Sunday, June 29, 2008

derma darah - megamall - 290608

Minggu keempat percubaan untuk menderma darah. Nasib baik di Kuantan ni hampir setiap minggu ada kempen derma darah anjuran banyak pihak [terutamanya persatuan Cina].

Dan nasib baik jugalah sekarang ni saya ada direct informer, seorang staf Blood Bank sendiri. Maka, mudahlah saya nak dapat info terkini pasal mana-mana kempen derma darah yang diadakan di sekitar Kuantan ni saban minggu.

Kenapa minggu keempat percubaan?

Minggu pertama, tak cukup 15 hari sebelum 3 bulan selepas menderma kali akhir.

Minggu kedua, tak cukup hemoglobin dalam darah pula. Ada 11.6 saja [dalam unit apa tah]. Sedang yang diperlukan ialah minimum 12.5. Doktor beri ubat untuk tambah darah. Saya tak pernah hiraukan ubat-ubat tu sebelum ni. Saya jarang makan. Tapi nak derma minggu depan pula punya pasal, habis saya makan dalam tempoh seminggu tu.

Minggu ketiga, ada pula halangan lain yang tak membolehkan saya pergi.

Dan hari ini, untuk minggu keempat percubaan, alhamdulillah saya berjaya.



Mulanya tak berapa bersemangat, lepas dah berminggu-minggu mencuba tak berjaya. Dalam jam 11 pagi tadi baru teragak rasa nak menderma. Saya pun mesejlah informer saya tu.

"Encik, hari ni ada tak kempen derma darah di mana-mana?"

"Ada, di Megamall. Eh, yang minggu lepas tak jadi derma ke?"
Dan, panjanglah ceritanya...

Terus cop abah untuk tolong bawakan ke Megamall lepas Zuhur. Seperti biasa. Abah dah boleh agak. "Derma darah?" Saya sengih je.

Cek darah, kata doktor hemoglobin dan tekanan darah cukup-cukup saja untuk derma. Maknanya [agaknya], jika saya pergi minggu sebelumnya pun saya tak lepas lagi untuk menderma. Itupun, mujur saya habiskan ubat yang diberi. Jika tak makan, tak lepas lagi gamaknya.

Tak kisahlah. Saya boleh agak dah yang tu. Sebab di rumah ni, saya kurang makan. Senaman pun kurang. Makanya, selepas ni, mesti kena cukupkan betul-betul 3 bulan atau lebih baru boleh menderma. Kalau ada yang aktif sikit, 2 bulan setengah doktor dah lepaskan derma dah. Saya bukan spesis tu, malangnya.

Ai, lamanya nak tunggu lagi 3 bulan...

* * *


Kenapa saya suka derma darah? Jawapan saya kepada kebanyakkan orang mudah saja. Sebab rasa best. Macam dah jadi hobi [yang hanya boleh dilakukan sekali dalam 3 bulan].

Sebabnya, saya nak dapat untung berlipat kali ganda dari Tuhan. Tuhan janji, kalau kita beri, lebih banyak yang kita akan terima. Disebabkan saya pegang janji tu, saya jadi tak kisah nak memberi. Sebab yakin yang pulangannya akan lebih menguntungkan daripada pulangan stail MLM.

Tak ikhlaskah saya? Saya tak pakar dalam hal agama. Tapi pada saya, ikhlas tak ikhlas itu diukur hanya sesama manusia. Jika kita memberi sesuatu kepada seseorang dengan harapan orang itu akan memberi sesuatu pada kita juga sebagai balasan dan jika kita tak dapat, kita buat muka panjang [long face], itu dah jadi tak iklas.

Tetapi sebab saya mengharapkan balasan dari Tuhan yang semestinya menepati janji, saya tak risau menantikan balasan. Balasannya ada, tapi terpulanglah pada Dia untuk beri apa, bila dan bagaimana. Di dunia, atau akhirat.

Sekurang-kurangnya, jika amalan yang lain kurang, ada yang boleh menampung. InsyaALLAH. Amin!

No comments: