Friday, April 30, 2004

Malam ini kita semua menangis (28 April 2004)

Malam ini kita semua menangis...

Malangnya novel ke 69 Ahadiat Akashah, duet bersama Nor Erny Othman ini tidak mampu membuatkan aku yang sensitif ini menangis sama.

Kenapa ya?

Konflik cerita yang bertema-utamakan percintaan, sebetulnya amat ringkas dan mudah. Seperti filem Titanic lagaknya. Jika filem Hisdustan dipanjangkan dengan lagu²nya, novel ini dipanjangkan dengan permainan emosi watak penting (bukan utama) yang bukan setakat dua atau tiga, tetapi empat.

Seingat aku, novel² Ahadiat sebelum ini tidak begitu. Padat dengan peristiwa dengan ayat² ringkas. Sesuai dibaca oleh remaja peringkat bawahan kerana perkataan² yang digunakan mudah untuk difahami.

Selain percintaan (kesetiaan, kepercayaan & pengorbanan), novel ini turut memuatkan tema kekeluargaan dan keruntuhan moral. Jalan cerita agak stereotaip.

Mungkin aku yang perlukan novel triller untuk lebih kepuasan... Ada cadangan?

Alumni (25 April 2004)

Perkara: Alumni Batch Millenium MRSM Kuantan
Tarikh: 23 - 25 April 2004
Tempat: Muara Beach Resort, Balok dan MRSM Kuantan


Pertama kali menjejakkan semula kaki di Maktab Rendah Sains MARA Kuantan, Perkampungan Tok Sira, Alor Akar mengundang pelbagai nostalgia. Kenangan semasa perjuangan mengutip ilmu dalam masa dua tahun di salah sebuah MRSM kedua tertua di Malaysia yang mulai kabur terimbau semula.

Aku tiba di sana seawal jam 3 petang, waktu meja pendaftaran mula dibuka untuk peserta mendaftar. Tiba² ada satu suara yang menanyakan hal kelewatan aku sebagai tuan rumah bandar itu. Siapa? Oh, Exco Agama kita rupanya :) Aku yang lewat atau dia yang awal?

Maktab tak banyak berubah daripada masa kami meninggalkan (aku bercerita seolah-olah jauh benar maktab daripada rumah sehinggakan menjenguk pun tak sempat :) ). Cuma pembangunan sedang diusahakan dengan terdirinya dinding zink sepanjang laluan 'cover walk' sebagai keselamatan. Bangunan baru akan didirikan. Bilangan pelajar semakin ramai. Eh, surau pun dah roboh? Hilang satu simbol kenangan kami.

Aku bersama² Iffah dan Tasha waktu itu, kedua-duanya bekas rakan sekelas dulu. Kelas C1 yang paling best :) Bertemu dengan Nafhatun dan Noramiwati yang tiba lebih awal. Semangatnya! Sekurang²nya hanya itulah jumlah 'pelajar puteri' (putera & puteri - gelaran yang diberi pada kami dahulu) yang hadir dalam satu jam selepas itu. Cuak juga apabila setiap kali ada pelajar tiba, semuanya lelaki.

Ustaz Khaidir, ketua warden pengganti Pak Lan kata, urusetia 'eksyen', tak mahu melantik AJK perempuan. Menyusahkan kata mereka. Amboi, sedap mulut saja... Tak apalah. Buatlah kerja² tu, tak perlu minta bantuan kami. Kalian boleh uruskan semuanya, kan? :)

Oh, termasuk menyediakan 'barbeque' untuk kami sekali rupanya. Sudahnya, kami, 'puteri²' kesayangan ni memang sungguh dilayan sebagai puteri. Hanya menanti dihidangkan makanan. Kecuali satu hal. Hanya disaji pada jam 11 malam, apabila selera makan dah kurang, kelaparan. K-own menyedapkan hati kami dengan meminta kami bersabar setiap setengah jam. Sehingga jam 3 pagi, kalian tinggalkan Hirzi sendirian, menyudahkan semua kerja.

Melalui ustaz juga kami dimaklumkan bahawa Azimah, Nazri, dan Marduiyah punya adik yang sedang belajar di situ. Juga, Abang Arip (Arifuddin) apabila dia meminta aku menyampaikan salamnya pada Alliah Jannah, adik perempuannya yang berada di Tingkatan 4.

Kami menginap di Muara Beach Resort, chalet 180 darjah daripada paling tersohor. Abah pun tak pernah mendengar nama chalet itu. Perjalanan ke sana memakan masa setengah jam dari maktab. Agaknya kerana chalet tersebut yang menawarkan harga penginapan yang paling murah, urusetia mengabaikan kos pengangkutan dan masa yang banyak dihabiskan untuk perjalanan.

Aku sebilik dengan Iffah, Tasha, C'mas dan Syikin. Uzur sungguh keadaannya. Televisyen hanya dibawa masuk apabila kami melaporkan ketiadaanya. Air pula nak taknak keluar. Tiada tuala dan penyangkut baju yang disediakan. Ok. Pendingin hawa dan pemanas air dalam bilik air memang ada. Cukuplah, bukannya lama kami di situ.

"Alah, semua pun nak berurusan...!" K-own berseloroh ketika air sudah diperoleh di bilik.
"Orang dah bayar..." Aku mengomel perlahan. RM 50 maa!~
"Ya lah, ya lah!" Eh, dia dengar?


Sebelum 'barbeque' malam itulah kami, aku, Iffah, dan Tasha bersua kembali dengan satu² wakil lelaki kelas kami yang hadir, Afiq Azul. Wah, sudah lain dia sekarang! Tampak lebih matang daripada kali terakhir dia dilihat dahulu. Kalau nak, sebenarnya kami boleh bertemu di tempat kami belajar di KL nun. Kolejnya cuma bersebelahan UIA. BMI. Entah apa yang jadi penghalang, aku pun tak pernah fikir.

Aku masih ingat. Afiq pelajar ambilan kedua yang mendaftar lebih lewat daripada kami yang masuk pada tarikh cantik 14 Februari 2000. Dia menjadi sahabat paling baik pada Amran mungkin kerana berasal dari negeri yang sama. Dalam kelas, selain Yasser, dialah pencerianya. Tapi bila sampai masa, Afiq boleh jadi begitu sensitif. Keseluruhannya, Afiq memang 'happy-do-lucky'. Memang rugi aku tidak cuba bersahabat baik dengannya. Aku memang bersahabat dengan semua orang, tapi tak pernah sepatah halal bercakap dengan pelajar lelaki! Kan, Afiq?

Walau akan menghadapi minggu peperiksaan pada minggu selepas program, Afiq tetap gagahkan diri untuk hadir. Semangat untuk bertemu rakan² lama mengalahkan kekuatan keadaan diri yang kurang sihat. Malangnya, hanya lebih kurang 40 peserta saja yang hadir. Pelbagai alasan menjadi halangan. Yang ada kelas memang diterima. Ada juga menjadikan masalah kewangan sebagai penghalang. Ada juga yang mengikut kawan. Kalau tidak masakan pelajar kelas C2 hanya diwakili Paan? Abang Arip? Oh, dia masih di matrik UIA, tidak berkesempatan untuk hadir atas alasan pembelajaran. Minggu selepas itu juga dia punya peperiksaan. Dan dia mengambil jurusan Perubatan. Tak boleh main²!

Seawal jam 7.30 pagi Sabtu, kami sebilik telah siap siaga di hadapan chalet sebagaimana yang diminta. Seperti jangkaan, tiada yang lain berada di situ seawal waktu itu. Urusetia pun masih di bilik ketika kami keluar. Jam 8.10 pagi barulah bas baru (aku agak cuma catnya saja yang baru) maktab menunjuk muka, membawa kami ke Taman Gelora. Sangkaanku, selain kerana program Sireh Pulang ke Gagang yang disertai bersama² ANSARA UIA, aku tidak lagi akan merasa menaiki bas MRSM.

Di Taman Gelora, para pelajar Tingkatan 4 dan 5 telah berhimpun menunggu untuk aktiviti pagi itu yang diadakan sempena Minggu Aktiviti Semester 1 2004 berlangsung. Seronok apabila dapat bertemu dengan guru² yang sempat bersama kami dahulu yang ditugaskan mengawasi anak² 'homeroom' masing². Aku jadi sebak. Cikgu Hartini, 'mak' 'homeroom' A tiada lagi, ditukarkan ke Kelantan. Pertemuan kembali dengan Cikgu Fatimah, Cikgu Muzahid, Cikgu Wan Salehaton, dan Cikgu Lela yang pernah mengajar kami sekelas dahulu mengurangkan hiba. Mereka masih mengingati wajah² ini...

Para peserta menyerbu kafe berhampiran apabila kami tidak dibekali sarapan. Untung tauke kedai hari itu. Kami sebilik makan semeja sebelum disertai Hirzi, 'member setia' aku sejak sekolah rendah di Cenderawasih. Terus membawa ke Sekolah Menengah Panglima Perang sebelum sama² mendapat tawaran ke MRSM Kuantan. Hirzi betul² telah berubah. Jika tidak, masakan Ustaz Khaidir pun tak putus² memuji dirinya yang amat menghormati guru. Apatah lagi Cikgu Nordin, bapa angkatnya yang tegas. Berlainan benar dengan Hirzi yang acap kali dipanggil ke atas pentas Dewan Ilmu atas kes² ringan atau berat yang telah dilakukan. Aku tak pernah sepenuhnya menyalahkan dia kerana aku faham kebaikannya yang sebenar. Cuma situasi memaksa dia bertindak seolah memberontak begitu.

"Dalam hidup ni kau kena ada matlamat, cita², dan arah tujuan. Tak boleh cuma menanti apa yang bakal diberi kerana pesaing akan menjadi semakin ramai! Kau kena pandai curi peluang itu!"

"Aku cakap dengan kau. Diorang yang ambil kau bekerja takkan pandang pada sijil. Diorang akan fokus pada kemahiran yang kau ada. Kau kena mengadap depan komputer, main sampai berasap!"

"Aku join belia sekarang. Setiap program aku mesti jadi peserta paling muda. Dari situ aku belajar untuk berkomunikasi dengan mereka yang lebih tua. Aku seronok!"


Betul² terkesima aku mendengar ceramah percuma Hirzi pagi itu. Benarkah dia Hirzi?

Ketika berjalan menyusuri barisan pohon pain (pantai jauh sangat) bersama Iffah dan Tasha, aku terdengar nama dipanggil. Terkejut juga apabila Firdaus Saudi mencuri peluang berborak dengan aku. Bukanlah aku tak pernah berborak dengannya semasa di UIA dan Karnival ANSARA di Dataran Merdeka tempoh hari, tapi aku sangka tidak di situ. Di hadapan rakan² lamanya. Ya lah, Exco Agama mesti ada 'standard' sendiri. Takkan nak ditunjuk dia bersahabat dengan pelajar biasa seperti aku yang tak pernah langsung dikenali semasa di maktab?

Oh, aku dah silap. Epi tak pernah bangga dengan jawatannya dulu. Dia tak pernah mempergunakannya sebagai penghalang dalam hal bersahabat. Dia tak pernah hipokrit. Siapa Epi yang aku kenali di UIA, dia jugalah yang aku kenali waktu itu. Dan orang yang sama semasa di maktab dahulu. Tak pernah berubah. Maaf kerana sedikit berprasangka. Aku ni memang mudah memperkecilkan diri di kalangan orang² 'besar' seperti BWP.

Oh ya, dia tetap seorang pendebat yang baik. Jika tak bertekak denganya setiap kali bertemu memang tak sah. Dialah yang mengajar aku :)

Serentak, aktiviti² untuk pelajar tetap berlangsung tanpa mengambil peduli langsung kehadiran 'super duper senior' mereka ini. Sepatutnya diadakan program bersama kami, bekas² pelajar MRSM Kuantan ini. Bertanyakan pengalaman dan perkembangan semasa kami. Untuk memberi sedikit input memanfaatkan kehadiran kami. Seolah bersama fasi untuk Sireh Pulang ke Gagang. Barulah masa kami di situ tidak dibazirkan dengan hanya melepak dan mengenang. Untuk berborak dengan cikgu pun, mereka sedang asyik dengan permainan yang disediakan untuk mereka.

Petang itu, aku, Iffah, dan Tasha ke rumah Cikgu Wan Shahriza, bekas 'mak' 'homeroon' Iffah berhampiran Pantai Sepat. Bertuah sungguh kami tidak perlu berhimpit di bilik² kosong blok² asrama. Namun, kekurangannya, kami tidak merasa untuk kembali ke Blok F yang menjadi rumah kami di sana untuk dua tahun.

Malam itu telah diadakan satu majlis makan malam bersama dengan segelintir guru² yang pernah menyumbang khidmat mengajar kami. Kumpulan pemimpin² pelajar; BWP dan LDP Tingkatan 5 ditempatkan di meja lebih ke hadapan daripada kami. Bukankah sepatutnya yang diraikan perlu diutamakan?

Oh, kepentingan Epi untuk membaca doa masih ada :) Sudah lama tidak mendengar suaranya sebagai pembaca doa dan imam ketika berjemaah.

Aku cuba selami perasaan rakan² perempuan yang hadir tanpa memakai tudung penutup kepala. Oklah, kalian tak mahu menjadi hipokrit, hanya menutup aurat ketika bersama dengan rakan² yang telah mengenali kalian sebagai yang bertudung litup, sedang di tempat lain kalian melepas bebas rambut. Tapi, tidakkah kalian malu pada guru² yang turut hadir? Tidakkah kalian hormat pada mereka yang telah mengajar perilaku baik pada kalian dengan harapan kalian meneruskannya?

Aturcara majlis kurang teratur. Agenda utama; makan, dimulakan dahulu sebelum ucapan² (membuatkan aku teringat semula apa yang membosankan di maktab dahulu) daripada En Saari Sawa, saudara Nazri Nordin (benar² jadi orang penting MRSM Kuantan rakan seangkatan kami ini sekarang ya?), dan Setiausaha Kuatagh (aku lupa namanya). Selesai ucapan yang mengantukkan (ditambah perut yang sudah penuh), barulah tayangan persembahan Power Point pengimbau memori lama disaji. Hirzi yang menyelit sebagai ahli meja kami seperti biasa menjadi pengulas tidak rasmi. Hanya suaranya yang menggamatkan dewan, membuatkan yang lain ikut tertawa dengan leluconnya.

Sampai apabila K-own menyebut tentang pemergian Allahyarham Zaril, rakan sepejuang kami dulu akibat kemalangan jalan raya, hati ini menjadi amat sebak. Air mata bercucuran jatuh di dalam jiwa. Nasyid 'Kau Sahabat Kau Teman' dendangan kumpulan Hijjaz menambah sarat haru. Mengapa yang lain kelihatan sedikit pun tidak tersentuh?

Persembahan pentas para pelajar menyusul. Satu pengalaman yang tak pernah sempat kami lalui sebelum ini. Pertunjukan kreatif daripada 3 bangsa utama Malaysia menghiasi malam itu. Pelajar² Cina menonjolkan tarian hip hop, bercampur antara lelaki dengan perempuan. Pelajar² India pula dengan perkahwinan tradisi mereka diikuti tarian lagi. Tarian moden dengan penarinya yang tampak menjiwai bait² lagu yang tidak kami fahami. Yang Melayu? Memetik gitar sambil yang perempuannya mendayu² menyanyikan lagu yang bukan nasyid...

Terkejut dan terkilan. Pada saat itu, aku amat mengharap Ustaz Asri ada sebagai penyelamat kelunturan moral yang telah cuba kami terap dahulu. Dahulu, kumpulan penasyid perempuan pun diharamkan. Untuk pertandingan, kami asingkan acara antara lelaki dan perempuan. Malah, Hari Puteri sajalah peluang untuk pelajar perempuan bebas menjalankan aktiviti. Pelajar perempuan digalak memaki tudung labuh. Subjek Tasawwur mula diperkenalkan untuk SPM.

Peserta² lelaki mula bersorak mengejek. Ada yang berdiri bertepuk tangan. Merekakan tidak pernah dihiburkan sebegitu? Hati jadi panas dan risau. Bagaimana sekiranya keadaan MRSM berterusan begini? Atau semakin parah? Bagaimana jika kedaulatan dan kehormatan MRSM sebagai sekolah elit terus terpadam ditambah dengan penubuhan MRSM² baru bagai cendawan selepas hujan?

Mrs. Zee, bekas guru Bahasa Inggeris C1 merangkap bekas warden Blok F membawa anaknya, Aiman yang baru berusia 6 bulan. Seorang demi seorang menawarkan diri menunjuk tokoh bapa mitali. Eh, Hirzi dan Afiq pun? :)

Jam 11 malam, kami bertiga menjadi yang terawal dihantar pulang ke chalet kerana yang lain sibuk dengan urusan tidak rasmi masing². Ada yang tidak habis² bergambar, ada yang ber'tenet', ada yang leka berbual dengan rakan² dan guru²... Suasana menjadi bosan. Aku kembali merasakan ketidakpentingan diri di maktab...

Kami dibebaskan seawal pagi Ahad. Eh, tiada aktiviti lagi? Kenapa sekejap sangat? Tiada 'post mortem', tiada perbualan rasmi antara kami sebagai penutup tirai? Masing² telah membawa haluan sendiri. Malah, van yang sepatutnya menjemput kami pulang ke maktab tidak hadir atas sebab² tertentu. Jadi, mesyuarat yang dikatakan akan diadakan pada jam 10 tidak berlaku. Terkilan juga.

"Eh, macam mana kau boleh masuk Gempak ek?" Aku memandang Mohd Nurafiq atau Afiq Ludin, aktor teater maktab dahulu dengan pandangan terkejut yang dibuat². Aku tahu, pasti Amran yang melaporkan. Mereka sama² di matrik Kuala Pilah dahulu. Layankan sajalah. Dalam hati aku bangga lagi kerana ada orang 'besar' yang kenal aku.

Keseluruhannya, pengendalian urusetia adalah memuaskan untuk mereka yang buat kali pertama menganjurkan satu program besar seperti ini. Mungkin selepas ini, urusetia boleh menimbangkan cadangan untuk membuat program perjumpaan semula ditambah dengan serapan peserta ke dalam beberapa kumpulan pelajar MRSM sebagai sesi bersama lepasan MRSM. Dan urusetia perlu merangka pelbagai aktiviti lain untuk memenuhkan masa peserta. Juga urusetia harus melantik seorang peserta menjadi wakil setiap universiti untuk memudahkan urusan penyebaran maklumat kepada peserta lain di universiti yang sama.

Kami bertiga dihantar ke Terminal Makmur oleh Azfar dengan kereta Kancil Miranya. Terkilan lagi kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal pada Afiq dan Hirzi. Tidak sempat juga bertemu muka dengan sahabat² perempuan lain yang telah lesap entah ke mana. Ada juga yang telah bertolak pulang sejak malam sebelumnya lagi. Dari dalam kereta kami sempat menjeling K-own dan Afiq Ludin di tangga pintu chalet yang melambai² ke arah kami. Sedihlah pula.

Sampai di terminal, kami mengambil sarapan. Terserempak dengan JB, Nadzirin, dan Asrul Nazar. Kami meramahkan diri. Lebih² lagi Tasha yang pernah satu kumpulan tesis dengan Nad. Apabila ditanya aktiviti semasa, mereka bagai menghafal skrip yang sama. "Duduk rumah, tak kerja, jaga adik." :) Oh ya, sama jawapan dengan Epi juga. Mereka bertiga; Nad, Asrul dan Epi sama² anak sulung dalam keluarga.

Kami menemani mereka sehingga bas tiba. Seorang demi seorang melepaskan diri daripada pandangan kami. JB dan Asrul ke KL manakala Nad ke Kelantan. Rasa sayu mencengkam lagi.

Kami menapak ke Berjaya Megamall. Puas tawaf, kami ke Kuantan Plaza pula. Terik matahari tengah hari tidak melemahkan kami untuk terus bersama² menjenguk bandar Kuantan buat kali terakhir (aku cuma wakili mereka). Bersua pula dengan Lin dan Kak Long yang sedang enak bersantai dengan mee kari dan milo ais di perkarangan hadapan Plaza. Oh, mereka bekerja di kedai buku Men Men rupanya.

Perhentian terakhir kami adalah di McD Plaza sebelum kembali ke terminal. Jam sudah pukul 2.15 petang waktu itu. Tiba² aku ternampak kelibat Epi dan rakan² lelakinya (maaflah, aku tak pernah tahu siapa nama rakan² itu walau wajah mereka sebagai rakan² semaktab memang aku cam). Tasha yang baru keluar dari bilik air menjadi pelik.

"Eh, bila pula dia ada di sini?"

"Biasalah, di mana ada saya, di situ ada Epi!" Aku berseloroh nakal.


Epi ke terminal menghantar mereka pulang. Terpisah dengan sahabat²nya, Bun, Azfar, Afiq Ludin dan K-own yang masih di maktab menyelesaikan urusan yang belum sudah. Katanya, urusetia² itu akan pulang pada keesokan harinya.

Epi ke Kuantan menaiki motor rupanya. Terus dari Kemaman. Amyruddin di sebelahnya pula dengan kereta. Oh, orang Balok ke?

Sedih sungguh untuk berpisah dengan setiap seorang daripada mereka. Tasha sudah mengundur diri ke Klang, rumah makciknya pada jam 2.30 petang lagi manakala Iffah pulang ke Kuala Terengganu pada jam 3 petang. Epi dan Amyruddin masing-masing bergerak meninggalkan aku pada jam 3.15 petang. Aku turut beransur ke stesen bas di pasar besar.

Entah bila lagi akan ku kembali menghadap wajah² pemberi sejuta kenangan ketika di maktab dahulu. Yang pasti, kami akan terus berhubung dari semasa ke semasa sama ada melalui telefon atau kawanaku.com.

Selamat meneruskan perjuangan, teman²!

Penulisan (23 April 2004)

Lumrah penulis tak bertauliah. Memulakan penulisan berdasarkan pengalaman. Itupun sukar juga menentukan plot cerita yang mana dulu yang mana kemudian. Penat memerah ide satu hal. Penat menyusun kata lagi satu hal. Lagi² untuk orang seperti aku yang kurang ilmu dan maklumat mengenai banyak perkara. Mengalami kesukaran untuk menjelaskan sesuatu di luar bidang dengan rinci. Habisnya, aku hanya memenuhkan helaian bermain dengan kata. Sekurang-kurangnya itu saja yang aku paling mahir. Bolehlah, kan? Lagipun, penulisan adalah satu aktiviti yang patut diberi kebebasan dan kelonggaran pada penulis. Semuanya bergantung pada kreativiti yang dicorak daripada fantasi masing-masing.

Menulis bermodal pengalaman adalah jalan paling mudah, ringkas, dan pantas penulis menyudahkan sesuatu cerita. Segala²nya telah siap tergambar di memori, menunggu aturan diluahkan dalam bentuk kata². Keadaan, situasi, dan perasaan watak telah sepenuhnya difahami. Namun, cuma pada watak utama atau persona diri pertama. Jika menulis melalui mata banyak watak, watak² lain itu akan sedikit terabai kerana jiwa 'mereka' tidak terselam.

Lagi kelemahan karya yang ditulis berdasarkan pengalaman. Penulis kurang merasai apa yang pembaca rasa apabila membaca karya tersebut. Penulis menulis ringkas mengenai sesuatu dengan anggapan pembaca faham sepertimana yang mereka faham. Kepentingan untuk pembaca memahami cerita terabai.

* * *


Persoalan pemilihan tema. Tema yang mereka selalu kata sebagai lumrah dan fitrah; apalagi selain percintaan, tidak berapa menarik perhatian. Lagi² jika jalan ceritanya hambar dan stereotaip. Tidak klimaks yang menyerlah, membezakan karya itu dengan yang lain sebelumnya. Tapi, hasil² sebegitu masih terjual. Agaknya masih ramai yang dambakan ide untuk dicilok; kata² puitis dan berhikmat kepada sang kekasih.

Sebab itu, penulisan bukan perkara main². Tidak kira untuk membentuk cerpen, novel, atau skrip drama dan filem, penulislah yang paling bertanggung jawab. Penulislah yang harus memulakan kesedaran kepada kebaikan untuk ditumpahkan pada kajangan putih. Lebih² lagi jika nama penulis tersebut sudah tersohor di kalangan pembaca dan bisa menarik kepercayaan mereka. Kalau dah percaya, semuanya nampak betul dan baik.

* * *


Memang bukan mudah menjadi seorang penulis yang baik dan berkualiti. Banyak cabaran dan rintangan. Secara mudah menurut teori aku, seorang penulis yang baik hendaklah memenuhi kriteria berikut:

  1. Bijak memilih tema dan mesej yang baik dan bersesuaian.

  2. Kekuatan penjiwaan watak²


  3. Mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa; kaya dengan kata², bijak memilih kata² hikmat dan simpulan bahasa, kreatif membentuk metafora ciptaan sendiri, mementingkan kesesuaian penggunaan tanda baca--elakkan kesilapan terutama semasa menyalin semula.


  4. Kaya dengan pengalaman dan pengetahuan; ilmu dan maklumat semasa, sama ada melalui pembacaan atau pemerhatian--menyelitkan ilmu sambil berhibur.


  5. Bijak menggunakan ayat pencuit emosi pembaca sebagai kelebihan penulisan--tidak ada pada lakonan.


  6. Tidak terikut² dengan emosi ciptaan sendiri yang akhirnya bakal menghasilkan ayat yang panjang meleret² dengan pengulangan kata² yang sama--membosankan pembaca.


  7. Kreatif dalam mengolah jalan cerita walaupun menggunakan tema yang biasa digunakan supaya tetap dianggap menarik dan tersendiri.


  8. Tekun, bersungguh², sabar, dan konsisten--Kadangkala cerita yang pada awalnya menarik akan menjadi semakin hambar apabila penulis hendak cepat menyudahkan atau cerita yang ditinggalkan tanpa kesinambungan dalam tempoh yang panjang akan sedikit-sebanyak melarikan konsep dan mesej yang sebenarnya ingin disampaikan.

Saturday, April 17, 2004

Novel (16 April 2004)

Faisal Tehrani. Mengenali penulis muda yang dilahirkan pada 7 Ogos 1974 di Kuala Lumpur ini mengkakukan persepsi mudahku di titik pusing bidang penulisan. Beliau atau nama sebenarnya Mohd Faizal bin Musa merupakan pemegang ijazah sarjana muda Syariah dari Universiti Malaya dan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang kesusasteraan di Universiti Sains Malaya.

Tulisku di sini bukan untuk membuat biografi mengenai pemilik nama yang telah dikenali sejak di Tingkatan Empat ini. Tapi untuk menyebut titik beza antara beliau dengan penulis² yang lain. Bacaanku mengenai penulisannya belum cukup banyak, tapi cukuplah untuk aku membuat ulasan bahawa Faisal adalah seorang penulis yang AMAT rajin.

Bukan aku mengatakan penulis lain tak rajin. Malah aku tak pernah tahu. Yang satu ini juga aku terka sudah tentu melalui corak penulisannya. Cerpen pertamanya yang aku baca adalah 'Kerana Manisnya Epal' (Antologi Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah Tingkatan 4, Anak Laut, dipetik dari Dewan Siswa, April 1995).

Beliau bukan sahaja menyatakan di Tsolum River Fruit Trees itu menawarkan 200 jenis epal malah menyebut hampir kesemua jenis dalam cerpennya. Arkansas, yellow bellflower, red beitigheimer, famense, york imperial, wolf river, golden grimes, gravenstien, maiden blush, balwin, ribston, red astrachan, bla... bla... bla...

Dan dalam novel 1515 (boleh kata buku teks rujukan sejarah Melaka), Faisal bukan setakat menyebut mengenai feringgi yang datang hendak menakluk Melaka, bahkan beliau menamakan sebanyak mungkin laskar² tersebut. Alfonso de Albuquerque, Diego Lopez de Sequiera, Dom Joao de Lima, Fernao Peres de Andrade, Joao de Sousa, Antonio de Abreu, Aires Peres, Fernao Gomes de Lemos, Jorge Nunes de Leao, Nuno Vas de Castelo Branco, dan bla... bla... bla... lagi. Bukan sahaja nama, malah tugasan untuk setiap satu dalam usaha penaklukan ini (nak menulis ni pun penat dengan membetulkan lidah yang tergeliat). Reka? Mana mungkin sejarah direka², kan? Kecuali Alfonso, aku abaikan penghayatan nama² lain. Itupun, susah benar hendak dihabiskan... Aku tahu, aku tak minat sejarah...

Kejap... Eh, Melaka pernah menakluk Portugal pada 1515? Satu pengetahuan baru untuk aku. Kenyataan yang selama ini disembunyikan oleh orang Barat untuk mengekalkan sejarah kedaulatan mereka sebagai jentera terkuat dunia. Benar² menarik rupanya serikandi Nyemah Mulya yang ditonjolkan mempunyai karamah ini.

Faisal setakat ini telah menghasilkan lebih kurang 80 cerpen, 3 novel, dan 30 puisi. Kepada sesiapa yang ingin membaca hasil penulisan beliau, bukalah minda anda seluas²nya. Bersedialah menjana longgokan perkataan² asing (sekurang²nya asing untukku) yang memang jarang atau tak pernah langsung ditemui sebelum ini. Bagai membaca novel Inggeris (err... minat aku belum sampai tahap itu), sesi pembukaan kamus hanya sesudah pembacaan berakhir. Jika tidak, sampai hari ke 365 pun bacaan itu tidak sudah dan menjadi MAHA bosan!

Lumrah penulis lelaki, tulisan Faisal padat dengan kejadian dan fakta yang mendorong keghairahan pembaca meneruskan selakan muka. Seperti Ahadiat Akashah juga. Berbeza dengan kebanyakan penulis wanita yang banyak bermain dengan emosi dan kadangkala mengulang perasaan yang sama sehingga meletihkan pembaca, memaksa mereka melangkau² dalam bacaan (cepatnya aku kasi contoh). Ayat meleret² dalam satu perenggan yang panjang... Terpulang pada penerimaan jenis² pembaca dan bahan tema cerita itu sendiri.

Melalui pembacaan ketiga² novel Pemenang Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera 2002 Kumpulan Utusan iaitu 1515, Rona Bosphorus (Zaid Akhtar), dan Merdekakan Cinta Ratna (Sri Rahayu Mohd Yusop) yang ketiga²nya telah mengisi secebis daripada waktu cuti ini, aku terbuka mata. Menjadi penulis bukan satu kerja yang gampang. Saingan semakin sengit. Lihat saja pada tajuk novel pun, memang kreatif.

Yang pastinya, penulis perlu mengisi dada dengan pengalaman dan ilmu serta maklumat semasa dengan jumlah maksimum. Perbendaharaan kata dan bunga² sastera yang luas untuk digunakan mengelakkan penggunaan perkatan yang sama menambah respek pembaca pada penulis. Jadi bukan sebarang pelajar jurusan sains juga yang mampu menulis. Penulisan seperti ini akan dianggap berinformasi dan berkualiti. Dan hasilnya, novel yang terjual dengan harga paling murah RM16.00 senaskah. Atau setepatnya, 1515, RM22.00! - ketebalan 312 muka, saiz biasa novel.

Penulis bukan saja perlu termenung kosong seperti aku, tetapi juga perlu mengisi menungan itu dengan fantasi dan anganan. Membaca apatah lagi. Seperti Faisal, beliau selalu ke Dewan Bahasa dan Pustaka bertemu Editor Dewan Budaya, Zaiton Abu Samah untuk menyumbang artikel dan membincangkan topik² hangat. Kemudian ke Galeri buku DBP atau MPH, Mid Valley untuk mencari buku² rujukan. Dan lagi, penulis mestilah merasai sendiri suasana cerita yang ingin digambarkan pada pembaca dengan ke lokasi² latar cerita itu sendiri. Jika di Melaka, Melakalah (Oh ya, saudara Faisal kita ini asalnya memang dari Melaka). Jika di Lisbon, Lisbonlah. Jika di Turki (Rona Bosphorus) Turkilah.

Hmm... berbaloi jika mampu membalikkan modal (Eh, penggunaan perkataan 'balik' dan 'pulang' di sini boleh digunakan antara duanya, ya?). Sama ada melalui penganugerahan seperti Hadiah Satera ini atau penjualan novel itu sendiri.

Sebaliknya, untuk penulis yang menulis sekadar menjadi hobi, menjadi pengisi masa senggang, memberi warna dalam kehidupan atau sekurang²nya menjadi penjelas pada situasi yang berserabut, modal bukanlah menjadi masalah utama. Asalkan ada pena dan sekeping kertas, cukuplah. Malah, menurut kata seorang psikologis yang pernah didengar, salah satu cara melegakan perasaan yang gundah adalah dengan mencurahkannya di atas sekeping kertas kemudian membuangnya ke dalam tong sampah.

Bagi aku, diari dan jurnal inilah. Diari, untuk diri sendiri, jurnal, untuk dikongsikan bersama jusnalis² dan pengguna Internet yang lain. Sekurang²nya jika ada yang boleh membantu, aku amat alu²kan. Bantu dari segi apa? Dari segi memberi pendapat mengenai penyelesaian pada apa² yang aku tulis, atau memperbetul tindakanku melalui penulisan, atau sekadar menjadi pengingat jika aku kealpaan.

Ok, aku ingin meminta bantuan di sini. Kepada sesiapa yang mempunya novel menarik untuk dikongsikan bersama aku, sila²kanlah hubungi aku. Aku ni bukannya cemerkap membeli novel selalu. Lainlah jika aku sudah bekerja kelak.

p/s:
  • Din, bila nak kasi pinjam 'Bukan Puteri Lindungan Bulan' tu?

  • Apis, kongsilah dengan saya kalau² ada novel baru yang awak pinjam daripada 'kawan' awak tu... :)

  • Aku sudah punya komik 143 & Colours (Kaoru) dan Satu Sisi Dunia (Keiko Honda), daripada Koleksi Gempak Starz. Boleh beritahu aku di mana boleh aku dapatkan Hanya... (Fakhrul Anour) dan Innocent (Ben)? Yang ini aku nak punya koleksi sendiri, taknak pinjam² :) (Manalah tak habis duit aku cuti ni...). Aku tak jumpa di Kuantan ini.



Trimas!!!

Nurul (12 April 2004)

Masa sudah menunjukkan jam 1.40 pagi. Masa yang sepatutnya aku sudah terlena di bilik. Bilik yang suhunya tak mampu diturunkan walau kipas dipasang pada kelajuan 3. Biasalah, cuti² begini, selalu sahaja aku mengingkari fitrah. Malam dijadikan untuk manusia beristirahat. Tapi yang tak biasanya, ketidakselesaan akibat bahang sepanjang waktu yang aku kira melanda seluruh pantai timur kala ini.

Aku berkira². Ahad ini, 18 April 2004 adalah hari ulangtahun ke-20 kelahiran Nurul, sahabat baik berlainan jurusanku yang hanya kekadang aku dapat jumpa. Lebih² lagi dalam masa aku tiada di UIA sekarang. Sudah 20 tahun. Aku juga bakal menyusul kemudian. Tapi lambat lagi :)

"Mira, ni adik Kak Bai," teringat aku waktu saat pertama bersua dengannya. Diperkenalkan oleh kakaknya sendiri, senior sekolah lamaku, MRSM Kuantan.

Aku terkesima sebentar waktu itu. Sudah jarang² sebenarnya aku ketemu pasangan adik-beradik yang bezanya cuma setahun (memang hampir tepat setahun - Kak Bai hari lahirnya 6 April 1983) seraya berada di institut pengajian yang sama. Lagi pula wajahnya yang aku kira adalah wajah gadis tercantik pernah aku lihat. Betul, tak tipu! Ayu sungguh!

Rupanya bersahaja. Seolah tidak mengendahkan perkenalan itu. Ah, mungkin sedang menumpukan tujuan asalnya waktu itu; ketemu kak long sendiri. Lagipun, aku orang asing buatnya. Kak long... Kak Bai anak sulung. Nurul kedua. Dan masih punya 6 orang adik di bawahnya. Ramai!

Sangkaanku pertemuan itu cuma sekadar memberi makluman bahawa Kak Bai punya seorang adik di UIA. Yang penting pada masa itu adalah Kak Bai; jawatannya sebagai setiausaha dalam ANSARA UIA PJ akan kusandang pula nanti (semuanya adalah kenangan cuma - aku telahpun mencapai kedudukan itu).

Nyata jangkaanku meleset. Kami dijodohkan lagi dalam satu program anjuran Guidance and Counseling Club (GCC) UIA - A Day with the Chosen di Rumah Anak² Yatim, Sekendi, Selangor pada akhir semester 1 di matrik.

Dalam ANSARA (Oh, Nurul pun bekas pelajar MRSM juga rupanya - MRSM Jasin - sama dengan Abang Nazri - oh! Tarikh lahir mereka cuma tahun yang berbeza! - satu pengumuman!), Nurul mengaktifkan diri, menyediakan diri apabila bantuan diperlukan cuma apabila batch kami berkuasa penuh atasnya. Tidak pernah mengendahkannya semasa Kak Bai punya kuasa. Mungkin masih tidak tergerak untuk berpersatuan memandangkan jurusannya memaksanya melakukan satu pengorbanan yang agak besar. Pengorbanan tumpuan selain dalam pelajaran.

Pada semester 1 tahun yang berikutnya, kami ditemukan dalam kumpulan Halaqah pula! Aneh juga kebetulan ini...

Dan semasa aku di MRSM Batu Pahat sebagai fasi untuk program Sireh Pulang ke Gagang tempoh hari, aku telah dikirimkan coklat dari Langkawi melalui Kak Bai yang turut ikut serta dalam program. Siapa lagi jika bukan daripada Nurul yang semasa itu sedang mengikuti program bersama rakan² matriknya. Dia tak pernah lupakan aku...

Berkenalan dengan Nurul membuatkan aku merasa buat kesekian kalinya ada yang dapat berkongsi fikir dan serasi dengan diriku. Selepas Janna dan Yonn - bekas pelajar² MRSM juga. Mungkinlah disebabkan itu; latar persekolahan yang sama menjadi faktor keserasian ini.

Oh, pandai benar dia menyorokkan kegelisahan hati. Aku sendiri sukar membacanya walau kami telah berbicara hati ke hati beberapa kali. Jika bukan kerana ada yang memberitahu, aku tak pernah tahu bahawa Nurul penyendiri. Selalu berseorangan pergi dan balik dari kelas. Pernah dinasihat supaya tidak pulang ke rumah juga bersendiri. Ya lah, faham² sajalah dengan KL ini.

Apa² pun Nurul, saya amat berharap agar persahabatan ini mampu diteruskan sampai bila². Saya amat rindukan Nurul. Untuk berbual² lagi, untuk berkongsi suka duka kisah kehidupan, untuk mengetahui ada yang memahami... Selamat hari ulangtahun. Semoga Nurul sentiasa diselimuti kegirangan dan keselesaan hidup. Semoga Nurul peroleh apa yang Nurul sentiasa dambakan. Dan semoga cinta sejati itu milikmu, sahabat.

Monday, April 05, 2004

Laptop (4 April 2004)

:)

Pertama kali kukira. Menulis menggunakan gajet ini. Komputer riba. Bukan, bukan milik aku. Alangkah bagusnya jika ia memang benar hak mutlakku. Kalau begitu, aku kena jadi cikgu atau pensyarah pada masa hadapan. Boleh dapat laptop percuma daripada kerajaaan. Eiii…

Aku pinjam daripada Mak Jang. Saja mencuba. Bukan aku tak pernah menggunakannya. Cuma pertama kali dulupun menggunakan milik Huda untuk menyiapkan tugasan Programming (terpaksa disiapkan di luar waktu pejabat – tak boleh kata waktu kelas kerana tak jeneral – wujudkah maksud yang ingin aku sampaikan melalui perkataan ini? – maksud yang sama untuk unit SI dalam ukuran). Sekurang²nya ada juga alasan untuk menyentuhnya.

Tak adil. Akukan seorang ‘setiausaha’ (gelaran kawan²untuk aku setiap kali ada tugasan yang perlu disudahkan – saja nak suruh aku taip). Patut aku sudah punyai barang yang amat aku idam² sejak dulu ini. Sehinggakan Aizat berseloroh untuk memberiku hadiah laptop sempena hari ulangtahun kelahiran pada tahun lepas. Laptop permainan.

Dalela, teman sebilik aku dulupun (insyaAllah masih akan tetap semester hadapan) bercadang untuk memiliki satu selambat² semester hadapan. Oh, dia pelajar jurusan Sains Kemanusiaan. Dan aku, ICT!

Tak apalah. Sekurang-kurangnya, aku masih punya kesempatan menyudahkan segala urusan pembelajaranku (atau tidak!) yang melibatkan komputer di rumah keduaku di UIA. Pandai! Makmal (macam tak sesuai – cuma nak alih bahasa daripada lab) komputer ICT. Cuma tak tahu sampai bila kemudahan itu memberi kesenangan padaku. Lagipun seperti sekarang, aku tak perlu lagi untuk ‘online’ setiap kali ingin memasukkan entri terbaru jurnal. Bebas menaip dan menjelajah minda tanpa tekanan masa dan situasi.

Oh ya, semalam, mak memberi kebebasan untuk menggunakan wang milikku dalam ASB (tidaklah banyak mana). Nampak gayanya, banyaklah yang akan aku keluarkan untuk disumbatkan di MBS! Wah, besar sungguh pengaruh Yati, ya? Terima kasih. Aku memang bersemangat membaca sekarang. Walaupun cuma pada bahan bacaan yang diminati (tak termasuk Gempak), aku turut memberi tumpuan pada bahan untuk menambah ilmu dan maklumat mengenai jurusan aku. Sekurang²nya lebih baik daripada semalam. Daripada mematikan terus minat yang tak pernah dipupuk sekian lama ini, kan?

Kenapa aku masih tak punyai laptop sendiri?

Aku tak rajin. Cari sumber kewangannya. Ibu bapa aku? Dengan pendapatan mereka yang tak seberapa, banyak lagi yang mereka perlu uruskan daripada keperluan aku yang masih boleh dianggap remeh ini. Dan aku tak berpeluang. Macam Paan. Ada bisnes sendiri. Boleh cari duit sendiri. Dan dia rajin cari ilmu. Untuk tujuan itu. Sedang aku sendiri tak tahu hendak bermula dari mana. Seperti banyak benar yang aku ketinggalan daripada dia. Tak apa. Paan boleh tolong aku. Kan? :)

Perlahan². Jangan terlalu memaksa. Biar pengetahuan itu kau peroleh dan kau hayati. Bukan belajar sekali kemudian lupa.

Dulu, masa SPM boleh ampun. Memang banyak yang perlu dicerna dalam satu² masa. Kimia, Biologi, Sejarah… (Fizik tak termasuk dalam senarai :) ). Kadang² tak sempat. Dan ada yang tak memenuhi minat. Hafalan tanpa pemahaman jalan terakhir. Sekarang, jurusan ini aku yang pilih. Segala keputusan kuiz dan peperiksaan yang aku peroleh adalah cuma kerana aku. Bukan orang lain. Sememangnya tiada siapa lagi yang perlu dipersalahkan.

Tak. Tiada apa² yang buruk setakat ini. Keputusan peperiksaan akhir semester lepas pun memuaskan hati aku. Subjek kegemaran aku, Programming, aku dapat A. Cuma Internet. Salah satu subjek mudah semasa di matrik. Silapnya nyata semasa projek kami, bukan peperiksaan bertulis. Kami ketandusan ilmu dan maklumat dalam M-Commerce. Keseluruhannya, aku masih mengekalkan pencapaian di matrik.

Aku tertanya², cabaran apa yang perlu aku lalui selepas ini… :I

Saturday, April 03, 2004

Another Quiz

Big Five Test Results
Extroversion (34%) moderately low which suggests you are quiet, unassertive, and aloof.
Friendliness (68%) moderately high which suggests you are good natured, trusting, and helpful but possibly too much of a follower
Orderliness (54%) medium which suggests you are moderately organized, reliable, neat, and ambitious.
Emotional Stability (58%) moderately high which suggests you are relaxed, calm, secure, unemotional but possibly too unobservant of your feelings.
Openmindedness (54%) medium which suggests you are moderately intellectual, curious, and imaginative.
Take Free Big Five Personality Test
personality tests by similarminds.com


The Big Five is currently the most accepted personality model in the scientific community. The Big Five emerged from the work of multiple independent scientists/researchers starting in the 1950s who using different techniques obtained similar results. Those results were that there are five distinct personality traits/dimensions. Here are your results on each dimension:

Extroversion results were moderately low which suggests you are quiet, unassertive, and aloof.

Friendliness results were moderately high which suggests you are good natured, trusting, and helpful but possibly too much of a follower

Orderliness results were medium which suggests you are moderately organized, reliable, neat, and ambitious.

Emotional Stability results were moderately high which suggests you are relaxed, calm, secure, unemotional but possibly too unobservant of your feelings.

Openmindedness results were medium which suggests you are moderately intellectual, curious, and imaginative.

Overall (of the Big 5 factors), you scored highest on Friendliness and lowest on Extroversion.


Sumber: Faheem's

Rona Cenderawasih (4 April 2004)

Aku masih di rumah. Malam semalam, bukan, patut kata pagi tadi, khususnya 1.30 pagi, Abang Nan hubungi aku. Dia di UIA sekarang. Dia tidak mengambil semester pendek. Cuma ke sana untuk bersama² dengan mereka yang lain, sama² kembali ke MRSM Batu Pahat. Pelajar² di sana yang kami uruskan program Sireh Pulang ke Gagangnya meminta kami, fasi yang terlibat untuk melawat mereka di sana. Bersempena dengan peperiksaan pertengahan mereka kata Abang Nazri. Atau lebih tepat, mereka rindukan kami! Dengar ceritanya, banyak juga panggilan telefon yang Abang Nazri terima sejurus selepas program. Biasalah tu…

Tapi aku kekurangan kesempatan dari segi kewangan. Aku di rumah goyang kaki. Tidak rajin berusaha mencari sumber kewangan buat sementara kerajaan tidak menyumbangkan bekalannya untuk aku. Jadi, aku tidak menyertai mereka. Yang pergipun cuma lebih kurang 10 orang kata Abang Nan. Selebihnya mungkin kesukaran kerana juga tidak berada di sana.

Habis, apa yang aku lakukan di rumah?

:)

Aku dah kata, goyang kaki…

Bosan juga sebenarnya.

Aku baru selesai menonton drama MELAYU ‘Hanya Untuk-Mu’ lakokan untama Ahmad Tamimi Seregar dan Azean Irdawati bersama² anak lelakinya, Benjy. Amat menarik. Aku cukup berpuas hati. Unsur cinta cuma secebis. Seperti novel Hadiah Utusan 2002, Rona Bosphorus tulisan Zaid Akhtar juga. Sekadar menghiasi perjalanan motif utama yang ingin disampaikan.

Kenapa? Aku bosan bercintakah?

:)

Ya. Tapi bukan dengan ertikata sebenarnya. Cuma pada mereka yang menyalahgunakan alasan cinta. Mujur aku di rumah. Tak banyaklah kisah memualkan yang menembusi auditori ini.

‘Hanya Pada-Mu’ mengisahkan seorang insan bernama Aznil yang semenjak lahir disisihkan oleh ibu bapanya sendiri kerana kekurangannya daripada aspek fizikal. Ibu bapanya yang kononnya ingin menjaga maruah masing² kerana malu dengan kehadiran seorang anak cacat tidak mengakuinya sebagai anak lalu diserahkan pada seorang wanita untuk diasuh dalam sebuah bilik kecil dalam rumah yang sama. Kesilapan ini hanya mempu disedarkan oleh menantu perempuan mereka, adik ipar Aznil yang pada mulanya tidak tahu menahu akan rahsia keluarga itu. Namun, segala² yang berlaku cuma memberi sekilat peluang kepada ibu bapa itu untuk menebus kesalahan mereka.

Benarkah drama itu semenarik yang aku katakan? Atau mungkin aku yang terlebih menghayati? Kerana jituan usahasama mereka menjayakannya berjaya menyentuh simpati dan reseptor sedih ini?

Sedang mesej Nurul semalam pun amat membuatkanku terharu.

“Bila anda rindukan seseorang, pandanglah pada bintang yang paling terang sinarnya.. Percayalah pada hati bahawa insan yang dirindui itu juga sedang merinduimu.”

Apa khabarnya rakan² aku di UIA sana? Siapa lagi yang turut menyambung perjuangan pada semester pendek ini?

Emosi (31 Mac 2004)

Perempuan memang tak terlepas daripada emosi. Kadangkala, sakit juga menahan perkara yang begitu mudah diambil lepas oleh lelaki. Sesetengah daripada mereka. Aku takut kira apa yang sering aku lafazkan di minda selama ini menikam diri sendiri.

“Aku takkan mudah lagi mengalirkan air mata kira bukan kerana dia…”
Apa yang berlaku?

* * *


Baru aku sedar. Aku juga hidup dalam fantasi. Dalam ketidaksedaran. Yang aku cipta sendiri.

+ Jangan kalihkan mindamu dari realiti! Kelak kau akan terbiasa hidup tanpa tahu makna perjuangan. Jihad!

Bagaimana dengan kewujudan fantasi ini? Dengan sibuk termenung… Dengan sibuk tak menyibukkan diri… Faham?

Aku tak menang tangan tika menulis nasihat yang panjang lebar buat teman² yang memerlukan. Aku tak menang akal untuk menutur ayat terbaik dengan harapan dapat membantu mana yang patut. Apa sudahnya? Langsung tak memberi kesan pada diri sendiri. Aku sendiri tak pernah menghayati apa yang aku uar²kan. Ah, manusia… mudah benar lupa…

Aku kalah pada yang melibatkan emosi. Aku tak betah untuk melahirkannya dalam alam maujud! Terukkan aku? Sememangnya aku bukan seorang yang romantik… :) Tidaklah, Cuma selingan.

Benar, memang benar. Segalanya boleh dikatakan hipokrit! Apa yang aku karang tak sampai maksud sebenar yang terbuku di hati. Bagaimana pula itu kira aku bisa merasa tapi tak mampu menunjukkan? Seperti Yati jugakah aku? Tak, kami tak sama. Hati kami sentiasa berbeza. Aku dapat rasakannya. Dan aku yakin! Kerana aku kenal diri sendiri. Dan aku dapat lihat apa yang ada padanya.

Bukan! Ia langsung tak melibatkan Yati! Jangan salah faham!

Aku cuma mahu cuba membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Yang aku tahu lebih baik daripada aku. Sekurang²nya, itulah yang selalu aku lakukan sebelum ini. Kerana apa? Aku sentiasa menang dengan diri sendiri. Jika tidak, masakan aku bisa di sini? Sebagai salah seorang penuntut salah sebuah universiti terulung dunia?

Aku bandingkan diri aku dengan Yati yang mampu mengekalkan perilaku dan perawakan Islami di mana². Aku bandingkan diri aku dengan orang² Barat yang mampu meluahkan apa yang dirasa tanpa perlu menyimpan lama berbekas di hati. Aku bandingkan diri aku dengan Abang Nazri yang sentiasa komited dan menumpukan sepenuh perhatian dengan setiap perkara yang diusahan.

Aku bandingkan diri aku dengan Din, yang mampu mengenal dirinya dan alam sekeliling lebih cepat daripada rakan seusia yang lain. Aku bandingkan diri aku dengan Amy, yang mampu memerhati dan mengusaha tanpa terlalu bergantung harap pada sesiapa. Dan aku bandingkan diri aku dengan mereka yang bermasalah besar daripadaku untuk aku tahu bersyukur.

Aku luahkan ini bukan bermakna aku tidak berterima-kasih kepada Tuhan sekalian alam. Tapi, kadang² aku lupa. Dan dalam kealpaan ini aku sering juga mengurai perangai diri yang masih kurang di sana-sini.

Aku kurang kekuatan, teman… Bantulah aku dalam merealisasikan apa yang aku sudah sedia huraikan. Kerana memang aku sentiasa lupa. Bimbinglah aku mencari ertikata hidup sebenar, jalan yang patut aku tempuh. Pesan²kanlah kira aku tersasar……

Buli (27 Mac 2004)

+ Kenapa kita akan makan apabila kita sedih? Sebab, bila kita makan, kita akan rasa gembira. Jadi, makin banyak yang kita makan, makin gembiralah kita! Aku tak boleh bercakap mengenai kesedihan aku ni sebab mereka tak akan faham.

+ Dunia ni dipenuhi dengan orang yang tiada masalah atau yang tak mengaku mereka ada masalah.

+ Jangan hilangkan fokus pada alam realiti! Jangan lari ke alam fantasi! Bila kita seakan bergembira dengan alam ciptaan kita itu seolah² kita lemah, pengecut dan memusnahkan harapan untuk berhadapan dengan masalah yang sepatutnya dihadapi!

+ Tapi, cara awak hadapi masalah ini membunuh cita² sendiri. Dalam satu peperangan antara tentera Amerika dan Jerman, seorang tentera Amerika telah mara ke hadapan kononnya berani berhadapan dengan masalahnya. “Oi, Jerman! Aku askar Amerika! Tembaklah aku!”

Ya, aku sudah tonton filem itu. Filem yang dipromosikan oleh seseorang yang sebelum ini tidak pernah mempercayai kemampuan filem² tempatan terutamanya filem Melayu. Tentu ada sesuatu pada filem Buli ini. Masakan dia begitu tertarik.

+ Ya, mutut²! Lu olang suka ka? Mutut²!

:)

*+ sekadar apa yang aku dapat ingat bayangannya. Bukankah aku ini tak gemar menghafal?

Apa yang boleh aku kata, filem ini memang menarik. Memang mampu melahirkan kembali satu karya bermutu yang aku kira telah tergendala setelah berakhirnya zaman filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Afdlin telah menemui satu formula yang mampu membuatkan penonton bersimpati dengan watak walau dalam masa yang sama dipenuhi suasana yang mencuit hati. Dan simpati itu begitu mengena pada yang merasa.

Ya, banyak mesej yang ingin disampaikan walau dalam bentuk yang paling bersahaja. Untuk mereka yang menghayati. Bukan sekadar menuntut hiburan di kala kebosanan.

Aku bersama² dengan Janna waktu itu. Dia ke sini (Kuantan) sejak Khamis lepas. Setelah pulang dari rumahku inilah julung² kali dia menjejakkan kaki ke rumahnya sendiri sejak bermula cuti semester 7 Mac lepas. Entahlah, tekanan yang dihadapi di rumah begitu memaksanya untuk merewang² tanpa hala tuju. Entah apa khabarnya sekarang…

Janna telah ke empat² penjuru di Semenanjung tanah air. Bermula dengan rumah Jannah di Alor Setar, Kedah (Utara) selama hampir 2 minggu, dia beralih pula ke rumah keluarga angkatnya di Klang (Barat). Kemudian ke rumah aku (Timur) dan telah pulang ke rumah sendiri (Selatan). Aku? Masih bergua…