Mengintai keampunan
Di halaman sudut rahmat-Mu Tuhan
Tiap jejak nan bertapak
Debu kejahilan
Akan kujirus dengan madu keimanan
Tak ternilai air mata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Takkan berpaling pada palsu duniawi
Destinasi cinta yang kucari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa
Di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang kutemui
Hanya kecewa menyelubungi
Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk kusemai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasihmu
Lillahi rabbi...
Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati
Destinasi cinta Ilahi
Lestarikan wadi kalbuku oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagiku
Melamar redha-Mu
Namun masihku mengharap ampunan-Mu
Wahai Tuhanku...Ya Allah...
Ramai yang mengaku orang Islam. Tapi banyak mana yang benar² beriman?
"We are Muslims. Yet how many are true believers?"
Terima kasih, Syaiful Nazrin. Ayat Syaiful yang satu ini benar² membuatkan saya sebak. Banyak benar da'wah yang diri sendiri perlu. Boleh ya? Kita sama² saling memperingati?
Benar. Semua orang Islam akan mengaku Islam. Tiada yang sanggup mengaku kafir. Tiada, insyALLAH. Lebih² jika dikata kafir. Marah. Melenting. Mengamuk.
Namun, adakah mengaku Islam hanya satu teori? Tanpa praktikal?
Kita tahu Islam. Kita tahu Islam itu sebenar² agama. Islam itu suci. Islam itu lengkap.
Yakinkah kita?
Mana pergi keyakinan apabila solat ditinggal²kan, diremeh²kan? Terlewat solat Subuh, tak mengapa, tak sengaja, tak terbangun. Tapi tak qada'? Tak ada usaha kunci jam atau tingkatkan level alarm clock handset untuk hari² seterusnya?
Mana pergi keyakinan apabila keluar bertemu janji, lupa dosa, lupa pahala? Sentuh sana, pegang sini, gesel situ? Lupa, yang suara manja aurat, padahal wanita bernasyid dan membaca Qur'an berlagu dalam aktiviti² agama sungguh² dikondem?
Mana pergi keyakinan apabila belajar, beribadat hanya di kampus? Di luar, bebas-sebebasnya? Pakai tudung labuh, bersongkok kopiah hanya di hadapan rakan². Berjalan² di kota besar seperti tak pernah belajar agama?
Suasana dan cerita-ceriti sekeliling sekarang terasa panas. Membahang. Seperti di neraka dunia. Langsung tidak tenteram. Tak nyaman. Tak selesa. Rimas!
Di manakah praktiknya Islam dalam hidup penganutnya sendiri...?
Di mana destinasi cinta kita yang sebenar? Di mana hujungnya?
Ya ALLAH!
Bantulah umat Islam akhir zaman ini dalam menegakkan kembali agamu-Mu! Bantulah kami! Jagalah hati² kami agar terpelihara daripada sebarang kejahatan. Peliharalah akal² kami agar terselamat daripada simpul kebuntuan. Awasilah iman² kami agak tetap mengingati-Mu. Selamatkah kami dengan dugaan²-Mu di dunia ini yang mampu memesongkan dari landasan Islam yang sebenar, ya ALLAH!
Ya rabb al-alamin...
Aku menulis ini untuk sahabat² saudara seagama tersayang dan terutama kepada diri sendiri. Kerana aku manusia dan manusia bukan maksum, banyak dosa dan kesilapan atas kealpaan...
Kerana sesungguhnya...
"Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya"
(As-Saff; 61:3)
Nauzubillah!
No comments:
Post a Comment