Thursday, December 02, 2010

kronologi muzik dan nyanyian

Sebelum zaman Nabi Muhammad

Nabi Daud dan anaknya, Nabi Sulaiman dikurniakan mukjizat suara yang merdu. Al-Quran ada menceritakan tentang Nabi Daud yang menyanyi memuji Tuhan sambil memetik kecapi. Ketika mendendangkan ayat dari kitab Zabur, manusia dan jin yang sakit jadi sembuh, burung-burung terbang mendekat, angin jadi tenang, semua bertasbih kepada Allah. (al-Quran, Surah Saba' ayat 10)


Semasa zaman Nabi Muhammad

Elemen muzik ada dalam azan dan bacaan Quran. Malah, Nabi Muhammad tidak melarang para sahabat menyanyi dalam sambutan hari raya, keraian jemaah haji dan perkahwinan. Beliau meraikan kebiasaan kaum Ansar, iaitu penduduk asal Madinah yang berhibur melalui seni suara.

Suatu hari, Abu Bakar datang ke rumah Nabi Muhammad. Ketika itu ada 2 orang gadis Ansar yang sedang mendendangkan syair golongan mereka. Abu Bakar kurang senang, tapi Nabi Muhammad membenarkan. Tindakan Nabi Muhammad menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf seni muzik kaum lain selagi tidak bercanggah dengan Islam.


Selepas zaman Nabi Muhammad

Khalifah Abu Bakar kurang berminat dengan seni muzik. Jadi, pada zaman pemerintahan beliau, muzik dan nyanyian diharamkan. Khalifah Umar pula selalu mendengar lagu seniwati zaman Nabi Muhammad. Anak Khalifah Umar iaitu 'Adi, adalah seorang yang aktif dalam bidang muzik.

Pada zaman Khalifah Uthman, politik dan sosial orang Arab telah berubah. Taraf hidup mereka telah meningkat. Ahli muzik juga telah dapat kedudukan yang tinggi dan istimewa.

Pada zaman Khalifah Ali pula, beliau sendiri ialah seorang seniman. Beliau jadi orang pertama yang mengawal kualiti seni dan membenarkan pengajian dalam bidang sains, puisi dan muzik. Pada zaman pemerintahan Khalifah Ali ini, lahir seniman profesional Islam yang pertama iaitu Tuwais.


Zaman kegemilangan muzik dunia

Selepas zaman empat khalifah, seni muzik terus berkembang. Zaman kegemilangan muzik ialah pada zaman kerajaan Abbasiyyah di Damsyik yang sekarang dikenali dengan Demascus. Pengaruh muzik dan nyanyian sangat besar hinggakan kemahiran dalam bidang seni ini jadi pra syarat diterima bekerja.

Khalifah al-Mahdi telah menjemput ramai penyanyi ke istana untuk menghiburkan beliau. Antaranya Siyath dari Makkah.

Anak murid Siyath, Ibrahim al-Mausili pula dapat tempat semasa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid iaitu khalifah Abbasiyyah yang paling meminati lagu dan muzik. Ibrahim berketurunan bangsawan Parsi. Beliau hebat bermain gambus dan mempunyai ramai anak murid. Antara anak murid Ibrahim ialah Ishaq yang jadi penghibur istana kepada 4 orang khalifah kerajaan Abbasiyyah.

Disebabkan corak pemerintahan yang beri penekanan dalam bidang muzik, lahirlah ramai pemuzik hebat pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Banyak buku tentang muzik mereka yang dijadikan sukatan pelajaran dan diterjemah ke Bahasa Inggeris.

Antara seniman terhebat ialah al-Syatibi, seorang pemain biola yang terkemuka. Beliau sering menggesek biola pada waktu malam. Dikatakan, ramai gadis yang tak dapat tidur oleh lunaknya gesekan biola beliau.


Al-Farabi, tokoh muzik dunia

Al-Farabi atau nama sebenar beliau, Muhammad ialah salah seorang tokoh muzik Islam terkemuka yang lahir pada zaman kerajaan Abbasiyyah ini juga. Beliau juga digelar dengan nama Abu Nasr.


Al-Farabi


Pernah satu ketika, Sayf al-Dawlah al-Hamdan menjemput al-Farabi ke istana beliau dalam satu majlis perbincangan ilmu bersama dengan para cendikiawan yang lain. Semasa persembahan satu kumpulan pemain muzik terbaik, al-Farabi tunjuk rasa tak minat dan mengkritik mereka. Setelah mengetahui bahawa al-Farabi juga mempunyai pengetahuan dalam bidang muzik, Sayf al-Dawlah meminta beliau bermain alat muzik.

Al-Farabi mengambil 'ud (lute) atau yang kita kenali sekarang sebagai gambus dari beg dan terus memainkannya mengikut sentimen hadirin. Hadirin terbuai dengan emosi. Mereka ketawa, menangis dan terlena. Sayf al-Dawlah kagum dengan kehebatan al-Farabi. Beliau menyukai al-Farabi dan tidak berpisah dengan al-Farabi sehingga akhir hayat.


Gambus, alat muzik yang digunakan oleh al-Farabi


Bangsa Yunani (Greek) merintis seni muzik. Perkataan music itu sendiri berasal daripada bahasa Greek. Orang Islam pinjam perkataan muzik ini pada kurun kelapan hingga kesepuluh Hijrah.

Pythagoras telah buat ringkasan dan perbahasan tentang muzik. Al-Farabi pula sempurnakan ilmu muzik itu dan menjelaskan kekurangan perbahasan muzik Pythagoras.

Al-Farabi telah menulis buku tentang pengajaran dan teori muzik Islam berjudul al-Muziqi al-Kabir yang diterjemah menjadi Grand Book of Music dan beberapa karya lain yang telah diterjemah menjadi Styles in Music dan On the Classification of Rhythm. Buku-buku ini jadi rujukan penting di Eropah dan jadi sumbangan penting dalam penciptaan not-not muzik.

Al-Farabi telah membahaskan tentang estetika dan nilai muzik dalam kedamaian dan keharmonian jiwa, pada masa ahli muzik belum mempelajari dengan mendalam lagi tentang harmoni dalam muzik.

Selain jadi pakar muzik sebagai salah satu cabang ilmu, al-Farabi juga cipta beberapa alat muzik seperti rabab dan qanun.


                 Rabab                           Qanun



Muzik orang Islam pada hari ini

Muzik orang Islam pada hari ini telah banyak terpengaruh dengan muzik bukan Islam terutamanya dari Barat yang tak kenal halal haram. Pengaruh ini menular tanpa ada pihak berkuasa yang mahu kawal.

Pengaruh program realiti dan pembawakan imej dan cara hidup artis Barat diterima bulat-bulat sebagai satu cara hidup moden yang teriktiraf dunia. Siapa yang tahu, maka dialah yang paling mengikut perkembangan semasa. Tidak ketinggalan zaman.

Dunia pada hari ini berada pada zaman hedonisme. Unsur hiburan beri pengaruh dalam kehidupan. Bukan setakat muzik dan nyanyian, malah artis jadi model untuk diteladani.

Muzik dan nyanyian itu mudah mempengaruhi hati disebabkan ia fitrah manusia. Disebabkan muzik dan nyanyian pada hari ini sudah tidak terkawal seperti dahulu, maka kita seolah-olah hidup bersama racun.

Jadi, amat penting bagi kita yang mempunyai kesedaran dan kelebihan ini, mempergunakan segala macam usaha untuk membantu umat Muhammad akhir zaman ini membezakan antara baik dengan buruk. Jadi dan cipta penawar.

Nabi Muhammad tidak memperkenalkan muzik dan hiburan Islam. Tetapi beliau mengawal seni hiburan itu supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Nasyid adalah hiburan nyata selamat orang Islam. Tapi bukanlah bererti selain nasyid itu haram. Sedangkan konotasi nasyid itu berubah-ubah dan berbeza setiap manusia dan bangsa.

Jadi, apa garis pandu muzik dan nyanyian kita?

"Setiap pendengar sebenarnya merupakan orang yang paling mahir dalam menentukan hukum seni muzik. Sekiranya nyanyian tersebut terdapat unsur yang menaikkan syahwat, mendorong ke arah kejahatan, menjadi lalai dan leka untuk menyerjakan ibadah, maka menjadi kewajipan atas setiap pendengar untuk menjauhinya dan menutup pintu fitnah itu demi memelihara dirinya dan agama."
- Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi.


Rujukan utama:
Al-Farabi: Tokoh Seni Muzik
Ke Arah Memperkasakan Islamisasi Seni Muzik Sebagai Satu Alternatif : Satu Pengamatan Awal

No comments: