Sunday, February 27, 2005

remaja dan kehidupan

Nak tahu bila kita ada konflik? Dalam diri, luar diri, atau apa-apa je la...

Bila kita pandang benda kecil, yang tak real, tiada fizikal [bukan tak wujud], sebagai satu perkara besar.

Sebab sebenarnya, bila kita rasa bahagia dan hidup ini cukup sempurna, kita akan nampak hidup ini mudah, jalannya cuma satu, dan seharusnya nampak arah bahagia itu.

Fikir yang positif-positif, yakin akan gapai kecemerlangan, dan kalau boleh, terasa nak bahagiakan semua orang di dunia!

Persoalannya...

Macam mana nak capai bahagia itu?

Pakar motivasi [atau mereka yang dakwa diri tahu segala] akan kata, cari [atau kalau banyak, senaraikan] apa masalahnya. Lepas tu, cari penyelesaian. Cari butang hijau kata Dr Fazillah Kamsah.

[Yang Al-Qur'an kata fikir!]

Atas idea dari seorang Baasit, [terima kasih, anda memang telah membantu saya!] saya mula perasan yang remaja sebenarnya punya 'masalah' yang lain daripada orang dewasa. Kerana itu, nasihat pakar-pakar motivasi agak kurang boleh digunapakai oleh mereka [dalam hal ni termasuk saya ;p ]

[Ya, Baasit, saudara memang telah menjadikan saya lebih muda! :) ]

{Eh, lupa pula, Along pun pernah cakap benda yang sama -- memang ada istilah 'penyakit remaja' :) ]

Kebanyakan remaja berasa yang diri mereka hilang arah, hanyut dalam perasaan, tekanan, dan konflik [kebanyakannya cuma dalam diri].

Remaja rasa tak selamat. Mereka dalam pencarian. Malah pencarian mereka lebih besar daripada pencarian seorang dewasa. Mereka sedang mencari erti sebuah kehidupan. Sebab itu dikatakan remaja ingin dan berani mencuba sesuatu yang baru.

[Bolehlah dijadikan sebab munculnya pelbagai gelagat yang tak senonoh di kaca mata orang dewasa atau remaja yang tahu berfikir]

Remaja sebenarnya perlu entiti sabar dalam usaha mencari tapak yang kukuh menempatkan diri dalam masyarakat. Tetapi remaja ini muda dan mereka berdarah muda. Mana mungkin nak tunggu lama-lama?

Mereka anggap hanya sahabat yang mampu mengerti luahan hati mereka, sedang mereka tahu, ibu bapa juga pernah menjadi remaja. Silap ibu bapa juga yang tak pandai mendekatkan diri ke dalam jiwa remaja kerana, walaupun idea mereka bernas dan sememangnya itulah jalan penyelesaian, mereka terlalu mengikut logik dan bersifat analitikal. Terlalu berproses dan berlangkah-langkah.

Sedang jiwa remaja itu kompleks dan berserabut. Mereka ingin difahami dan didengari.

Jadi pada asasnya, remaja memang dalam pencarian. Mereka perlu bimbingan dalam mencari tapak itu. Tapak teguh atas dasar Islam, iman dan norma kehidupan sosial. Tapak yang akan buat mereka rasa lengkap, cukup sempurna, selamat, dan bahagia.

Fahamilah remaja. Bukan salah mereka kerana tiada pegangan kukuh dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Bukan salah mereka jika terdorong mendekati sahabat, bukan mereka yang terlebih dahulu makan garam.

Segala jenis pendekatan bermula dari didikan seorang ayah dan ibu. Yang akan menentukan sama ada remaja ini akan mencari mereka atau tidak untuk sebarang rujukan.

Kadangkala ibu bapa terlalu melepaskan anak-anak untuk menentukan arah haluan hidup masing-masing. Supaya mereka mudah berdikari dan tidak terlalu mengharap bantuan mereka. Salah siapa kira nanti, ketidakbergantungan itu membawa kepada anak-anak yang lupa hendak menjenguk orang tua di hari kemudian?

Ada pula ibu bapa yang terlalu mengongkong. Biar mereka buat semua keputusan untuk anak-anak. Mereka terlalu teliti kerana mengharapkan anak-anak itu dapat meneruskan impian mereka yang pernah terbengkalai, bukan impian anak-anak itu sendiri. Salah siapa jika anak-anak itu nanti larinya kala bebas tak temu jalan pulang?

Ada ibu bapa yang terlalu bersifat diktator dan konservatif, kuno, berfikiran kolot. Supaya anak-anak buat apa yang mereka arahkan. Meletakkan tahap beza antara ibu bapa dengan anak. Meletakkan dindingan untuk anak-anak cuba berbual mesra dari hati ke hati dengan ibu bapa kerana menganggap mereka ibu bapa, bukan sahabat! Tak akan dihormati kalau begitu!

Zaman anak-anak dan ibu bapa adalah berbeza. Ibu bapa perlu ubah cara didik mereka kerana anak-anak sekarang semakin maju dan lebih berfikiran terbuka, selari dengan kehidupan yang lebih moden. Pandai-pandailah menyesuaikan diri.

Berbahagialah ibu bapa yang punya anak remaja sedemikian kerana sesungguhnya kalian telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

# Uish, meleret-leret pula bincangan saya kali ini. Bermula dari bahagia --> konflik diri --> remaja --> ibu bapa. Apa-apapun, harapnya ada sesuatu yang dapat diberi.

No comments: