
Tertanya-tanya juga saya bagaimana perbincangan itu akan berlangsung, sebab pengacara Galaksi si Nana tak bertudung. Bila ditanya apa pendapat Wardina tentang topik tu, mula-mula, katanya, terpulang pada individu itu sendiri. Ayat yang kerap diulang, "Tudung tu hanya sehelai kain yang diletakkan di atas kepala."
Sepanjang perbincangan, hati saya mendesak supaya Wardina dapat menyatakan sesuatu kebenaran. Tapi bimbang juga tersilap cakap, digam pula nanti. Tapi saya yakin, kesedaran orang Melayu mengenai Islam masih menebal dan majoriti kita takkan mengalah pada benang yang basah.
Diselitkan juga rakaman penampilan baru Siti Nurhaliza yang nyata telah bertudung lengkap setelah pulang dari Makkah. Alhamdulillah. Sebagai artis nombor satu negara, harapnya, Siti dapat memberi pengaruh yang baik kepada rakan-rakan artis yang lain atau peminat-peminat seni tanahair untuk mengikut jejaknya.
Tak apa, pakai dulu. Jangan banyak bagi alasan. Sebab ini arahan Tuhan yang dah jelas dan nyata. Bukan lagi bab belum sampai seru. Sambil menunggu seru dan mencari pelbagai alasan, dosa dah bertimbun, hati dah makin hitam. Lelaki-lelaki di sekeliling pun sama. Sebab tengok maksiat saban hari.
Dosa yang melihat bukan dikira satu kepala satu dosa, tapi sehelai rambut yang disengajakan membukanya sebagai satu dosa. Adillah dengan bacaan al-Qur'an yang diberikan pahala berdasarkan bilangan huruf yang dibaca, bukan ayatnya.
Baru nak lega dan berlapang dada, ada pula rakaman komentar Deja Moss yang walau dah bergelar hajah, masih dengan penampilan lamanya. Diberi pula kenyataan yang salah mengenai konsep bertudung.
"Memang kita tahu, Islam menyarankan supaya wanita Islam bertudung. Tapi kita tak boleh paksa seseorang buat sesuatu yang dia tak suka. Tiada paksaan dalam Islam, kan? Tunggulah, bila masanya, saya akan bertudung juga."
Tersedak saya. Tak pandai, tapi nak memandai-mandai. Tiada paksaan untuk memeluk Islam. Tapi sekali dah Islam, memang kena paksa untuk ikut apa yang Tuhan suruh! Dan, bukan menyarankan, tapi mewajibkan!
Oh Wardina, katakan sesuatu, betulkan kenyataan tadi!
Akhirnya, Wardina sebut juga frasa wajib bertudung tu. Nana mengangguk. Tapi untuk mengurangkan ketegangan, beliau tambah, "Apa-apa pun, kita tak ada hak paksa seseorang untuk bertudung. Bukan kita dapat dosa pun dengan orang yang tak pakai tudung tu."
Salah pula, Wardina. Kita, terutama orang di sekeliling memang berdosa jika tak menegur kesilapan yang tak bertudung tu. Kita hanya lepas dosa hanya selepas 3 kali teguran tapi masih tak diendahkan.
Banyaknya dosa kita kan? Tu yang dalam Friendster tu, berapa ramai je yang dah kita tegur? Saban hari, memang makin ramai dalam senarai tu yang berani meletakkan gambar mereka tak bertudung. Tak malukah mereka dengan kawan-kawan satu sekolah yang tak pernah nampak rambut mereka di sekolah dulu?
Juga, kepada satu dunia yang bebas add mereka dalam senarai sahabat. Bukan hanya dalam kelompok masyarakat mereka, malah, satu dunia boleh tahu betapa rapuhnya iman mereka!