Dalam satu-satu perhubungan antara manusia, yang paling penting ialah kemahiran komunikasi. Jujur dan saling percaya mengelakkan kita terjebak dengan banyak masalah picisan yang membuang masa.
Dalam hubungan kekasih, kriteria ini yang paling penting. Sebab sensitiviti antara 2 orang ini lebih daripada dia dengan kawan-kawan. Jika tak ada jujur dan saling percaya dalam hubungan berteman, itu yang jadi masalah negara.
Bertunang adalah salah satu cara yang membentuk jujur dan saling percaya, kata abah. Tapi jika ia dah ada kedua-duanya sebelum itu pun lagi, tak payah berebut nak fikir pasal tunang. Nikah itu yang penting.
Tapi orang kita, hari yang nak bernikah pun 'wajib' bertunang dulu. Kenapa perlu? Sebab nak dapat 2 cincin?
Dalam Islam pun tak ada konsep bertunang yang seperti orang Melayu kita amalkan. Dalam Islam yang masih diamalkan di negara-negara Arab, bertunang itu ialah seperti yang kita faham sebagai nikah gantung. Nikah tanpa majlis. Bertunang untuk menghalalkan perhubungan. [Ustaz Maszlee - nikah khitbah]
Orang kita bertunang sebab nakkan confirmation. Nak ada jujur dan saling percaya bahawa pasangan tunang kita itulah yang akan kita nikahi nanti. Tapi dengan status itu juga hubungan kadangkala boleh jadi lebih 'rapat' daripada sebelum bertunang. Macam dah ada lesen. Walau bukan lesen besar.
Dalam kebanyakan kisah orang bercinta yang saya dengar [saya ni orang memang mudah orang nak bercerita. sebab saya takkan banyak cakap kot], kurang kemahiran komunikasi ialah masalah utama.
Yang perempuan tak faham lelaki, yang lelaki tak faham perempuan. Pening jadi orang tengah yang dengar kedua-kedua pihak. Kenapa aku banyak tahu apa yang mereka saling tak tahu? Yang sepatutnya, jadi sebaliknya. Pasangan kita jadi yang paling banyak tahu pasal kita dan apa yang kita rasa, seluruhnya.
"Bila cinta diracun alpa dan prasangka
Pasti ia takkan kekal lama
Kebencian pun mula meraja di jiwa"
Memanglah orang kata [dan hanya orang kata], banyak perkara yang tak boleh nak cerita pada pasangan, tapi boleh cerita pada sahabat. Saya setuju hanya sebab 1 perkara. Sebab sensitiviti tadi. Pasangan lebih sensitif daripada sahabat. Sahabat boleh jadi sangat waras, matang dan rasional. Jadi kita lebih senang nak cerita.
Tapi saya jadi tak setuju juga untuk hal yang sama. Pasangan kita sepatutnya jadi sahabat baik kita. Begitu juga, kita patut jadi sahabat baik untuk pasangan kita. Sebab memang itu yang diperlukan bila dah kahwin nanti. Takkan masih nak harapkan orang lain?
"Di rumah dia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu dia penunjuk jalan"
Kita dah pilih siapa yang bakal jadi teman hidup kita. Kita dah dapat terima buruk baiknya seikhlas hati. Dapat terima sekarang, dan dapat juga terima seumur hidup selepas ini.
Jika tiba-tiba tanpa sebarang angkara dia kita jadi was-was, hati-hati. Sebab itu hasutan syaitan. Yang nak memutuskan hubungan yang sekian lama terbina. Nak memecahbelahkan bahagia. Tak boleh tengok anak Adam hidup senang dan gembira.
Dia mungkin bukan yang terbaik antara manusia. Sebelum cari yang terbaik atau mahu dia jadi yang terbaik, nilai diri dulu, adakah kita dah jadi yang terbaik untuk dia? Adakah kita dah sepenuhnya faham dia? Adakah kita dah selami apa perasaannya pada kita? Apakah selepas itu masih sanggup untuk kita sakiti hatinya?
Ini bukan cuma untuk yang belum berkahwin, tapi juga panduan untuk yang sudah berkahwin. Lagi lama hidup bersama. Sepatutnya dah lebih faham masing-masing. Dah tak ada masalah komunikasi. Tak ada kes cerai-berai [walau bermasam muka itu perkara biasa].
Yang belum kahwin pun sama. Dah bertahun-tahun bercinta, tiba-tiba putus. Sebab tak bersefahaman. Ai, dah bertahun-tahun masih boleh bermasalah seperti itu? Jika masalah keluarga boleh juga terima. Tak faham atau dah bosan?
Lepas dah rasainya cinta pertama, yang kedua ketiga dah jadi hambar. Bercinta semata-mata sebab tak nak bosan sebab dah terbiasa berdua. Tangkap muat, asal ada. Dan yakin dengan cinta itu hilang entah ke mana. Mana sudahnya, selagi kita tak belajar bersyukur dengan apa yang ada?
Jika dia memang ialah untukmu, maka rugilah jika kau tinggalkan dia. Terimalah dia yang terbaik di hatimu.
No comments:
Post a Comment