Saya baru langsai menduduki ujian memandu. Dah tua baru nak ambil lesen kereta :p
Ada sesuatu yang saya pelajari secara tak langsung hari ini.
Dalam pemanduan, kita peka dengan keadaan sekitar. Setiap gerakan manusia dan makhluk Tuhan yang lain, juga bentuk muka jalan yang sering berubah-ubah jadi ujian pada kita.
Encik JPJ berwajah garang di sebelah boleh jadikannya sebagai poin untuk pemarkahan. Jika kita berjaya ambil tindakan yang sewajarnya dengan satu-satu situasi, maka kita akan dapat markah.
Ada pejalan kaki di tepi jalan yang seperti nak masuk ke jalan raya. Ada juga yang tiba-tiba saja ke tengah jalan memungut sesuatu. Ada pula pemandu nakal kenderaan lain yang sengaja mengacah-acah calon yang naik Kancil putih berlogo L di pintu. Ada pula yang baik hati, beri laluan kepada calon supaya gerakan mereka tak mengganggu.
Ada dahan yang tiba-tiba jatuh di hadapan kenderaan kita. Ada juga keadaan filem Hindustan, dedaun terbang ditiup angin kencang, mengganggu pandangan depan. Jika hujan pula?
Ish, dugaan, dugaan. Apa tindakan kita?
Yakin ada yang memerhati, maka segalanya jadi cantik. Tapi mungkin jadi panik sebab masa belajar tak jadi macam ni, jadi cikgu tak pernah ajarkan cara hadapinya.
Hidup juga begitu. Segala tingkah jadi cantik jika kita rasa diperhati dan dinilai. Ada nilai ihsan dan taqwa. Yakin yang Tuhan lihat kita dan berhati-hati dengan setiap tindakan supaya tak dapat 'x'.
Bolehkah kita jadikan keadaan baik-baik saja untuk menyediakan tapak ujian kita? Hari ujian, semua pengguna jalan kena well-behave, tak ada lori sampah dan bas besar yang lembab. Tak ada kereta yang bersidai di tepi jalan. Cuaca pula baik-baik saja.
Kita memang tak dapat kawal. Itulah kerenah alam. Dan setiap satunya sebenarnya jadi poin untuk Tuhan nilai kita. Kita mungkin nampak ia remeh dan seperti tak dikira. Tapi pandangan dan nilaian Tuhan tak akan lepas walau sebesar zarah. Itulah ujiannya. Yang mungkin akan menentukan tempat kita di akhirat kelak.
Cuba pula bandingkan lepas kita dah dapat lesen. Dah tak perlu ujian. Dah tak ada encik JPJ berwajah garang di tepi. Adakah kita masih akan teruskan perangai semasa ujian pemanduan?
No comments:
Post a Comment