Friday, April 30, 2004

Penulisan (23 April 2004)

Lumrah penulis tak bertauliah. Memulakan penulisan berdasarkan pengalaman. Itupun sukar juga menentukan plot cerita yang mana dulu yang mana kemudian. Penat memerah ide satu hal. Penat menyusun kata lagi satu hal. Lagi² untuk orang seperti aku yang kurang ilmu dan maklumat mengenai banyak perkara. Mengalami kesukaran untuk menjelaskan sesuatu di luar bidang dengan rinci. Habisnya, aku hanya memenuhkan helaian bermain dengan kata. Sekurang-kurangnya itu saja yang aku paling mahir. Bolehlah, kan? Lagipun, penulisan adalah satu aktiviti yang patut diberi kebebasan dan kelonggaran pada penulis. Semuanya bergantung pada kreativiti yang dicorak daripada fantasi masing-masing.

Menulis bermodal pengalaman adalah jalan paling mudah, ringkas, dan pantas penulis menyudahkan sesuatu cerita. Segala²nya telah siap tergambar di memori, menunggu aturan diluahkan dalam bentuk kata². Keadaan, situasi, dan perasaan watak telah sepenuhnya difahami. Namun, cuma pada watak utama atau persona diri pertama. Jika menulis melalui mata banyak watak, watak² lain itu akan sedikit terabai kerana jiwa 'mereka' tidak terselam.

Lagi kelemahan karya yang ditulis berdasarkan pengalaman. Penulis kurang merasai apa yang pembaca rasa apabila membaca karya tersebut. Penulis menulis ringkas mengenai sesuatu dengan anggapan pembaca faham sepertimana yang mereka faham. Kepentingan untuk pembaca memahami cerita terabai.

* * *


Persoalan pemilihan tema. Tema yang mereka selalu kata sebagai lumrah dan fitrah; apalagi selain percintaan, tidak berapa menarik perhatian. Lagi² jika jalan ceritanya hambar dan stereotaip. Tidak klimaks yang menyerlah, membezakan karya itu dengan yang lain sebelumnya. Tapi, hasil² sebegitu masih terjual. Agaknya masih ramai yang dambakan ide untuk dicilok; kata² puitis dan berhikmat kepada sang kekasih.

Sebab itu, penulisan bukan perkara main². Tidak kira untuk membentuk cerpen, novel, atau skrip drama dan filem, penulislah yang paling bertanggung jawab. Penulislah yang harus memulakan kesedaran kepada kebaikan untuk ditumpahkan pada kajangan putih. Lebih² lagi jika nama penulis tersebut sudah tersohor di kalangan pembaca dan bisa menarik kepercayaan mereka. Kalau dah percaya, semuanya nampak betul dan baik.

* * *


Memang bukan mudah menjadi seorang penulis yang baik dan berkualiti. Banyak cabaran dan rintangan. Secara mudah menurut teori aku, seorang penulis yang baik hendaklah memenuhi kriteria berikut:

  1. Bijak memilih tema dan mesej yang baik dan bersesuaian.

  2. Kekuatan penjiwaan watak²


  3. Mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa; kaya dengan kata², bijak memilih kata² hikmat dan simpulan bahasa, kreatif membentuk metafora ciptaan sendiri, mementingkan kesesuaian penggunaan tanda baca--elakkan kesilapan terutama semasa menyalin semula.


  4. Kaya dengan pengalaman dan pengetahuan; ilmu dan maklumat semasa, sama ada melalui pembacaan atau pemerhatian--menyelitkan ilmu sambil berhibur.


  5. Bijak menggunakan ayat pencuit emosi pembaca sebagai kelebihan penulisan--tidak ada pada lakonan.


  6. Tidak terikut² dengan emosi ciptaan sendiri yang akhirnya bakal menghasilkan ayat yang panjang meleret² dengan pengulangan kata² yang sama--membosankan pembaca.


  7. Kreatif dalam mengolah jalan cerita walaupun menggunakan tema yang biasa digunakan supaya tetap dianggap menarik dan tersendiri.


  8. Tekun, bersungguh², sabar, dan konsisten--Kadangkala cerita yang pada awalnya menarik akan menjadi semakin hambar apabila penulis hendak cepat menyudahkan atau cerita yang ditinggalkan tanpa kesinambungan dalam tempoh yang panjang akan sedikit-sebanyak melarikan konsep dan mesej yang sebenarnya ingin disampaikan.

No comments: