Thursday, March 11, 2010

ingat mati

Rupa-rupanya saya tak begitu menghayati lagu "If Today Was Your Last Day", Nickelback.

Kelmarin, saya tonton Supernatural akhir musim ke 3. Selepas setahun perjanjian penjualan roh dengan iblis, Dean akhirnya dimasukkan ke 'neraka', dengan cara kematian yang sangat tragis; dibaham anjing neraka (hell hound). Di 'neraka', kedua-dua tangan dan 'kaki'nya dipasung, tergantung dalam satu ruang seperti dalam lohong atau vakum, sendiri, memanggil-manggil nama Sam yang selalu di sisinya selama ini. Saya terfikir.


Kita nanti sendirian, menghadapi pembalasan terhadap apa saja yang kita telah lakukan di dunia. Jika kita ke syurga tak mengapa. Hidup masih bermasyarakat dalam harmoni. Tapi jika kita ke neraka, sendiri dalam api yang panasnya 70 kali ganda daripada api di dunia.

Dari sebuah hadis, Nabi Adam telah mendapat api dari neraka untuk kegunaannya memasak. Sebesar mana? Biji sawi. Malaikat Jibril basuh api itu dengan 70 buah sungai syurga. Kemudian, Malaikat Jibril letak atas puncak sebuah gunung yang tinggi. Gunung itu cair. Saki bakinya kita guna sampai sekarang.

Dalam ajaran Islam, selagi kiamat belum tiba, yang jahat tidak terus ke neraka. Kita akan melalui satu alam dahulu iaitu alam kubur. Dari alam kubur ini lagi, kita boleh tahu kita ini jahat atau tidak. Ke syurga atau neraka? Hanya Tuhan yang tahu. Alam kubur berlangsung sehinggalah hari akhir dunia.

Mati itu mudah. Kehidupan selepas mati itu yang susah. Bergantung pada amalan dan tinggalan kita di dunia.

Adakah rugi mereka yang mati awal sebab terpaksa berada di alam kubur sehingga hari kebangkitan? Sedangkan pada zaman Dajal dan Yakjuj dan Makjuj nanti pun ada yang sanggup korek lubang kubur sendiri sebab tak tahan dengan fitnah-fitnah mereka?

Bagaimana pula jika ada yang sempat menyaksikan adegan tiupan sangkakala pertama? Sanggupkah?

Lalu berbunyi sangkakala membelah langit
Gegak gempita masing-masing berlindung diri
Ibu kehilangan anak di kandungan
Bintang yang dilangitpun berguguran
Kala itu taubatmu tidak berguna lagi


Khabar Iman, Raihan

Ada yang cakap, "Alah, orang Islam, lepas dah habis pembalasan di neraka, akan masuk syurga juga."

Persoalannya: Sanggupkah? 1 hari akhirat bersamaan dengan 50 ribu tahun di dunia! (Qur'an, Surah al-Ma'arij ayat 1-4)

Dan seksaan paling ringan di neraka ialah dipakaikan selipar dengan tali dari api neraka. Mendidih otaknya seperti mendidihnya air dalam periuk. Dia ingat dialah yang dapat balasan paling teruk, padahal apa yang berlaku sebaliknya. (Hadis, riwayat Bukhari dan Muslim)

Selepas itu, adakah kita boleh kembalikan masa ke dunia? Dan buat amal dan kebaikan sebanyak-banyaknya?

Benar kata hadis, "Manusia yang paling bijak ialah yang paling banyak mengingati mati."

Kenapa dia bijak? Sebab dia sentiasa bersedia jika maut di depan mata. Jadi, dia tak rugi apa-apa dengan sebarang kemungkinan pembalasan di akhirat. Sebab dia tau, dia dah manfaatkan setiap yang ada untuk kebaikan di akhirat.

Semua yang dia lakukan mengarah pada apa yang dia akan dapat di akhirat nanti. Semua pekerjaan yang dilakukan diniatkan ibadah. Jadi, dia tolong orang, sedekah, derma, wakaf, mengajarkan ilmu, tanpa harapkan balasan. Sebab dia cuma nak balasan dari Tuhan.


Konsep iblis dan syaitan, neraka dan kematian orang barat ini mungkinlah sedikit berbeza dari kepercayaan dalam Islam. Sedikit, sebab agama Kristian masih agama wahyu dari Tuhan. Kristian dan Islam ini seperti cahaya yang masuk ke rumah. Puncanya masih sama, cuma dipisahkan melalui lubang mana yang dilalui.

Berbeza, sebab Qur'an sebagai sumber utama ilmu dan maklumat tentang Islam dipelihara Tuhan sehingga kiamat, sedangkan Injil dan kitab-kitab agama wahyu yang lain berevolusi sejajar masa (ayat canggih ni. Tapi sinis).

Walau konsep berbeza, ada sesetengah pengajaran masih boleh diambil, direnung dan dimanfaat bersama.

Jangan buat perjanjian dengan syaitan (bomoh dsb).

Syaitan bersumpah menyesatkan manusia sehingga kiamat. Jadi, jangan percaya walau sedikit kata-kata syaitan.

Mantera serapah kita ialah azan dan ayat al-Quran. Tapi kita cuma boleh halau dan menyakitkan syaitan, bukan bunuh. Syaitan tidak akan mati sehingga kiamat.

Air suci kita ialah yang dilafazkan dengan nama Tuhan.

Jangan bunuh diri, masuk neraka adalah untuk selama-lamanya!


Dean meraung sendiri dalam 'neraka'. Kaki dan tangan terpasung, dia tak dapat bergerak. Statik begitu. Sehingga bila? Adalah kita mahu rasa penyesalan seperti Dean ketika itu?


Artikel ini mungkin mengandungi khilaf sebab ditulis oleh yang tak diiktiraf dalam bidang agama. Jadi, mudah-mudahan, kita dapat berbincang dan berkongsi ilmu bersama :)

No comments: