Friday, February 04, 2005

kalimah hamba

"Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"
(As-Saff; 61:3)


Gerun juga dengan pernyataan ini. Seolah² mencabar diri untuk terus dalam keadaan sedar nilai kehambaan yang sejati. Cabaran untuk seorang da'i walau sekadar menyampaikan satu perkataan ajaran Ilahi.

Masih terasa kekurangan diri. Dan kekurangan inilah yang menyekat kebebasan mengekspresi suara kebenaran. Layakkah aku?

Pendapat 1:

Kita manusia memang tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tiada manusia selain Nabi Muhammad yang sempurna akhlaknya. Tapi jika semua orang mengelak memikul tanggungjawab ini, kita semua akan berdosa!

Pendapat 2:

Tulislah. Asalkan jangan sampai membebankan. Yalah, kita sekarang bukan sahaja berurusan dengan ALLAH tapi juga manusia. Dan kita memang tak boleh lari dari manusia. Bagaimana kira mereka menilai kamu daripada apa yang kamu ajarkan? Mampukah kamu mengingati dan mematuhi setiap patah perkataan yang kamu hamburkan?

Pendapat 3:

Setiap manusia dijadikan tidak sia². Setiap manusia ada misi tertentu yang perlu dilangsaikan mengikut kemampuan masing². Mungkin inilah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kamu dalam menegakkan kebenaran?

Pendapat 4:

Entah ikhlas entah tidak apa yang dilakukan. Entah² sekadar peroleh nama dan kesenangan saja.

+ + +

Pada aku, aku sedar, aku cuma mampu menyumbang hasil penulisan kepada masyarakat. Yang Islam terutamanya. Kerana aku ini, percakapan tidak mampu menyampai apa yang sebenarnya perlu disampaikan.

Dan melalui penulisan, aku laburkan sesuatu untuk hari akhiratku. Ya, aku pentingkan diri. Bukankah semua manusia pun begitu bila tiba masanya nanti? Mana ada lagi yang akan peduli orang lain. Sedang semasa tsunami melanda sekalipun, manusia lupa mereka ada keluarga, ada anak bini, mencicit lari menyelamatkan diri. Tapi, aku tak menyusahkan orang lain.

Cuma, kita hidup bermasyarakat. Teori sajalah apabila, "Kita nantinya cuma berurusan dengan ALLAH. Biarlah apa yang mereka nak kata asal kau tahu apa yang kau buat itu betul." Praktikalnya, sejauhmana orang Islam hari ini mampu bersabar dengan pandangan asing orang sekeliling dalam menilai ketulusan kita? Silap sedikit, itulah yang lama dipandang.

Benar Along, perjalanan ke syurga dipagari unsur² yang tidak disukai manusia, penuh mehnah, cabaran dan dugaan, sebaliknya ke neraka sana dihiasi sulaman kesukaan mereka, semuanya nampak mudah dan indah.

Tidak ada seorang yang mengajak kepada kebenaran yang tidak didatangi ujian. Dugaan ini membuatkan mereka yang beriman membenci dunia dan merindui syurga...

Seperti biasa, salah dan silapku, minta ditegur untuk diperbetul. Kerana aku ini kurang tazkirah mentarbiyah diri. Cuma mengharap rakan² yang mengerti hakikat perjuangan seorang hamba... mencari kerinduan yang sejati dari Ilahi.

No comments: