Tuesday, April 20, 2010

'keterbukaan terpimpin' - mirwana

Ramai menanyakan soalan mengenai konsep album dan hala tuju Mirwana sebagai sebuah kumpulan vokal harmoni yang dari dulu memperjuangkan irama nasyid. Soalan yang pernah ditanya antara lain adalah seperti berikut, Adakah Mirwana tidak lagi mahu bergelar artis nasyid? Mengapa album ni Mirwana sudah tak pakai kopiah? Apakah yang menyebabkan Mirwana tidak lagi berminat untuk bernasyid dan mula menukar haluan ke arah muzik pop? Adakah genre nasyid sudah tidak laku atau sudah tidak boleh jual? Di manakah pendirian Mirwana bila tidak mahu lagi dilabel nasyid? Mungkinkah Mirwana terpengaruh dengan kejayaan Faizal Tahir yang keluar daripada genre nasyid?

Mirwana ingin menjawab soalan-soalan ini dengan menyatakan bahawa kami mendukung semangat dan slogan 'Keterbukaan Terpimpin'. Sejak dari awal penubuhan Mirwana slogan inilah yang menjadi tunjang kepada Mirwana dalam berkarya. Slogan ini tidak pernah wujud. Cuma akhir-akhir ini Mirwana berasa perlunya satu slogan yang dapat menzahirkan pendirian kami. Ia diharap dapat difahami dan dihayati oleh pendengar, pengkarya, penggiat seni dan masyarakat umum. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan 'Keterbukaan Terpimpin' ini?

Istilah 'Keterbukaan' menurut kamus ialah perihal terbuka hati dan sikap sedia melayani atau menunjukkan minat kepada apa sahaja. (samada unsur, pengaruh, rangsangan, budaya, muzik, genre dan lain-lain). Minat yang dinyatakan dalam istilah ini adalah secara khusus merujuk kepada kecenderungan Mirwana untuk tidak menolak terlebih dahulu, malah dengan secara senang hati menyambut baik setiap bentuk muzik, untuk dikaji dan diperhalusi bagi mencari nilai sesuatu karya. Kami meraikan kepelbagaian dan kelainan yang wujud dalam setiap karya muzik. Dengan keterbukaan inilah Mirwana menghayati serta menghargai beraneka hasil karya muzik dan nyanyian dari pebagai bangsa dan negara, dari timur mahupun barat.

Namun bagi Mirwana dalam proses penghasilan muzik dan lagu, keterbukaan ini tidak akan mendatangkan kebaikan malah bakal mengundang kecelakaan jika ia tidak dikawal. Sikap hanya menerima segala bentuk muzik dan isinya secara semborono dan mencurahkan kembali kepada masyarakat dengan melulu, bakal membawa keburukan kerana muzik yang datang ini tidak hanya mengandungi rentak dan irama malah terkandung juga budaya bahaya yang sarat dengan kebejatan dan kerosakan. Menyedari hakikat ini, satu alat untuk menapis, mengasing atau menyaring perlu ada supaya mana yang dirasakan membawa kebaikan dapat diambil dan dihayati dengan lebih mendalam manakala yang buruk dapat dibuang jauh-jauh. Keperluan ini membawa kepada penghuraian kepada maksud perkataan seterusnya.

Terpimpin merujuk kepada perihal atau keadaaan dibimbing. Pimpinan yang dimaksudkan disini tidak lain dan tidak bukan adalah Al Quran dan Sunnah yang dalam erti kata lain bimbingan Allah dan RasulNya. Kami menyedari muzik dan nyanyian yang halal secara zatnya tidak boleh disalahguna. Ia mesti mempunyai unsur mendidik masyarakat, menggalakan kebaikan dan memerangi kemungkaran. Ia perlu disampaikan dengan cara penuh hikmah dan bijak bersesuaian dengan keadaan, tempat dan masa.

Inilah prinsip perjuangan Mirwana. Kami merasakan persoalan nasyidkah? atau tidak nasyidkah? sebagai persoalan ranting yang tidak perlu ditekankan oleh penasyid. Nasyid dengan apa sahaja istilah yang digunapakai oleh pendengar tidak harus menjadi rungutan yang asyik difikirkan. Pendengar dan masyarakat harus diberi peluang untuk menggunakan kebijaksanan mereka memutuskan persoalan ini.

Dengan prinsip Keterbukaan Terpimpin inilah album 'Bumi Akhir Usia' diterbitkan. Hasrat kami tidak lain hanya mahu berkongsi pengajaran, saling ingat-mengingat dan berpesan-pesan sesama pendengar. Ragam muzik dan nyanyian dalam album ini hanyalah satu usaha kecil Mirwana untuk membawa kelainan di dalam industri muzik tanah air yang sedikit sebanyak diharap dapat menarik golongan baru untuk mendekati kami.



Walaupun Mirwana agak terbuka dalam mencari kelainan sewaktu menghasilkan album, Mirwana sama sekali tidak melupakan prinsip ini. Cuma Mirwana percaya dan yakin hanya dengan sikap terbuka terhadap kepelbagaian, kita dapat menyuntik kesejagatan nilai Islam dalam jamak budaya dan pluralisme masyarakat kita. Mirwana tidak mahu terus tertumpu kepada segolongan kecil kelompok Islam dan meminggirkan yang lain. Mirwana mahu terus berkembang mencakupi kelompok masyarakat yang lebih besar. Perjuangan menyampaikan mesej Islam harus tersebar jauh menembusi sempadan bangsa, budaya dan agama. Biar tembok-tembok perbezaaan ini semakin lama semakin hancur dan rapuh. Agar satu hari nanti yang bersinar cerah adalah nilai Islam itu. Mudah-mudahan, kelainan dan kepelbagaian yang cuba ditonjolkan dalam hasil karya kami tidak disalah ertikan. Semoga, penjelasan yang pendek dan ringkas mengenai 'Keterbukaan Terpimpin' ini dapat sama-sama difahami dan dihayati oleh pendengar, penasyid, pengkarya, penggiat muzik seni hiburan Islam.

Wallahualam.


Mirwana, disampaikan oleh Muhammad Hafiz Tamizi

No comments: