Saya baru langsai menyaksikan ulangan Konsert Akademi Nasyid minggu lepas di laman web TV9. Seperti biasa, sebab saya tak ada di depan televisyen pada masa itu. Selepas ini akan saya ceritakan ke mana saya hujung minggu lepas.
Saya memang tertunggu-tunggu untuk menyaksikan persembahan 2 peserta kegemaran saya, Azhan dan Cicik. Sampai ke Part 4, saya mula fokus. Saya suka benar dengan penyampaian lagu 'Pergi Tak Kembali' stail Azhan.
Pada mulanya saya ingat beliau tak sesuai bawakan lagu yang dibawa oleh kumpulan Rabbani secara rancak ini. Tapi Azhan memang hebat. Beliau dapat sampaikan lagu tersebut dengan gaya tersendiri tanpa ada rasa ada yang tak kena. Malah temponya pun diperlahankan. Maka, benar seperti kata juri, mesej lagu 'Pergi Tak Kembali' dalam tempo yang perlahan lebih mudah dihayati rupanya.
Dikuti persembahan Cicik dengan tema lagu yang sama, mati. Cuma lagunya daripada genre yang rancak, Andaiku Tahu. Nyanyian asal kumpulan Ungu. Persembahan beliau memang menyengat. Mungkin juga dibantu oleh latar gambar hiba bonda beliau. Saya tak pasti apa sebab bonda Cicik menangis teresak-esak. Mungkin kerna persembahan Azhan sebelum itu, atau sebab klip video yang disumbangkan Cicik? Dan saya turut mengalirkan air mata..
Saya teringin untuk menjawab persoalan yang dilontarkan Abddu dalam entri saya berkenaan peserta wanita yang kurang daripada lelaki dalam Akademi Nasyid ini. Beliau tak beri komen terus pada topik entri saya, tapi mempersoalkan tentang mengapa perlupun ada Akademi Nasyid ini.
Saya tak nampak pula kenapa tak perlu ada Akademi Nasyid ini. Ia boleh dihasilkan daripada seribu satu sebab, juga menghasilkan seribu satu kesan. Tak lupa persoalan-persoalan yang timbul daripada fenomena asing ini.
Secara peribadi, saya tak membantah walau sedikit pada kemunculan Akademi Nasyid ini. Memang ada asas bagi persoalan yang ditimbulkan oleh Abddu, kenapa perlu kita bazirkan banyak wang untuk mempertandingkan program so-called siapa yang paling bagus dalam menyampaikan salah satu cabang dakwah; hiburan.
Segala yang kita lakukan, kita perlu ada platform atau tapak yang kukuh untuk memungkinkan kita jadi nombor satu. Berada antara yang terbaik dalam bidang yang sama. Kita perlukan pengaruh. Islam itu memang berpengaruh kerana ketulusan dan kebenaran agama itu sendiri. Tapi, tanpa ada sesiapa yang menyampaikan, bagaimana kita dapat membuktikan yang Islam itu benar-benar berpengaruh?
Mengapa perlu Akademi Nasyid? Saya boleh beri 2 jawapan:
1. Untuk peserta: Sebagai alternatif bagi mereka yang ada kesedaran sebagai pendakwah dan fitrahnya ialah pada hiburan.
2. Untuk penonton: Sebagai alternatif hiburan yang mendidik jiwa. Tidaklah jika nak berhibur saja, kena tonton Gangstarz atau Akademi Fantasia.
Kita memang boleh berdakwah cara lain. Bernasyid, tanpa perlu glamour. Memang boleh. Tapi setakat mana pula lingkungan pengaruh kita berbanding jika masuk mainstream?
Begitu juga dengan kumpulan rock underground kita yang salah seorang yang turut serta ialah sahabat saya. Beliau nak sampaikan sesuatu menerusi lagu-lagunya, tetapi tak masuk mainstream hiburan. Luas mana pengaruhnya?
Saya tak dapat bandingkan rock dengan nasyid yang baru nak berkembang ni. Peminat muzik rock ada di mana-mana sejak dahulu lagi. Pendengar dan peserta secara langsung muzik rock ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang nak bebas merdeka, daripada golongan yang memberontak yang mahu suara mereka didengar.
Jadi, jika sahabat saya itu berdakwah dalam lingkungan mereka saja pun saya kira sudah cukup. Apa lagi di bandar metropolitan Johor Bahru yang kes sosialnya adalah yang tertinggi di Malaysia.
Program Akademi Nasyid ini adalah satu usaha yang baik untuk mengenengahkan nasyid sebagai salah satu baca kita berhibur. Supaya lingkungan pengaruhnya lebih luas. Bukanlah daripada mereka yang memang sedia minat pada nasyid. Dan hiburan ini bukanlah yang calang-calang, tetapi sebagai pendidik jiwa. Seperti kata Ustaz Akil, sepatutnya nasyid ini jadi hiburan utama, bukan alternatif. Sebab, ingat Tuhan perlu didahulukan sebelum perkara-perkara lain.
Abddu, anda juga adalah seorang penasyid. Tetapi apalah gunanya jika anda dan kumpulan anda saja yang mendapat kesedaran hasil daripada lagu yang anda cipta dan sampaikan? Bukankah mereka yang paling berguna itu ialah yang paling berbakti untuk umat manusia?
Kita boleh buat banyak usaha untuk berdakwah. Nasyid ini salah salah satu caranya. Biarlah mereka yang berada dalam mainstream hiburan ini buat kerja dan usaha mereka. Kita boleh cuba dalam bidang lain pula.
Bagi nasyid yang dipertandingan pula... Itu bergantung pada persepsi kita masing-masing. Tetapi selagi boleh dipandang dari aspek positif, kita positifkan. Bagi saya, Akademi Nasyid, selain mempertandingkan bakat suara, juga yang utamanya ialah ketulusan penyampai menyampaikan mesej dakwah. Adakah kita dapat ukur yang itu? Ya, kita dapat. Cuba semak komen saudara Farihin pada setiap konsert. Beliau lebih utamakan emosi yang hadir pada penyampaian, baru lihat pada bakat suara.
Apa-apapun, memanglah nak sampaikan mesej melalui lagu perlu pada suara yang sedap didengar. Jika tidak, siapa pun tak mahu dengar. Adakah anda mahu?
Cuba saksikan Part 4 Konsert Akademi Nasyid ke 7 ini. Saya kira, ia boleh jadi klip video terus untuk Cicik.
No comments:
Post a Comment