Saturday, April 30, 2005

di mana sebenarnya aku...?

Pernah hati ini terguris
Dengan fitnah dan tohmahan menghiris
Sehingga terasa diri ini hina
Kerna tiada siapa yang sudi membela

Kutabahkan hatiku harungi hidup
Biarpun tiada siapa yang menemani
Keseorangan aku di laluan sepi
Ditinggalkan mereka yang kupercayai

Namun kutahu ada hikmahnya
Setiap segala yang menimpa diri
Kuserahkan segala pada-Mu Tuhan
Yang berkuasa jua mencipta
Kerana Engkau Maha Mengetahui
Segala apa yang terbuku di hati

Ya ALLAH tidakku terdaya lagi
Menahan dugaan yang mencabar ini
Terasa bagai noktah telah kutemui
Mengakhiri segala yang telah kumulai

Ya ALLAH Engkau lindungilah aku
Bekalkanlah daku dengan limpahan iman
Agar tabahku menghadapi dugaan
Agar tidakku terhenti di pertengahan

Kini di sini aku berdiri
Bersama harapan yang tulus suci
Agar terbitlah kembali mentari pagi
Setelah malamku berkalut benci



Longlai aku membuka notepad. Sebutir demi sebutir aksara-aksara papan kekunci aku taipkan agar ia menjadi bait-bait perkataan yang bisa memberi tamsilan telus hati dan rasa ini.

Aku terpaku. Lama. Melihat saja buku-buku yang baru dibeli dari Pesta Buku PWTC tadi. Senyum. Semuanya buku PTS. Betapa sayangnya aku pada mereka yang beri peluang menampilkan bakat dan hasrat aku pada dunia...

Terima kasih semua...

Negro akan selamanya dikenali sebagai negro. Walau dah bertukar wajah seperti Michael Jackson, negro itu masih negro. Biarlah betapa keras dia mencuba menyesuaikan diri dengan masyarakat orang putih itu kononya untuk memperbaiki kualiti diri, mereka tetap memandangnya LAIN...

Ya, yang penting hati. Itu kata Deja Moss. Yang kita tahu tak boleh dipakai terutamanya oleh dia yang tak sepenuhnya mengikut galur Islam. Islam pun ada sebut pancaran kesucian hati ditampilkan pada penampilan luarannya.

Betapa rendahnya aku di kalangan manusia...

Sesungguhnya ingin kukunci mulut-mulut mereka. Biar diam semuanya! Tapi aku tahu, jiwa mereka bebas, jiwa kita bebas, kata seorang watak dalam Muhammad Utusan Terakhir [aku pun lupa namanya]. Oleh itu, amatlah tak puas hatinya aku apabila tak tahu apa yang mereka fikirkan...

Apa yang mereka fikir?

Secara motivasinya, orang akan bidas semula. Apa yang dipeduli kata orang? Cukuplah sekadar kau tahu yang kau tak buat benda salah!

Silap, kau tak tahu kesan psikologinya pada aku kawan. Optimistik aku merudum jatuh!

Benar-benar layakkah aku untuk berdakwah, sedang menjadi yang didakwah pun gagal...

Come on, besar sangat ke ketidaksempurnaan kau tu sampai kau down teruk macam ni?

Besar, sebab ia melibatkan dunia penulisan aku. Bagaimana kira mahu menulis berkenaan cekal sedang aku sendiri... cekal ke? Sampai jadi tak yakin diri?

Hingga aku terdetik, mudahnya menjadi lelaki. Pakai sikit pun dah tutup aurat. Jarang untuk orang komen apa lagi. Payahnya menjadi perempuan, dah tutup lengkap masih dikata tak cukup labuh...

Kenapa harus dibeza-bezakan aku dengan mereka yang bertudung labuh? Aku pun ada hati. Aku pun perlu orang untuk menyayangiku. Aku bukan robot!

[Sebenarnya jika ada pilihan memang pun hendak jadi seperti robot. Biar hidup tanpa perasaan. Tak perlu lagi mengorbankan gembira dan air mata]

Payah juga nak bersahabat dengan budak baik UIA ni... :)


Pedih...

Pilu...

Sunyi...

ALLAH, aku tak upaya memujuk diri lagi, berbaik sangka pada diri sendiri dan orang lain yang sedaya upaya kuwujudkan jalinan murni persahabatan itu. Aku perlu orang lain menyokong aku supaya tak terus rebah tersembam ke lantaian inferiority complex.

Mungkin sebab tu, aku selalu nampak diri bersama Prince Charming yang mampu memberi senyum dan tenaga, menjadi mulut untukku berkata kepada mereka, "Tolong jangan ganggu Mira lagi."

Atau yang sebenarnya aku memang perlu pada hipokrasi?

Satu saja penawar yang aku ada: ALLAH, di mana maqamku di sisi-MU?

Thursday, April 21, 2005

kotw

Hari ketiga bersama dengan kumpulan Special Task Kids of the World.

Tiba-tiba aku terasa bersemangat untuk bersembang, walau apabila kami ditinggalkan oleh Headcom dan 'Headcomah' untuk mesyuarat bersama Main Board.

Nak tahu apa yang aku rasa?

Menguasai atau menjadi suara majoriti untuk kumpulan tudung labuh [yep, aku bersama kumpulan ini lagi] lebih mudah berbanding kumpulan biasa, kumpulan aku.

Kenapa ya?

Mungkin,

Satu, mereka tak banyak cakap perkara 'dunia' yang kebanyakannya aku tak tahu, dan hanya tahu melalui cerita-cerita 'kumpulan aku'. Melalui cerita-cerita yang aku bawa walau tak banyak, mereka dapat beri aku jawapan untuk mengaitkannya dengan fikrah Islamiah, bukan sekadar logik akal dan logik dunia. Dan aku puas dalam diskusi itu.

Sebab seperti yang selalu aku uar-uarkan, hormat itu lebih pada mereka yang faham Islam, dan, faham Islam tak semestinya dengan bertudung labih, malah lebih dari itu! Kalaulah kalian faham...

Benar kata Kak Yong, Islam bukan hanya untuk mereka yang faham Islam, kerja hidayah dan kesedaran itu hak ALLAH.

Dua, mereka tak memperlekeh kata-kata aku, mungkin sebab mereka tahu, ide dan pemikiran aku lain, sebab hanya aku seorang perempuan yang pakai seluar kebanyakan masa. Mereka siqah, baju kurung saja... :) Dan, seperti biasa, jurusan aku tak sama dengan mereka.

Eh, tapi memang betul! Aku rasa seronok dapat bertukar cerita dengan rakan-rakan dari jurusan Arts [mungkin sebab aku pun berjiwa sastera]. Mula dari semester pertama di sini apabila ditempatkan sebilik dengan Dalela jurusan HS.

Sebab aku anggap mereka sebagai ustazah aku, merekalah yang mengelakkan hati ditumbuhi setompok titik hitam apabila tak mendengar tazkirah untuk 3 hari.

Luasnya dunia, banyaknya cerita!

[Tak patut betul mengecilkan minda berfikir mengenai masalah sendiri yang tak sudah-sudah. Masalah yang tak sudah sebab kita tak mahu menyudahkannya]

# Hakikatnya bahgia itu adalah ketenangan, bila hati mengingati Tuhan...

Wednesday, April 20, 2005

perjalanan

Dah di UIA. Pulang awal sebab ada persiapan untuk program SRC, Kids of the World. Kembali ke laman sendiri, aku bagai musafir, menumpang di bilik lain, bukan di bilik sendiri. Aku tak ada bilik sendiripun, mahallah office belum keluarkan senarai bilik tetap untuk setahun akan datang lagi.

Bila begini, aku bersyukur kerana telah siap siaga dengan barang-barang sedia ada yang disediakan untuk KEMPRIT lepas. Tak perlu sangat ambil barang-barang dari dalam almari bilik yang sebelum ini [aku tak simpan di stor pun ;p ]. Tempohnya 4 hari pula tu, sama saja, sebelum aku diberi bilik tetap Sabtu ni.

Alhamdulillah!

Begitulah, pengalaman memang banyak membantu mengajar manusia menghadapi kehidupan. Bertuahlah mereka yang berkelebihan dalam ilmu pengalaman. Sebab, pengalaman yang dibeli dari cerita orang tak sama dengan pengalaman yang dicungkil dari hari-hari sendiri.


Pembeli Masa Sudah

Penyair ialah pengunjung pasar kisah
peraih pengalaman
dan pembeli masa sudah.
Kerana kupenyair kupenuhi kehidupanku
dengan kembara dan deria
yang kian memberat di pundakku.
Kulalui lorong-lorong hari sepiku
dari gelisah ke payah
dari sedih ke perih

Di pasar yang dihingari kisah ini
aku dipanggil peraih cerewet
pemilih yang sukar membuat pilihan
pembeli yang keliru dengan tawaran.
Kerana aku pemilih ruwet
aku harus hati-hati;
pilihan menonjolkan mutu
dan mutu memantulkan peribadi

Aku pembeli masalah orang
menyusunnya menjadi kata-kata
dan menjualnya kepada pemikir.
Aku juga kadang-kadang pembeli
masalah dan masa sudah sendiri.
Tidak seperti ikan dan sayuran,
masa sudahku lebih mahal
sesudah senja dan murah
di sebelah pagi.

Tengku Alias bin Taib
Utusan Zaman
28 November 1993



Tadi, aku pulang ke sini dari Kuantan bersendiri. Lone ranger, seperti biasa. Dan aku lihat, kebanyakan penumpang bas Transnasional yang lain pun begitu juga [nampak sangat sebab kami dapat dua seat seorang].

Begitu juga semasa pulang ke Jengka dari kem Khamis lepas. Juga sewaktu pulang ke rumah yang pertama untuk cuti semester 26 Mac lepas. Sendiri...

Ya, kita memang perlu berada dalam halaqah untuk berjihad [mak, ekstrimnya ayat ni, takutlah!]. Seperti ayat Melayunya, bagai sebatang lidi dengan sebatang penyapu. Atau, bersatu teguh, bercerai roboh! [bukan bercerai masak sendiri ya?]

Itu, dalam perjuangan. Mencari kekuatan maksima adalah melalui kumpulan. Mencari semangat kental adalah menerusi kepaduan antara hati-hati.

Tapi, jangan sampai berada dalam kumpulan, atau sekurang-kurangnya selalu berdua saja buat kita tak betah hidup sendiri. Itu yang wujud pergantungan sesama manusia. Betullah, kita memang tak boleh hidup sendiri. Memang kita tak tinggal di gua pun untuk hidup sendiri. Adalah pemandu basnya, adalah penumpang-penumpang lainnya.

Maksud saya, apabila ketiadaan seseorang yang dipercayai, teman atau rakan.

Pengalaman di waktu-waktu itu juga perlu dicari sendiri. Supaya kita tak lekas melatah apabila hilang arah, tak cepat risau kala hilang tujuan. Dan tak sedih-sedih bila tak berteman...

Aku akui, memang, pilu juga kadangkala hati ini apabila hanya mampu berceloteh dengan hati, bukan dengan teman sebelah.

Tapi hidup ini memang begitu. Kadang di atas kadang di bawah [baca dengan rentak lagu Indon tu]. Ada masanya kita sendiri, ada masanya kita beramai-ramai. Ada ketikanya kita gembira, ada masanya kita berduka...

Yang penting, kita ambil setiap peluang, yang bukan perlu dicari, tapi perlu dicipta. Peluang untuk mencari pengalaman dan penghayatan akan erti dan nilai sebuah kehidupan.

Kita mesti cekal!!! :)

# Tapi nak tahu sesuatu tak? Aku angin betul bila tiada kelebihan pun duduk di negeri sendiri. Nak pulang ke Kuantan dari Bentong ingatkan bolehlah lebih segera daripada biasa. Hakikatnya, terpaksa ke KL semula! Hampeh! Err, cekal, cekal! ;p

Monday, April 18, 2005

kemprit II -- bicara kata

Bila Abang Fauzul kata beliau nak tahu apa sasaran kami masing-masing selepas ini, aku boleh kelentong, boleh kata aku nak tulis pasal pembangunan diri remaja. Samar-samar lagi sebenarnya. Sebab tak tahu benar-benarkah yang aku minat ini berada pada kategori ini. Benarlah aku minat menulis. Tapi kalian sajalah yang dapat menilai bentuk dan penceritaan penulisan aku sebelum ini [yang sebenarnya dah tak ada minat lain ;p ]

Macam mana nak klasifikasikannya ya?

Bila aku rasa ia lebih pada nilai psikologi, bukan saja motivasi, aku terfikir dua kali. Aku tak pernah belajar mengenai psikologi, mungkin motivasi banyaklah. Dan aku tak ambil pun jurusan yang menjurus bidang ini. Bidang yang sememangnya menjadi fokus utama minat aku dalam kehidupan.

Tak mengapalah, kan SANGAT ramai sahabat aku yang berkelebihan dalam bidang ni? Kongsi-kongsikanlah ya, ALONG? :)

Tapi, bila Abang Fauzul minta bayangkan bidang apa yang akan kami kuasai dalam 10 tahun akan datang, optimistik aku terencat sedikit. Eh, akan jadi pakarkah aku ni? Takkan dalam bidang pembangunan diri remaja ini kot?

[Ingat lagi, Abang Radziq pernah kata (setelah dialih bahasa) yang dia "Tahu semua bidang tapi tak kuasai mana-mana bidang"]

Sebab aku fikir, pemikiran aku membangun selari dengan usia. Aku boleh cakap pasal remaja bila aku hampir melepasi usia remaja [saya masih remaja, di hujung, belum belia lagi ya, Ustaz Maszlee? Yang lain mungkinlah ;p ]

Nanti, bila aku dah usai usia belia, mungkin boleh ditulis pula mengenai perihal belia. Seterusnya sehingga bila-bila yang aku mampu kelak. Tak mampu untuk jadi seperti Abang Naim atau Abang Fadzli yang boleh fikir sebelum masa [think before time].

Dan, tapi lagi, bila Abang Fauzul tanya kalau diberi peluang, kami nak bercakap pasal apa... he, err... bagaimana ya? Boleh tak kalau saya buka slaid saja, biar diorang baca sendiri? ;p

Kata Abang Naim, emosi dan ide akan tersampai dengan baik bila kita bercakap berbanding menulis... petikan jawapan pada soalan Khadijah berkenaan macam mana nak sampaikan emosi dalam perkataan sebab pemilihan kata itu memang sukar.

Tapi, aku ada pendapat sendiri. Aku susah nak berfikir dan fokus semasa bercakap, berbanding semasa menulis. Depan skrin komputer, jemari ini pantas saja menghambur ide yang dicerna dan diproses oleh minda. Tapi masa bercakap, fikir dan proses output dilakukan serentak oleh otak, buat aku rasa sesak.

Ini cuma secara falsafah, belum dikaji secara saintifik. Mungkin juga ini cuma kekurangan yang aku patut atasi.

Seperti yang selalu aku ulang-ulang, lidah aku di sini, di blog ini, di bidang penulisan. Aku lebih gemar mendengar daripada bercakap. Aku boleh ulas, tapi inilah, dalam aksara-aksara ayat.

Teringat pula kata-kata Abang Wan Anuar: "Cara kita bercakap melambangkan sama ada kita ni membaca atau tak."

Mungkin ada juga benarnya bila acapkali juga aku mengadu ketidakcukupan ilmu... mungkin semasa berhujah atau menyertai perdebatan [tak formal saja, belum seterrer Melati dan Siti Haliza ;p ], atau bercerita sekalipun. Kerana ia perlu ilmu. Dan ilmu perlu buku. Dan, aku tak gemar sangar membaca, kecuali yang berasaskan motivasi dan psikologi ;p

Atau, mungkin juga aku cuba perlu tokok kemahiran dalam berkomunikasi. Tambah lagi yang sedia usaha. Kerana aku yang sebelum ke UIA lebih parah daripada sekarang ;p

Ya, mungkin. Dan insyALLAH akan!

# Arrggh, ada lagi geng-geng penulis di kem yang kata aku pendiam!!! Ya lah kot, kalau nak dibanding dengan mereka, yang berkemahiran menulis dan memperkata semula apa yang ditulis :)

kemprit -- satu permulaan

Alhamdulillah, berasas juga impian menulis yang sekian lama cuma terpendam tanpa sebarang baja penyubur minat.

Cuma, untuk kem penulisan ini, sejujurnya, ada dua pihak dalam diri yang berperang hebat.

Aku maksudkan kekurangan aku berbanding mereka, gadis-gadis bakal penulis yang lain.

Mereka, hampir semuanya bertudung labuh! Paling tidakpun yang besar. Sedang aku, tudung saiz bawal biasa inilah yang melitupi kepala. Mujur juga ada kak Shikin. Tapi, alamak, dia jurusan IRK pula... Lebih pula ilmu agama...

"Pakailah baju kurung, awakkan nak tulis pasal agama."

Aku berang benar dengan mesej itu. Habis, yang pakai seluar tu takde agamalah?

Bukanlah begitu. Tapi pandai-pandailah menyesuaikan pemakaian ikut keadaan... dia balas begitu. Buat aku makin rasa rendah diri, tak layak benar bergaul dengan mereka.

Hati besar aku sungguh-sungguh memujuk. Katanya, Mira, jangan hipokrit. Tunjukkan dirimu yang sebenar. Biar kau dan mereka selesa bekerja dengan Mira, bukan Ustazah Mira!"

Benar, sungguh benarlah tu, ikut logik.

Tapi hati kecil ini meronta lagi. Ah, nampak benar asingnya nanti. Seperti negro yang berada di kalangan orang kulit putih...

Seawal petang ketibaan kami di kem, mereka tak buang sikit masapun untuk berjemaah Asar bersama. Masa Maghribnya diikuti pula dengan bacaan ma'thurat.

ALLAH, hipokritnya aku!

Bukan aku tak biasa baca ma'thurat, tapi tak selalu. Itupun MRSM Kuantan yang mendidik.

Itu, sebelum kem.

Semasa kem, rasa kecil diri semakin kurang. Bergaul dan berkenal mesra dengan mereka buat aku rasa dipunyai, seperti berada dalam kelompok sahabat sendiri. Aku jadi seronok, terutama tiada lagi perkara-perkara penyakit hati dan mata seperti yang selalu terpaksa dihadapi semasa di universiti.

Mereka, memang Islamik!

Cuma, aku wajib jaga batas pergaulan dan perhubungan aku... dengan lelaki [walaupun sedikit bersyukur kerana tiada yang betul-betul macam ustaz]. Tak boleh sewenang-wenang berbicara tanpa ada apa-apa penting untuk diperbual. Bukan, bukan peraturan kem menetapkan, cuma aku sendiri yang jadi malu.

Aku dah jadi seperti aku yang dulu. Skema amatlah, kata orang. Betul-betul ikut seperti dengar ceritanya di MRSM Jasin dulu, lelaki-perempuan kalau nak bercakap, jarak tak kurang 6 meter. WaALLAHualam.

Kalau diikutkan, payah juga, kerana seperti semua sedia maklum, sahabat lelaki aku boleh kata lebih ramai daripada perempuan. Tapi, alhamdulillah, kemahiran menjadi 'penyenyap bunyi' dahulu masih berbaki.

Lagipula, mood aku tak berapa baik semasa kem. Entah mengapa, tak pernah boleh lari dari peristiwa silam. Jiwa melankolik.

Ah, persetankan semua itu! Tak perlu lagi diselongkar dari awal. Yang penting, aku dah di sini. Ada peluang perbaiki diri. Perlu diperguna sebaik-mungkin!

Cuma, apa yang hendak difokuskan di sini adalah penerimaan remaja terhadap pendakwah. Aku tak guna da'i sebab aku tahu tak ramai yang faham maksudnya. Dan aku amat arif akan perasaan orang yang cuba nak perbaiki diri tapi tiada medium yang sesuai... semua tak faham!

Tapi, sebetulnya perkataan da'wah pun dah menggerunkan ramai pihak. Sebab, macam kata Abang Fauzul, masyarakat terlalu menyempitkan definisi da'wah itu sendiri. Aku pun, kalau tak faham mungkin tak pernah mahu bicarakan soal ini. Kerana mereka fikir da'wah dilakukan oleh mereka yang pakai ketayap, berserban, berjanggut dan berjubah saja. Da'wah bermaksud para tabligh.

Betul abang Fauzul, takkan nak tunggu dapat master dalam ilmu agama, bergelar ustaz ustazah [yang dalam Melayunya bermaksud professor] baru boleh berda'wah? Sampai bila boleh orang Melayu ini dinasihati?

Keratan entri aku yang terdahulu:

Da'wah adalah mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Dalam Islam, da'wah adalah satu kewajipan, sama ada dilakukan secara individu atau secara berkumpulan (berjemaah). Keutamaan diberi atas umat Nabi Muhammad S.A.W. sebagai umat yang terbaik antara semua manusia.

"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyeru kepada kebaikan, serta melarang segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang demikian ialah orang² yang berjaya."
(Surah 'Ali Imran: 104)


Ini adalah pemahaman aku sesudah mengambil subjek Methods of Da'wah semester lepas. Bahawa da'wah itu WAJIB! [Marah pula abang Wan Anuar dan Kak Maz baca ni -- okeyla, betulla kata korang, da'wah itu fardu kifayah].

Abang Wan kata kalau kata wajib, maknanya yang takde ilmu, yang sewel tepi jalan tu pun wajib berdakwahlah?

ALLAH... kata wajib saya samalah dengan kata solat itu wajib KECUALI untuk orang yang sekian-sekian... Adalah syarat-syarat wajibnya. [Maaflah, tapi bab berdebat depan-depan saya kurang sikit. Lidah saya di sini :) ]

Da'wah wajib bila kita perlu saling mengingat untuk amal makruf, nahi mungkar [insyALLAH, yang ini semua boleh faham. Ini termasuklah da'wah pada diri sendiri. Itu yang utama. Kerana sesungguhnya, pemimpin yang berjaya bukanlah pemimpin yang boleh mengawal rakyatnya, tapi yang mampu mengawal dirinya [kata-kata sahabat mungkin, tak ingat pula siapa, tiba-tiba mengetuk pintu minda].

Ingat lagi kata-kata Ustaz Yamin Cheng, kalau kita tak dapat jadi da'i pada diri sendiri pun, tak gunalah kita hidup di dunia ini! [bagusnya Ustaz, nampak kelas majoriti Melayu, beliau guna Bahasa Melayu dalam selingan, sebab yang penting bukan lulus dan memenuhi, tapi menyampaikan -- rindu benar pada pensyarah-pensyarah agama aku]

Kes aku dengan remaja yang ingin didakwah memang lain. Kerana aku yang sepatutnya menda'wah, tapi entah mengapa merasakan diri perlu sentiasa dida'wah juga.

Sebab aku penda'wah, bukan aku sepatutnya rasa terasing dalam dunia da'wah ini; bukan aku yang sepatutnya rasa tak selesa berada di kalangan gadis-gadis bertudung labuh, bukan aku yang sepatutnya banyak soal perkara remeh.

Tapi aku dah di sini, aku harus atasi kelemahan ini. Perlu pecut, kerana mereka yang lain telah jauh dihadapan, bayang mereka sukar benar kelihatan. Mereka tak tunggu, tak saing sekali dengan aku sebab aku tak pernah beritahu keadaan aku yang jahil ilmu ini.

Harapnya sahabat seperjuangan sekalian dapat faham melalui entri ini. Aku... perlu BANYAK bantuan.

Untuk mewakili remaja-remaja melalui aku, ada beberapa perkara yang ingin dihighlight

Remaja sukar mendekati penda'wah yang 'berupa penda'wah'.

Mereka ingin berubah, tapi awal-awal lagi dihalang oleh sikap prejudis terhadap remaja yang sinonim dengan salah laku mereka. Penda'wah tak ada kemahiran psikologi mendekati remaja. Penda'wah lebih gemar memberi hukum daripada mendengar cerita dan membimbing tingkah.

Penampilan penda'wah yang 'digeruni' punca remaja selalu lari daripada cuba merapati mereka. Jangankan kata yang berpurdah [insyALLAH boleh menjadi sumber utama ilmu agama yang boleh digunapakai], yang bertudung labuh pun mereka dah naik segan. Bukan nak minta penda'wah buang semua yang dah jadi amalan. Tapi dalam mendekati remaja bermasalah, jangan jadikan penampilan satu benteng menghubung dua jiwa. Kalau remaja tak selesa, cuba tukar, asal tak lari dari syariat.

Boleh jawab sekarang kenapa kebanyakan ustazah atau penda'wah bebas yang selalu muncul di kaca televisyen pakai tudung fesyen Wardina atau Waheeda; besar tapi bukan tudung bulat?

Gaya bahasa penda'wah pun tak boleh terlalu Arabic. Takut-takut remaja rasa jahat sangat sampai ada 'perkataan agama' pun mereka tak faham. Bila dah macam tu, macam mana nak buka pintu hati mereka terima Islam. Akan terasa jauhnya mereka mencapai tahap 'baik' itu mengikut ukuran Islam, pada fikiran mereka.

Yang baik-baik tu cubalah begaul dengan remaja nakal ni. Terutama yang tudung labuh tu jangan bersama set-set kalian saja. Biar remaja rasa apa yang saya rasa di kem setelah cuba 'masuk' dengan set-set tudung labuh ni ;) Yang penda'wah ini punya hati yang sama seperti mereka, dan sebenarnya boleh diajak berborak mesra.

Akhir pesan, remaja adalah manusia. Manusia punya fitrah ke arah kebaikan. Remaja nakal cuma kerana tiada bimbingan dalam mempelajari sesuatu yang baru. Remaja harapkan masyarakat untuk menegur memperbetul, kerana bukan mudah untuk mereka mencari sendiri cahaya keinsafan itu. Jadinya, kita, yang berilmu walau sepicing ini yang perlu menyelami hati mereka. Kita ini yang memikul tanggungjawab mendidik dan mengubah itu!

WaALLAHualam.

Sunday, April 17, 2005

Rama-rama dan wanita; sekadar renungan

Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama.

Rama-rama mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda.

Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.

Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.

Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi.

Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.

Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.

Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikkan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan.

Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu.

Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa.

Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan.

Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada taraf "A1".

Sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.

Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya.

Namun rama-rama tidak pernah tahu ia sebenarnya indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.

Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda.

Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna-warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati.

Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama.

Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.


HIDAYAHNET

Friday, April 08, 2005

duhai pentafsir

Duhai Pentafsir

Pentafsir, sebenarnya telah lama kucari
suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu?
Di manakah tempat istirahat
setelah pengembaraan yang penat
di manakah telah kaurakamkan
pertemuan matahari, rimba, dan hutan?

Senja ini menemuiku
dengan lusuh catatanmu
angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku
sedang aku belum ketemu
surat yang kautuliskan padaku.

Telah hilangkah ia
atau kau tidak pernah menulisnya
ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan
racun keresahan telah membunuh lenaku
sejak kudahagai penawar dalam lautan nota-notamu
kiranya terdampar dalam angin yang ragu
yang tidak mengenal arah tiupannya
angin tanpa sabar yang telah melunturkanku
kehijauan dalam keriangan masa kecilku.

Pentafsir, masa telah terlalu tua
kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah terlalu lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar jadi semakin kuning
apakah aku harus mengebumikan buku-buku ini
di samping pusaramu yang sepi.

Hentikan ejekanmu
biar kupecahkan kaca ini melihat keluar.
Lalu mengenal rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu, Tuhanku!
yang menjernihkan mataku.

Zurinah Hassan
Kumpulan Puisi Malaysia, 1988.
Dewan Bahasa dan Pustaka.



Inilah ceritera juang tulisku selama ini. Kisah kehidupan. Kisah yang mengisi menghiasi buku-buku manusia. Buku-buku yang berbeza. Juang kehidupan yang takkan pernah sama, walau kita seiring.

Ya, muka-mukanya kuning, dijilat waktu yang berlalu. Membuat kita jadi teragak akan kesahihan dan kebenarannya. Pernahkah? Atau memang tak pernah? Apa yang dirasai waktu itu... satu keyakinan!

Buku-buku yang memuatkan seluruh sungai, rimba, matahari dan hujan. Perjalanan merentas hutan batu dan konkrit, katanya kota laknat, kota maksiat. Riang, dengan tangis dan tawa. Alangkah!

Inilah paduan dan panduan. Demi berjalan menerobos kehidupan.

Kisah aku dan kau tak sama. Kerana itu kita punya buku sendiri. Buku-buku yang menarik untuk dikongsi atau disimpan. Jadikan hari lebih bermakna, jadikan hidup penuh tanda tanya...

Jangan lupa, muka suratnya masih belum habis. Kau tentu mahu coretkan yang terindah bukan? ;)

Alangkah rugi melihat cebisan hari semalam tanpa rasa dan akal mentafsir...

Friday, April 01, 2005

heri

Menyingkap tirai kehidupan hitam putih, zaman kanak-kanak yang hampir luput. Bersama mengimbau wajah kecil yang pernah menghiasi halaman 21 dan 23 lorong 15, semuanya mempamer keriangan.

Satu hari bersama sahabat yang paling lama, sejak tadika lagi, Khairi Lutfi. Jika pernah terlintas namanya di mana-mana ruangan entri blog, dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang mengorbankan bekas presiden kelas aku, 5C1, Mohd Firdaus aka Alang, akhir tahun lalu.

Satu hari yang penuh tawa. Satu hari yang penuh gembira. Satu hari yang mengukir kembali senyum di bibir Heri...

Benar sahabat, kau hilang sesuatu, tapi pada hari kita bersatu kembali, kau, kita, peroleh sesuatu yang lebih. Satu hubungan pudar yang digilap bersinar.

Kebetulan, Amy, Nawa dan Ana, sahabat-sahabat sejuang ada di Kuantan, merentas sempadan Timur-Barat Semenanjung, bercuti di bandar terbesar sebelah timur. Lalu mereka sekali kubawa berkenalan dengan seseorang dari zaman lampauku. Well, tiga orang sebenarnya, termasuk mak dan ayah Heri ;p

Kononnya nak lepak di Benteng, atau paling koman di Parade saja, sebab paling dekat dengan rumahnya yang betul-betul di hadapan UIA Kuantan. Tapi sudah terbawa ke Teluk Cempedak pula.

Kasihan Heri, dengan kaki bertompang tongkat, masih gagah menemani hari kami berempat yang sungguh banyak kerenahnya.

Tak mengapalah kan? Bukan selalu. Entah bila lagi mereka akan ke sini. Dan entah bila lagi saya akan pulang ke teratak kerinduan ini. Heri pula, selepas ini akan menyambung kembali pelajaran yang tertinggal. Bukan dekat, di Perlis pula tu!

Pilu benar. Dalam bayangan semalam, seorang kanak-kanak kecil yang lincah dan comel, Heri muncul pada hari ini sebagai jejaka [masih comel ;p ] yang terhincut jalannya.

Satu sejarah dan fakta yang tak mungkin dapat berubah: Kau Heri, adalah seorang sahabat semalam yang amat dirindui dan diingati.

Harapan saya, kita akan terusan begini, menjadi kenalan bukan hanya pada nama rakan sepermainan di usia muda, tetapi pada hakikat sahabat yang terlalu besar nilainya. Bukan kita sahaja, keluarga juga, ibu bapa yang pernah menjadi teman, dan adik-adik kita yang berlima itu yang tak sempat berkenalan dengan kisah kita :)

Ketemu lagi, apabila kita bertemu nanti...