Aku kira perjalanan kali ini lebih payah daripada di FRIM. Kepenatannya amat terasa kerana curamnya menghampiri 90 darjah, dan tak punya banyak peluang berjalan mendatar, walaupun semasa di FRIM dahulu kaki ini ketar kerana hentakan demi hentakan semasa menuruni bukit.
Sempat pula beranalogi :) Semua Along punya pasal :p
Bermula dengan satu semangat dan impian seawal perjalanan, begitulah kita semasa berjanji dengan Maha Pencipta seawal kejadian. Kita telah berjanji menjadi hamba yang baik dan menurut segala perintah-Nya. Tapi kita lupa. Seolah-olah perkara itu tak pernah berlaku. Sebelum ditiup ke dalam jasad, roh kita beriman semuanya. Ibu bapa dan suasana persekitaranlah yang merubah kita menjadi Muslim atau kafir.
"Dan sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa lalu, tetapi dia lupa; dan Kami mendapati dia tidak mempunyai keazaman yang teguh."
Aku berjalan dan berjalan sehingga curam tegak itu menghalang langkah untuk terus maju. Kami berhenti. Curam itu ibarat ujian. Kita bukan berhenti terus, cuma untuk seketika. Untuk apa? Berikhtiar mencari jalan terbaik pada pandangan ALLAH untuk menyelesaikannya. Kita berhenti mengumpul tenaga dan memulihkan semangat yang sedikit luntur.
"Sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan ALLAH akan mengurniakan rezeki kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangka."
Dan mereka yang sama-sama menunggu untuk kembali meneruskan perjalanan bersama-sama itulah sahabat yang sejati. Sahabat yang menegur segala kesilapan dan memberi dorongan kala memerlukan. Mereka tidak pernah jauh daripada kita, namun, kadangkala kita yang terlepas pandang. Menganggap segala kejayaan hasil usaha sendiri, tanpa bantuan sesiapa. Sesungguhnya, tanpa mereka, kesukaran yang ditempuh sepanjang perjalanan akan menjadi lebih berat ditanggung.
Ada yang berpatah balik ke kem kerana kepenatan.
"ALLAH tidak membebani seseorang dengan ujian yang di luar kemampuannya"
ALLAH beri kita pilihan. ALLAH tak pernah menzalimi hamba-hambanya. Tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri dengan melakukan sesuatu yang hanya mendatangkan kerosakan dan kemudaratan.
"Sesungguhnya ALLAH tidak menganiaya manusia sedikitpun, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri"
Kami berhenti tak lama. Kerana kami tahu yang kami perlu sentiasa bertempur dengan masa. Begitu juga dengan kehidupan. ALLAH beri kita masa berehat setelah keletihan dihujani masalah atau sekurang-kurangnya sesuatu yang kita anggap sebagai masalah. Tapi dalam dunia yang serba mencabar ini, kita tak boleh berhenti berusaha terlalu lama kerana kita akan ketinggalan, terutama dengan masyarakat yang angkuh dengan kelebihan teknologi mereka. Masyarakat yang ingin diagung-agungkan sebagai 'Tuhan' dunia. Menganggap merekalah yang paling bagus.
Dan kita masih belum terlepas daripada tanggungjawab itu. Tanggugjawab untuk meneruskan usaha da'wah. Kerana bimbang nantinya 'Tuhan' dunia ini akan sekali lagi menjadi 'Tuhan' kita di akhirat. Bagaimana? Mereka akan menarik pahala kita yang telah tersemai di dunia ini dengan tuduhan tak berkesempatan mengenali Islam. Walaupun ini zaman teknologi yang membolehkan maklumat tersebar rawak ke serata pelusuk dunia, bimbang masih ada yang terlepas dari pandangan. Kita tak pernah tahu kan?
"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyeru kepada kebaikan, serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang² yang berjaya."
Kami berjalan lagi. Pada lereng-lereng bukit di mana tempat bertapaknya cuma sebelah kaki [sebelah bukit, sebelah gaung], kami memperlahankan langkah. Sungguh berhati-hati. Di mulut terkumat-kamit menyebut kalimah ALLAH. Peluh bimbang merenik dingin. Sedikit tersasar, nyawa menjadi galang-ganti.
Kebanyakan manusia, apabila datang kesukaran, masa itulah baru kita ingatkan ALLAH. Kerana itu ALLAH datangkan manusia dengan ujian. Kerana ALLAH nak kita ingat Dia. Untuk apa? Sebab Dia sayangkan kita. Dia nak kita pun sayangkan Dia. Sama juga macam sepasang kekasih. Bila kita sayang dan rindu akan seseorang, kita letak harapan supaya orang itu rasa yang sama.
Kenapa ALLAH guna ujian? Sama juga, kenapa ada kes yang sampai kelar nadi di pergelangan semata-mata minta perhatian pasangannya? Atau sekurang-kurangnya berpura-pura sakit atas tujuan yang sama? Sebab, mereka mahu sentiasa diingati. Mereka ada kuasa ke atas emosi pasangan mereka untuk tarik perhatian.
Jika manusia pun ada kuasa, apatah lagi ALLAH yang Maha Berkuasa. Ujian itu untuk menunjukkan betapa ALLAH selayaknya dianggap tuan sekalian alam. Yang berkuasa mengawal segala sesuatu. Dan kita, manusia² ini cuma hambanya. Yang jika menjadi hamba sesama manusia pun belum tentu akan disayangi.
Dan tanda kasih ALLAH melalui ujian tampak bila Dia tak mahu kita terus terpesong melakukan sesuatu yang akhirnya akan dimungkari-Nya. Sebelum kita makin terjebak, ALLAH peringat kita akan kewujudan dan keesaan-Nya.
Lumrah menyelusuri hutan, kebarangkalian digigit pacat itu ada. Kata orang pacat hanya menghisap darah yang kotor. Aku tak pasti, tak pernah rujuk pakar Biologi pula. Tapi jika ia benar, anggap saja pacat itu sebagai taubat. Taubat menghilangkan cela dosa manusia. Taubat membenarkan diri diampunkan ALLAH. Taubat membawa kita memohon kemaafan dari sesama manusia. Darah kotor itulah dosa yang perlu dibersih. Mustahil untuk dihilangkan semua. Tapi lebih baik daripada langsung tidak cuba menjadi kita yang lebih baik dari hari-hari semalam.
Taubat tak susah, sebagaimana digigit pacat yang hanya rasa gatal-gatal dan kadangkala tidak disedari langsung. Dan taubat mudah dimakbul dan diterima, kerana pengampunan ALLAH Maha Luas. Asal saja kita bersungguh. Manusia tidak langsung berhak untuk bersangka buruk, su'uzon dengan ALLAH, menghukum diri apabila menganggap dosanya tidak mungkin lagi dapat dibersihkan.
ALLAH itu Maha Penyayang. Setulus mana kasih sayang seorang ibu, kasih ALLAH itu lebih dari itu. Tiada kuasa yang dapat menandingi kelebihan-Nya. Dialah yang Maha Agung.
Sesekali tangan ini memaut pepohon yang berlumur lumut menghijau untuk memperoleh imbangan daripada jatuh. Jatuh di bukitan tak sama jatuh di daratan. Sekali tersilap, jatuhnya bukan takat itu. Boleh jadi berguling-guling dan tentunya melibatkan orang lain, mereka yang sekali bersama waktu itu.
Dalam memperoleh pautan, kadangkala leka juga dengan kemudahan itu hingga tak sedar pohon itu berduri. Atau tak cukup kukuh bila sudah reput.
Tempat pergantungan hamba cumalah pada Penciptanya. Pertolongan dan bantuan hanyalah pada yang berhak dan layak membantu. Bukan pada bomoh atau dukun. Bukan pada jin atau syaitan. Waima jika bantuan terhulur oleh ibu bapa, rakan-rakan atau guru-guru, bukan asalnya ia dari mereka. Kerana sesungguhnya mereka cuma penyampai. Dan mereka memang wajib menyampaikan bantuan itu kepada yang memerlukan, kerana setiap kejadian di bumi ini adalah milik ALLAH semata-mata. Yang berkelebihan itu cuma pemegang amanah-Nya. Sudah tentunya tanggungjawab mereka lebih berat.
Pergantungan sesama makhluk melebihi pada ALLAH tidak membawa ke mana-mana.
"Jika ALLAH menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu. Jika ia mengecewakan kamu, maka siapalah yang dapat menolong kamu sesudah ALLAH? Kepada ALLAH jualah orang-orang beriman itu berserah diri."
Aku tak pernah ke Hutan Rimba Komanwel ini sebelum ini. Aku tidak dapat menggagak sejauh manakah perjalanan kami dan apakah yang mungkin akan ditempuhi sepanjang perjalanan. Apakah hikmahnya?
Apa hikmah ALLAH menyembunyikan persoalan masa hari kebangkitan?
Jika aku tahu bila kami akan menyudahkan eksplorasi, mungkin tak aku akan mengalah awal kerana tiada keyakinan dapat bertahan selama itu? Jika aku tahu di mana destinasi akhir ujian kemampuanku, tidakkah nanti aku akan tiba-tiba bersemangat apabila tahu saat itu hampir tiba?
Dan persoalan ini, aku yakin kalian dapat mengupas sendiri.
Hari keluarga SRC ini benar-benar memuaskan hati aku kerana sekian lama terperangkap dengan rutin harian yang jarang benar berubah. Dah lama juga tak berjogging mungkin juga mempengaruhi stamina aku pada hari itu. Tapi aku puas kerana berpeluh banyak, kurang sedikit bebanan yang dalam erti kata sebenar yang 'meletihkan' aku sebelum ini.
Terima kasih SRC. Terima kasih Faheem!
# Seronok juga makan berlima satu talam nasi. Pengalaman baru bagi aku. Tertanya-tanya juga apa kelebihan sebenarnya sehingga menjadi salah satu sunnah Nabi Muhammad.
No comments:
Post a Comment