"Ika, awas!"
Belum sempat aku menoleh, aku dihalang satu lengan putih sebesar tiang rumah yang betul-betul di hadapan muka. Telapak gergasi itu memegang kepalaku kemas seolah-olah ingin meramasnya. Kepala terasa panas. Penuh dingin merenik. Aku ketakutan. Sesak nafas!
"Misi aku mencari mereka yang mengabaikan solat. Aku tak sangka kau adalah dikalangan mereka!" kata suara lembaga aneh itu. "Kaulah yang sebenar pemusnah agama! Kau tonjolkan imej yang mulia, sedang kau sebenarnya syaitan bertopeng manusia!"
Ampunkan aku, ampunkan aku! Aku benar-benar insaf... Aku terkulai dalam debaran yang seperti paluan rancak gendang.
Sejak kejadian, aku sering terlihat bayangan makhluk-makhluk halus yang tidak dapat ditangkap pancaindera manusia lain. Semuanya berwajah menakutkan. Seperti dirasuk, aku menjerit histeris apabila terpandangkan jasad seorang wanita bertelekung terbaring di jalanan. Apa yang sudah terjadi padaku?
Setiap kali sebelum azan bekumandang, aku lantas keluar dari rumah menuju ke masjid. Aku dapati ada ketenangan di situ. Malah, aku cukup seram jika terlewat mengerjakan amanah ALLAH. Bimbang makhluk-makhluk aneh itu datang lagi memberi amaran.
Amirul menjadi penyokong terkuat mengembalikan semangat aku. Mungkin pada pandangan orang lain, aku sudah tidak waras, mereka tidak lagi mempedulikan aku, sedang aku dapat rasa menjadi orang yang penting dalam hidup Amirul. Dia masih melayan aku seperti seorang manusia, seperti Ika yang dahulu.
Aku melangkah ke tempat duduk hadapan kereta perak milik Amirul. Aku memandang wajahnya yang bersih ceria. Terharu benar dengan pengorbanan lelaki ini. Tak pernah mengenepikan kepentingan aku walau diburu berjuta gadis lain. Tapi, kami tetap memegang status sahabat. Tidak pernah lebih dari itu.
Kami berhenti di hadapan rumah Bob yang akan ikut sama ke destinasi kami. Bob membuka pintu kereta di tempat dudukku. Aku jadi pelik. Ah, mungkin ada sesuatu yang ingin dikatakan pada Amirul.
Aku tambah pelik apabila Bob menyumbat dirinya ke tempat yang aku sedang duduki. Aku tertolak ke tepi. Aku memandang Amirul. Wajahnya pucat dengan anak mata yang bundar menggambarkan tanda tanya. Bob tak nampak aku?
Aku jadi panik. Kepala memanas, air mata jernih mengalir tiba-tiba. Peristiwa lama tergambar di ruang fikir. A... aku... tak wujud?
Amirul terus menyaksi walau aku tahu dia sebenarnya ingin kalih. Apa yang dilihatnya di wajah ini?
"Mirul... maaf... sa... saya t...tak tahu!" aku gagahkan diri mengeluarkan suara yang seperti terlekat di kerongkong. "Tolong jangan benci saya, jangan takut dengan saya, tolong! Sa... saya pun tak faham..." Amirul masih terbatu. Bob sudah hilang dari dunia kami.
"Mirul, sa... saya, sudah mati?" tiada jawapan. Peristiwa dua minggu yang lepas tiba-tiba menjadi jelas. Tangan gergasi yang menghentak kepala itu... sebenarnya kereta yang melanggar...
"Mirul, saya sayangkan Mirul!" aku tahu masa aku untuk berada di situ tidak panjang. Aku lantas memeluknya. Hangat. Amirul memegang kepalaku lantas mengucup dahiku.
"Saya juga sayang Ika. Sangat sayang." Amirul berbisik. Setitik air matanya membasahi dahiku. Aku terharu dalam sebak yang maha hebat.
"Inilah perjalanan terakhir kita, benarkan saya temani Mirul...?" Amirul mengangguk lemah. Aku terasa kian dingin. Genggaman tangan Amirul sudah tidak terasa. Seluruh tubuh seolah kehilangan reseptor sentuhan. Aku keawang-awangan. Fikiran kian kosong. Yang pasti, aku akan bersendiri nanti. Sunyi...
Bila tiba satu masa yang kita rasa sunyi, kita memang betul-betul rasa sunyi.
Mak dan abah tiada di depan mata menemani.
Rakan taulan semuanya kelihatan menjauh.
Kala aku rasa aku mampu hidup bersendiri walau cuma untuk kali ini, mimpi-mimpi itu datang lagi. Buat aku termenung sendiri. Benar-benarkah aku rindu akan mereka?
Kerana aku pernah mendengar, jika kita mimpikan seseorang, sama ada kita rindukan mereka atau mereka yang rindukan kita.
Dan aku agak, tiada sebab untuk mereka merindui diri ini...
Hinggakan aku seolah yakin, betapa ruginya seseorang untuk meninggalkan dunia ini tanpa menyatakan betapa aku sangat beruntung dan bertuah mengenali mereka. Bahawa aku sangat sayangkan mereka. Bahawa aku cintakan dia...
Bila itu, aku sedar, bahawa ALLAH telah aku ketepikan. Kerana mustahil untuk kita rasa sunyi jika yakin ALLAH sentiasa di sisi...
[Terlalu lineankah aku? Adakah aku terlalu menolak realiti?]
ALLAH, ya ALLAH, jauh sungguh aku rasa jarak kita...
Kerana aku yang sebenarnya tak pernah mahu insaf. Tak pernah cuba menjadi yang lebih baik...
Aku mungkiri ucapan-ucapan itu...
Engkau murka kan padaku?
Aku sentiasa letak diri di tempat selamat. Aku hanya mengingati nama-Mu yang baik-baik saja. Aku tahu Kau Maha Pengasih, Maha Penyayang. Kau Maha Pengampun, Kau Maha Penyabar.
Tapi aku lupa ya ALLAH, Kau juga Maha Adil, Maha Penghukum, dan Maha Penyiksa. Kau akan laksana apa yang telah Kau janjikan.
Rugilah mereka yang leka dan alpa kerana tidak mengenali-Mu. Walau sebanyak mana kau peringati kami. Kami tetap tak tahu dan tak sedar, kerana lembaran-lembaran itu hanyalah dalam kalam suci-Mu. Bukan terus pada mimpi-mimpi ngeri kami.
Kami tak mengerti. Kami malas mengerti. Kerana Arab bukan bahasa kami.
Ya ALLAH, hanya pada-Mu tempat ku bergantung. Lantas bantulah aku hilangkan rasa sunyi dan berdosa ini...
ALLAH, ampunkan aku! Aku mahu dekat dengan-Mu! Sungguh-sungguh!
# Abang Fauzul ada terdetik idea mengalihbahasa Al-Qur'an daripada Arab kepada Melayu. Bukan untuk mengubah kalimah ALLAH, tetapi menambah kefahaman orang Melayu Islam ini seraya mendekatkan diri dengan ma'rifah ALLAH.
Idea ini sebenarnya telah digunakan beratus tahun yang lalu dengan kitab Injil Kristian. Kita saja belum memulakan kerana terlalu bimbang membuat salah. Memang tanpanya pun, Islam masih menjadi agama yang paling cepat memperoleh penganut-penganut baru di dunia terutama di Amerika.
Tapi itu untuk mereka yang ingin mencari kebenaran. Bagaimana dengan kita yang telah mengunyah kebenaran tetapi belum mencernanya? Kita ini!
Kerana sesungguhnya golongan berilmu itu tertipu kira mereka menganggap diri baik kerana berjaya melancari pembacaan al-Qur'an. Kononnya suara yang lunak dan merdu itu memberi ketenangan pada mereka. Tapi satu perkataan pun yang dibaca tidak mereka fahami. Berbaloikah? -- Dr Daniel
# Hidup ini satu ilusi?
No comments:
Post a Comment