Thursday, February 10, 2005

'oil of olay'

Entah apa-apa saja cerita mengenai orang minyak ni. Makin diheboh-hebohkan. Jika dari pelajar sendiri tak mengapa, ini dengan notis pentadbiran mahallah lebih menakut-nakutkan pelajar. Pula tu, pelajar-pelajar disuruh pulang ke rumah pada cuti panjang yang aku tak pulang, bersendiri menaip benda alah ini. Yang tinggal bukan kerana sengaja ini mulalah hidup dalam ketakutan, rasa tak selamat. Apa cerita ni?

Apa yang aku masih buat di sini? Baliklah! :) Kalian kan kenal aku. Setakat cuti yang tak sampai seminggu ni, tak terliur sangat untuk pulang. Jika kerana kerja menimbun pun, bukan sepanjang masa aku duduk menghadap komputer. Tapi masalah malas dan tak mahu bazir wang tambang untuk pulang.

Ha'ah, tengah kering sangat sekarang. Bukan tak boleh meminta begitu saja dari akaun FAMA aku, tapi aku kasihankan mereka. Aku yang harus faham-faham sendiri walau berkali-kali mereka ingatkan untuk meminta saja jika tiada wang.

Ya lah, mereka tahu aku sedang tak berduit, silap cakap nanti, buatnya aku tak meminta langsung, risau pula pada anak sulung mereka ni. Lebih-lebih lagi perempuan.

Alhamdulillah, setakat ini aku ada ikhtiar sendiri mencari wang. Tapi, jika aku meminta bantuan, jangan pula kalian berselindung di balik bayang :)

Sebenarnya nak bercakap isu orang minyak ni. Bukan bertujuan memperbesarkan lagi cerita, tapi untuk menyedarkan kalian. [Aku menggeleng kepala sambil tergelak dalam hati sahaja bila kakak bilik tiba-tiba berada di sisi apabila aku bangun dari tidur. Buatnya aku sakit jantung?]

Aku ni bukanlah selayaknya jadi heroin melindungi kaum wanita. Bukan aku tak seram akan cerita-cerita hantu [setakat ini cuma di balik kaca televisyen saja]. Tapi dalam realiti, buat apa perlu kita takut akan makhluk ciptaan ALLAH jika Penciptanya sendiri payah untuk disemai takutnya dalam hati?

Mentang-mentanglah orang minyak itu dapat dilihat sedang ALLAH tidak, kalian jadi lebih yakin akan kewujudannya? Letakkan ALLAH di hierarki bawah ciptaan-Nya?

Bukan tak boleh percaya, kerana ilmu sihir ini memang wujud. Lagipun, seperti kata Amran, pernah suatu ketika ALLAH memberi kebenaran kepada syaitan menyerupai manusia [orang gelar orang minyak] untuk menguji keimanan manusia. Bezanya, syaitan ini tidak boleh lengkap menunjukkan dirinya, hanya sebahagian. Jadi, mungkin juga ini gurauan syaitan. Itu tak boleh dinafikan.

Ada juga yang mengatakan kemungkinan yang mengganggu ini ialah pekerja Indon yang sememangkan seakan bermastautin di sini. Sama ada saksi salah tafsir rupa mereka atau memang mereka mengamalkan ilmu syirik tersebut. WaALLAHualam.

Dan kita sebagai wanita sewajibnya menjaga nilai kehormatan diri seandainya cerita itu satu kemungkinan tulen. Cuma, jangan sampai kita jadi syirik. Menganggap ada kuasa lain setanding kuasa ALLAH. Tanpa izin-Nya, makhluk-makhluk ciptaan-Nya tidak mungkin dapat mengganggu kita, insyALLAH. Jadi, pohonlah bantuan, sandarkan pertolongan pada-Nya.

Apa-apapun, biar iman menewaskan rasa takut.

InsyALLAH, kita sama-sama akan lepasi ujian ini.

# Teringat akan cerita yang sama semasa di MRSM dahulu. Sehingga setiap bilik dibekalkan 1, 2 batang penyapu untuk menjaga keselamatan masing-masing. Pelajar lelaki ada urutan tertentu menjaga blok perempuan. Alhamdulillah, bukan mereka yang jadi orang minyak itu ;p Tapi cerita itu berakhir begitu saja, apabila orang mula lupa. Tiada kesudahan yang nyata. Atau aku yang tak ingat? Ada rakan-rakan maktab yang ingin membantu?

No comments: