Sunday, February 20, 2005

hidup satu pilihan

Petikan kata Along: Hidup ini satu pilihan. Satu assignment untuk saya kupas dan hurai.

Word of wisdom Pakdi:

Two roads diverged in a wood, and I -- I took the one less traveled by. And that has made all the diffrence."
(The Road Taken -- Robert Frost, 1920)

Terima kasih Pakdi. Mengingatkan saya pada zaman di MRSM dulu. Apabila kami, ambilan pertama yang diwajibkan mengambil subjek English Literature untuk SPM.

[Apalah, Pakdi yang tak perlu belajar pun ambil tahu apa yang kami belajar -- atau mencari untuk diaplikasi. Yang dah belajar ni hanya terkenang semula apabila diingatkan atau teringat]

Kami di bawah rimbunan buluh waktu itu. Apabila Mrs. Zee menerangkan segala macam terma sastera yang kami patut tahu mengenai sajak itu. Aku pun tak ingat lagi. Yang aku ingat, cerita yang dibawa sebagai analogi untuk kami mudah faham.

The Road Not Taken

Mrs. Zee tanya, apa yang kami akan buat jika tak ditawarkan ke MRSM dulu? Apa akan berlaku jika kami setia menjadi pelajar di sekolah lama?

Siapa yang pilih? Aku.

Jawapan aku ketika itu, sudah tentu aku tak akan berpeluang duduk mendengar celoteh 'teacher'. Dan aku tak mungkin berkenalan dengan rakan-rakan berlainan negeri. Dan aku takkan belajar duduk di asrama, mengenal Dewan Selera (DS) yang sinonim dengan semua pelajar MRSM seluruh negara [DS je yang penting -- 6 kali sehari maa! ;p ]

Siapa yang pilih? Aku.

Dan aku sekarang takkan merindu rakan-rakan seperjuangan SPM MRSM dahulu. Aku takkan rancang re-union, aku takkan beraya di rumah mereka, aku takkan boleh kata yang aku ketemu semula dengan Amran di UIA! Kerana sesungguhnya, tanpa MRSM, walau satu universiti, Amran mungkin cuma orang asing, atau teman baru [Contoh saja -- maaf Amran, cuma nak tambah modal bercerita ;) ].

Siapa yang pilih? Aku.

Tapi boleh tak kalau nak kata, jika aku tak ke MRSM, aku takkan berada di sini, di Universiti Islam Antarabangsa ini? Boleh, tapi peluangnya mungkin sedikit tipis. Kerana sekolah lama aku tu tak dikenali sehebat MRSM. Mungkin Jabatan Pendidikan tak percaya sangat kebolehan sekolah biasa, walau orangnya, orang yang sama. Tapi, maknanya, tak semesti aku ke MRSM baru boleh ke UIA, bukan?

Aku pernah uarkan pada seorang sahabat yang kecewa kerana tak dapat bertahan di salah satu MRSM yang ditawarkan kepadanya kerana tak tahan dengan ragging senior. Aku jadi pelik juga, kenapa di MRSM Kuantan seniornya baik-baik saja?

Siapa yang pilih? Dia.

Aku kata: Tak penting di mana kita bermula, yang penting di mana kita berakhir. Dia terharu, sebak. Dan sampai sekarang dia ingat kata-kata itu. Alhamdulillah.

Dalam maksudnya tu. Banyak boleh hurai dari segi Islami. Tapi maksud aku waktu itu, sekolahlah di mana pun; pondok, MRSM, agama, asrama penuh, sains, teknik; yang penting keihklasan dan kesungguhan hati sendiri. Rezeki ALLAH ada di mana-mana. Bumi ALLAH luas. ALLAH kan sentiasa bersama orang yang sabar? Kalau Dia kehendakkan kita berjaya atas usaha dan tawakkal kita, kita akan berjaya juga.

"Jika ALLAH menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu. Jika ia mengecewakan kamu, maka siapalah yang dapat menolong kamu sesudah ALLAH? Kepada ALLAH jualah orang-orang beriman itu berserah diri."
('Ali Imran: 160)


Nak katanya, punya banyak jalan yang ALLAH sediakan untuk manusia pilih. Manusia ada keistimewaan itu. Keistimewaan memilih. Sedang malaikat tidak. Mereka buat apa yang ditugaskan ALLAH dari awal hingga akhir. Yang sujud, sujud saja. Yang rukuk, rukuk saja.

Manusia boleh jadi sangat bebas. Tapi ALLAH sudah tetapkan syari'atnya. Undang-undang dalam hidup. ALLAH sayang hamba-hamba-Nya. Tak mahu manusia jatuh dalam pelukan panas syaitan. Kerana itu, ALLAH kurniakan iman dan akal sebagai panduan untuk manusia memilih. Walau akhirnya menuju akhiran yang satu, akhirat ALLAH.

Tapi selepas itu, manusia juga yang tentukan untuk ke syurga atau neraka melalui tuaian amalan mereka di dunia.

Tetapi, itulah. Manusia yang perlu membuat pilihan. Jadi baik atau jahat. Jadi busuk atau wangi. Jadi 'rendah' atau 'tinggi'. Jadi hebat atau sebaliknya. Jadi miskin atau kaya. Jadi pemurah atau bakhil. Jadi cerdik atau bodoh. Ramai kawan atau kera sumbang. Sedih atau gembira. Untuk mengingati atau melupakan...

Dan diawal kejadian, manusialah yang memilih untuk menjadi khalifah sedang gunung-ganang, langit, pepohon dan segala kejadian semuanya menolak kerana beratnya tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sandaran khalifah.

Sedang pendapat seorang seorang rakan, untuk jatuh cinta pun adalah satu pilihan [Ya, kamulah rakan itu!]

Bagaimana? [Ini aku kupas dan olah sendiri].

Soalan: Bagaimana sebenarnya untuk kita kenali jodoh kita?

Ada siapa yang tahu?

Pandai... hanya Tuhan yang tahu :)

Kan ada Tingkap Jauhari. Satu daripada empat bahagian itu tiada makhluk di dunia ini yang tahu. Atau dengan kata lain hanya ALLAH yang tahu, kerana ALLAH Maha Mengetahui seluruh perkara sebelum dan selepas kejadian, di langit luas terbentang dan di lubang cacing mahupun penjara kurungan Ya'juj dan Ma'juj sekalipun [Gulp!].

Itulah jodoh dan maut yang tidak boleh dipilih-pilih lagi.

Jadi, jika kita tak pernah boleh pasti siapa jodoh kita, bagaimana kita boleh pasti hati ini hanya untuk dia? Sedang yang elok-elok berumah dan bertangga pun boleh roboh, inikan pula yang baru memula detik perkenalan.

Eh, jangan pula ada yang jadi ragu-ragu akan keikhlasan pasangan mereka selepas membaca ini. Memang tugas kita untuk mencari dan mengenalpasti. Takkan pula nak bersendiri seumur hayat? Kasihan siapa yang dijodoh untuk kita itu, bukan kita sahaja, dia juga nantinya akan bersendiri.

Ya, betullah, perasaan cinta itu hadir tak dipaksa. Soalnya hati tidak dimengerti, apa terjadi diluar kawalan diri, bukan? Tahu, aku arif.

Tapi, kita juga yang memilih untuk terusan mencintai dia atau melupakan dan bertemu dengan orang lain, kemudian jatuh cinta sekali lagi, bukan? Takkanlah setiap orang yang kita jatuh cinta itu jodoh kita? Gila kamu!

Yang sukar jatuh cinta, dan baginya cinta cuma satu, sekali dalam semur hidup itu, baguslah. Harapnya, itulah jodoh anda. Tapi, kita tak akan pernah tahu bukan?

Lantas, jatuh cinta juga satu pilihan. Jangan tertipu dengan pandangan pertama. Itu ikutan nafsu semata. Lihat dari segi luaran, cuma boleh kata suka. Tak kenal hati budi sudah boleh dikata cinta?

Wah, Mira jadi Dr. Love pula hari ini ;p

Habis pasal tu, kembali ke topik, hidup ini sememangnya satu pilihan.

Andalah yang memilih untuk berusaha atau goyang-goyang kami sambil peluk tubuh. Andalah yang memilih untuk berjaya atau sedih-sedih sahaja mengenang nasib.

Anda. Kita. Manusia.

WaALLAHualam.

No comments: