Friday, August 22, 2008

malam simfoni kesyukuran

Konsert didik jiwa
Oleh Norhayati Nordin

Bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan Yayasan Itmam, konsert hiburan berkonsepkan Islamik ini akan dibarisi kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Rabbani, Raihan, Hijjaz, Saujana, Fareast serta Syifa termasuk Aisyah dan Bienda.

Pengerusi Bersama Malam Simfoni Kesyukuran, Mohd Asri Ibrahim, berkata konsert yang diadakan di Padang MPK 2 Kuantan itu dijangka berlangsung selama dua jam. Malah setiap artis mendendangkan tiga atau empat lagu menghiburkan pengunjung.

“Kemasukan pengunjung ke konsert ini adalah percuma. Bahkan, Munsyid mensasarkan sehingga 50,000 pengunjung hadir menyaksikannya nanti. Bagaimanapun, kami (Munsyid) bertuah kerana mendapat kerjasama yang baik daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Selain pejabat Menteri Besar Pahang, kerjasama turut diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Pos Laju, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kebudayaan, Belia dan Wanita serta Jabatan Penerangan dan Penyiaran.

“Bersandarkan tema Menjana Ummah Gemilang, pelbagai program menarik bercorakkan ‘mendidik jiwa’ disediakan. Bukan saja konsert, turut diadakan persembahan multimedia, pentomen dan tazkirah yang lebih menumpukan pada motivasi diri,” katanya.

Mohd Asri berkata, ini bagi membangkitkan rasa cinta pada negara dan memahami keberkatan Ramadan. Secara tidak langsung, ia mendekatkan pengunjung dengan pencarian dunia dan akhirat. Katanya, diharapkan peluang sebegitu tidak dipersiakan.

Menyentuh mengenai Munsyid, Mohd Asri berkata, ia (Munsyid) ditubuhkan kira-kira sebulan lalu dan diasaskan tiga kumpulan nasyid ternama tanah air iaitu Rabbani, Raihan dan Hijjaz. Katanya, matlamat utama untuk menyampaikan mesej dakwah dan menjadikan nasyid hiburan alternatif masyarakat negara ini.

“Boleh dikatakan, penerimaan peminat muzik dan pendengar hari ini terhadap nasyid sangat baik. Sambutannya bagus dan itu menandakan industri nasyid semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Justeru, program seperti ini satu langkah yang wajar.

“Sekalipun Malam Simfoni Kesyukuran ini percubaan pertama Munsyid, tetapi ia dianggap pembuka jalan pada perkembangan peranan dan pengaruh kami terhadap penganjuran program berunsurkan ilmiah untuk jangka masa panjang,” katanya.

Hadir sama pada majlis sidang media Malam Simfoni Kesyukuran yang diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini, wakil kerajaan Negeri Pahang daripada Jaip, Nur Ridzwan Abd Manna dan Pengarah Program Malam Simfoni Kesyukuran, Azadan Abdul Azizi.

Sehubungan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dijangka hadir merasmikan Malam Simfoni Kesyukuran berkenaan. Ditanya pula mengenai apakah penubuhan Munsyid kerana penganjuran konsert itu, jawapannya adalah ‘kebetulan’.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Esok, jam 8.30 malam di Padang MPK 2. Masuk adalah percuma. Mari kita sama-sama meramai dan memeriahkannya! ;)

Di UIA pula...



Sumber: http://saujana.net.my/

No comments: