Saturday, June 27, 2009

akui kelemahan

Sistem HRMIS akan diimplementasikan di Politeknik Port Dickson secara menyeluruh tak lama lagi. Dan saya ialah antara penggeraknya.

Saya baru pulang dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang untuk 4 hari 3 malam kursus sistem tersebut. Ia lebih kepada kursus pengurusan berbanding kemahiran.

Ia adalah pengalaman pertama saya ke Pulau Pinang dan pengalaman pertama juga menjejakkan kaki ke sebelah utara semenanjung (jika Kelantan tak dikira sebagai negeri utara).

Tempoh hari ada kursus yang serupa di Port Dickson yang disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang terletak berjauhan dari Port Dickson. Tapi kami dipanggil untuk berkursus di tempat yang lebih jauh. Kata mereka, jika dekat-dekat, tak boleh dapat pakej penginapan hotel. Maknanya perlu berulang ke kediaman seperti pergi balik kerja.

Haih, disebabkan surat panggilan berkursus dan bukannya mesyuarat, saya terlepas peluang untuk menaiki kapal terbang. Tak sabar nak rasmikan kali pertama yang ini juga.



Tak ada sistem yang 100 peratus sempurna. Sebab yang menciptanya pun tidak pernah sempurna. Sedangkan Microsoft sentiasa mengeluarkan sistem operasi komputer yang dikemaskini dan ditambahbaik dari masa ke masa.

Disebabkan tak ada sistem yang sempurna, maka yang berperanan menyampaikan penggunaannya perlulah mengakuinya apabila peserta telah menemukan ketidaksempurnaan itu.

Pertukaran sistem penjawatan seorang penjawat awam tidak semestinya tamat pada hari ini dan esok terus sambung yang baru. Contohnya, mereka yang tamat kerja kontrak pada hari ini tidak semestinya terus ditawarkan kerja tetap pada hari esoknya.

Tetapi, sistem tersebut tidak membenarkan 2 penjawatan bersela lebih daripada 1 hari. Yang boleh dimasukkan ialah, tamat hari ini mesti mula yang baru esok. Saya tahu yang ia ialah bug sistem. Ia tak selari dengan dunia sebenar.

Apabila disua, fasilitator sebaliknya kata, "Sekarang baru tahun 2009, kenapa nak masukkan penjawatan tahun 2013? Kan tak berlaku lagi?"

Dalam hati, "Agak complicated jika sistem perlu semak tarikh hari ini sebelum rekod boleh disimpan. Jika ikut logik, sepatutnya tak ada masalah sistem membenarkan pengisian rekod yang bukan pada tarikh tersebut. Lagipun, mesej yang keluar ialah rekod tak boleh dimasukkan kerana tarikh bertindan, bukannya rekod tak boleh dimasukkan sebab tarikhnya belum sampai."

"Oh, mungkinlah sistem ni tak benarkan kita rekodkan penjawatan yang belum berlaku lagi, ya?" Soal rakan sepoli di sebelah. Beliau ni bukan dari bidang IT, jadi tak banyak bantah. "Ok, kalau macam tu, kita cuba dengan tahun sebelum."

Fasilitator tu ke depan dan sampaikan sesuatu kepada fasilitator lain yang berada di komputer hadapan.

Setelah dicuba, ternyata telahan saya benar. Sistem tak terima juga 2 penjawatan yang bersela tarikh lebih daripada 1 hari, walau rekod tahunnya ialah pada 1983.

Haih, apalah salah jika akui saja kesilapan. Tidakkah si fasilitator itu sedar bahawa yang hadir bukan wakil dari bahagian sumber manusia (pentadbiran) saja, malahan pegawai teknologi maklumat juga. Logic error ini adalah perkara biasa dalam programming. Apatah lagi dalam sistem besar yang mempunyai banyak modul seperti HRMIS. Terlalu banyak yang perlu diteliti dan disemak.

Dengan menyembunyikan kebenaran, kita mungkin sebenarnya ingin menjaga kredibiliti dan penghormatan. Tapi tanpa disedari, sikap tidak akui kesilapan juga sebenarnya menonjolkan keegoan dan sifat kurang cerdik kita.

Kita tak kenal semua orang. Tanpa kita sedar, si cerdik pandai mungkin berada di kalangan kita.

Berkatalah benar, walau ia pahit. Mengakui kelemahan tidaklah mengurangkan kekuatan, sebaliknya menonjolkan kerendahan hati dan kekuatan peribadi. Sebab setiap manusia itu ada kelemahan masing-masing.


Harapnya saya dapat menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan jayanya.




Lagi gambar

2 comments:

M@YaZ said...

kesimpulannya setiap software/application/system perlu ada tester macam kiteorang :D

Fahmi Mahat said...

satu lagi kesimpulan:

manusia memang sukar nak mengakui kesilapan sendiri.

sbb nature manusia adalah menunjuk jari ke orang lain.


peace.