Berlakunya satu sindrom kurang sihat di kalangan kita, terutamanya umat Islam, di mana di dalam satu perbincangan agama bersifat ilmiah, di mana kita lebih suka untuk membandingkan kelulusan dan latar belakang akademik kita daripada membincangkan isu dan kandungan (substance) sesebuah perbincangan itu dan menilai hujah-hujah yang dikeluarkan, adakah ianya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.
"Aku belajar di Al-Azhar, apa yang kau tau?", "Aku budak sekolah agama, 5 tahun aku duk sana belajar", "Kau belajar pun tak habis nak cakap pasal agama", "kau ni takda asas, apa yang kau tau".
Inilah antara ayat-ayat yang sering dilemparkan. Seringkali saya berbincang dan mengeluarkan hujah dari Al-Quran dan Sunnah, hujah itu tidak dibincangkan mereka, tetapi latar belakang pendidikan saya yang dijadikan topik perbincangan. Akhirnya mereka lupa pasal hujah itu.
Untuk menjawab ini, saya ingin bertanya, dengan siapakah Iblis belajar agama? Dari sebaik baik guru, yakni Allah. Ilmu Iblis sangat tinggi. Dia dikelilingi sebaik baik rakan, yakni para malaikat. Tapi mengapa iblis dilaknat. Mudah, sebab dia sombong. Takbur. Menghina Nabi Adam hanya disebabkan keperibadian Nabi Adam, yakni Nabi Adam itu dibuat dari tanah sehingga dia terlupa bahawa Adam dicipta Allah untuk membawa kalimatnya.
Begitu juga keadaannya bilamana antara kita ada yang membawa apa yang datang dari Al-Quran dan Sunnah, ada golongan "lulusan agama" ini yang menolaknya hanya kerana pembawanya bukan "berlatarbelakangkan agama". Pernah sekali, saya ingin membawa seorang pendakwah terkemuka Malaysia, Saudara Shah Kirit untuk berceramah topik beliau yakni perbandingan agama, pihak berautoriti berkata pada saya, "dia ni
takda kelulusan, cari orang lain". Masya Allah.
Begitu juga yang berlaku bila saya ingin membawa seorang lagi penulis buku-buku agama yang prolifik, Ust. Hafiz Firdaus, begitu juga jawapan yang diberi, "Dia ni bukan lulusan agama, kalau suruh dia ceramah motivasi biasa boleh, kalau topik agama, tak boleh." Tak cukup dengan itu, usaha untuk membawa seorang yang berkelulusan agama dan berijazah, yakni Ust. Kautsar yang popular di luar untuk mengajar fardhu ain juga dipersoalkan, alasannya, "Dia ni ada ijazah sahaja, kenapa tak ambil Ust XXX, dia ada master, takpun Ust XXX, lulusan Azhar". Sedih.
Saya ingin bertanya, Rasulullah S.A.W. ada ijazah apa dari universiti mana? Begitu juga dengan sahabah??
Tidak dinafikan bahawa tak semua orang layak untuk mengeluarkan hukum di dalam semua perkara agama, terutamanya yang bersifat fiqh, tetapi adakah bila seseorang itu mengeluarkan pendapat yang lengkap dengan ayat Al-Quran, hadith dan rujukannya, pendapat ulama' dsbnya, tetap ditolak hanya kerana dia bukan lulusan agama? Di dalam suruh AnNisa ayat 159, Allah berfirman yang bermaksud, jika kita berselisih mengenai sesuatu perkara itu, kita kembali pada Al-Quran dan Sunnah. Bukan pada kelulusan agama beliau. Hatta jika yang berkata-kata itu adalah penjenayah sekalipun, sekiranya dia mengatakan Allah itu Satu, itu benar, dan kita terima. Kita tak kata, “eh dia tu penjenayah, jadi jangan terima apa kata-katanya”.
Timbul pula isu, "eh ayat ni lain tafsirannya", "hadith ini maksudnya bukan macam tu", tapi bila ditanya apa maksud sebenar ikut yang awak tahu, jawapan yang biasa diterima adalah, "ada, saya tak ingat, tetapi bukan macam yang awak cakap".
Kemudian bilamana ada di kalangan bukan sekolah agama ini, walaupun sudah mempunyai ilmu agama yang agak tinggi berbanding mereka yang di sekolah agama, orang tetap akan berkata, “si XXX tu bukan budak sekolah/lulusan agama, jangan dengar cakap dia, apa yang dia tahu”?
Salahkah golongan yang ada kesedaran agama ini ingin membantu melakukan kerja menyebarkan kalimah tauhid, pemurnian akidah dan ilmu Islam serta dakwah non Muslim yang tak ramai dari golongan “berkelulusan agama” ini ingin lakukan??
Perkara ini juga terjadi pada "Muslim bukan melayu". Kita akan terus memandang rendah ilmu mereka walau banyak mana kajian mereka dan kita akan terus melabel mereka "Muallaf". hatta, Dato' Mustapha Ma yang telah lebih 30 tahun masuk Islam dan dianugerahkan tokoh maal hijrah yang banyak jasanya pada Islam di Malaysia juga digelar Muallaf. Muallaf bermaksud mereka yang baru masuk Islam, kalau dah lebih 5 tahun, macam mana? Adakah sahabah zaman Rasulullah yang kita panggil muallaf?
Sila rujuk juga Al-Hujurat ayat 11, dimana Allah melarang satu golongan memperlekehkan @ memperolokkan @ mengejek-ngejek golongan yang lain kerana mungkin golongan itu adalah jauh lebih baik dari mereka. (Sababun nuzul ayat – kes sahabah memperlekehkan segolongan sahabah yang lain hanya kerana keturunan dan warna kulit).
Saya bersyukur saya dimasukkan ke dalam sekolah agama (walaupun agama jugak, tapi agama lain :P) walaupun mulanya saya agak kecewa kerana ayah tak menghantar saya ke sekolah agama. Kenapa? Sebab di sekolah sedemikianlah saya belajar hidup dengan non- Muslim, saya tahu cara mereka berfikir mengenai Islam, persepsi mereka dsbnya. Dan semangat dakwah saya menjadi lebih kuat kerana saya ingin selamatkan rakan-rakan baik saya. Saya duduk makan, belajar, berbual, bermain bersama-sama mereka. Saya tak mahu mereka ke neraka.Saya nak selamatkan mereka.
Saya juga bersyukur bilamana saya mendapat ilmu ini “the hard way”, yakni saya terpaksa ke merata tempat dan berjumpa ramai ustaz-ustaz dan mengetuk di pintu mereka untuk bertanya. Saya risau, jika saya dapatnya cara mudah, “the spoon feed” way, saya mungkin tidak hargainya. Oleh kerana saya mendapatnya cara sukar, saya menghargai dan menilai itu lebih. Saya tidak akan menerima sesuatu itu bulat bulat tanpa memeriksa kesahihannya.
Saya tidak mengatakan SEMUA dari kelulusan agama berperangai sedemikian. Satu contoh yang baik adalah, Ust. Dr. Asri Zainul Abidin yang diakui ramai sebagai orang yang tinggi ilmu agamanya serta mempunya PhD dalam bidang hadith, tapi beliau meminta Ust. Hafiz Firdaus untuk memeriksa matan-matan hadith di dalam bukunya bagi memastikan ianya betul. Ada ramai lagi contoh begini. Ust. Dr. Ghafarullahuddin, pensyarah agama dari UiTM juga meminta Ust. Hafiz Firdaus memeriksa tesis PhDnya. Ramai lagi contoh begini. Tetapi kenapa ada antara kita yang masih lagi tidak mengamalkan akhlak perbincangan sebegini?
Ramai antara kita yang melakukan perkara begini kerana inginkan KEMENANGAN di dalam perbincangan, bukan KEBENARAN. Bila kita ingin mencari kemenangan, di situlah kita akan menyerang peribadi orang yang berbincang dengan kita. Pesan saya, jangan kita terlibat dengan perbincangan sebegini.
Inilah masalahnya bila kita tiada cara berfikir yang betul. ilmu tinggi, tetapi tiada akhlak dalam perbincangan (Sila rujuk artikel sebelum ini, Ubah Sistem Baru Input).
Hendaklah kita bantu membantu dalam kebaikan, merujuk pada Al-Quran dan Sunnah, dan bukan bertelagah sesama sendiri mencari kemenangan.Kemenangan yang tidak menguntungkan sesiapa.
Jika tidak, jadilah sombong seperti Iblis.
Nauzubillah.
Ikhlas,
Azmil Abrar
Azmil Abrar ialah seorang sahabat yang sama-sama ke KEMPRIT PTS di Janda Baik satu masa dahulu.
No comments:
Post a Comment