Saturday, January 23, 2010

bencinta

Ramai ilmuan blogger yang mahu mengelak membicara topik yang dianggap picisan dan tak perlu dibincangkan oleh mereka yang mahu dianggap bermotivasi. Tetapi, bak kata bos tempat kerja lama saya, tulislah, asalkan ia dari hati. Sebab yang dari hati itulah yang menarik pembaca. Malah, apa yang dielak dan dipendam itulah yang juga banyak dialami oleh ramai orang. Cuma, mereka tak mahu berbicara tentangnya.

Yang lelaki pun, sebab tak mahu dianggap lemah, maka cerita berkenaan tidak dihamburkan. Sedangkan, apabila dipendam, mahu pecah rasanya hati.

"Aku bukanlah superman
Aku juga bisa nangis
Jika kekasih hatiku
Pergi meninggalkan aku"


Ada yang menganggap kisah seperti ini membuka pekung dan aib, memohon simpati dan perhatian. Apabila telah mencipta nama dan dikenali, kita lupa pada asas pembukaan blog. Saya lupa bagaimana saya membuka blog 8 tahun yang lalu.

Cuma, dalam setiap perkara, ada hikmahnya. Jikalah penulisan ini sekadar meluahkan hibanya rasa, perkongsian itu mungkin membantu. Diri sendiri dan orang lain.

Pernah satu ketika, saya anggap cinta itu perkara kecil, ringan dan bukan keperluan. Sampai sekarang pun, saya cuba tabah dan mahu dilihat tak terkesan oleh hal cinta.

Tapi, hilangnya cinta itu sebenarnya mengundang satu rasa hiba, sunyi dan kehilangan kepentingan diri dalam dunia ini. Apatah lagi jika cinta itu telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Dan apatah lagi sekiranya bekas teman pencinta itu dah temui pengganti diri.



Siapakah kita padanya? Tidak terkesankah kehadiran kita selama ini yang sentiasa di sisi, berhujan dan berpanas bersama, dalam hati dan ingatan mereka? Apakah segala ucapan jiwa, ungkapan rasa dan janji itu dusta belaka? Adakah terdapat kelemahan kita yang tak dapat diterima?

Bagi mereka yang pernah komited untuk meneruskan cinta itu hingga ke hujung nyawa, atau sekurang-kurangnya ke gerbang perkahwinan, apabila cinta itu hilang di tengah jalan, hanya kekuatan emosi dan spiritual yang mampu menguatkan kaki kita untuk terus berdiri di bumi ini.

Bonus, apabila kita mempunyai teman akrab tempat berpaut dan bertongkat.

Putus cinta, maka kita..

Buat kawan ramai-ramai, terutama yang berlainan jantina.

Tiba-tiba nak buat banyak aktiviti lasak dan berpeluh. Lepas satu, satu nak dicuba.

Tulis yang terlalu tersirat di status YM dan FB.

Satu diari sehari.

Cari balik kawan-kawan lama yang terabai semasa bercinta. Hubungi semua orang. Sebab sunyi telefon tak berbunyi dah.

Cakap sorang-sorang. Bayang bukan-bukan. Kejap ketawa, kejap menangis.

Belek hadiah-hadiah pemberiannya, imbas semua kenangan.

Cuba nak tarik perhatian dan simpati dia. Lagi hebat jika emosi mengajak kita cari teman baru bekas kekasih itu dan tabur maki dan fitnah.

Rasa nak dimasukkan ke hospital. Sebab nak tau bekas kekasih tu ambil berat lagi tak pasal kita..

Dan bagi yang tak boleh hidup tanpa teman, terus cari ganti tanpa fikir masak-masak. Semata-mata nak menggantikan rutin yang lompong.


"Pabila kau merenung matanya
Ku rebah jatuh ke bumi
Di saat kau benar-benar mahu pergi
Seperti ku bernafas dalam air.."


Jika ada sahabat-sahabat yang putus cinta dan memanggil kita untuk menemaninya, pergilah kepadanya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita buat untuk kembalikan semula 'kewarasan' dan 'kesedaran'nya. Mungkin kita dapat menghalangnya dari melakukan sesuatu yang kurang bijak.

Bagi mereka yang sedang bercinta, janganlah dilupakan masa yang perlu diluangkan bersama teman dan sahabat. Sebab kalian takkan mahu bersendiri jika cinta itu hilang. Cinta itu memang rapuh. Hilang cinta, tak mungkin dapat bersahabat seperti biasa lagi. Tetapi sahabat yang baik itu takkan pernah meninggalkan kita, selama kita menghargai dan memerlukannya.

Kepada mereka yang kehilangan cinta, memang nasihat yang datang bertubi tak terkesan. Sebab hanya yang mengalami yang merasa. Mereka tak alami, jadi mereka takkan faham. Carilah sahabat yang serasi, selesa dan kita rasa tak prejudis untuk kita luah rasa.

Lebih bagus jika sahabat itu pakar psikologi. Mujur saya ada kaunselor peribadi. Terima kasih Along. Selalu menyayangimu..

No comments: