Friday, May 22, 2009

kepentingan hobi dan minat

Sebenarnya, entri sebelum ini ialah pengenalan kepada tajuk pengucapan awam saya semasa Kursus Induksi Khusus yang lepas. Dua entri; sebelum ini dengan yang ini sebenarnya adalah teks lengkap yang saya mahu sampaikan. Hari tu tak sempat sebab setiap orang hanya diberi masa 5 minit saja.

Pengucapan awam tanpa teks ok? t a n p a t e k s . . .

* * *


Jadi, apa kepentingan untuk kita meneruskan aktiviti-aktiviti yang melibatkan hobi dan minat ini? Kenapa nak tambah kerja? Tak cukupkah dengan kerja dan tanggungjawab rasmi sedia ada?

1

Ramai daripada kita, terutama yang bekerja di sektor awam ni bukanlah bekerja dalam bidang yang disukai. Atau, ada lagi pengkhususan lain yang kita lebih suka.

Jika benarlah itu, maka 2/3 daripada hidup kita (tolak masa tidur) dihabiskan pada perkara yang tak penuhi kepuasan hati kita. Alhamdulillah bagi mereka yang mendapat kerja yang diidam-idamkan.

Apakah erti hidup menghabiskan hayat pada perkara yang tidak memuaskan hati kita?

Apa makna hobi? Dah tentu perkara yang kita suka lakukan. Apabila kita buat perkara yang kita suka, kita akan gembira dan bahagia. Meneruskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan hobi dan minat sekurang-kurangnya mengisi sebahagian lagi daripada hidup kita dengan keceriaan. Jika tak banyak, ia akan mempengaruhi hidup kita yang satu lagi; kerja pejabat.

Saya ulang semula ayat yang saya pernah sebut sebelum ini: "Bukankah setiap yang kita lakukan dengan rasa senang hati itu akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik?"

2


Memperkembangkan ruang lingkup hobi dan minat itu juga membolehkan kita menemui perkara baru mengenainya. Bila kita dah minat, kita akan buat apa saja untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Dengan mempunyai banyak ilmu dan maklumat tentang hobi dan minat kita, kita boleh dianggap master tentangnya. Biarpun kita bukanlah bos di pejabat, sekurang-kurangnya kita mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan. Kita juga akan jadi rujukan orang.

Jadi, hobi dan minat boleh jadi potensi dalam diri yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

"Orang yang paling baik ialah mereka yang bermanfaat kepada orang lain." (Hadis)

3

Hobi dan minat beri peluang kepada kita untuk kenal lebih ramai orang. Seperti tadi, jika kita minat akan sesuatu, kita akan sedaya upaya mencari lebih banyak ilmu dan maklumat tentangnya. Sumber itu termasuklah mereka yang lebih arif.

Ada masanya, kita akan usaha mencari kelab dan persatuan yang berkaitan di sekitar kediaman. Pada yang kaki internet, sudah tentu dalam forum-forum berkaitan. Selalunya forum-forum itu akan mengadakan perjumpaan untuk berkenal-kenalan dengan ahli-ahlinya.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal." (Al-Hujurat: 13)

4

Bila dah banyak maklumat, jangan lupa untuk buat perkongsian ilmu. Sebab itu boleh jadi saham untuk bantu kita di akhirat kelak.

Ada 3 perkara dari dunia yang masih bersama kita dan boleh membantu kita di dunia sana walaupun kita telah meninggal dunia; doa anak, amal jariah dan ilmu yang bermanfaat.

Nak dapat anak, lagi-lagi yang soleh, belum tentu lagi. Jauh lagi nak ambil risiko harap yang itu saja. Mana tahu, tak sempat pula? Jadi, disamping buat amal kebajikan seharian, selitkan juga dengan penyampaian ilmu-ilmu yang bermanfaat.

Selagi mana ilmu itu digunakan dan dimanfaatkan, kita akan dapat saham kebaikannya.

5

Kata Nabi Muhammad, 9/10 daripada sumber rezeki adalah dari perniagaan. Nak berniaga yang macam mana? Tipsnya daripada apa yang kita minatlah.

Saya ada seorang sahabat yang minat dalam bidang fotografi. Sebenarnya memang ramai daripada kalangan kenalan saya yang minat bidang ni. Tak pasti kenapa, tapi sangat ramai yang otai dalam ambil-ambil gambar ni.

Beliau mula kenal kamera DSLR dan belajar teknik-teknik ambil gambar sendiri daripada minat sahaja. Kemudian, beliau mula berkongsi dengan orang lain yang mempunyai minat yang sama dengan menyertai forum-forum. Kenalan-kenalan maya beliau ramai yang mempunyai perkhidmatan fotografi perkahwinan. Beliau pun cuba-cuba juga.

Adakalanya, kenalan-kenalan maya beliau menawarkan pelanggan kepada beliau. Bermula dari situlah, beliau ambil pengalaman dan mula dikenali.

Sekarang, dah ramai pun yang minta khidmat beliau ambil gambar untuk majlis-majlis perkhawinan di sekitar Kuantan, sampai tak menang tangan (sebab orang yang kahwin memanglah sangat ramai, lebih-lebih lagi musim cuti sekolah ni). Beliau pula yang terpaksa tawarkan pada jugambar lain untuk ganti beliau ambil gambar di majlis-majlis yang beliau tak berkesempatan hadiri.

Tahniah, Azwan! Walaupun dah lama tak ikuti perkembangan kesibukan yang satu ni, saya harapkan yang terbaik untuk anda ;)

Sangatlah best bila dah dapat jana wang daripada sesuatu yang memang kita minat.

6

Ini bukanlah salah satu kepentingan secara langsung. Tapi, ia juga penting untuk kita tahu apa hobi kawan kita.

Cara yang paling berkesan untuk membuatkan seseorang rasa dihargai ialah pertama, ingat namanya. Kedua, ingat tarikh lahirnya.

Ucapan selamat pada hari ulangtahun seseorang akan membuatkan dia rasa berkepentingan (yalah, sampai ada orang yang sanggup hafal tarikh lahirnya, tarikh yang paling penting dalam hidup seseorang).

Lebih bermakna jika hadiah yang diberi ialah yang memang diminatinya. Klu? Dari hobinyalah.

Jika dia suka memancing, jika tak mampu beli joran, boleh belikan buku panduan memancing.

Jika dia suka kumpul setem, jika tak berkesempatan cari setem ajaib, boleh beri buku panduan menjaga koleksi setem.

Jika dia suka makan, jika tak sanggup nak belanja makan yang mahal-mahal, boleh beri buku koleksi resipi.

(Buku ialah hadiah yang paling baik. Ingat pada amal jariah dan perkongsian ilmu?)


Takat itu saja poin yang saya sediakan untuk pengucapan awam temoh hari. Fikir sendiri, tak rujuk mana-mana. Jadi, mungkinlah banyak lagi poin yang boleh ditambah. Ada yang nak cuba?

Kesimpulannya, hargailah diri anda. Jangan cuba jadi orang lain. Sebab anda diciptakan unik. Tak ada orang lain yang seperti anda. Mempergunakan keunikan itulah yang akan membuatkan anda jadi seseorang di antara ramai.

1 comment:

Fahmi Mahat said...

being unique doesn't always pay.
but when it pays, it sure pays more than enough ;)