Monday, November 05, 2007

ISLAM boleh jadi MLM

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas dua minggu lepas, saya terfikirkan sesuatu apabila terpandang seorang lelaki Cina tua yang sedang makan sepotong buah betik.

Cerita ni tak ada kena mengena dengan apa yang beliau makan. Tapi bila terpandangkan sesiapa dalam usia emas, hadir rasa simpati dalam diri. Kasihan, sudah berusia, kudrat makin kurang. Tapi masih perlu banyak melangsaikan hal dunia untuk keluarga.

Jika sepanjang usia mereka beramal jariah, mereka menolong orang, menderma dan buat lain-lain perkara baik, adakah amalan itu diterima?

Tidak, sebab mereka tak beriman!

Jadi, ke manakah halanya mereka selepas di dunia ini?

Adakah mereka yang sepenuhnya silap dengan pilihan ini?

Bagaimana dengan kita? Adakah kita akan terlepas dari segala tanggungjawab?

Mengapa kita tak mempromosi ISLAM sebagaimana ralitnya kita mempromosi produk MLM yang kita sertai?

Mengapa tak kita kuasai ilmu berkaitan ISLAM itu sebagaimana kita sedaya upaya menguasai maklumat mengenai produk yang kita promosikan dengan harapan yang mendengar akan membeli?


Saya cuba membayangkan situasi jika ia berlaku.

Wah, sudah tentu dunia ini dipenuhi dengan umat Muhammad yang beriman!



MLM itu ada pelbagai. Yang menyertainya pula bukan semua orang dan bukan juga kebanyakan orang. Tapi lihatlah bagaimana kukuh dan gahnya bangunan HQ syarikat MLM yang ahlinya bersungguh-sungguh buat kerja?

Islam, satu nama bagi agama yang agung. Islam juga adalah agama yang paling pesat perkembangan pengaruhnya. Walau sepesat mana, tanpa usaha, ia akan jadi cuma nama. Tapi adakah kita nampak usaha itu di sekeliling kita? Dapatkah kita lihat orang Islam yang duduk dalam bas bersama dengan seorang yang bukan Islam menerangkan mengenai Islam sepanjang perjalanan mereka?

Kita sedia maklum dengan nama-nama seperti HPA, Luxor, Healin, Sureco, Mymode dan sebagainya. Yang sertai sudah tentu merasai hasil pulangannya. Tapi kenapa tak semua orang yang mendengar itu sertai dan buat kerja yang sama? Apalagi dengan mereka yang tak pernah dengar pun mengenai program-program itu?

Dalam isu Islam, kebarangkalian kedua iaitu mereka yang tak pernah dengar pasal Islam mungkin boleh diabaikan. It's a big word. Tinggal lagi yang nak ambil tahu mengenainya.

Jika tak ada yang mempromosi dan menerangkan dengan mendalam, siapa yang nak ambil pusing pun? Saya pun, jika tak ada orang terangkan dengan lengkap kelebihan sertai MyMode, takkan saya nak sertai walau pernah dengar mengenainya?

Takkan semua nak tunggu Tuhan yang buat kerja? Kitakan wakilNYA di bumi?

Tahukah kita, amalan kita yang dilihat dan dicontohi orang itu, balasannya dalam bentuk 'MLM' juga?


Hah, nak pendapatan berterusan? Dengan sebarkan ilmu mengenai Islam, kita akan dapat dapat pahala berterusan. Selagi 'downline' kita menggunakan ilmu itu, selagi itu kita akan dapat hasilnya. Selagi 'downline' kita menyebarkan pula ilmu itu kepada orang lain dan orang itu menggunakannya, kita masih dapat hasil.

Tak ke selamat kita di akhirat nanti dengan tuaian hasil pahala yang terkumpul?

Jadikanlah ISLAM sebagai produk kita orang ISLAM.

No comments: