Tuesday, November 23, 2010

pasca separuh akhir

Usai persembahan Mirwana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 25 15 November 2010 yang lepas, seperti dijangka memang banyak respon yang diterima. Menjadi mantan sebuah kumpulan nasyid, gerak-geri Mirwana diperhati oleh banyak pihak.

Mirwana telah buat pembaharuan dalam cara persembahan mereka. Saya juga tak pernah tonton Mirwana yang begitu. Mirwana agresif yang terkawal di atas pentas. Penjenamaan semua Mirwana, kata saudara Yusri Hidayat, pengurus Mirwana.

Seruan tinggalkan semua perkara kala azan berkumandang, bergema di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.


Kredit kepada Ustaz Hafizi untuk gambar ini


Selepas penampilan terkini Mirwana di Muzik-Muzik yang dikira sebagai salah satu platform tertinggi untuk seorang penyanyi, makin banyak pihak yang mempertikai dan mempersoal. Mirwana ini bagaimana sebenarnya? Masih nasyid, atau sudah jadi kumpulan rock?

Sekali lagi, isu yang sama.

Persoalan:

"Jika mereka sekadar menyanyikan lagu-lagu nasyid/ketuhanan/apa-apa yang dalam kategori 'baik-baik' inilah, maka persoalan di atas takkan timbul. Senang sahaja, tak perlu tengok outlandish segala macam. Ungu, Awie, Amy Search, hatta Acha dan Irwanshah kesemua mereka pernah menyanyikan lagu-lagu nasyid/dakwah/ketuhanan. Jelas sekali tiada yang mempertikaikan.

Namun, jika si penyanyi atau kumpulan tersebut men'declare' diri mereka berdakwah melalui hiburan, banyak aspek perlu dilihat."


Jawapan:

"apa beza orang berdakwah dalam medium hiburan dan orang yang menyanyikan lagu dakwah/ketuhanan/nasyid? kerana dari sudut mirwana mana satu pon dikelaskan mirwana pada malam itu tidak menjadi hal." - Hafiz Mirwana


Ini bukan suara rasmi Mirwana. Ini suara saya, seorang Amira Hariyati. Jadi, apa yang diperkatakan tidak boleh digunapakai untuk memberi respon secara langsung kepada Mirwana.

Mirwana sedang bawa satu pendekatan baru dalam menyampaikan 'sepotong ayat'. Perkara baru, memang sukar untuk orang terima.

Kita selalu dengar penyanyi genre lain terbuka hati untuk menyampaikan lagu-lagu ketuhanan, atau sekurang-kurangnya menyanyi bersama penyanyi nasyid. Di negara jiran, Indonesia, perkara ini bukan perkara asing. Lagu ketuhanan boleh disampaikan oleh sesiapa saja, dalam apa jua genre terutama rock, pop rock dan rap.

Tetapi belum pernah kita dengar kumpulan yang dahulunya nasyid, masih dalam kumpulan yang sama, terus menyampaikan mesej-mesej mereka dalam genre lain. Ahli kumpulan nasyid yang keluar dari kumpulan nasyid dan keluar daripada menyampaikan lagu-lagu dakwah banyaklah.

"Baik Faizal Tahir tak payah keluar Mirwana begitu. Sama saja."

Samakah? Anda pernah dengarkah saudara Faizal Tahir dendang lagu ajak solat? Anda pernah nampak Mirwana buka baju?

"Jika mirwana ingin mengikut jejak Faizal Tahir, tidak perlu dia keluar dari mirwana. Kami beramai-ramai menukar haluan." - Hafiz Mirwana


Bagaimana untuk peminat rock dan genre-genre lagu lain mahu rasa yang diri mereka juga boleh jadi sebaik mereka yang minat nasyid sedangkan jiwa mereka tak ke arah itu?

Bagaimana pula untuk meraikan trend penyanyi nasyid yang keluar dari kumpulan mereka sebab tidak serasi dengan kekangan konsep dan nilai kreativiti yang tidak berkembang disebabkan sekatan-sekatan ciptaan manusia ini?

Sedangkan semua manusia fitrahnya pada kebaikan. Yang membezakan di sini ialah kecenderungan terhadap jenis lagu.

Mirwana ingin meraikan minat yang pelbagai itu. Mirwana mahu buka mata semua bahawa jenis lagu yang diminati itu tidak menggambarkan tahap iman seseorang. Mesej kebaikan boleh disampaikan dalam banyak cara.

Masih ada persoalan nasyid vs bukan nasyid?

Jadi, sekali lagi, ini soal penampilan semata-mata. Orang yang tak dapat melihat tak akan berkata apa-apa.

Bagaimana dengan penampilan Mirwana?

Ya, tidak dinafikan, berbeza daripada dahulu.

Dahulu Mirwana pakai penutup kepala, sekarang tidak. Dahulu Mirwana kenakan suit sepasang untuk semua (identiti kumpulan nasyid gamaknya), sekarang sudah seperti orang kebanyakan dan berbeza setiap seorang.

Dahulu Mirwana hanya berjalan-jalan, bergerak sedikit saja di atas pentas, sekarang Mirwana sudah pandai bergerak aktif, agresif mengikut rentak lagu mereka yang rancak. Dan ini yang sebenarnya jadi isu.

Persoalan: Berdosakah Mirwana bersemangat begitu?

Persoalan:

"Dosa dan pahala tentu dah nombor satu. Adat, adab, imej dan ketrampilan semua perlu juga dilihat dan diperhatikan. Islam bukan sekadar dosa dan pahala, Islam meraikan persekitaran. Hidup ini bukan sekadar hitam dan putih, hidup ini berwarna-warni."

"dr segi perubahan muzik mirwana bg aku no hal,cume maybe yg org akan tertanya2 skrg(seperti yg ditanya kpd aku) performance atas pentas masa tu...kalau artis yg terang2 wat maksiat tu hal lain.cth mudahlah...seorg ustaz ngan seorg guru akademik kedua2nya muslim,main bolasepak pakai suar pendek...sape yg org akan 'attack' dulu?"


Jawapan:

"kalo contoh ko yang pakai seluar pendek tuh mmg la jelas dan nyata haramnya. sebagai muslim kita sedia maklum itu tidak boleh. tapi macam kes mirwana nih kitorang tak dedah aurat. kitorang tak buat maksiat di atas pentas tuh. maksud aku sebagai pelaku, perbuatan apa yang menyalahi syarak?" - Hafiz Mirwana


Pelbagai pendapat, banyak cakap-cakap. Setiap perkara luar kebiasaan jadi pertikaian. Akhirnya, ia sama seperti kisah Luqman al-Hakim bersama anaknya dan seekor keldai. Terima kasih kepada saudara Ikram Mirwana timbulkan analogi ini. Ia sangat releven.

Luqman al-Hakim menunggang keldai ke pasar sambil anaknya mengekori dari belakang. Mereka yang di pasar mengutuk Luqman yang membiarkan anaknya berjalan kaki. Lantas Luqman meletakkan anaknya di atas keldai dan beliau pula yang berjalan kaki. Mereka bersuara lagi mengatakan anaknya tidak berhati perut membiarkan Luqman berjalan sedang dia enak menunggang keldai.

Kemudian, kedua-dua Luqman al-Hakim dan anaknya menunggangi keldai itu. Lagi orang di pasar bersuara, mengatakan mereka kejam membebani keldai yang ditunggangi. Akhirnya Luqman dan anak beliau turun dan berjalan kaki bersama-sama sang keldai. Masih, mereka bercakap-cakap tentang kurangnya akal Luqman dan anaknya tidak menunggani keldai yang ada.

Pengajaran yang sempurna, Luqman berpesan pada anaknya: "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

(Sumber)

Manusia boleh dan akan terus mengkritik. Namun sampai bila kita perlu pening kepala, susahkan hati dengar cakap-cakap manusia? Sedangkan kita tahu apa yang kita buat itu tidak bercanggah dengan apa yang Tuhan gariskan?

"ini soal persepsi... persepsi/ tanggapan nih dah jadik penyakit... semua orang suka hidup dengan persepsi... buang fakta buang hukum buang bukti buang hujah... hanya persepsi... hidup dengan persepsi... tanggapan tak habis-habis..." - Hafiz Mirwana


Iya, pada akhirnya, selagi belum ada dalil terbukti Mirwana salah dan berdosa, saya anggap ia sebagai pertentangan budaya dan adat Melayu Malaysia saja. Boleh rujuk pada artikel ini.

Apa yang penting, kita sokong semua yang bergerak atas landasan yang sama. Orang Islam yang ingin memartabatkan Islam dan menyebarkan walau sepotong ayat.

Tidakkah canggung lagaknya apabila kita cuba melemahkan semangat mereka yang seangkatan dengan kita? Selayaknya, kita dan mereka berjuang bersama. Dalam cara tersendiri yang telah ditentukan Tuhan. Mengikut minat masing-masing.

Setidak-tidaknya, mereka telah lakukan sesuatu. Dan berani melakukan perkara itu. Maksud saya, siapa yang sanggup bersemangat menyampaikan mesej untuk meninggalkan semua urusan dunia untuk menyembah Tuhan, sedangkan amat besar kemurkaan Tuhan pada mereka yang berkata tapi tak buat? (Surah As-Saf, ayat 3)

Saya amat kagum dengan bait lirik Seruan Lima Waktu yang amat berani:

Terdengar suara azan
Tinggalkan semua urusan
Ayuh-ayuh mari teman
Laksanakan perintah Tuhan
Namun kau katakan nanti
Nanti sekejap lagi
Kau sering katakan tunggu atau pergi dahulu


Secara peribadi, Mirwana jadi check and balance saya dalam kehidupan. Saya sebagai salah seorang yang mendukung perjuangan Mirwana juga perlu hayati setiap yang ingin mereka sampaikan. Jika tidak, semua tak akan bermakna.

Jadi bagaimana?

Mari, ayuh kita berlapang dada raikan kepelbagaian dan warna-warni kehidupan, dalam pendakian capai cinta Tuhan. Itu yang paling penting di sebalik semua kekalutan dan kekecohan.

2 comments:

Encik Janggut said...

nice writing..nice thougt ;)

mira said...

terima kasih. alhamdulillah.. :)