Puaskah kalau setiap kali, kita yang nasihat dan beri semangat pada diri sendiri?
Benar-benarnya berkesankah penawar yang diperoleh dari dalam kepala sendiri?
Orang mula kata kita kuat. Kita tabah. Tapi kita bukan begitu. Sebab yang sebenarnya kita menghendaki perhatian. Kerana kita sebenarnya rasa kesunyian. Lantas kita rasa tertekan untuk cuba memenuhi pandangan orang itu. Sukar sungguh untuk menukar pandangan orang menjadi motivasi peningkat diri.
Tapi, jika mereka mendengar, dan tahu ceritanya, dan mereka beri penyelesaian dengan logik akal atau yang mereka gelar motivasi, mungkin ia dapat membantu. Kita akan mengangguk mengiya. Akan berkata dalam hati, ha'ah, betul juga, kenapa aku tak terfikir sebegini dahulu? Aku ni jumud sangat, Pandang dari mata tempurung, tak pernah buka skop untuk lihat keadaan dengan lebih jelas. Kita senyum.
Tapi, lamakah motivasi itu dapat bertahan?
Perasaan yang sebenarnya, masih terpenjara dalam hati tanpa dilawat walau dijengukpun oleh orang lain. Kita kata, tak mengapalah, takkan semuanya hendak dicerita? Setiap orang perlu ada rahsia dan isi hati masing-masing. Pandai-pandailah aku merawat sendiri nanti.
Setelah sekian lama, tiba-tiba kita kembali sedar, orang yang nasihat kita dulu tak faham langsung apa yang kita rasa. Parut itu masih ada. Memori itu tetap kukuh. Bagaimana boleh dia fikirkan inisiatif untuk kita yang lebih faham ini dalam selesaikan masalah?
Akan puaskah kita? Tak, kita akan murung semula. Dan mula cari motivasi lain supaya kembali bersemangat.
Kita kaya dengan motivasi. Semua orang boleh jadi fasilitator. Orang yang kurang ilmu seperti aku ni pun boleh. Orang yang tak mempraktikkan penyusunan jadual yang berkesan dalam kehidupan seharian walau dia tahu caranya pun boleh jadi fasilitator, sebab dia ada ilmu itu. Malah, semua pelajar universiti pun boleh berlakon baik sebagai fasilitator kerana masing-masing ada pengalaman dan pengetahuan sendiri untuk diceritakan.
Soalannya, layakkah?
Dia buat tak apa yang dia cakap pada orang tu? Yang dia dok promote sebagai estetika murni kehidupan tu?
Motivasi, memang dah lepas. Ada satu yang kita kurang yang memang amat diperlukan. Apa? Psikologi. Ilmu untuk benar-benar selami isi hati orang. Sebab dan akibat. Kenapa dia buat satu perkara, kenapa dia tak buat perkara lain? Ilmu yang tidak menyamakan seorang individu dengan satu kelompok secara teliti. Kerana motivasi itu logik. Dan logiknya semua perasaan itu sama. Semua penyelesaian juga mempunyai gol yang sama.
Orang kita kurang itu. Walau sebanyak manapun buku motivasi laris di pasaran, walau sebanyak manapun pelajar universiti di bawah pelbagai persatuan, pulang ke gagang, ke sekolah lama untuk sumbang ilmu dan bakti, walau sebanyak manapun pakar motivasi yang lahir menjadi idola masyarakat, adakah kes buang bayi berkurang?
Adakah kes lumba haram jumpa akhirnya? Adakah 'kes bawah tangga' dan 'dalam semak' sudah tidak ada? Adakah lagi kes pelajar ilmu agama tidak pandai-pandai memanfaatkan ilmunya walau untuk kegunaan sendiri? Adakah masih wujud golongan yang tidak tahu dia buat salah, dan masih nak menyalahkan orang lain, sehingga pihak yang benar termakan ugut, menarik balik saman itu, walau terang-terangan, agama tak membenarkan? Adakah, adakah, adakah?
[Kasihan benar untuk mereka yang menganggap hal kebebasan individu untuk memilih, urusannya antara dia dengan ALLAH sahaja, masyarakat yang memandang langsung tiada hak bersuara! Hei, habis tu, biar saja 'doktor-doktor profesional' itu buat kerja mereka di bawah jambatan. Bukan menyusahkan sesiapa pun, kan? Buat apa nak ambil peduli? Itu urusan mereka dengan ALLAH..! Heh! Budak tadika pun tahu tutup aurat itu wajib.]
Psikologi. Selagi seseorang tak temui jalan psikologi sendiri, selagi itu hati-hati itu tidak diubati dengan betul, dengan lembut, dengan berkesan.
Dan aku tak sediakan jawapan untuk peroleh psikologi itu. Kerana aku cuma ada Dr Fadzillah Kamsah dan HM Tuah Iskandar, belum lagi sepenuhnya Ustaz Zawawi atau Ustaz Wan Sohor [heh, tak bagi penyelesaian, tapi bagi klu!].
Aku tak suka dianggap lebih hebat daripada aku yang sebenar. Cukuplah untuk bersyukur sekadar yang aku ada dan aku mampu. Kerana luka aku, belum sembuh sepenuhnya rupanya, belum ada plaster psikologi yang mujarab. Yang ada cuma plaster motivasi yang berwarna-warni.
# Ini cuma hasil fikiran aku, tidak tertakluk pada mana-mana pihak. Segala kesilapan harap diperbetul.
No comments:
Post a Comment