Rancangan nak tonton filem ni tak lama. Sebab ada kawan yang mengajak. Jadi, tak sempat pun nak siasat dan tau sinopsisnya. Hanya sempat lihat watak 'alien' filem tu.
Watak alien biru telinga panjang. Dengan tajuk cerita macam kartun Avatar: The Last Airbender (font face pun sama). Memang langsung tak menarik perhatian saya. Kalau diadaptasi dari kartun Avatar pun, saya memang tak layan kartun tu. Tapi sebab saya ni suka berjalan, saya ikutkan saja ajakan beliau.
Hasilnya, cerita ni sangat memuaskan dan berbaloi ditonton. Apatah lagi agaknya jika dicuba versi 3D (tak berpengalaman lagi).
Avatar sebenarnya bermaksud wakil diri. Macam avatar (gambar) yang kita letak di YM mewakili kita yang sebenar.
Dalam cerita ni, avatarnya ialah satu makhluk campuran DNA manusia dengan makhkluk planet Pandora. Manusia dah jadi alien di Pandora. Manusia datang ke Pandora sebab nak kaut hasil planet yang boleh bawa untung besar.
Manusia yang datang ke situ terdiri daripada kumpulan saintis dan tentera. Kumpulan saintis ni bertanggungjawab dengan teknologi baru penghasilan tubuh seakan makhluk Na'vi dan mesin yang membolehkan otak manusia mengawal Avatar itu dari jauh.
Kumpulan tentera pula bertanggungjawab melatih mereka yang bakal mengendalikan Avatar ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan di tempat asing. Mereka mempergunakan Avatar yang boleh bernafas dalam atmosfera Pandora ini untuk berhubung dan memperoleh kepercayaan puak Na'vi.
Hero cerita, Jake Sully yang lumpuh kaki seolah mendapat kehidupan baru di Pandora. Dia, dengan Avatarnya jadi wakil manusia masuk ke dalam masyarakat orang asli Na'vi. Terlanjur, dia bercinta pula dengan Neytiri, anak perempuan ketua suku Na'vi.
Sebahagian manusia tenggelam dalam nafsu tamak menguasai mineral Pandora. Lupa pada kemanusiaan, mereka guna cara paksa untuk mengusir puak Na'vi dari tapak mineral tersebut setelah rundingan diplomatik diwakili Jake tak berjaya.
Jake bangun mewakili puak Na'vi dan mempengaruhi puak-puak lain Pandora supaya bersatu menentang kaumnya sendiri.. manusia.
Persoalan utama di sini ialah.. pendirian untuk menegakkan keadilan dan kemanusiaan dan bukannya perkauman.
Bila kita tahu ada antara bangsa atau keluarga kita yang salah dan menganiayai orang lain, kita perlu bantu mereka yang dizalimi, walaupun orang itu tak ada pertalian darah atau sebarang kaitan pun dengan kita.
Dan.. persoalan dalam penyesuaikan diri dengan persekitaran asing. Kita akan rasa berat hati, sesak dan terasing berada dalam situasi yang tak pernah dialami sebelum ni, kecuali jika kita pandang sekeliling dari mata mereka yang berada di dalamnya.
Tentera manusia di Pandora menganggap makhluk planet Pandora sebagai musuh dan semua yang ada di dalamnya membahayakan. Sampaikan kapten tentera cakap, mereka akan nak cari neraka sebagai R&R semasa di Pandora.
Tapi Jake dengan mudah menyesuaikan diri, belajar cara hidup dan bahasa Na'vi sebab dia rasa seronok dan nak lepaskan diri daripada kata-kata doktor tentang apa yang dia tak boleh buat.
Tahniah James Cameron, yang selepas 15 tahun, akhirnya berjaya merealisasikan ide filem ini, menggunakan teknologi kesan khas terkini.
Dan terima kasih kawan. Ajak tonton cerita ni ;)