Bertuahnya pelajar-pelajar zaman sekarang. Ilmu dan maklumat ada di mana-mana. Sama ada belajar sendiri atau berguru, semua disediakan nak beri mereka pengetahuan.
Baru semalam saya selesai berkongsi pengetahuan tentang blog dengan anak-anak ahli Puspanita jabatan ini. Mereka bukan saja terdiri daripada pelajar sekolah menengah, malah sekolah rendah juga!
Dan ada juga tiga kakitangan jabatan yang ambil peluang sertai bengkel untuk dapat 1 hari kursus daripada 7 hari yang diwajibkan ke atas semua kakitangan kerajaan.
Hari ini, sedang kami tenang-tenang di pejabat setelah selesai segala urusan dan kesibukan, kami didatangi seorang pensyarah yang memberitahu beliau pun akan mengadakan kelas blog hari ini.
Teringat waktu mula-mula terlibat dengan penulisan blog 7 tahun lepas. Saya terpengaruh dengan sahabat-sahabat yang minat menulis juga (masa tu belum tahu konsep jurnalis). Lihat blog mereka, saya pun teringin ada satu.
Jadi, saya cuba guna perkhidmatan blog Diaryland. Kurang sesuai, agak terhad fungsi dan kebolehan untuk mengubahsuai, saya cuba Upsaid pula. Selesa dengan Upsaid, tiba-tiba mereka kenakan caj untuk perkhidmatan blog mereka.
Ah, takkan mahu menulis pun nak dibayar?
Lalu pada tahun 2004, saya bertukar menggunakan Blogger. Dan blog itu kekal digunakan sehingga sekarang tanpa banyak masalah.
Blogger pada hari ni sangat mudah dibandingkan dengan Blogger pada tahun 2004. Dan pada waktu itu, mana ada sesiapa yang mahu mengajar tentang blog. Yang tahu tentang blog pun belum ramai. Blog pun mereka tak tahu apa.
Saya mula kenal blog pada 2003, hanya selepas 6 tahun konsep 'web log' diperkenalkan oleh John Barger. Mujur dalam bidang Teknologi Maklumat, saya tahu baca HTML dan ubahsuai wajah blog daripada template asal yang disediakan.
Namun, disebabkan Blogger pada hari ini lebih mudah dan pelajar sekolah rendah pun dah boleh buka blog, maka, saya sudah jarang lihat kod-kod HTML itu (sekarang sudah pakai CSS). Sekarang zaman mobiliti. Mahu belajar teknologi sendiri, saya sekurang-kurangnya perlukan telefon bimbit yang boleh akses internet dulu!
Namun, itu bukan harga ilmu teknologi. Itu cuma harga menggunakan teknologi. Ada, adalah. Tak ada, masih ada cara lain.
Yang penting, jangan biarkan YB Perdana Menteri kita menyanjung teknologi barat seperti Facebook yang entah sampai bila akan diberi akses secara percuma itu. Malaysia pun ada tenaga pakar juga. Kan?
Anak-anak yang semakin terdedah dengan perkembangan mengikut zaman. Moga kalian dapat menjadi kebanggaan semula Islam seantero dunia dalam bidang ilmu.
(Bercita-cita nak ajar adik-adik buat blog balik rumah selepas ni)
No comments:
Post a Comment