras dengan hasrat kerajaan. Nilai estetika dapat dihayati melalui kesenian serta hiburan yang dipersembahkan menerusi maksud lirik, lagu dan ketrampilan nasyid masa kini.

“Anugerah ini bermula dari segmen Carta Pilihan Utama Nasyid yang disiarkan setiap Jumaat, bermula jam 10 malam sejak 11 Oktober 2002 yang dicetuskan ideanya oleh salah seorang penerbit stesen ini, Mohd Erwan Johari sekali gus turut bertindak sebagai penyelaras Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2004.

“Carta Pilihan Utama Nasyid hanya membabitkan lagu nasyid tempatan. Dalam tempoh tertentu, segmen ini sudah pasti memerlukan klimaks dalam bentuk menentukan Juara Pilihan Utama Nasyid. Motif mengapa Anugerah Carta Nasyid IKIM.fm 2004 perlu diadakan bukan sekadar sebagai acara kemuncak carta pilihan ini semata-mata tetapi bagi membuktikan lagu nasyid juga sebenarnya mempunyai nilai tersendiri di kalangan masyarakat.

“Sebagai stesen radio baru, anugerah ini adalah percubaan pertama seumpamanya di Malaysia, selain objektif penganjurannya ialah menampilkan Ikim.fm sebagai medium penting bagi lagu nasyid yang disebarkan untuk berdakwah, mengetengahkannya sebagai salah satu usaha dakwah berkesan terhadap seluruh lapisan masyarakat dalam mendidik ke arah kefahaman Islam sebenar menerusi mesejnya. Ini penting bagi memberi pengiktirafan nasional kepada penggiat industri nasyid di negara ini.

“Pemilihan lagu ke peringkat akhir berdasarkan dua ciri iaitu lagu yang kerap menjuarai carta dan lagu bertahan lama. Sebanyak 10 lagu layak ke peringkat akhir menerusi sembilan kumpulan dan seorang artis mewakili individu. Pecahan kategori anugerah adalah tiga lagu terbaik untuk tempat pertama, kedua dan ketiga, selain penulis lirik terbaik, persembahan terbaik serta lagu paling banyak menjuarai carta dan lagu paling lama bertahan dalam carta.

“Selain hadiah wang tunai, pemenang diberikan trofi, sijil dan buku terbitan Ikim. Peminat nasyid dipelawa menyaksikan konsert ini kelak dengan tiket percuma boleh didapati di ibu pejabat IKIM di Jalan Duta Kuala Lumpur,” katanya pada siang media, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Tuan Haji Nik Mustapha Nik Hassan dan Pengarah Radio IKIM.fm, Asa'ari Mat Noh serta beberapa kumpulan nasyid yang layak ke peringkat akhir. Undian menentukan giliran persembahan setiap kumpulan juga diadakan sempena majlis itu.

Datuk Dr Abdul Monir berkata, artis undangan yang akan mengambil bahagian sempena Anugerah Carta Nasyid Ikim.fm pada 21 Ogos ini ialah D’Hearty dan Alarm Me.

“Kita berharaqp anugerah lagu nasyid akan memberi satu anjakan paradigma dan dimensi baru terhadap imej lagu nasyid,” katanya.

www.ikim.gov.my

Thursday, August 12, 2004

da'wah

Da'wah adalah mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Dalam Islam, da'wah adalah satu kewajipan, sama ada dilakukan secara individu atau secara berkumpulan (berjemaah). Keutamaan diberi atas umat Nabi Muhammad S.A.W. sebagai umat yang terbaik antara semua manusia.

"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyeru kepada kebaikan, serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang² yang berjaya."
(Surah 'Ali Imran: 104)

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik² umat yang dilahirkan sebagai (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada berbuat segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar² iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) Antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan daripada mereka orang² yang fasiq."
Surah 'Ali Imran: 110)


Apa beza kita dengan Yahudi atau Nasrani seperti dalam ayat - jika kita juga bersifat fasiq - Islam hanya pada nama, tapi ingkar pada arahan Allah dan ajaran Rasul?

Seringkali kita mendengar...

"Iman aku lemah. Aku tak mampu menegur mereka."

...apabila dipersoal akan pengabaian mereka terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mata.

Kononnya mengikut sunnah, kata Nabi...

"Barangsiapa yang menyaksikan kemungkaran dan mampu mengubahnya dengan tangan, maka hendaklah dia mengubahnya. Jika tidak berupaya, hendaklah dia mengubahnya menggunakan lidah (menegurnya). Jika tidak berupaya, hendaklah dia membenci perbuatan itu dalam hati; itulah selemah² iman."

Tapi, sampai bila hendak dibiarkan iman itu di takuk lama?

Bak kata orang moden sekarang, bila nak upgrade?

Asyik kata diri sendiri tak cukup baik untuk menegur. Bila nak jadi yang lebih baik sekurang²nya daripada diri sendiri yang semalam?

Islam itu moden. Bahkan Islam itulah yang mendatangkan kemodenan, ilmu, cahaya penyuluh pada kejahilan. Islam bukan setakat tradisi, bukan mitos atau dongengan semata. Islam itu adalah cara hidup. Yang selama²nya sesuai diamalkan. Bukan hanya pada umat Islam, tapi pada semua 'jenis' manusia, di mana² jua.

"Maka yang mana satu antara nikmat² Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan?"
(Surah Ar-Rahman)

Islam hari ini makin dianaktirikan oleh dunia [sekurang²nya oleh mereka yang mengaku menguasai dunia dalam segala hal]. Islam semakin ditindas. Islam semakin dipandang serong. Islam tidak lagi dianggap berkuasa [kerana Islam pernah menguasai dunia satu ketika dahulu]. Islam tidak lagi dihormati.

Sanggupkah kita terus hidup dalam situasi begini? Dalam keadaan Islam yang suci dicemuh dan diperlekeh waima oleh mereka yang 'jahil' dan tidak mengetahui?

Ubahlah dunia ini. Selamatkanlah bumi daripada terus berada dalam kesesatan.

Mulakanlah dengan mengubah diri.

Ubah rakan². Tegurlah yang mana patut. Yang mana mengikut kata iman adalah kebenaran. Kau tahu itu, bukan?

Memang ini adalah satu da'wah. Tapi juga adalah jihad jika yang dida'wah telah maklum akan kebenaran tetapi kebenaran itu tidak menjadi amalan. Ramaikan dalam golongan ini? Fasiqkah mereka? Atau cuma terkubur dalam kelemahan terbesar manusia, kealpaan (nisyan) dan kelalaian (ghaflah)?

"Dan sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi dia lupa; dan Kami mendapati dia tidak mempunyai keazaman yang teguh."
(Surah Ta Ha: 115)


Ya Allah! Bersihkanlah hati² kami daripada sebarang rasa riak dan iri. Semoga kami sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan dan rahmat-Mu! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk menyebarkan kebaikan dan menghalang kemungkaran seperti yang telah Kau tugaskan kepada kami.

Sunday, August 08, 2004

hati ini...

Seindah pelangi
Seharum kasturi
Segalanya bermula di sini
Segalanya bermula di hati...


Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah...

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Hati. Raja jasad dan roh. Dan akal, menteri penasihat hati. Sangat penting untuk terus dalam keseimbangan dan kesedaran.

Remaja. Sinonim dengan kemuncak perasaan yang dikata fitrah. Yang dikata tak dapat lari daripada walau ke hujung dunia.

Cinta.

Perempuan. Aku wakili mereka [kalian]. Mencari cinta lelaki kerana ingin merasa sayang; disayangi dan menyayangi. Kami, tidak sewenang²nya dapat menyerahkan hati kami [sebahagian] kepada sesiapa. Alangkah bertuahnya seseorang lelaki yang disayangi. Sukar untuk kami berpaling mencari yang lain.

Alangkah malangnya seseorang yang tidak disayangi sesiapa. Lebih malang lagi jika seseorang tidak menghargai kasih-sayang yang telah diberi.

Lelaki. Maaf. Tapi aku berkata melalui apa yang aku dapat lihat sekarang. Di sekeliling aku. Tak pernah jauh dari sehasta pandangan. Seolah² ada satu wabak. Penyakit-berjangkit. Yang menjangkiti seorang demi seorang rakan² lelaki aku. Lelaki² remaja ini.

Kalian seolah² tidak dapat hidup sempurna tanpa teman wanita. Seolah² teman wanita ini satu keperluan yang perlu ada. Seolah² kami umpama barangan yang mudah saja diperoleh di mana². Tanpa perlu membayar dengan harga sebuah cinta.

Bukan semua. Aku tahu. Kau, yang membaca ini. Tak perlu terasa banyak. Kerana kau cuma salah seorang daripada yang dimaksudkan. Kenapa jadi begini ya? Kerana kau iri dengan rakan² yang punya tempat bercerita dan mengadu masalah, tidak kau? Atau kau rasa tertekan dengan ketidakhadiran 'teman' bukan sejantina dengan kau sedang orang lain punya seseorang? Atau maruah, harga diri dan ego kau jatuh disebabkan kekurangan ini? Kenapa? Why? Limaza? Kiu?

Kau, yang sudah berpunya itu! Kau tak terlepas ya? Kau masih punya kuota kan?

Cukuplah. Cukuplah! Berhentilah! Janganlah dipermainkan lagi perasaan perempuan... tolong...

...

Bercintalah. Aku tak halang. Aku takkan boleh halang. Dan aku memang tak patut halang.

Tapi, ingat...

Sesungguhnya, cinta suci ialah cinta yang tidak akan melalaikan seseorang terhadap Penciptanya.

...

Aku pernah melakukan kesilapan. Aku pernah menjadi seorang yang sangat pendiam, pemalu dan pasif.

Aku tidak menyesal kerana telah membuat anjakan untuk menjadi lebih peramah dan aktif.

Tetapi, aku agak terkilan kerana telah kehilangan sedikit rasa malu aku pada lelaki. Terutama yang bukan muhrim. Malu. Harta paling bernilai yang payah untuk aku tebus kembali.

Aku baru saja merasai sebuah persahabatan dengan lelaki. Perkenalan ini memberi titik tolak pada aku untuk berubah. Aku tidak selama²nya ingin dikenali sebagai 'tak sporting'. Aku ingin menjadi 'outgoing kinda person'. Aku ingin seperti sahabat²ku yang lain.

Dan, ya, percubaan yang agak berjaya.

Dari satu sudut... apabila aku menjadi tidak kesah untuk berdamping dengan lelaki. Berjalan berdua² di tengah ramai [dah tentunya! -- aku belum sejahat yang kalian mula fikir]. Tiada perasaan. Terasa seronok kerana punya sahabat lelaki. Sangat bebas. Keluar dari kepompong. Layanan aku, seolah² seperti melayan kawan² perempuan. Tak lebih dari itu. Aku senyum pada waktu itu. Mula tercipta frasa 'main tukar²' [walaupun aku memang bergurau].

Kemudian aku sedar. Aku rasa kosong. Seolah² amal ibadah yang aku usahakan tiada makna. Resah, tak tenang.

Aku bukan budak² lagi. Zaman untuk aku bergaul bebas telah berlalu. Walaupun aku tak pernah memanfaatkannya. Aku terlewat. Kerna itu kalian tidak juga boleh salahkan aku sekarang.

Tak boleh! Kita ada agama. Ada batas. Memang tak bersentuh-sentuhan. Tapi berdua²? Bukankah sentiasa ada pihak yang ketiga? Ingatkah kalian? Kalian ingat bukan?

[Lantas, aku minta maaf pada sesiapa yang tidak sempat bersama aku tika kealpaan -- eh, aku masih terima tetamu -- cuma bukan sendirian atau di luar kawasan kampus -- nak cuba kurangkan]

Aku tak salahkan orang yang bertanggungjawab membuka kepompong aku. Kerana tanpa dia, aku tidak akan kenali diri. Aku tidak akan insafi diri. Aku tidak dapat muhasabah diri...

Dan aku, tidak akan pernah begitu pasti akan kedudukan hati aku...

Terima kasih. Kerana tanpa panas, tiadalah sejuknya. Tanpa buruk, tiadalah baiknya.

Astaghfirullah! Leka betul aku sehingga menjatuhkan kedudukan Pencipta selepas manusia. Air mata yang pernah jatuh, bukan untuk Dia, tak pernah untuk Dia, tetapi untuk manusia. Astaghfirullah!

Bukan keluarga, bukan sahabat², bukan kawan atau lawan. Tapi Dia. Yang mencipta hati ini. Mencipta roh ini. Mencipta jasad ini. Mencipta kalian, sahabat² yang aku sayang. Mencipta langit dan bumi, dunia ini, alam semesta ini!

Mudah saja baginya menarik semula nikmat² yang dipinjam sementara ni. Ya Allah!

Sahabat² yang aku sayang, aku cuma memulangkan kembali kesedaran yang hilang. Dan yang mungkin turut akan tercicir semula daripada hati ini [nauzubillah -- peringatilah aku!]. Kerana aku tak mungkin akan dapat menghalang balasan Allah atas kemurkaan-Nya.

----------

Sahabat² perempuanku, ingatlah. Tanpa kedatangan Islam, kita sebenarnya adalah barangan yang punya tuan. Tuan yang terdiri daripada kalangan spesis homosapien juga. Manusia. Kita ada harga. Yang turun naik mengikut keadaan. Kita boleh dibeli dan dijual. Kita tidak langsung mampu bersuara.

Tapi Islam telah mengangkat darjat kita. Bukan lebih tinggi, tetapi setaraf dengan lelaki. Kita juga insan. Yang akan diuji pelbagai rintangan dan halangan. Dan juga bakal dihisab pada hari kebangkitan kelak.

Lalu, bersyukurlah kita kerana diberi nikmat yang amat besar ini.

Kau bertanya perempuan yang macam mana menjadi buruan lelaki? Cuba tanya diri sendiri. Perempuan yang macam mana yang kesan sejuk dan damai melalui pandanganmu akan turut dirasai hati?

Ya, perempuan sebegitu. Seperti sebiji epal yang bebas ulat, belum terusik, dibungkus elok. Enak dan ranum. Berbaloi bayar untuknya.

Cuma kau harus faham. Perempuan sebegitu dibuat isteri. Bukan dibiar lama berdampingan sebagai 'teman wanita yang setia'.

----------

Aku bersuara melalui diari lalu, bukan untuk mengaibkan diri. Tapi untuk berkongsi apa yang aku peroleh supaya nanti aku tidak dipersoal lagi.

Teman, tegur²lah diri sendiri dan teman² yang kita sayangi, yang kita ambil berat.

Islam ini unggul. Agama yang pernah menakluk dunia dalam masa 100 tahun sahaja. Akidah para sahabat ketika kebangkitan Islam tidak pernah boleh dipertikai, apatah lagi akhlak mereka. Bagaimana kita? Masih bergelut dengan akhlak...

Sahabat, tegakkanlah kembali agama yang benar ini. Janganlah disia² perjuangan para Nabi dan sahabat, teman...

P/S: Aku perlu sokongan yang teguh. Aku perlu halaqah. Aku perlu sentiasa diingat²kan. Tolong ya?

Friday, August 06, 2004

cinta?

cinta ingin memiliki...

cinta tak bleh berpisah... hilang di mata... dekat di hati..

cinta cinta.. pabila bersame .. hilang segala duka


suke... ingin melihat yang lain ketawa

suke.. dekat di mata.. pabila jauh.. kan dilupa..

suke... pabile bersame.. terasa gembire.. namun duka tetap ada..


tapi disebalik cinta ... dan suka.. ada sayang...

sayang... ( kerana sayanglah saya dilukakan dan melukakan) , kerana sayang itu tak ingin memiliki, tapi lebih tinggi dari itu..

dalam sayang.. diri sendiri tak penting... yang penting yang tersayang bahagia... yang terbaik untuknya... kalau diri tak layak.. biar yang lain menemani

kerana sayang... biar kita menangis... asal dia ketawa..

sebab sayang.. tak ada tamak.. yang terpenting adalah yang disayangi

as we love not for others sake... we love cause the feeling...

in love ... theres must be an option... wether to be love... or not to be in love...

we must obey the law... if she loves us... and we love her too... its not just end there...

we also must think about the best... wether we are the best for her or not...

cause i said before... love is giving the best...

if we are not the best... just let her go to the best..

love is to cry .... and she s laughing...


cillc
Dipetik dari sbudinet [forum yang akan turut 'bercuti' bila kami bercuti :) ]

Baca dulu. Hayati. Lain kali saya tulis pepanjang. Nak keluar dah ni. Nak balik Kuantan! :)

Selamat bercuti. Jaga diri bebaik. Bak kata cikgu Mascitah, balik nanti biar 'sempurna', jangan hilang sana-sini.

Ketemu lagi.

Salam.

cuti & periksa

Musim cuti. Sangat ditunggu² oleh pelajar.

Musim peperiksaan. Pun sangat 'ditunggu²'.

Tiba musim peperiksaan ni, tingkah laku tu jagalah sikit. Bukan tak perlu jaga pada masa² lain. Tapi, bimbang perlakuan anda akan mempengaruhi prestasi anda dalam peperiksaan. Bimbang ilmu tak berkat, bimbang ada yang sakit hati dengan kita... dan bimbang jika mulut pembawa bencana!

Betul² sebelum masuk dewan [kelas] peperiksaan ni [nota ada di hadapan mata]. Sempat lagi...

"Madam ni, dahla tak tau mengajar, buat soalan susah² pula tu. Kalau tau mengajar tak apa juga"
"Eh, tengok, sister tu jalan kengkang la"
"Pergh, silaunya tudung!"
"Wei, aku tak puas hatila dengan..."
"Tau tak si... tu..."


Macam mana nak husnuzzon lagi jika dah berlaku depan mata?

Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah!

Tengoklah kiri kanan. Jika hanya terdetik di hati, saya tak boleh kata apa. Sebab memang saya tak tahu. Cuma, walau saya tahu, saya tak mampu nak tegur. Bimbang dia malu. Lagipun, saya tahu, ilmu agamanya lebih daripada saya. Saya cuma senyum membenci.

Teringat kata² Dr Fadzillah Kamsah: "Orang yang menjadi mangsa umpatan sepatutnya memberi hadiah pada yang mengumpat kerana 'menyedekahkan' pahala kepadanya. Silap haribulan apabila habis pahala ditarik, dosa mangsa pula akan diberi padanya"

Nauzubillah...

Sahabat, orang yang paling rugi ialah orang yang tidak mengamalkan ilmu yang dipelajarinya.

Thursday, August 05, 2004

hatinya untuk siapa...

Di hadapan orang yang kita cinta,
hati kita akan berdegup kencang...
Tapi di hadapan orang yang kita suka,
hati kita akan gembira...

Di hadapan orang yang kita cinta,
musim sentiasa berbunga-bunga...
Di hadapan orang yang kita suka,
musim itu cuma berangin sahaja...

Jikalau kita lihat di dalam mata orang yang kita cinta,
kita akan kaku...
Tapi jikalau kita melihat ke dalam mata orang yang kita suka,
kita akan senyum...

Di depan orang yang kita cinta,
lidah kita kelu untuk berkata-kata...
Di depan orang yang kita suka,
lidah bebas berkata apa sahaja...

Di depan orang yang kita cinta,
kita menjadi malu...
Di depan orang yang kita suka,
kita akan tunjukkan imej yang sebenar...

Kita tidak boleh merenung mata orang yang kita cinta,
Tapi kita selalu merenung mata orang yang kita suka...

Bila orang yang kita cinta menangis,
kita akan turut menangis...
Bila orang yang kita suka menangis,
kita akan turut membuat dia gembira...

Perasaan cinta bermula dari mata,
Perasaan suka bermula dari telinga...
Jadi, jikalau kita berhenti menyukai seseorang yang kita suka...
Umpama kita membuang telinga kita
Tapi jika kita cuba menutup mata
Cinta berbuah menjadi airmata

Setiap orang yang akan mengalami ini dalam hidup mereka,
Cuma fikirkanlah bersama-sama siapa yang anda cinta...

Tetapi, hakikatnya...
Cinta kepada Allah S.W.T
Adalah lebih hakiki dan abadi...
Kasih sayangmu tuhan itu yang kudambakan
Dengan rahmatku
Ampunilah dosaku..

yan