Tuesday, February 22, 2005

demi masa

Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian.

Melainkan, yang beriman dan yang beramal soleh dan saling menasihati pada kebenaran dan kesabaran.


Satu tugas yang mencabar, untuk menjadikan kalimah ALLAH ini sebagai maksud satu pegangan atas penilaian erti seorang sahabat sejati. Jadi, entri ini adalah jawapan, teori saya melalui akal dan ide kurniaan-Nya, dedikasi khas untukmu, sahabat.

Manusia perlu sentiasa bermotivasi. Tanpa motivasi, tiadalah ertinya hidup sebagai manusia. Kerana motivasi itu dalam bahasa Inggerisnya motivation, yang diambil dari perkataan motive yang bermaksud sebab, alasan, tujuan, penggerak atau galakan. Motive ini yang membawa kepada motion iaitu gerakan. Kalau manusia tak bergerak, manusia tak ubah seperti tumbuhan. Ada nyawa, tapi statik, tak boleh ke mana-mana atau buat apa-apa.

Bagaimana untuk bermotivasi [yang diperkatakan di sini ialah *motivasi sekunder -- keperluan untuk terus maju]? Peranan paling penting dimain orang sekeliling. Dalam konteks pelajar, rakan sebaya atau lebih khusus sahabat baik.

Demi masa, manusia dalam kerugian, melainkan yang beriman dan beramal soleh.

Baik, semua sedia maklum. Hidup ini hanya kerana ALLAH. Percaya pada ALLAH [dan kejadian-Nya; malaikat, kitab, rasul, qada' dan qadar] dan sembah ALLAH [patuh segala suruhan dan larangan-Nya].

Demi masa, manusia dalam kerugian, melainkan yang saling menasihati pada kebenaran dan kesabaran.

Apa yang benar?


Tiada yang benar melainkan apa yang diajar dalam Islam.

"...Sebenarnya dia (Muhammad) telah membawa kebenaran kepada mereka dan kebanyakan mereka benci pada kebenaran. Seandainya kebenaran itu adalah menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini dan semua yang ada di dalamnya..."
(Al-Mukminun: 70-71)


Manusia takkan pernah boleh lari dari dugaan hidup. Daripada ujian dan cabaran yang akhirnya mematangkan kita. Tetapi bukan mudah untuk mencapai tahap kematangan yang memberi kepuasan maksima yang akhirnya memberi kekuatan dan keberanian untuk seseorang menoleh kembali melihat dan menghadapi sengsara kisah duka itu.

Sahabat sejati adalah dia yang apabila terpandangkan wajahnya, kita teringatkan ALLAH.

Seorang sahabat yang baik ialah seorang yang sentiasa memperingati sahabatnya mengenai kebenaran Islam. Mengenai indahnya Islam sebagai cara hidup yang menjadi amalan dan pegangan dalam setiap tindakan dan keputusan dalam kehidupan.

Apabila ditimpa perkara yang menyesakkan, sebutlah nama ALLAH, ingatlah Maha Pencipta, berbaliklah pada al-Qur'an dan sunnah, insyALLAH hati akan tenang.

"...Ingatlah, dengan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenang."
(Ar-Rad: 28)


Bila hati tenang, akan mudahlah bagi kita membuat keputusan yang rasional. Orang yang kepala tengah serabut, fikiran diganggu emosi, asyik nak memprotes dan mengamuk saja takkan termakan kata-kata yang menasihati walau sebernas manapun ideanya.

Kenapa perlu sabar?

"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; jika tidak kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan. Sabarlah (menghadapi kesusahan dengan cekal); sesungguhnya ALLAH bersama mereka yang bersabar.
(Al-Anfal: 46)


ALLAH dah cakap. Tinggal lagi kita untuk percaya dan yakin. Jangan banyak komen, jangan cerewet, jangan banyak sangat adu, tak puas hatinya. Sabar, redha, usaha, tawakkal, insyALLAH ALLAH akan tunjukkan jalannya.

Seperti kata Dr. Daniel, penyelesaian masalah teragung sudah sedia tersemat dalam al-Qur'an:

"Sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan ALLAH akan mengurniakan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka."
(Al-Talaq: 2-3)


Tugas sahabat adalah untuk pesan dan peringat pada sahabatnya akan janji ALLAH ini.

Jika sahabat seperti ini hadir, maka lengkap dan puaslah hidup seseorang yang sedang berkelana mencari teman yang akan mengiringinya dalam perjalanan menuju keredhaan ALLAH. Imam Syafi'e pernah berkata:

Tidak ada kegembiraan yang menyamai perjumpaan dengan sahabat dan tidak ada kesedihan yang menyamai perpisahan dengan mereka.

WaALLAHualam.

* "Motivasi sekunder mampu mempercepatkan langkah yang lemah, lembik, dan lembam. Motivasi ini mampu membuatkan seorang wanita tua melepasi longkang besar. motivasi ini mampu menjadikan manusia itu super. Motivasi ini mampu menjadikan manusia itu melakukan enam pekerjaan serentak. Motivasi ini mampu menahan haus dan lapar. Pada ketika-ketika tertentu motivasi ini mampu mencairkan besi, membina aura yang bertindak bagaikan baju besi, mencetuskan arus kecemerlangan alpha setiap masa dan... dan... dan... banyak sekali" -- Nak ke Tak Nak, Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

# InsyALLAH Along, ada isi saya tambah lagi. Hanya ini yang terfikirkan buat sementara ini. Berilah saya 'assignment' lagi. Ada juga faedah apa yang Along minta saya carikan ini ;)

No comments: