Tuesday, January 18, 2011

derma darah di hospital

Ahad 16 Januari 2011, saya bertugas sebagai felo on call. Jam 6.30 petang, seorang pelajar lelaki minta dihantar ke hospital disebabkan masalah perkumuhan. Dah lama tak guna perkataan sains ni. Belum keluar peristalsis lagi.

Jam 8.30 malam pula, seorang pelajar perempuan sesak nafas. Oh, para felo memang wajib belajar bantuan kecemasan. Mujur saja ada pelajar merangkap ketua aras blok tersebut yang punya kemahiran yang diperlukan. Bernafas dalam plastik. Hebat. Pelajar itu juga saya hantarkan ke hospital, ditemani 2 sahabatnya.

Mujur saja saya ni memang suka berjalan. Jadi, berulang-alik ke hospital tak jadi masalah.

Pada penghujung shif, jam 11.30 malam, saya ke hospital sekali lagi untuk jemput 2 sahabat pelajar perempuan yang sesak nafas itu. Beliau ditahan di wad. Sahabat-sahabat beliau tak dibenarkan tinggal di wad.

Semasa bersama pelajar di kaunter pendaftaran, saya terpandangkan notis tentang senarai kondisi yang dikecualikan daripada pembayaran. Termasuklah... DERMA DARAH.

Rupa-rupanya, ini juga caranya Tuhan mudahkan urusan saya. Saya asyik lupa niat saya bertanyakan waktu derma darah di Hospital Port Dickson selepas terlepas kempen derma darah semester ini di politeknik. Terlepas sebab batuk. Sangat kecewa.

Untuk makluman semua, waktu derma darah di Hospital Port Dickson adalah dari Isnin hingga Jumaat pada waktu pejabat.

Sumber: http://hpd.moh.gov.my/

Mewah! Boleh pergi bila-bila masa saja lepas ini! Tak perlu tunggu kempen lagi!

Maka, keesokan harinya, Isnin 17 Januari 2011, buat pertama kalinya, saya ke hospital untuk menderma darah. Seronok. Aktiviti derma darah selalu beri saya pengalaman baru setiap kali.

Juga pertama kali saya menjelajah pusat penawar kebanyakan sakit itu. Jumpa unit itu, jumpa unit ini. Yang paling panting, sudah tahu bagaimana prosedurnya menderma darah di situ.

1. Ambil dan lengkapkan borang di Tabung Darah
2. Jumpa doktor di bahagian rawatan (bahagian hadapan hospital) untuk pemeriksaan kesihatan.
3. Kembali ke Tabung Darah untuk pendermaan.


Bilik di sana ditulis sebagai 'Bleeding Room'. Yang Bahasa Melayunya ditulis dalam kurungan sebagai 'Bilik Derma Darah'. Bukan Bilik Berdarah?

Proses pendermaan berjalan lancar. Saya derma 300ml. Sepatutnya saya layak derma 350ml. Tapi mereka cuma ada beg 300ml dan 450ml. 450ml terlalu banyak untuk berat saya sekarang.

Usai, saya diberi kupon RM4 untuk digunakan di kafeteria hospital. Alhamdulillah, selamat semua. Sangat gembira dan puas hati.

"Hobi yang aneh"

;)

No comments: