Monday, March 15, 2010

facebook


Facebook dah jadi fenomena. Daripada platform rangkaian sosial yang tak dapat diterima disebabkan usulnya, ia tak lagi diendahkan. Sedangkan para menteri dan setiap program stesen televisyen pun seolah-olah menggalakkan penggunaannya. Sedangkan para ustaz dan ustazah juga punya akaun sendiri masing-masing.

Facebook makan hidup kita sedikit demi sedikit tanpa kita sedari. Pengaruhnya di luar jangkaan, tidak seperti Friendster yang pernah juga jadi kegilaan satu masa dahulu (zaman saya di matrik).

Tujuan asal rangkaian sosial ini adalah menghubungkan kenalan-kenalan lama dan baru. Ia mendekatkan yang jauh, menyetujui frasa 'dunia semakin kecil'.

Memang ajaib apabila kita dapat berjumpa semula dengan sahabat darjah 1 yang tiba-tiba berpindah sekolah dan terus hilang khabar berita.

Saya juga suka apabila Facebook dapat mendekatkan jurang antara saya dengan artis-artis nasyid yang selama ini ingin dikenali dan didekati. Sungguh, Facebook yang menghimpunkan hampir semua orang sangat memudahkan urusan dan cita-cita ini.

Tapi kini, pengaruh Facebok sangat kuat bagai telah jadi ruji hidup. Setiap hari terasa ingin tukar status dan menanti komen kawan-kawan. Bila dapat komen terutamanya kata semangat, kita akan rasa gembira. Atau kita beri komen status dan mengharapkan ada yang mengendahkan komen itu dan buat diri rasa wujud.

Kita gantungkan emosi pada Facebook. Jika baik komentar yang diterima, maka baiklah hari kita. Jika tidak, jadilah sebaliknya.

Bila kita post di 'dinding' rakan, dia tak respon, sedangkan pada sahabat-sahabat lain ada pula responnya? Apa yang sepatutnya kita rasa?

Tiba-tiba seorang sahabat tak lagi berada dalam senarai rakan kita. Dia telah membuang kita dari senarai rakannya. Apa yang sepatutnya kita rasa?

Dari khabar seorang teman, suami isteri yang tidak puas hati terhadap sesama sendiri pun boleh diluah di 'dinding' muka Facebook. Apatah lagi pasangan yang sedang bercinta. Jikalah semua ketidakpuasan hati jadi tontonan khalayak, semua pekung dan aib dibuka begitu saja, di mana letaknya malu dan maruah?

Apatah lagi cerita yang tidak ada diada-adakan. Dengan video, gambar dan status. Semua mula buat andaian, kesimpulan dan rumusan. Orang ni macam ni, orang tu macam tu. Dua sahabat boleh berbalah, pasangan boleh berpecah. Akibat cemburu dan salah faham.

Sedangkan, yang paling penting dalam perhubungan ialah komunikasi dan kepercayaan. Bukan dengan kira berapa banyak kawan perempuan yang dia ada.

Semua ini boleh disaksikan oleh semua yang ada dalam senarai rakan kita.

Facebook dan sistem-sistem rangkaian sosial yang lain ialah ciptaan manusia. Ia patut berada dalam kawalan manusia. Bukan manusia yang berada dalam kawalannya.

(Sedang membayangkan bagaimana sekiranya cara hidup ini terpaksa dibayar untuk dilawat suatu hari nanti. Tidak mustahil, dengan lambakan gambar dan video sekarang yang dihos secara percuma walaupun memakan ruang yang besar. Penggunanya bukan sedikit!)

1 comment:

Azizi Zulkefli said...

Isu kebergantungan kpd facebook ni memang dah semakin menjadi-jadi. Walaubagaimanapun, semua ni bergantung kpd diri sendiri utk mengawal penggunaan FB ni. kalau dah kemaruk sgt, takut kena sakit jiwa pulak bila dah tak dpt berfacebook