Wednesday, August 31, 2005

merdeka

Hari ini rakyat Malaysia sambut merdeka. Sambutan tahunan dengan tujuan mengenang kembali pengorbanan dan kesusahan datuk nenek kita dahulu dalam mendapatkan kembali tanahair yang tercinta ini [untuk mereka] daripada genggaman penjajah.

Ironinya, sambutan ini cuma sebagai cuti untuk kebanyakan rakyat negara merdeka, Malaysia.

Pelajar negara lain tak apalah, berada di sini, tumpang gembira sebab dapat cuti. Kadang-kadang, mereka yang lebih ingat akan tarikh 31 Ogos ini.

Benar-benar patriotik dan merdekakah kita jika mengenakan bendera Malaysia saja sebagai pakaian penutup tubuh?

Itu kes seorang peramugari yang baru nak kenal dunia.

Kembali pada diri sendiri saja.

Sambutan countdown di sini semalam memang sungguh dapat sambutan penuh seluruh warga universiti. Tak muat tangga besar simbol gahanya universiti itu menjadi tempat temu semua. Sehingga kedua-dua dinding tangga pun dipanjat oleh pelajar-pelajar lelaki. Seram juga, takut jatuh nanti. Dahla beramai-ramai di atas tu.

Di lantai jalanan yang selama ini jadi laluan kenderaan pun diduduki. Hampir ke pentas juga limpahan pelajar. VIP pun tenggelam dek banjiran mereka.



Berbeza benar dengan tahun lepas. Mungkin sebab tahun lepas ramai yang pulang ke rumah, atau promosinya tidak sehebat yang kali ini, tak ramai yang hadir. Entah, tak pasti pula.

Pelbagai persembahan dihidangkan kepada yang hadir. Tapi, mengikut perkiraan saya, tak ada satu pun yang benar-benar mengarah pada mengenang kembali saat-saat merdeka itu. Kalau nak harapkan pelajar supaya ingat saja apa yang dipelajari dalam subjek Sejarah di sekolah dahulu, hmm... [haha, saya memang tak cenderung kepada subjek yang perlu hafalan].

Dulupun, penggerak untuk tahu lebih pun sebab ada filem 'Leftenan Adnan', filem pertama yang saya tonton di pawagam. Lakonan Umi Aida dan Akashah. Masa itu saya Tingkatan 5. Itupun, cikgu aerobik yang bawa dan belanja. [Sejarah dan aerobik, hmm...]

Persembahan yang ada semalam kebanyakannya cuma membawa kami menghayati kedudukan orang Melayu hari ini di bumi sendiri. Ada juga sajak bertajuk 'Anak' yang terlalu tersirat untuk mereka yang datang cuma untuk hiburan untuk dikaitkan dengan orang Melayu yang semakin lupa diri. Siapa nak fikir?

Nasyid? Ye ke munsyid semalam tu nak release album? Hoho, maaf, tapi persembahan kalian belum cukup mantap. Ramai yang geleng kepala dan tutup telinga. Macam mana nak hayati liriknya pula?



Yorala? Alat muzik yang asalnya dari Australia? Kaitannya dengan merdeka? Heh, dah sah-sah cuma untuk hiburan dan isi masa sebelum jam 12 tengah malam.

Entah, saya pun tak berapa ada juga alternatif persembahan yang sepatutnya diutamakan. Memang sukar untuk mendatangkan keinsafan dalam diri bila yang datang memang cuma untuk isi masa lapang dalam masa yang terhad. Daripada bersesak di Dataran Merdeka, baik di UIA saja.

Cuma, kalau skrin tayangan lebih besar dan terpampang betul-betul di hadapan audien, boleh dicadangkan untuk buat persembahan multimedia dengan tema yang tepat, supaya orang Melayu insaf akan kepayahan orang terdahulu menempuh hidup di bumi sendiri. Tambah dengan efek lagu yang menusuk kalbu, fuh, mengancam!

'Leftenan Adnan' pun ok apa?

Ada lagi ke filem-filem macam tu di pasaran perfileman?

Kalau tak berkesan pada semua, sekurang-kurangnya boleh dimanfaatkan kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan mengenai subjek berkenaan. Kan?

Sambutan semalam, persediaannya kurang kemas. Saya tahu, tak mudah untuk jadikan sesuatu program berjalan lancar tanpa banyak silap di sana sini. Terutama untuk komiti PC dan Prep and Tech. Cuma, yang semalam, agak banyak juga lompongnya terutama dari segi teknikal.

Terbantut semangat pelajar yang dah bersedia nak kibar bendera. Sedihnya bila nyanyian Asma ul-Husna pun jadi haru biru. Pelajar UIA ni tak perlu bimbingan audio untuk ber'asma ul-husna'. Mereka boleh nyanyi dengan baik. Dan dilatih berbelas-belas kali dalam minggu ta'aruf.

Hmm, tak kisahlah tu. Asalkan, mesej merdeka bukan hanya berkesan semasa countdown, tetapi juga semasa countup [hari-hari selepas ulangtahun kemerdekaan].

Salam merdeka.

Semoga kita semua merdeka daripada neokolonis, hedonisme, dan nafsu dunia dan menuju fitrah insani. InsyaALLAH.

1 comment:

Didjeridoo-Ghetto said...

errr...correct spelling YOORALLA..not yorala..Yep mungkin tiada kaitan dengan tema kemerdakaan :)..Tapi sekurang2 kami bisa bikin kamu berfikir tatkala kamu melihat kami dan instrument kami. Itu pun kalau kamu seorang yang mahu berfikir. :) Tidakkah kamu terpikir betapa agungnya tuhan tatkala melihat dengan hanya sebatang kayu yang ditebuk anai2 bisa menghasilkan bunyi sebegitu rupa? Melihat keagungan tuhan bukan hanya sekadar membaca kitab2 ugama dan mendengar ceramah.. ;) Jangan hanya memandang sesuatu itu dengan pandangan yang negative. Setiap sesuatu benda itu ada nilai2 positifnya..tapi mungkin kita yang belum nampak hanya kerna kita malas berfikir...:)