Friday, March 18, 2005

iklan

Mereka yang tak faham aku, atau aku yang tak faham diri sendiri?

Aku cari sahabat-sahabat ketika aku tak betah langsung bersendiri. Bukannya aku tak suka punya masa privasi bersama 'qarin' sahaja...

Bukan. Cuma mahu berkongsi tawa dengan kalian, sahabat. Kerana aku tak mampu kongsikan pilu aku. Maaf, seperti telah memperguna kalian capai bahagia yang tak kunjung temu...

Itulah aku. Hanya mampu kulum rasa pahit. Untuk diluah, hanya di sinilah tempatnya. Aku tak mahu perhatian. Jangan tumpu pada aku. Kerana cerita-cerita kalian sudah cukup sempurna untuk diselit calar karat merah ini.

Jangan jadi seperti aku. Yang lihatnya gagah sungguh. Siapa tahu hati ini serapuh kaca? Teman, mintalah jangan diusik lagi ia. "Once broken, considered sold". Dan tak pernah lagi akan dipulang kembali pada pemilik asal.

Iman manusia, memang turun naik. Bila sekali iman merudum, setiap peringatan yang didengari bagai mendengar untuk kali pertama sedang suatu masa kita pernah mengiya bersungguh-sungguh! Kerana itu, Nabi kata, perdengarkan sekurang-kurangnya sepotong tazkirah sekali dalam masa 3 hari. Jika tidak, satu titik hitam akan menodai kesucian hati.

[Aku pun tak pernah ingat itu sampai saat aku menulisnya kembali sekarang]

Rakan-rakan lelaki aku cukup hebat. Tiada seorang pun yang terlepas daripada kuatnya pegangan agama. Aku ada seorang abang dari sekolah agama [yang setakat ini menjadi rujukan utama] juga ramai yang lain pun. Ada seorang teman exco BADA maktab. Tiga orang lagi artis nasyid. Hebat, hebat...

Eh, ada yang tak kena. Ya, mereka lelaki. Mana perginya rakan-rakan perempuan yang mampu pimpin tunjuk jalan? Tudung labuh? Ramai saja! ::sengih::

Tapi, tak perlu jadikan itu kriteria menilai manusia zaman sekarang. Ya, betul, jangan pandang siapa orangnya, tapi apa yang diperkata. Tapi, bagaimana untuk bersahabat dengan mereka yang mengamal apa yang dipelajari atau yang mereka zahirkan melalui perkataan bukan pada perbuatan? Kalau setakat jumpa sekali dua bolehlah tahan. Aku? Nak nasihat mereka? Heh!

Lantas, lebih mudah agaknya untuk hidup begini. Tutup tingkap, selak pintu. Sorok daripada dunia. Hilangkan diri daripada masyarakat. Tiada siapa lagi dapat aku 'su'uzonkan'. Tiada manusia lagi akan uji iman aku.

Hidup tanpa iman bagai hilang arah panduan. Seperti hilang erti hidup. Laksana terlupa akan kewujudan Yang Maha Besar yang berkuasa atas segala sesuatu.

Hati besar berkata: ALLAH, jauh sungguh cintaku pada-Mu. Hina benar meletakkan tandus cinta ini lebih tinggi pada makhluk ciptaan-Mu melebihi Kau, ALLAH! Benci agaknya Kau padaku?

Hati kecil melega: ALLAH sayangkan hamba-hambanya yang beriman. Pintu taubat itu tak pernah tertutup untuk aku memulakan segalanya sekali lagi. Untuk aku benar-benar meyakini keesaan-Nya.

Tapi, rasa tak bahagia ini menjarakkan aku dengan syukur atas nikmat-Nya. Kerana aku sebenarnya tak pernah kurang apa. Aku cukup bertuah kerana aku tak semalang yang lain. Entah mengapa masih nak bersedih-sedih...

Entah mengapa...

No comments: