Minggu ini minggu konvokesyen di tempat saya bekerja. Kali kedua berpengalaman merasai kemeriahannya di sini. Tapi nampaknya tahun ni lebih meriah.
Lihat saja tempat letak kereta kakitangan yang telah diambil alih oleh pengunjung. Kebanjiran kenderaan terasa macam di tepi pantai pula. Ruang tak cukup.
Tahun ini, setiap jabatan diperuntukkan 1 hari konvokesyen. Hanya ada sidang pagi saja. Sebelah petangnya diadakan raptai. Jadi jumlah hari konvokesyen bertambah.
Baru betul jadi minggu konvokesyen. Berbanding tahun lepas yang cuma 2 hari saja. Tak sempat gerai-gerai yang ada nak panas.
Bila lihat konvokesyen di sini, pastinya teringat Convest (Convocation Fiesta) di UIA. UIA yang telah saya tinggalkan 2 tahun lebih lamanya. Walau dah lama, kenangan-kenangan di UIA, termasuk semasa minggu konvokesyen belum dilupakan.
Apatah lagi sekali berpeluang menyertai komiti Convest dan sekali terlibat dalam Konvokesyen UIA 2008 sebagai graduan.
Kemeriahannya memanglah tak boleh nak dibandingkan dengan di sini. UIA itu universiti. Bilangan pelajarnya ramai. Tapak gerai pun luas. Sehingga boleh letak permainan funfair dalam tu.
Dari legaran bahagian pentadbiran, sehingga ke Bukit Convest (Convest Hill), sama meriahnya. Pentadbiran pada sebelah siang, Convest Hill pada sebelah malam.
Apa yang dijual? Lebih kurang sama saja. Kebanyakannya berkisar wanita. Dari kain pasang, jubah, blaus, tudung hingga ke brooch. Apa yang si lelaki buat dengan wangnya? Belanja si wanita.
Gurau saja. Cuma, memang tak banyak barangan lelaki yang dijual di gerai-gerai Convest. Antara lain yang dijual termasuklah cermin mata, perhiasan telefon, buku, cenderamata UIA, tshirt, makanan dan minuman kesihatan, penitis mata kurangkan rabun, mainan pasir warna warni dengan gambar pelekatnya dan... makanan.
Ini antara program yang ada semasa Convest saya jadi graduan.
Yang paling menarik buat saya pada minggu konvokesyen ialah persembahan pentas pada malam harinya. Selain motivasi kafe-kafe mahallah ditutup sempena konvokesyen yang memaksa semua orang naik ke Convest Hill, persembahan pentas adalah tarikan utama saya ke sana.
Hampir setiap malam akan ada persembahan pentas, sekurang-kurangnya acara kendalian komiti-komiti Convest. Seperti pertandingan taip SMS terpantas dan pertandingan lumba makan terbanyak.
Yang lain saya tak ingat. Yang menarik perhatian cuma persembahan nasyid. Tidak kiralah persembahan artis bawah tanah (underground), atau artis aliran utama (mainstream) (Tapi mestilah lebih tertunggu-tunggu yang kedua tu).
Syurga nasyid. Persembahan nasyid secara percuma mana nak dapat? Tapi yang percuma itulah yang kurang tontonan. Persembahan artis nasyid jadi seperti perkara biasa.
Tapi bukan untuk saya. Saya masih teruja, cuma segan untuk mula bual itu lebih besar daripada keinginan yang ada. Saya ni memang sangat pemalu.
Pentas yang disediakan juga mesra penonton. Bukan apa, jarak antara penonton dengan pentas snagat hampir, tak seperti jika di dewan. Jadi... (malas nak huraikan keterujaan ini lebih-lebih).
Apa yang nyata, saya sangat rindukan persembahan nasyid. Sejak saya keluar dari UIA pada akhir 2007, sekalipun saya tak pernah ke konsert nasyid lagi. Perkara yang jarang sangat saya lepaskan di UIA. Dan sebelum itu di Pusat Matrikulasi UIA. Boleh dikatakan pada setiap konsert pasti ada saya.
Dan sekarang, disebabkan keterujaan itu, saya sedang teralih topik daripada menceritakan tentang majlis konvokesyen ke konsert nasyid.
Ok, apa lagi mengenai konvokesyen?
Tempat terhimpunannya segenap warga universiti. Dari yang tak pernah terlihat muka sebab jarak kulliyyah jauh, kepada yang selalu jumpa sebab satu kulliyyah, mahallah atau selalu lepak di kafe HS, semuanya ada di Convest Hill.
Sesungguhnya, saya amat rindukan wajah-wajah itu. Sungguhpun jika saya berkesempatan untuk sambung belajar di tempat yang, sudah tidak ada lagi wajah yang sama seperti 4 tahun pengalaman di UIA lalu.
No comments:
Post a Comment