Sunday, January 18, 2009

hijrah lagi

2 hijrah dalam masa 3 hari...

Saya sekarang berada di Politeknik Port Dickson. Setakat sekarang berada dalam yang amat selesa jika dibanding dengan 4 hari yang lalu di Putrajaya.

Apa yang saya lalui sekarang adalah gabungan sesi-sesi kehidupan yang pernah saya lalui sebelum ini.

Saya sekarang menetap di kuarters Politeknik. Seorang satu rumah berbanding 8 orang satu rumah dan 3 orang satu bilik di Putrajaya dahulu.

Walaupun kekurangan segala peralatan yang membuatkan sesebuah rumah itu cukup lengkap dan selesa didiami (yalah, saya datang dengan barang yang seperti pelajar mendaftar ke asrama), saya fikir tak mengapa, sebab ini baru hari ketiga saya di sini. Barang-barang itu boleh dibeli sikit-sikit.

Sayangnya Tuhan pada saya, urusan mendapat penempatan amat mudah, seolah-olah memang tersedia untuk saya. Kuarters yang saya duduki baru saja ditinggalkan. Air dan elektrik masih belum dipotong. Saya selepas ini cuma perlu menukar nama pemilik asal kepada nama saya. Jika tidak, terpaksalah saya menumpang di rumah orang dahulu sebelum ada air dan elektrik. Terima kasih Tuhan sebab mempermudahkan urusan saya dan keluarga.

Dalam rumah ini juga ditinggalkan 2 tilam tebal saiz permaisuri (queen) di ruang tamu. Apabila ditindan, saya seolah-olah tidur di atas katil yang sangat empuk. Di Putrajaya dahulu, saya hanya tidur beralaskan toto. Nak tilam atau katil, beli sendiri. Alhamdulillah.

Dan alhamdulillah juga, tuan rumah yang keluar sebab bersara, baik hati meninggalkan sebuah katil kayu single di dalam bilik. Jika saya mahu menggunakannya, saya hanya perlu beli tilam single sahaja. Setakat ini tak perlu lagi, sebab saya dah ada 'katil yang sangat empuk'.

Dan betapa terharunya saya dengan kasih Tuhan, tuan rumah turut meninggalkan sebuah almari kayu yang masih boleh digunakan. Di Putrajaya dahulu, sebelum keluarga pulang daripada menghantar saya, kami sempat ke Alamanda semata-mata untuk mencari almari plastik yang berharga RM130. Kami bertungkus lumus memasang dan menyambung-nyambung batang besi bersama plastik yang disediakan sehingga keluarga pun lambat pulang ke Kuantan.

Rupa-rupanya, itulah lawatan saya dan keluarga yang terakhir ke Alamanda. Sebelum itu, saya fikir itulah tempat yang akan menjadi tumpuan beli belah saya. Keluarga pun tak dapatlah lagi melawat saya di bandar yang sangat gah dan menakjubkan itu. (Tetapi yang sangat menyesakan nafas saya)

Saya tak perlu runsing memikirkan tentang kenderaan untuk ke tempat kerja. Saya hanya berkenderaankan kaki, lebih kurang sama saja jaraknya seperti di UIA dahulu, dari Haleemah ke kelas. Jika di Putrajaya, saya perlu menunggu bas seawal pagi walaupun jaraknya mungkin cuma 10 minit perjalanan. Sebab, kita takkan pernah tahu jika terdapat kesesakan lalu lintas dalam perjalanan. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan.

Apa yang paling saya syukurkan, rumah saya terletak bersebelahan dengan masjid. Masjid hanya di hadapan rumah. Saya ambil kesempatan itu untuk hidup seperti di MRSM dahulu. Blok Siti Fatimah (F) juga bersebelahan dengan surau. Dan kami wajib solat sekurang-kurangnya Subuh dan Maghrib di situ dan ditambah dengan Zuhur dan Asar pada hari cuti. Sekarang saya mahu buat lebih lagi. Dekat dengan Tuhan nyata terasa tenangnya.

Di situ saya belajar sesuatu. Walaupun tekanan atas ketidakbiasaan dengan peraturan yang ditetapkan oleh satu pihak yang berkuasa, ia jadi kenangan manis terindah yang boleh digunapakai pada masa hadapan jika kita nampak hikmahnya. Disebabkan sesuatu kesusahan itu pernah kita lalui sebelum ini, apabila kita menghadapinya sekali lagi, kita sudah lali dan dapat menghadapinya dengan sebaik mungkin. Tekanan menjadikan sebuah emas dan permata yang cantik dan berharga.

Dari segi kerja pula (saya telah berpengalaman berada di Unit ICT selama 2 hari walaupun bukan setiap masa sebab terpaksa menguruskan hal borang dan pengurusan dengan pihak JPA yang belum selesai), saya seperti mengalami dejavu.

Saya pernah menjalani praktikal di Majlis Perbandaran Kuantan dalam Bahagian Sistem Maklumat suatu masa dahulu semasa dalam ijazah (saya tak ada sikit lain kot). Pengalaman bekerja walaupun cuma sebagai pelatih di sana agak sama dengan di sini. Secara asasnya, Unit ICT berperanan melayan aduan-aduan staf dari jabatan-jabatan lain berkenaan sistem dan komputer. Itu sahaja.

Ketika di Putrajaya, saya menghadapi tekanan yang sangat hebat. Dan empat hari lalu iaitu hari Rabu adalah bagi saya tekanan yang paling hebat.


Kisahnya begini...

Hari pertama saya melapor diri di Jabatan Perdana Menteri, mereka membahagi-bahagikan 191 Pegawai Teknologi Maklumat kepada kementerian masing-masing. Saya dapat di Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada waktu itu, saya bersyukur amat sangat sebab tak perlu berpindah ke tempat lain walaupun dalam hati rasa kurang selesa sebab fikir yang kementerian ini tidak ada cawangan negeri seperti kebanyakan kementerian lain. Ya, saya memang berhasrat untuk pulang ke Kuantan pada masa itu, walaupun saya telah siap menyewa di Presint 9, Putrajaya.

Hari kedua, saya melapor diri pula di Kementerian Pengajian Tinggi. Hampir tengah hari, kami semua diberitahu penempatan tetap masing-masing. Hampir tak dapat saya terima yang saya perlu berpindah ke Politeknik Port Dickson. Satu tempat yang saya tak pernah jejak sebelum ini (Negeri Sembilan pun tak pernah. Setakat lalu saja). Dan satu tempat yang saya tak punya seorang saudara dan kenalan pun.

Saya perlu melapor diri di Politeknik Port Dickson pada hari ketiga juga. Saya rasa tertekan dan putus asa. Saya rasa mahu kembali bekerja di tempat lama. Duduk di rumah, makan minum, kenderaan semua siap.

Disebabkan tak ada cara lain lagi yang saya terfikirkan, saya beritahu pada abah. Pada jam 3 petang semasa sedang di pejabat itu juga abah datang, terus dari Kuantan ke Putrajaya untuk mengambil saya. Tekanan maha hebat, saya tak mampu rasanya bergerak sendiri, walau diberi cadangan untuk naik bas ekspres dahulu ke sana untuk melapor diri dan hari minggu pula baru pindahkan barang-barang. Saya tak mampu. Saya rasa sangat berseorangan.

Dalam perjalanan, kami singgah ke klinik sebab saya mengadu sesak nafas. Nafas pendek-pendek. Serasa ingin pitam saja. Doktor buat pemeriksaan. Dan beliau beri ubat penenang. Saya tak sakit apa-apa. Cuma saya dalam tekanan. Selepas itu saya menangis semahunya. Saya tak pernah rasa tertekan seperti itu sebelum ini.

Tapi saya teringat kembali mengenai hijrah. Hijrah Nabi Muhammad pergi ke tempat asing, dengan masyarakat yang tak pernah beliau kenal. Tetapi beliau dapat menjadi ketua di situ dan berjaya menyatupadukan penduduk asal dengan yang sama-sama berhijrah bersama beliau. Nabi Muhammad idola saya, maka saya perlu ikut jejak beliau.

Dalam perjalanan, saya lihat langit. Besarnya alam Tuhan yang lebih besar daripada perasaan saya ketika itu. Tiba-tiba Tuhan seperti berbisik kepada saya. Saya terkenangkan betapa saya tertekan dalam proses bekerja untuk manusia, sedangkan tugas utama kita sebagai khalifah yang lebih besar ialah bekerja untuk Tuhan!

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Di mana saja kita berada, apa yang penting kita ingat tujuan asal kita dicipta dan ke mana kita selepas ini. Maka, urusan duniawi akan jadi lebih mudah. Campaklah di mana saja, asal kita bertakwa, Tuhan pasti bersama.


Inilah buktinya. Saya tak tahu langsung apa yang saya tak pernah suka itulah yang terbaik untuk saya. Tuhan tahu yang saya terbeban dengan Putrajaya, maka Dia pindahkan saya ke kehidupan yang pernah saya lalui sebelum ini. Hidup bekerja, merantau, tetapi di 'asrama'.

Dan, takdir Tuhan, Dia mahu saya kembali dekat padaNya, dengan menempatkan saya berhampiran dengan rumahNya.

"Berjalan, bermusafirlah
Melihat kebesaran Tuhan
Yang diciptakan untuk mereka yang berfikir
Dan bersyukur
Di atas nikmat dan kurniaNya
Nilai harganya iman dan takwa
Bagi hamba yang setia..."


Subhanallah, Alhamdulillah, La'ilaha'illallah, Allahuakbar!

2 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah.

di PD lah sekarang ya?

Pakdi
http://pakdi.my

mira said...

ya saya. jemputlah datang. ajak kak eda skali :)