Thursday, March 10, 2005

Syor konsep Islam Hadhari subjek wajib

SINTOK: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mencadangkan konsep Islam Hadhari dijadikan sebahagian subjek wajib Tamadun Islam di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk diperhalusi lanjut.

Beliau berkata, langkah menjadikan konsep berkenaan sebagai sebahagian pembelajaran dalam subjek Tamadun Islam di pusat pengajian tinggi bertujuan menambahkan lagi pemahamannya di kalangan golongan siswa.

Katanya, siswa yang memahami konsep Islam Hadhari akan dapat mempraktikkan penghayatan ilmu apabila melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dalam masyarakat apabila berada dalam alam pekerjaan.

"Kita mahu menjadikan konsep Islam Hadhari ini sebagai satu mata pelajaran atau sebahagian mata pelajaran Tamadun Islam di semua pusat pengajian tinggi.

"Ini kerana mata pelajaran Tamadun Islam lebih kepada (mengimbau) perkara lalu sedangkan kita mahu memandang ke depan.

"Konsep Islam Hadhari ini perlu lebih banyak pemahaman dan penerangan lanjut kerana jika tidak ada usaha untuk menerapkan nilai konsep ini, ia akan hanya menjadi retorik politik semata-mata," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Islam Hadhari peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof Madya Dr Abdul Halim Ahmad dan Pengarah Pusat Islam UUM, Mat Diah Hamdan.

Pada sidang akhbar itu juga, Nakhaie yang ditanya mengenai konsep Islam Hadhari dan alam sekitar berkata, sekiranya kawasan hutan yang menjadi tempat tadahan hujan diterokai akan memberi kesan kepada kawasan itu.

"Bukan saja kawasan tadahan menjadi kering, malah kita juga mengganggu kawasan habitat haiwan liar yang menjadikan kawasan hutan sebagai tempat perlindungan mereka.

“Dalam konsep Islam Hadhari, manusia bukan saja diamanahkan untuk melaksanakan pembangunan fizikal serta jati diri, malah pada masa yang sama perlu mengurus dengan bijak khazanah negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Halim dalam ucapannya meminta supaya cadangan Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan Kelab Islam Hadhari di pusat pengajian tinggi ditukar kepada Sekretariat Islam Hadhari.

"Ini bagi memudahkan segala aktiviti Islam Hadhari bukan saja dapat diatur dengan lebih teratur malah dapat bergerak dalam setiap aktiviti pelajar dan juga pensyarah," katanya.

Berita Harian, Isnin, 7 Mac 2005

No comments: