Sunday, January 02, 2005

cinta tunggal

Tamat menghabiskan dua novel keluaran GempakStarz.

Yang pertama karya karyawan pujaan, Fakhrul Anour berjudul Cinta Tunggal. Dan yang baru dihabiskan karya Nazri M. Annuar, nama yang agak asing bagi aku, berjudul Aliya Elyana.

Aliya Elyana, novel fiksyen sains Melayu pertama yang aku baca. Aku tahu Ramlee Awang Murshid pun banyak menghasilkan penulisan dalam bentuk yang sama. Tapi, yalah, sudah nama keluaran GempakStarz, pastinya aku sambar dahulu :)



Sinopsis:
"Aliya dan Elyana amat istimewa sekali. Mereka berdua punya... bakat," ucap Irene sebelum berangkat pulang ke London. Dan kata² perempuan tua Inggeris itu tiada lain hanya benar semata². Lahir sebagai kembar, Aliya dan Elyana nyata menjalani hidup yang berbeza daripada insan² lain dengan anugerah istimewa yang mereka miliki. Tatkala sedang melangkah ke alam remaja, cinta dan pelajaran; anugerah tersebut mula diuji dengan pelbagai cabaran yang belum pernah mereka tempuhi. Aliya Elyana berkisar tentang riwayat dua remaja dalam melakukan tanggungjawab hidup dunia yang 'unik'.

Dapat?

Tak perlu cerita panjang² kot. Kerana cerita² sebegi begitu similar dengan kebanyakan cerita barat. Cuma, adalah input kemelayuannya walau TIADA unsur Islam.

Yang aku benar² hayati dan dalami maksud persoalannya adalah yang ingin disampaikan abang Ayour dalam 'Cinta Tunggal'nya.



Sinopsis:
Bagi Siti Aishah, cinta bukan muhrim di dunia ini hanyalah untuk Nizam. Meskipun tidak bertepuk sebelah tangan, namun disebabkan perbezaan umur, masing² terpaksa mengesahkan ikatan mereka sebagai saudara cuma. Begitupun, adakah Siti Aishah masih akan berjaya menggapai cinta tunggal itu apabila tiba zaman dewasanya?

Lain. Benar². Apabila sifat heroin yang menjadi subjek pengisahan tidak selama²nya statik, sama. Kalau selalunya kita disogokkan dengan kisah hero dan heroin Melayu yang dah tentu berperangai sebagai 'hero' atau 'heroin' [konon sempurna] hingga ke akhirnya, kali ini, kita dihidangkan dengan heroinnya, Siti Aishah yang memang punya sifat kekampungan dan 'perempuan Melayu terakhir' akhirnya berubah drastik hanya disebabkan kekecewaan terhadap sebaris ucapan lelaki yang amat dicintainya.

Jika dikira², novel ini boleh dikategorikan untuk pembacaan peringkat awal remaja juga kerana separuh daripada novel adalah berkisar kehidupan Siti Aishah dan rakan² semasa sekolah menengah, sedari Tingkatan Satu hingga mencecah usia 17.

Antara persoalan² utama yang menjadi fokus 'Cinta Tunggal':

~ Kesetiaan dan kepercayaan terhadap kasih yang satu.
~ Perasaan hati yang hanya dipendam, tak terluah.
~ Kesan besar kekecewaan dalam perhubungan terhadap kehidupan, sehingga akhir hayat.

Inilah persoalan yang amat perlu diambil berat walau untuk orang dewasa sekalipun.

Setiap yang dewasa sudah tentu pernah mengalami usia remaja bukan? Tapi kenapa ramai yang menidakkan betapa remaja ini berani melakukan apa yang dikehendaki apabila hati mereka berkata untuk melakukan yang sedemikian? Mengapa kita harus biarkan remaja² ini hanyut melayan perasaan sendiri tanpa pedoman dan bimbingan?

[Aku ni remaja atau dewasa? I'm not a girl, not yet a woman ;p -- kononnya!]

Siti buat suruhan ALLAH. Siti patuh arahan ibu [tunggal]. Siti setia pada rakan². Siti pandai memasak dan mengemas rumah. Siti budak baik.

Siti tak mahu luahkan perasaan sebenarnya pada Nizam, abang angkatnya yang jarak usia mereka empat tahun sebab Siti tak mahu dianggap murah. Nizam juga punya perasaan yang sama, tapi Nizam tak mahu mengaku sebab Nizam tak mahu merosakkan hubungan yang sedia terbina, sebab Nizam anggap yang Siti tak pernah mahu lebih daripada itu. Cuma abang. Kerana Siri itu umpama gunung yang orang biasa cuma punya satu pemeluk untuk memilikinya [walaupun tak lari gunung dikejar]. Siti bukan perempuan biasa yang mudah tergila²kan mana² lelaki. Lagi pula, Nizam sudah punya pacaran sendiri.

Dan pendamnya perasaan masing² sehingga akhir hayat Siti.

Kata Siti, Siti tak kisah tak hidup dapat bersama Nizam, asalkan Siti tahu Nizam bahagia [benarkah?]. Siti sanggup buat apa sahaja agar Nizam sihat sejahtera. Siti sanggup terima Nizam seadanya walau Nizam cuma seorang penjaga tempat letak kereta Sogo. Nizamlah orang kedua dalam hati Siti selepas ibunya. Nizam, penting sekali.

Nizam cemburu dengan kehidupan sosial Siti di UiTM Jengka. Siti bercerita beria² benar mengenai lelaki² yang dikenalinya walau dalam nyata, satu pun tidak benar² menambat hatinya [mana mungkin jika yang seorang itu juga tetap menjadi raja?]. Tapi Siti anggap Nizam dapat menerimanya kerana bagi mereka, Nizam hanyalah seorang abang.

Lantas, Nizam naik berang. Nizam ucap sesuatu yang bakal disesalinya seumur hidup. Nizam minta hubungan abang-adik itu putus...

Siti terpana. Siti hilang pedoman. Siti lupa dunia. Siti tak ingat ALLAH.

Siti rayau² sekitar Sogo. Siti naik teksi ke Bukit Bintang. Siti rayau² lagi dalam kedinginan embun pagi. Siti masuk pub. Siti menari bagai hilang akal. Siti meliuk lintuk tak kira walau banyak mata menjamah tubuhnya yang selama ini ditutup jaga.

Siti bermalam di hotel dengan orang asing yang baru saja dikenali. Siti bangun pagi esoknya dengan senyuman. Tidak langsung disesali apa yang berlaku [walau memang tidak ada apa² yang berlaku].

Siti mula menggunakan kecantikannya mengecewakan ramai lelaki. Siti mempermainkan perasaan mereka. Lepas seorang, seorang. Siti punya ramai sugar daddy. Tapi Siti masih tahu menjaga mahkota diri walau hormatnya manusia di sekitar terhadap dirinya hilang entah ke mana.

Siti menangis dalam tawa. Siti rasa kehilangan walau puas. Siti masih dambakan Nizam. Siti masih tak betah melupakan satu²nya lelaki dalam hidupnya itu. Tapi, itu semua berlegar dalam dirinya saja. Nizam tak tahu itu. Malah, mereka telah lama tidak bersua.

Siti meninggal dunia semasa melahirkan anak sulungnya hasil perkahwinan dengan Yan, sahabatnya sewaktu di sekolah dahulu. Dan anak itu, Siti wasiatkan agar dinamakan Nizam...


Akhiran yang tidak memihak cinta sejati. Tidak memihak cinta tunggal. Yang jika ditayangkan di pawagam India, akan dibakar pawagam itu.

Abang Fauzan tanya, "Bolehkan kita berdakwah dengan cara yang biasa² sekarang?" Bolehkah kita menulis seperti biasa saja? Oh, Abang Fauzul boikot sungguh novel² cinta seperti itu yang katanya turut menyumbang rosaknya sahsiah ummah.

Abang Fauzan pernah bercerita, semasa beliau menemani isteri di hospital menantikan kelahiran anak mereka [kurang pasti yang ke berapa], ada seorang makcik yang seperti bertawaf mengelilingi hospital, cemas keluar masuk seperti mencari sesuatu atau seseorang dengan mendukung seorang bayi.

Apabila ditanya perihal itu, makcik itu meminta Abang Fauzul mengazankan bayi tersebut, cucunya. Abang Fauzan jadi hairan lalu ditanya ke mana perginya bapa bayi itu. Makcik itu cuma menjawab, "Entahlah".

Anak perempuan makcik itu iaitu ibu kepada bayi tersebut cuma berusia 13 tahun waktu itu. Dan bayi itu adalah anaknya yang keempat. Tiga yang lain digugurkan sebelum sempat melihat dunia. Dan hanya bayi itulah satu²nya yang terhasil daripada ikatan sah suami-isteri.

Aku yang mendengar kisah benar Abang Fauzul cuma tunduk sebak, menahan empangan air mata daripada pecah.

Sekali lagi aku diperdengarkan cerita yang amat menusuk kalbu, menjadikan aku rasa seperti iman aku tak sekuat mana untuk mengharungi segala dugaan dunia ini. Menjadikan aku sentiasa dalam tekanan. Tekanan menjaga iman. Tak boleh nak biasa² saja.

Kerana sebelum ini, Kak Ina dan Abang Azli, kakak dan abang ipar Amy turut bercerita kisaran yang sama. Mengenai betapa kroniknya kerosakan akhlak remaja sekarang. Terutama, ya, yang selalu aku dengar juga. Pemakai² tudung labuh yang melepaskan incian kehormatan yang mereka jaga di tempat belajar atau di tempat kerja apabila berada di luar kawasan² tersebut.

Dan mengiyakan lagi pemerhatian aku bahawa ilmu yang dipelajari hari ini, terutama ilmu agama, hanyalah cukup sebagai teori, tak lagi dipraktikkan. Cukuplah sekadar dapat menjawab soalan yang diaju dalam peperiksaan dunia, bukan untuk 'peperiksaan' akhirat.

Aku sekali lagi terkedu dengan kenyataan pensyarah 'Islamic, Knowledge and Civilization' [IKC] aku, Dr. Zaini Othman yang memperingatkan bahawa tidak semestinya mereka yang mendalami ilmu agama lebih bagus dalam bidang tersebut daripada mereka yang tidak mempelajarinya secara formal. Katanya, ALLAH menganugerahkan ilmu dan hidayah kepada siapa² saja yang dikehendaki-NYA, bukan hanya yang mendalami ilmu tersebut. Terima kasih kepada Paan atas soalan yang diajukan. Mengiyakan pernyataan bahawa tiada satupun soalan adalah soalan bodoh. Kita yang tak tahu dan enggan bertanya itulah yang sebenarnya bodoh!

Aku jadi terharu. Aku tambah yakin. Aku harus sentiasa sedar itu. Aku tak harus rendah diri, dengan sekelumat manapun ilmu yang aku ada. Asalkan aku amalkan setiap satunya. Aku ambil hikmat dan pengajaran. Ah, soalan dan kenyataan itu cuma biasa saja secara teorinya. Tapi bagi yang memang menantikan agar diperingatkan semula, aku amat bersyukur!

[Sekali lagi, bagi yang senggang², berilah aku peringatan selalu. Tazkirahlah aku akan kebesaran dan rahmat ALLAH! Bantulah aku dalam memberi keyakinan terhadap kelebihan sendiri!]

Berbalik pada persoalan utama, bagaimana caranya untuk kita mengkhabarkan kepada remaja² di luar sana bahawa mereka punya tempat rujukan dan bantuan kira perlu? Mereka bukan bersendirian. Setiap yang mereka rasa dan alami telah terlebih daluhu dialami oleh yang lebih berusia.

Yang berusia ini pula [ibu bapa terutamanya] perlu sentiasa mengawasi perkembangan emosi anak² remaja, walau kadangkala mereka terlalu yakin bahawa anak² mereka ini bijak, pandai serba-serbi. Sudah tentunya mereka bijak membezakan yang mana baik yang mana buruk.

Ingatlah bahawa apabila emosi yang tidak terkawal telah menjadi penasihat utama hati, orang paling bijak pun mampu berperangai seperti haiwan, tiada akal walau ada otak.

Iman itu boleh datang dan pergi. Jangan terlalu yakin akan remaja² yang sudah 5 tahun didedahkan sedalam²nya dengan ilmu agama di sekolah masing² akan kekal begitu sekurang²nya untuk 15 tahun akan datang. Ilmu itu tetap ada, tetapi ingatan untuk terus mengamalkannya boleh berlalu kira pegangan diri masih rapuh ditokok persekitaran yang terlalu berpengaruh untuk mereka berubah...

La' ajibtu...

# Terima kasih banyak² Abang Fauzul! Bengkel abang telah jadi salah satu sumber ide saya juga sekarang! :) Jika ada lagi nanti, uar²kan ya?

# Oh ya, untuk Imah dan Fazeq juga. Terima kasih atas novel² anda! :)

2 comments:

Anonymous said...

to have a science fiction with 'Islam' in its element, it will not be a science fiction. Science fiction is solely stories about idea and how we play with ideas.

And Aliya Eliyana IS NOT a science-fiction book. It is a fantasy-coming of age...sila fahami betul2 ilmu genre dan kesusasteraan. Ramlee awang murshid juga BUKAN penulis fiksyen sains, dia penulis THRILLER.

buku fiksyen sains di malaysia sangat sedikit, boleh dikira. Utk mulihat beberapa buku SF serius yang baik, sila lihat:

Manuklon, Di.Ar.Ti oleh Rahmat Haroun, terbitan DBP

Baladewa-X oleh Nizam zakaria, nizamzakaria.blogspot.com

Novel dr. Ahmad Zaki tetapi saya tidak begitu suka gayanya.

buku 'fantasi' yang baik pula adalah:

saga Artakusiad Ahmad Patria Abdullah

Kelahiran Mufrad oleh Zehann Ur Rakhie, terbitan Pustaka Ilmu.

Yang saya marah dan tak faham, apa kena Islam perlu dalam setiap tulisan? Perlukah ia dibuat secara terang2? Kalau ia dipermainkan secara 'subtle', bagaimana?

Berjaga2 bila tulis ulasan begini kalau tidak memahami betul2 unsur-unsur SF. Jadilah sedikit kritis!

Anonymous said...

Kalau kawan2 suka karya fantasi, cuba baca siri 'Budak Psikik' oleh Ashadi Zain. Memang menyengat! terutamanya siri dua, 'Budak Psikik - Dendam Hevignas' yang baru terbit.