Alhamdulillah, saya dah selamat sampai kembali ke Politeknik Port Dickson dari percutian pada hujung minggu di teratak kerinduan di Kuantan. Seperti biasa, pengalaman pertama memang mendebarkan. Yalah, tak jumpa rentak lagi. Tempat orang, masih teragak-agak.
Urusan pembelian tiket masih menjadi hal rumit. Tapi untuk yang pertama kali ini, terima kasih diucapkan kepada sahabat juruteknik saya, Ija yang sudi menapak ke Seremban mencarikan tiket untuk saya.
Malangnya (malang bagi orang Kuantan yang tinggal di Seremban), bas ekspres Seremban-Kuantan tak ada yang terus melalui Bahau (sekurang-kurangnya setakat yang saya diberitahu). Sebaliknya kami perlu melalui Kuala Lumpur dahulu untuk mengambil penumpang lain di stesen bas Kajang dan Hentian Putra.
Katanya penumpang di Seremban yang nak ke Kuantan tak ramai. Rugi jika terus ke Kuantan. Sebab itu mereka ambil juga penumpang dari Kuala Lumpur. Selain ke Kuantan, bas itu juga hantar penumpang ke Kuala Terengganu. Sebetulnya dari Melaka dan sampai ke Kota Bharu. Tapi perancangan dan aturan itu mungkin berubah ikut keadaan.
Dan harapnya, menjelang musim perayaan, akan ramailah orang Kuantan di Seremban yang akan menampakkan diri untuk menggunakan perkhidmatan kenderan awam ini. Supaya, tak perlulah saya sampai 6 jam di dalam bas! Rekod perjalanan terlama sehingga kini. Tolak ke Kota Bharu untuk mejlis perkahwinan Nizal sekali dahulu.
Sejak dapat tiket lagi telah timbul persoalan. Harga tiket pergi balik lain-lain! Bezanya bukan setakat 10 sen seperti perbezaan tiket antara syarikat bas ekspres Kuantan-Kuala Lumpur untuk pengalaman sebelum ini, tetapi 80sen. Untuk syarikat yang sama!
Seremban - Kuantan RM24.20
Kuantan - Seremban RM23.40
Apakah yang berbeza antara 2 perjalanan? Jarak? Penggunaan minyak (mungkin ya, tapi dah tahu sebelum digunakan?)? Tol?
Yang pasti saya beli kedua-dua tiket ini dari syarikat yang sama dan kedua-dua perjalanan melalui jalan yang sama.
Pulang Jumaat lepas pada jam 8.30 malam dan tiba di Terminal Makmur pada 2.30 pagi. Pulang kembali ke sini pada 1 pagi tadi dan tiba di Terminal One pada 5.45 pagi.
Tanpa pulang ke rumah kuarters, saya yang dah terus siap berbaju kurung terus ke pejabat pagi ni. Sekarang boleh bertahan tanpa rasa mengantuk walau ada sedikit lesu. Cuma, dah tak sabar nak pulang rehat di rumah!
Selepas ini? Saya masih belum serik untuk pulang. Walau jauh, perjalanan pada malam hari kurang terasa. Dan cuti yang singkat selama 2 hari tanpa sebarang cuti rehat itu masih menghiburkan dan mengasyikkan!
Tak sabar untuk pulang lagi bulan hadapan.
No comments:
Post a Comment