Friday, May 07, 2004

RonaRonda Kuantan

Hujan sudah memenuhi sekurang-kurangnya satu jam sehari dalam masa dua hari berturut-turut. Suhu sekeliling mula jatuh. Rimas berpeluh mula hilang. Namun, kipas angin masih tak boleh dipisahkan daripada aktiviti seharian. Harapnya keadaan ini akan berterusan kecuali jika aku ada aktiviti luar. Tapi, seingat aku, masih tiada yang menjemput.

Fahmi sudah pulang ke asrama. Komputer menjadi sepi daripada bunyi titipan jemari ke atas aksara papan kekunci. Bermain permainan komputer. Jika tiada Fahmi, Fitri pun mula menghilang. Kejap² bermain bola keranjang, kejap² ke Giant, kejap² ke kafe siber. Aku juga dengan tiga budak kecil di rumah.

Sabtu lepas aku dan Fitri bercadang ke bandar. Kali ketiga sepanjang cuti merangkap sepanjang hidup. Tapi dua kali sebelum ini kami bukan berdua. Kali pertama dengan Janna ketika dia ke sini dalam minggu kedua cuti tempoh hari. Kali kedua dengan Saifuddin, ahli kumpulan Wasatiah dalam Program Khidmat Sosial Negara 2002 merangkap penghulu kem. Puden ringan mengajak aku sebelum mula kembali semula ke Politeknik Ungku Omar, Ipoh keesokan harinya. Fitri jadi 'angel' antara kami.

Asbab bas yang tidak jua kunjung tiba selepas lebih setengah jam menunggu, kami berjalan kaki ke Giant. Ah, penat lagi berjalan ke hulu ke hilir dalam UIA. Kami ikut jalan belakang. Jalan melalui kawasan perumahan setinggan sebelum sampai ke rumah flat Medan Warisan, Tanah Putih.

Puas meronda dalam 'mini market' itu (Fitri kata tak layak digelar 'supermarket' -- kecil sangat!), tanpa sebarang rancangan kaki mula melangkah ke arah pusat bandar. Mak oi, ke bandar berjalan kaki tu! Macam kampung sendiri saja dibuatnya. Nasib baik berteman. Kepenatan tak sangat dirasa.

Dah nampak hospital! Kuantan Parade tak jauh lagi! Hangat mentari jam tiga petang langsung diabai. Oh, ada promosi Maxis EUFA rupanya! (buat² terkejut -- sedangkan mesej sudah diterima). Aku cadangkan untuk Fitri mendapatkan satu 'freeby' untuk aku. Sekali-sekala berniat nak cuba sesuatu yang lain dengan khidmat mesej aku ni (boleh dibaca: aku nak cuba² membazir). Bosan maa! Telefon asyik berdiam diri, tiada siapa yang boleh aku mesej (sebab aku akan hanya membalas mesej orang -- senyum senget).

Dia menolak. Katanya, kaki 'kureng'. Kalau nak suruh 'shoot' bila² masa. Bila pula akan ada kejohanan bola keranjang antarabangsa?

Cakap pasal bola keranjang ni, fuh, Fitri obses sungguh! Bukan ada pertandingan atau masuk apa² persatuan, cuma MINAT. Oh, dia ni tidaklah tinggi sangat. Malah ketinggianku pun dia tidak lepas. Fahmi yang baru berada di Tingkatan 2 pun hampir mencecah ketinggiannya. Tapi dia tetap ada usaha. Walau setakat ini tidak nampak sangat hasilnya. Dia ambil vitaman. Percepat tumbesaran.

Fitri berlatih tiap² petang dengan kasut ANDI, khas untuk sukan ini yang mencecah ratusan ringgit! Guna wang sendiri. Kalau nak minta daripada FAMA, maaflah, tunggu dah besar, dah kerja, guna duit sendiri. Semasa di Teknik dulu, kasut sukannya banyak kali hancur. Banyak kali juga Paman Kasah 'sponsor' yang baru, tapi tidak pernah tahan lama.

Baru² ini, setelah puas memerah otak memikirkan akan satu jirim yang kecil tapi berat, baru berbuah hasil. Sepasang beg kanvas biru bertali diisi padat dengan pasir. Dililit di kaki. Dalam hati, budak ni tiru ide Goku ke? Goku kan pernah pakai gelung hitam yang punya berat masing², di tangan dan kaki, supaya nanti latihan tambah mencabar dan akan terbiasa dengan keadaan begitu. Supaya apabila mencabar musuh, pergerakan akan tambah laju kerana badan terasa ringan. (aku ni kipas-susah-mati Dragonball juga)

Bukan sekali dua, malah banyak kali juga disuakan hasrat untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini. SEKURANG-KURANGNYA menjadi pemain bola keranjang antarabangsa. Majalah bola keranjang import yang berharga puluhan ringgit itu pun sudah lunyai hasil belekan saban hari. Belum campur dengan VCD Michael Jordan to the Max yang sudah tentu dibeli sendiri. Sumber inspirasi sulungnya, Slam Dunk; Hanamichi, Khaede, Sendoh... (yang lain aku tak berapa ingat namanya -- sudah lama tak tersiar -- bekas kipas-susah-mati juga). Dan lukisan² kartun hasil tangan sendiri yang disusun dalam log menjadi komik... semuanya mengenai bola keranjang!


Kagum, kagum... Adik yang seorang ini akan cuba bermacam cara untuk memenuhi impiannya. Tak pernah puas, tak pernah bosan, tak pernah putus asa. Aku yang mengeluh melihat kefanatikannya. Akhirnya, dia yang jadi contoh pada aku. Aku pula mudah bosan dengan apa yang aku buat. Nak menulis ini pun, bila sudah kontang ide, mulalah ditinggal²kan. Kalau dulu, apa² saja boleh direpekkan. Jangan aku bosan dengan jurusan aku sudahlah. Dan janganlah aku bosan dengan suami setelah berkahwin nanti. Kasihan dia ya?

Back to the 'journey'. Di Kuantan Parade, kami ke Bata di The Store. Fitri bayarkan kasut sukan merah yang aku pilih. Memang niat dia nak belanja aku. Apa nak kata? Diam saja. Rezeki jangan ditolak, kan? Lagipun, walaupun belum berkerjaya, tapi tetap dah ada kerja. Ada gajinya. Bila lagi nak ambil hati kakak sendiri. (banyaklah celoteh aku -- kalau dah suka tu...)

Oh, dia ke kedai komik pula. Apalagi, dah kuagak. Komik Slam Dunk the Movie. Katanya, tak dapat tengok (kami dah cuba mencari VCDnya di kedai² CD sebelum itu), bacapun jadilah...

Selepas itu, kami terus berjalan ke Ocean menunggu bas untuk pulang. Lalu di hadapan Kuantan Plaza, singgah di kedai roti. Baru ingat lapar. Mujur bas Kuantan Town Service (KTS) ada. Mana tahu, nama Hari Pekerja, 'driver' pun nak cuti juga.

* * *


Malam itu (boleh dibaca: pagi itu -- memang pun, dah pukul 1.20 pagi!), rombongan dari kampung sampai. Nak meminang akukah? :) Kalau ada yang memerhati mesti sudah disangka begitu. Mana tidaknya, bukan satu, tapi dua kereta yang datang. Cuma, mungkin mereka akan kata, oh, nak cuba pecah tradisi, datang meminang pagi² buta. Bagus jiran² aku, sangat bersangka baik. Dah², beranganlah Mira ni.

Embah, Wak Pin dan Wak Ani beserta dua orang anak mereka Jai dan Edel dan Bibik Nan dan Paman Halim beserta anak² mereka Ayong, Ira, Ijah, dan 'baby' Syamila datang menjenguk kami. Sengaja datang bercuti di Kuantan. Bukan selalu. Lebih² lagi apabila perhimpunan keluarga akan ditunda pada bulan Ogos ini. Sudahlah aku hampir mati kebosanan di rumah, hilang lagi satu aktiviti yang sudah dirancang bakal mengisi sedikit daripada masa gangsa (turun pangkat daripada emas) ini.

Pagi esoknya (jam 11 masih pagi bukan?), Ahad, 2 Mei, kami ke Sungai Lembing. Entah ke berapa kali buat kaum keluarga aku termasuk yang baru datang semalamnya, tapi kali pertama untuk aku. Apalah orang Kuantan ni kan? Nak buat macam mana, walau tak masuk dalam darah dan keturunan, tempias gerimis Kuala Lumpur itu ada :)

Lebih kurang 45 minit perjalanan dari rumah, Delica merah hati ini terus menjejak ke gigi sungai. Bukan tuannya saja, dia pun nak mandi juga. Oh, sudah tambah sebuah kereta lagi. Paman Kasah dan Bibik Ita serta tiga orang anak buah mereka turut serta. Datang terus dari rumah Bibik Ita di Neram (pelik bila orang Terengganu pun terpaksa digelar dengan nama Jawa apabila bersama kami).

Emak siap dengan baldinya untuk mengutip batuan sungai yang cantik berkilat. Harapnya, apabila batuan itu hampir 'pupus', yang mengambil tidak terus dituduh mencuri. Sebab aku tahu mak akan datang lagi untuk memenuhkan laman rumah dengan karpet batu. Sebab itu mak meminta aku mengambil yang licin, tidak sakit apabila dipijak. Sebelum ini pun, sebaldi cuma cukup untuk mengelilingi rumpun keladi dibuat benteng.

Selepas itu, apalagi. Arus sungai langsung menggamit aku untuk turut serta bersama adik² dan sepupu² ke dalam air. 'Muchas problemas'? Peduli apa! Bukan selalu dapat peluang menghidupkan kembali kesukaan aku satu waktu dahulu ini.

Tapi air sungai ini tidak senyaman dan sejernih Sungai Pandan, Sungai Gunung Ledang, atau sungai di Bukit Tunggal, Segamat seperti yang pernah aku ingat. Walau berendam selama mana, sejuknya tidak langsung menggigit, memaksa aku untuk ke daratan. Sedangkan dahulu, jika ke daratan pun, sejuk itu tetap hadir kerana tiupan angin rimba sepoi². 'Kurang enak bah'! Tapi... seronok juga beramai begini!

Kedatangan kami sebentar cuma. Jam 1.30 petang, kami sedia berangkat untuk pulang. Semua tidak membantah. Hairan, sedang dulu, tidak kira di sungai² atau di Pantai Sepat, Pantai Gelora, atau Pantai Batu Hitam, pasti ada yang merengek tidak puas lagi. Atau sekarang, yang merengek dulu sudah besar, sudah tahu mengawal emosi (boleh dibaca: sudah tahu malu)? :) (Akukah kepalanya? -- aku kan cucu sulung kedua² keluarga, paling besar antara sepupu)

Jika dikenang² kembali, aku sewaktu kecilnya memang AMAT nakal. Jika ada perbuatan jahat menyakitkan hati, akulah ketuanya, akulah kepalanya. Dan budak² hingusan bawahan aku inilah askar bataknya. Mengikut saja.

Kami main pasir di hadapan rumah selepas hujan (rasa seperti di pantailah tu). Kami patahkan dahan mangga di belakang rumah (manggakah? -- tak ingat -- pokok itu sudah tiada) yang menjulur melintang rendah.

Kami selinap bawah katil paman mencari dan menyelongkar barang² yang boleh dimain -- terjumpa daun terup (memang teruk aku dimarah dan dicubit selepas itu -- dahlah tak ikut embah ke kenduri -- dituduh sengaja bersendirian di rumah).

Kami main pondok² dengan tilam nipis, menjerit² dengan nyanyian suara kanak² di tengah malam, mengganggu tidur ahli rumah. Kami berlari dan berkejaran di atas rumah papan yang langsung tidak terjamin tempoh usianya. Kami ber'sumo', berlawan, dan bergaduh sesama sendiri (macam tak percaya kan?).

Kami buat kacau di rumah arwah boyot (gelaran untuk emak kepada embah), main buaian boyot, ganggu pula Pian adik-beradik (Pian -- anak kepada embah Said, adik bongsu arwah embah lanang -- taraf paman -- tapi diabai kerana dia seusiaku -- atas arahan sendiri :) )


Dan akulah ketuanya. Akulah kepalanya!

Seringkali aku dimarahi embah kerana berkawan dan bermain dengan lelaki. Mak pun tak marah... Nak buat macam mana? Emak beri aku adik lelaki selepas aku tiga orang berturut²! Aku cuba panjat pokok, kena marah. Aku keluar rumah melalui tingkap, kena marah. Aku berlari²an di tapak pembinaan rumah, main tembak² dengan 'kawan²' lelaki aku, kena marah.

Memang jauh beza usia aku dengan mereka. Sedang sepupu aku, Jai yang paling tua pun seusia Fitri. 17 tahun sekarang. Apa²pun, merekalah teman sepermainanku semasa kecil (sebab itu agaknya aku lambat matang). Dan, jika bukan kerana penulisan kali ini, sudah lama memori itu terkubur tidak dikenang. Kerana siapa sangka Mira semasa kecil adalah senakal² budak? Aku sendiri pun tak ingat!

Geng² antara sepupu yang wujud sekarang tidak seaktif geng aku dulu (aku, Pian, Syafiz (adik Pian merangkap paman aku juga), Fitri, Jai, dan Edel). Mereka agak pasif (boleh dibaca: terkawal). Jika berlasak sedikit pun cuma dengan adik-beradik sendiri. Aku ni, bila balik kampung pun, sudah pandai jadi gadis Melayu terakhir. Sopan amat (boleh dibaca: takut dimarah embah lagi).

Sekarang, Jai dan Edel pun tidak lagi betah bebas berkata² dan berbual dengan kami adik-beradik. Semua sudah mula melepaskan akar masing². Lagipun, entahlah, aku rasa kami semua malu sesama sendiri. Lagipula, gen untuk fizikal mereka cepat benar matang. Edel yang baru di tingkatan tiga pun lebih tinggi dan besar daripada aku! Apatah lagi Jai, yang sememangnya menjadi lumrah lelaki untuk tumbuh matang secara drastik. Kalau dikata Jai dan Fitri sebaya, orang akan was², fikir beratus kali. Benar² nyata bezanya!

* * *


Malam itu, Bibik Ita mengajak kami ke rumahnya.

"Mak, Neram dengan Kemaman jauh tak?" Saja je tanya.

"Neram tu dalam daerah Kemamanlah." Perbualan mak dengan Fahmi selepas itu aku buat tak dengar. Oh, rupa²nya aku dah pernah ke Kemaman sebelum ini. Terimbau pula novel Seteguh Karang tulisan Tuan Faridah Syed Abdullah yang dijadikan tajuk KOMSAS tingkatan lima dahulu.


Teringin aku nak ke bandarnya pula. Din pernah kata, bandar Kemaman itu lebih maju daripada Kuala Terengganu. Tempias pembangunan di Kuantan. Maklumlah, jarak perjalanan Kuantan-Kemaman mengambil masa tak sampai satu jam seperti kata Epi. Aku ringan saja hendak berjalan. Cuma tunggu yang mempelawa. Lagipun, bas ke sana yang diambil di Benteng, Kuantan pun tidak sampai empat ringgit. Kos tambang tidak jadi masalah.

* * *


Mereka bertolak pulang ke Bukit Tunggal, Segamat pada jam 10 pagi Isnin. Lekas benar. Tidak puas bersama. Sekurang²nya, jika mereka ada, berjalan juga aku (boleh dibaca: banyak sikit makanan di rumah ini).

No comments: