Monday, January 25, 2010

kuasa

Salah satu pembelajaran saya dalam Kursus Induksi ini ialah mengenai kuasa. Boleh diaplikasikan dalam penjawatan awam, juga swasta. Atau di mana-mana adanya kuasa.

(Artikel ni boleh jadi salah satu cara ulangkaji pelajaran. Boleh juga jadi nota mudah faham kepada mereka yang akan ke kursus induksi juga. Atau bagi pemikir dan ahli falsafah di luar sana)

Kuasa ada 7 jenis. Formulanya ialah SPRM GKH.

1. Kuasa SAH


Kuasa ni ialah kuasa mutlak, yang diberi kepada seseorang atas penyerahan kuasa, lantikan atau pilihan majoriti. Contohnya ketua kelas, ketua unit, ketua jabatan ataupun setinggi Yang Dipertuan Agong.

Mereka yang memiliki kuasa ni berhak memimpin di mana-mana atas skala gaya kepimpinan autokratik, demokrasi atau laissez-faire.


2. Kuasa PAKSAAN


Kuasa ini diberi secara paksaan kepada seseorang. Contohnya, kuasa jadi MC atau pengerusi majlis. Terutamanya bidan terjun.

Contoh kes tak ada kena mengena dengan yang telah meninggal, tapi adalah kena mengena dengan yang masih hidup.


3. Kuasa RUJUKAN


Kuasa ni biasanya diperoleh oleh mereka yang senior dan berpengalaman dalam sesuatu hal. Mereka ini menjadi rujukan atas sesuatu urusan. Mereka yang selalu menjadi rujukan atas pelbagai urusan ialah kaunselor dan para ustaz ustazah.


4. Kuasa MAKLUMAT


Kuasa yang dipunyai oleh mereka yang berinformasi. Contoh, seorang juruteknik yang ada kelebihan pengetahuan dalam bidang software. Tahu saja software-software yang sesuai digunakan untuk satu-satu keadaan dan kondisi.

Benarlah, ilmu itu kuasa. Knowledge is power. Jadi, carilah ilmu dan maklumat sebanyak yang boleh. Cara paling mudah untuk mendapatkan kuasa.




5. Kuasa GANJARAN


Dari apa yang saya faham, jenis kuasa ini ialah yang negatif. Sebab mereka yang mempunyai kuasa ini ialah mereka yang menggunakan pengaruh material dan wang untuk mendapatkan sesuatu, sama ada untuk kepentingan diri sendiri atau orang lain.

Rasuah terjadi disebabkan adanya kuasa ganjaran.


6. Kuasa KEPAKARAN


Kuasa ni lebih kurang dengan kuasa rujukan dan maklumat. Tapi, kuasa ni berdasarkan kepakaran. Mereka yang berkemahiran dalam sesuatu hal dari segi praktikal akan mendapat pengaruh dipercayai dengan cara ini.


7. Kuasa HUBUNGAN


Kuasa hubungan ada pada mereka yang mempunyai ramai kenalan, dari segenap lapisan masyarakat. Atau senang cakap, mereka ni ada networking yang bagus.

Mereka yang mempunyai kuasa hubungan akan dicari oleh mereka yang mahu berhubung dengan mereka yang berhubung dengan mereka yang mempunyai kuasa hubungan. Pening? Baca sekali lagi. Kalau perlu, buat rajah di kertas.

Kuasa hubungan biasa dimiliki oleh pegawai perhubungan awam. Yang memang kerjanya berhubung dengan orang.


Mudah kan nak dapat kuasa? Tak perlu jadi pemimpin masyarakat pun. (Perkataan masyarakat kena letak. Sebab nanti ada yang pertikai, semua orang adalah pemimpin).

Bukan semua kita adalah pemimpin masyarakat atau sesuatu kumpulan dengan kuasa sah. Tapi kita masih boleh jadi manusia berpengaruh dengan adanya kuasa-kuasa lain.

Kuasa yang paling mulia ialah kuasa rujukan, maklumat dan kepakaran. Motivasi untuk mendapatkan ketiga-tiga jenis kuasa ni memberi peluang kepada diri sendiri untuk memperbaiki diri. Menjadi manusia yang lebih berilmu pengetahuan dan menjadi manusia terbaik dengan memberi manfaat kepada manusia lain.

Kuasa hubungan juga sangat berguna. Kelebihan untuk mereka yang ramah dan suka berkenalan dengan kawan-kawan baru. Banyak faedahnya ada ramai kenalan ni.

Namun, jika kita ada kelebihan wang dan material, jangan pula gunakan kuasa ganjaran. Ingatlah bahawa harta dan kekayaan adalah ujian Tuhan. Gunakanlah pinjaman ini sewajarnya.

Sekian perkongsian untuk hari ini.

No comments: